Saturday, January 27, 2007

Tahiyyatul Masjid

Assalamualaikum..

Alhamdulillah pujian kepada Allah. Sebelum bermulanya khutbah jumaat di Masjid University Yarmouk 7 Muharam 1428/26 Januari 2007 khatib (Syeikh Faleh bani Soleh) telah mengingatkan hadirin tentang keutamaan solat Tahiyyatul Masjid sekalipun khatib sedang berkhutbah. Perkara ini telah jelas oleh semua masyarakat kita. Cumanya tadi teguran tersebut mengingatkan yang khutbah lebih aula atau utama daripada azan. Maka solat sunat tahiyyatul masjid ketika azan bukanlah satu kesalahan bahkan satu galakan dan keharusan yang sewajarnya dilakukan oleh semua umat islam yang sampai ke masjid ketika muazzin mengumandangkan azan tanpa perlu menunggu azan tamat (ni yang selalu kita lakukan).Masyarakat kita sering mengangap yang golongan yang melakukan tahiyyatul masjid ketika azan adalah golongan atau 'kaum muda'. Salah anggapan yang perlu dibendung bersama.

حَدَّثَنَا الْمَكِّيُّ بْنُ إِبْرَاهِيمَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَعِيدٍ عَنْ عَامِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الزُّبَيْرِ عَنْ عَمْرِو بْنِ سُلَيْمٍ الزُّرَقِيِّ سَمِعَ أَبَا قَتَادَةَ بْنَ رِبْعِيٍّ الْأنْصَارِيَّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ:
قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
Maksud:
"Sabda Rasulullah S.AW. : Jika seseorang dari kamu memasuki masjid maka janganlah dia duduk sehinggalah dia menunaikan solat 2 rakaat (tahiyyatul masjid)".-RW-Bukhari.

Keutamaan ini lebih jelas bilamana suatu ketika sedang Rasulullah S.A.W. berkhutbah masuk seorang sahabat dan terus duduk maka Rasullullah telah bersabda yang maksudnya hampir dengan matan hadith di atas.

Jadi ubahkan persepsi kita yang mengangap mereka yang terus melakukan tahiyyatul masjid ketika azan adalah golongan yang salah dan tidak menghormati azan.
Wallahua'lam...

* Syeikh Faleh dikenali sbg tenaga pengajar yang 'pure' Syafii...(saje buh point ni supaya orang kat luar sana jelas)

Berleluasanya Penjualan Arak...

Assalamualaikum..

25 Januari 2007- Semua akhbar utama di Malaysia memaparkan satu isu yang perlu dipandang berat oleh semua pihak kerana kesan daripadanya boleh menyebabkan keruntuhan moral masyrakat kita terus berada di tahap yang lebih kronik. Isu tersebut adalah berkaitan penjualan arak secara terbuka. Kini penjualan dan pengiklanan dibuat dari rumah ke rumah dengan khidmat penghantaran yang percuma atau dikenakan caj yang rendah. Antara laporan tersebut ada juga disertakan pengakuan remaja-remaja Melayu Islam tentang penghargaan mereka terhadap kaedah yang diugunakan.

Masyarakat awam memandang isu ini sebagai isu yang sensitif. Juga dilaporkan pandangan beberapa pihak yang amat berharap isu ini dapat ditangani oleh semua pihak agar ianya dibendung (lagi elok dihapuskan, bendung aje tak memadai).

"diri ini" terfikir sebab dan kenapa perkara ini berleluasa. Kesimpulan yang boleh dibuat antaranya ialah, kelemahan institusi kekeluargaan dan kejiranan adalah punca yang agak ketara ke atas sebab tersebut. Bukan lah "diri ini" membuat tuduhan melulu dan rambang tanpa ada batasan hujah yang disertakan. Sekadar mengajak semua pihak berfikir dan bukan menyalahkan sesiapa. Pepatah melayu yang cukup sinonim "siapa makan cili dia lah rasa pedasnya" (biarlah sekalipun kadang-kadang cili itu tak pedas pun) yang penting pepatah tersebut mempunyai maksud yang tersendiri yang semua pihak mampu memahaminya.

