Sunday, October 25, 2009

Penipuan secara Terang dan Jelas

Assalamualaikum...

Ketika membaca ayat 22 surah Al-An'am baru-baru ini, hati terdetik berdoa moga-moga "diri ini " tidak termasuk dalam kategori yang tersebut dalam ayat tersebut.

Gerun dan gentar bila memikirkan apa yang Allah gambarkan. Suasana ketika manusia semua dibangkitkan dihadapan Allah. Ketika di hadapan Allah manusia masih ingin melakukan pembohongan padahal ketika di dunia telah banyak pembohongan yang telah dilakukan.

 وَيَوۡمَ نَحۡشُرُهُمۡ جَمِيعً۬ا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشۡرَكُوٓاْ أَيۡنَ شُرَكَآؤُكُمُ ٱلَّذِينَ كُنتُمۡ تَزۡعُمُونَ (٢٢) ثُمَّ لَمۡ تَكُن فِتۡنَتُہُمۡ إِلَّآ أَن قَالُواْ وَٱللَّهِ رَبِّنَا مَا كُنَّا مُشۡرِكِينَ (٢٣) ٱنظُرۡ كَيۡفَ كَذَبُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ‌ۚ وَضَلَّ عَنۡہُم مَّا كَانُواْ يَفۡتَرُونَ (٢٤

Maksudnya :

"Dan (ingatlah), hari yang di waktu itu kami menghimpun mereka semuanya, kemudian kami berkata kepada orang-orang musyrik: "Di manakah sembahan-sembahan kamu yang dulu kamu katakan (sekutu-sekutu) kami?".(22)

Kemudian tiadalah fitnah mereka, kecuali mengatakan: "Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah".(23)

Lihatlah bagaimana mereka Telah berdusta kepada diri mereka sendiri dan hilanglah daripada mereka sembahan-sembahan yang dahulu mereka ada-adakan"(24)

Lihat bagaimanakah sikap manusia yang telah Allah rakamkan di dalam kitabnya. Ketika di dunia Allah telah hantarkan peringatan (Rasul dan Kitabnya) tetapi manusia masih memilih untuk hidup dengan berpandukan hawa nafsu masing-masing. Akhirnya manusia sedemikian mati dalam keadaan jauh dari hidayah agama Allah S.W.T.

Kelak ketika dibangkitkan dan dihadapkan di hadapan Allah apakah kita mampu tersenyum atau sebaliknya? Atau apakah kita juga akan tergolong dalam golongan mereka yang melakukan penipuan secara jelas dan terang ini?

Moga kehidupan kita adalah kehidupan yang berteraskan panduan dari Al-Quran dan Sunnah agar kita tergolong bersama mereka yang berjaya di sisi Allah yang Maha Berkuasa.

Di Dunia ini kita hanya ada 2 pilihan yang perlu kita buat setiap hari ketika mula melalui hari-hari baru dalam hidup ini. Samada kita memilih untuk hidup dengan panduan Al-Quran dan Sunnah (Islam) atau sebaliknya iaitu memilih jalan-jalan yang bertentangan dengan Islam (kufur). Pilihan inilah perlu direnungi setiap pagi ketika memulakan kehidupan harian agar kita tetap teguh dengan Islam kerana bencikan dan takut akan kekufuran.

p/s: lama dah nak menulis pasal ayat ni, Alhamdulillah Allah bukakan jalan untuk sekali lg berjumpa dengan ayat ni dan diizinkan untuk berkongsi secara umum dengan semua di luar sana meskpiun dalam keadaan kurang kemampuan untuk membincangkan ayat ini secara detil. Moga ianya tetap bermanfaat untuk kita semua.

wassalam...