Kita boleh membuat kajian dan melihat daripada pemerhatian yang adil dan saksama bahawa trend perlakuan meminum arak ini tidak lagi menjadi satu tabiat buruk yang dipandang hina oleh masyarakat. Masyarakat tidak lagi berani menegur jiran atau anak-anak jiran yang berkelakuan begitu termasuk apa jua kelakuan yang tidak beradab. Institusi kekeluargaan pula lebih selesa ahli keluarga mereka meragakan segala trend dan perilaku barat yang tidak bermoral. Bagi mereka itu adalah trend dan moral yang sewajarnya dilakukan kerana perlu mengikut peredaran zaman. (Apatah lagi trend masa kini ibubapa amat gembira apabila anak-anak mereka mampu menyanyikan lagu-lagu penyanyi masa kini hingga diwar-warkan seluruh keluarga dan kampung tentang kebolehan anak tersebut. Sampailah kepada satu tahap anak-anak yang boleh menyanyi mengatasi jumlah anak-anak yang mampu mengaji Al-Quran dengan baik). Berbalik kepada topik arak tadi.

Kini, kita disogok pula dengan air-air jus atau buahan yang dibotol dan ditinkan dalam botol dan tin yang se'patern' dengan botol dan tin arak. Bagi "diri ini" ini satu lagi penodaan barat terhadap masyarakat kita. Tidakkah kita malu dan segan untuk membeli air tersebut? atau kita menggunakan hujjah bahawasanya ianya hanyalah air buahan jadi tiada kesalahan di sana. Sepatutnya kita berdukacita dengan keadaan tersebut. "diri ini" yakin suatu ketika nanti arak akan diminum tanpa segan silu dijalanan seakan meminum air berkabonat biasa. Ketika itu masyarkat kononnya akan bersangka baik bahawa yang diminum itu ialah air jus yag ditin atau dibotolkan guna patern yang sama. Jadi masyarakat akan semakin runtuh dan tamadun kemasyarakatan akan terus ranap dan musnah tanpa mampu dibendung lagi. Ketika itu siapakah yang harus kita persalahkan?
Langkah yang wajar adalah kita terus membenci najis tersebut dan didiklah ahli kelaurga kita semua dengan didikan yang telah digariskan oleh Islam. Biarkan apa yang nak dikata oleh masyarakat tentang cara kita mendidik keluarga asal ianya bertepatan denga syara'. (kita lebih bimbang bualan masyarakat daripada kita bimbangkan azab Allah di atas kelalain kita mendidik masyrakat dan keluarga kita ke arah jalan yang lurus dan benar= trend masyarakat kini).
Jauhkan dan didik ahli keluarga kita supaya tidak lagi atau terus tidak membeli produk-produk yang air jus yang ditin dan dibotolkan di dalam botol dan tin yang paternnya sama dengan patern arak moga pengeluar produk tersbut mendapat pengajaran dan dapat merubah patern tersebut. Masalahnya masyarakat kita ialah mengangap perkara tersebut perkara biasa. Bahkan jangan pula cadangan dan saranan ini dianggap sebagai ekstrim. Di hadapan kita ada 2 pilihan. jadi pilihlah yang mana kita mahu. Keredhaan Allah (dan semestinya di sana ada juga keredhaan manusia) atau keredhaan manusia semata?

Assalamualaikum..

Usia bukan hujah...

Assalamualaikum..

Seringkali kita mendengar dan berpendapat bahawa mati kebiasaanya hanya melibatkan golongan-golongan tua. Sekali pun telah banyak kematian golongan muda yang berlaku keliling kita, kita tetap tidak mengambil pengajaran bahkan dengan megahnya kita berasa yakin seolah-olah kita akan diberi peluang untuk terus hidup sehinggalah kita mencapai usia tua.

Firman Allah dalam surah Al-Ghafir:

هُوَ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ يُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ ثُمَّ لِتَكُونُوا شُيُوخًا وَمِنْكُمْ مَنْ يُتَوَفَّى مِنْ قَبْلُ وَلِتَبْلُغُوا أَجَلًا مُسَمًّى وَلَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ -67

67. Dia lah Yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. dan (dalam pada itu) ada di antara kamu Yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian Yang demikian) supaya kamu sampai ke masa Yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan).

Jadi janganlah kita terlalu yakin yang usia kita akan sampai ke peringkat usia tua. Pastikan kita melakukan persiapan dan persediaan supaya kita tidak menyesal apabila berdepan dengan Allah S.W.T. Ketika itu segala rayuan kita tidak lagi boleh menyelamatkan kita daripada menerima pembalasan daripadaNya.

Sunday, January 21, 2007

Semoga Menjadi iktibar..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Malaysia terus digusarkan dengan banjir yang entah bila akan surut. Semoga kita semua terus membulatkan keyakinan kepada Allah. Hanya Allah yang berkuasa ke atas makhluk-makhluknya. Maka "diri ini" mengajak semua pihak agar kita terus berdoa kepada Allah moga apa yang menimpa kita ketika ini mengukuhkan keimanan kita kepadaNya. Moga Allah memberikan kekuatan dan kesabaran kepada semua mangsa yang terlibat dalam 'bencana' ini. Juga kita tidak lupa mengisafi jika di sana ada kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan kepadaNya. Moga apa yang terjadi ini dapat membawa kita kembali dan lebih hampir kepadaNya. Alhamdulillah Allah memberi kita peluang untuk bertaubat dan peluang untuk terus merasai nikmat Islam dan Iman.

Berlalu sudah...

Assalamualaikum..

Berlalu sudah awal Muharam yang dinantikan oleh semua umat Islam. Kini umat Islam perlu menerus dan melipat gandakan usaha ke arah memastikan segala azam dan niat mereka mampu dicapai. Bahkan dalam usaha untuk mencapai azam itu, umat Islam di negara kita berusaha untuk memastikan mereka semua dapat bersama-sama ahli kariah masjid/surau masing-masing bersama-sama berdoa untuk akhir tahun dan awal tahun sebagaimana kebiasaannya. Tidak cukup dgn itu, pada zaman yg serba canggih ini disebar pula melalui email dan semua medium yang mampu menyebarkan doa tersebut dgn segera dan pantas. Semua umat Islam berlumba-lumba untuk membuat kebaikan tersebut (sebarkan doa utk pastikan org lain pun dapat anugerah sama).
Merujuk kepada semua kelebihan dan ganjaran yg digambarkan kepada semua umat islam yang berdoa setiap akhir tahun dan awal tahun, "diri ini" ingin berkongsi dengan semua pembaca berkenaan tajuk ini. Persoalan yang timbul ketika ini adakah bacaan doa tersebut tidak boleh dilakukan? Jika dirujuk kepada mana-mana bahan bacaan dan juga laman yang mengutarakan bacaan doa ini maka kita akan dapati di sana ada dinyatakan bahawa sesiapa yang membaca doa-doa tersebut pada ketika dan masa yang dimaksudkan nescaya akan jauhlah darinya gangguan syaitan dan sebagainya.
Untuk pengetahuan pembaca semua, adalah amat janggal jika sesuatu yang khusus bagi Rasullullah (mengkhabarkan tentang syaitan dan semua yang berkaitan dengannya) tidak disandarkan bersamanya sanad hadith. Merujuk kepada pekrara ini, ilmuan agama semuanya berusaha untuk mempastikan segala amalan kita bertepatan dgn tuntutan agama. Maka setelah sekian banyak usaha maka tidak didapati bahawa di sana ada hadith-hadith yang menunjukkan bahawa Rasullullah menganjurkan doa akhir dan awal tahun sebagiamana yang kita semua tahu.
Perkara yang menarik ketika membicarakan topik ini, apabila dilontarkan pandangan yang sebegini maka cukup mudah dan ringannya lidah orang kita untuk menuduh bahawa golongan yang membangkitkan isu ini adalah golongan 'wahabi'. Entahlah "diri ini" pun tak tahu samada mereka yang berkata sedemikian memahami apa yang dimaksudkan (wahabi) atau hanya mengutarakan pandangan dan tuduhan tersebut daripada pemahaman yang mereka perolehi daripada adat dan budaya orang kita.
Berbalik kepada tajuk perbincangan kita sebentar, sesuatu yang khusus bagi Rasullullah jika dikhabarkan nescaya ianya adalah sandaran kepada Rasullullah. Maka bagaimana golongan yang menuduh pihak yang mengutarakan isu ini sbg wahabi semata-mata ingin mmepertahankan amalan yang tiada puncanya dan sudah tentu umat Islam mengganggap ianya adalah anjuran Islam. Maka apabila ianya dianggap anjuran Islam siapakah yang menganjukannya kalau bukan dianggap dalam jiwa masing-masing bahawa Rasullullah yang menganjurkan? Bukankan di atas tadi "diri ini" telah memberikan pandangan yang kelebihan yang dimaksudkan kepada sesiapa yang berdoa (akhir dan awal tahun) itu menyandarkannya kepada Rasullullah? Kemudian mereka bertanya lagi, salahkah kita jika ingin berdoa? Harap semua yang membaca dapat bertenang dan memahami apa yang dibincangkan. Bukanlah "diri ini" melarang untuk berdoa, doa lah apa yang ingin kita doakan. Mohonlah daripada Allah apa yang amat kita inginkan kerana itu adalah anjuran Allah dan RasulNya supaya kita tidak lalai daripada bergantung harapan kepada Allah yang mencipta kita. Tetapi dalam konteks ini kita telah mengkhususkan seolah-olah jika berdoa pada waktu-waktu tersebut (akhir tahun= selepas asar dan awal tahun= beberapa minit sebelum maghrib) maka dikurniakan kelebihan dan ganjaran yang hanya boleh dikhabarkan oleh Rasullullah melalui wahyu Allah. Itulah persoalan sebenarnya yang kita bincangkan. Persoalan seterusnya bukankah elok lagi jika ingin berdoa kita sentiasa terus berdoa tanpa perlu menunggu hujung tahun dan awalnya? Jawapannya ada pada diri masing-masing. Semoga kita dapat mempelajari dan cuba memahami ilmu Islam itu dengan bukti dan kefahaman yang sebenar. Bukan hanya bergantung kepada amalan-amalan yang telah lama dilakukan oleh orang kita. Jangan jadikan lamanya kita beramal itu sebagai hujah untuk ibadah kepada Allah. Islam tidak memandang hujah yang dangkal sebagai sumber rujukan. pastikan hujah kita disertakan bukti dan dalil yang mampu menyokong tindakan kita. Untuk pengetahuan semua, Tarikh hijri yang diguna pakai ketika ini adalah ditetapkan oleh saidina Umar pada zamannya. Dan sepakat para sahabat untuk menetapkan bahawa 1 Muharam di ambil dari tarikh permulaan hijrah Baginda Rasullullah bersama para sahabat Baginda.
Sekadar berkongsi dan tidak titujukan kepada mana-mana individu khusus melainkan untuk semua masyarakat.

Tuesday, January 16, 2007

Muharam datang lagi...

Allah S.W.T telah berfirman dalam surah At-Taubah dalam ayat yang ke-36:
" Sesungguhnya bulan-bulan di sisi Allah itu ialah 12 bulan, ..."

Dalam masa tidak sampai sebulan, umat Islam akan memasang 2 azam yang entah mampu dilaksanakan atau tidak..atau hanya sekadar azam untuk mengikuti apa yang orang lain lakukan. Awal tahun baru masihi tempohari sibuk semua orang berbincang mengenai azam baru. Kini azam yang bakal muncul pula adalah azam yang lebih islamik sedikit kerana awal tahun yang hadir adalah awal tahun bagi kalendar hijri (yang diguna pakai oleh umat Islam).
Begitulah yang berlaku setiap tahun. Hinggakan jika kita hitungkan dan teliti yang kepada semua azam itu nescaya umat Islam akan mampu bangkit dan mampu melawan arus kekuatan bangsa lain.

Kebanyakan orang ramai sibuk bertanyakan azam orang lain, hinggakan kekadang mereka lupa untuk cuba memikirkan apakah azam mereka itu mampu mereka laksanakan. Apakah mereka telah menyusun strategi untuk menggapai azam tersebut? Apakah mereka telah sedia mengharungi cabaran dan onak yang pasti hadir dalam usaha ke arah mencapai azam tersebut? Sepanjang hidup kita ini, berapa kalikah azam yang ditanam itu tercapai? jika azam yang bersifat sementara mungkin ada di antara kita yang telah mencapainya dengan cemerlang. Tetapi bagaimana pula azam yang berlarutan dan menjamin kebahagiaan di 'sana' nanti?
jadi sama-sama kita semak diri kita, ke arah mana azam yang telah ditanam dan disematakan dalam kalbu masing-masing. "diri ini" mendoakan agar semua azam umat Islam mampu digapai dan seterusnya dapat menyumbang ke arah pembangunan syakhsiah Islam dan mengembalikan maruah Islam yang telah ternoda. Di samping itu jangan jadikan diri kita sebagai ejen penodaan agama yang suci ini. Jika kita tidak mampu mengembalikan kegemilangan Islam (mematuhi segala apa yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarangNya) maka jangan kita berdengki pula dengan mereka yang berusaha menjadi ejen pembaharuan dan peledak kebangkitan Islam.
Kewajipan kita sebagai Umat Islam adalah sentiasa memperbaharui azam harian kita ke arah melaksanakan perintah Allah dengan lebih baik setiap hari. Bukan hanya menunggu tibanya tahun baru untuk melakukannya. wallahua'lam..


Isu Semasa (Mufti Perlis)

Assalamualaikum..

Sepanjang sebulan lebih ini, masyarakat malaysia di'kejutkan' dengan pelbagai isu. Antara isu yang paling 'hit' ketika ini adalah isu yang berkaitan dengan Mufti Perlis. "diri ini" tak ketinggalan dibawa untuk berbicara dan berbincang atas tajuk dan isu yang telah dibangkitkan oleh Sahibus-Samahah Mufti berkenaan. Dengan anggapan semua pihak telah maklum antara isu-isu yang dibangkitkan maka tidak perlu lagi "diri ini" sibuk memanjangkan tulisan untuk mengulas setiap isu tersebut. Cuma apa yang ingin diketengahkan ialah sedikit panduan dan nasihat untuk diri sendiri dan semua pihak agar kita tak terlalu gopoh dan tergesa-gesa dalam menyahut dan menyambut apatah lagi membuat komentar terhadap semua perkara yang dibangkitkan. Kaedah yang cukup mudah, tinggalkan perbincangan tersebut kepada ilmuan agama. Biarkan mereka berhujah dengan ilmu masing-masing berpandukan hujah mengikut panduan Al-Quran dan Sunnah Rasullullah Sallallahualaihiwasallam. Jika kita meletakkan diri kita ditengah-tengah perbincangan tersebut maka kerana itulah timbul hujah yang hanya mengikut hawa dan perasaan semata-mata tanpa berpandukan ilmu yang sewajar dan selayaknya... Jauhi diri kita daripada menyibukkan urusan ilmuan agama. Mereka berhujah mengikut kaedah dan lunas-lunas yang mereka fahami daripada ilmu yang dipelajari. Kita pula hanya berlandaskan sentimen peribadi dan juga logik semata-mata. Ayuh gerakkan diri kita ke arah yang lebih terbuka dan tanamkan sifat berlapang dada dalam setiap isu. Kadang-kadang kita meletakkan diri kita seolah-olah lebih bijak daripada sarjana dan ilmuan agama. Kita menyangka dada kita telah dipenuhi ilmu yang secukupnya padahal hanya menuntut apa yang kita rasa sesuai dengan jiwa kita bukan yang sesuai dengan Al-Quran dan sunnah.

Doakan Kesejahteraan Rakyat Malaysia

Setelah sekian lama mendiamkan diri, kini "diri ini" cuba untuk muncul kembali berkongsi apa jua cerita dengan semua warga diluar sana. Dunia semakin tua. Semua keselesaan kita dengan cuaca dan iklim sebelum ini telah berubah dan kucar-kacir. Ramalan kaji cuaca hanya tinggal ramalan. Tiada lagi keyakinan di pihak yang membuat ramalan untuk membuktikan kesahihan ramalan mereka. Kini cuaca seluruh dunia telah bersalahan dengan adat kebiasaanya. Malaysia juga tidak terkecuali daripada ditimpa musibah yang serupa. Sekeliling kita ditimpa bah yang cukup dahsyat. Kalau dulu kita boleh menjangkakan bila akan datangnya musim hujan dan sebaliknya, negeri mana dan kawasan mana yang akan ditimpa banjir dan sebagainya. Kini negeri-negeri yang tidak dijangkakan pun telah ditimpa banjir yang dahsyat. Tiada lagi individu yang boleh berbangga seolah-olah negeri mereka selamat daripada ditimpa banjir (musibah dan bencana). Kuala Lumpur satu ketika dulu dibanggakan dengan segala kemodenannya. Kini warga kota telah mengalami trauma dan mimpi ngeri dengan pelbagai bencana alam yang tidak dijangka telah berlaku beberapa tahun kebelakangan ini. Suatu ketika dulu pantai timur cukup sinonim dengan bahnya, akhir tahun sahaja tengkujuh pasti melanda. Kini yang dikatakan tengkujuh itu tetap hadir cuma masanya tidak menentu seperti dulu. Petani dan nelayan kini sungguh gusar dengan apa yang menimpa. Masyarakat merungut dengan kenaikan semua harga ikan dan sayur serta barangan runcit yang lain. Jangan kita lupakan golongan tadi (nelayan dan petani) yang melaksanakan tanggungjawab mereka hanya semata-mata kerana ingin memberi nafkah kepada keluarga masing-masing dengan menjadi nelayan dan petani. Mereka bersusah payah bercucuk-tanam serta mengharungi lautan dan ombak untuk tujuan itu. Tetapi bagaimanakan nasib mereka ketika ini? Apakah kehidupan mereka terjamin? Sama-samalah menyelami perasaan mereka ketika ini disamping kita menyelami perasaan keluarga dan masyarakat yang turut terlibat dalam bencana yang melanda Malaysia ketika ini. Pastikan kita sentiasa menghormati dan mengasihi sesama kita tanpa memikirkan darjat dan pangkat yang sementara itu. Sama-sama juga memahami dan cuba membantu golongan-golongan yang memerlukan. Manusia sering dan sentiasa memerlukan satu sama lain. Sekalipun mereka itu kekadang dinisbahkan sebagai golongan bawahan (pengnisbahan yang perlu dibuang terus dari kamus kehidupan kita) mereka tetap masyarakat dan elemen penting dalam pembangunan Ummah dan negara yang dicintai.

Sunday, January 07, 2007

rehat panjang...

Assalamualaikum..
Makluman : InsyaAllah blog ni akan dikemaskini selepas 14 januari..maaf tiada isu baru selama 4 bulan dalam blog ni..