Friday, April 16, 2010

Muhasabah melalui 'Tariq Ad- Dakwah'

Assalamualaikum...

Semalam "diri ini" berkesempatan mengulang-baca buku yang amat dimaklumi oleh majoriti mereka yang sedia bersama jalan dakwah. Tariq Ad-Dakwah yang ditulis oleh As-Sheikh Mustafa Masyhur. ketika membaca beberapa topik, "diri ini" tertarik ingin berkongsi dengan semua sahabat di luar sana tentang apa yang berlaku ketika ini di jalan dakwah. Perkongsian ini hanya lah berupa 'copy dan 'paste' dari terjemahan buku tersebut tanpa apa-apa ulasan. Terpulang kepada semua untuk memahaminya...

Dalam bab 5 :

5.6 Di Antara Sikap Terburu-buru dan Longgar

   Adakalanya orang yang berjalan di atas jalan ini terlalu optimis. Apabila ia tidak melihat sebarang tanda-tanda kemenangan sedangkan pada hematnya ia telah mengalami berbagai-bagai kepayahan dan ujian disepanjang jalannya, dan ia telah memberi pengorbanan yang semaksimanya.Dia mungkin terdorong oleh semangatnya yang berapi-api dan penuh ghairah untuk menggunakan kekuatan senjata sebagai cara untuk mempercepatkan perjalanan. Lidahnya seolah-olah berkata:

"Walaupun aku yang datang kemudian, aku mestilah mampu membuat sesuatu yang tidak dapat dibuat oleh orang-orang dahulu".

    Dengan demikian, dia dan orang-orang yang bersetuju dengannya membuat sesuatu di luar perencanaan yang rapi, yang di dorong oleh semangat yang berapi-api dan membabi-buta. Akhirnya bukan sahaja tidak sampai kepada matlamat yang dicita-citakan bahkan merosakkan dan membahayakan harakah Islam. Wajib difahami secara mendalam bahawa kekuatan yang pertama ialah kekuatan akidah dan keteguhan iman dan diiringi pula dengan kekuatan persatuan dan perpaduan. Akhir sekali barulah kekuatan tangan dan senjata. Itu pun jika sudah tidak mempunyai jalan dan pilihan lain. Oleh kerana itu marilah kita sama-sama rujuk kembali dan cuba memahami
maksud kata-kata indah dan halus oleh Imam Hassan Al-Banna di dalam tulisannya di dalam "RISALAH MUKTAMAR KELIMA" di bawah tajuk "Al-Ikhwan: Kekuatan Serta Revolusi".

5.7 Di Antara Politik dan Tarbiah
    Di sana ada lagi satu penyelewengan yang boleh menjauhkan kita dari jalan yang sihat iaitu kita memandang ringan terhadap proses tarbiah, pembentukan dan perlunya beriltizam dengan ajaran Islam dalam membentuk dasar dan asas yang teguh. Lantas kita seolah-olah melatah lalu menggunakan cara dan uslub politik menurut sikap dan telatah parti-parti politik. Kita akan mudah terpedaya dengan kuantiti anggota yang kita ambil yang dianggap menguntungkan tanpa mewujudkan iltizam tarbiah. Ini adalah satu jalan dan cara yang sangat merbahaya yang tidak dipercayai akibatnya. Ini mungkin menyediakan anasir yang kukuh yang mampu memikul hasil kemenangan, kekukuhan dan kekuasaan untuk Islam.
    Sebenarnya kita tidak kekurangan kuantiti, tetapi kita kekurangan kualiti. Kita kekurangan bentuk dan contoh Islan yang kuat imannya yang membulatkan dirinya untuk dakwah, rela berkorban pada jalan dakwah dan jihad fi-sabilillah dan yang sentiasa istiqamah hinggalah bertemu Tuhannya. Oleh kerana itu marilah kita beriltizam dengan tarbiah dan janganlah kita redha menukarkannya dengan cara yang lain.

5.8 Di Antara Dakwah dan Manusia

   Kita adalah manusia yang kadangkala benar dan kadangkala salah dan kadangkala kita
berbeza pendapat. Ini merupakan perkara biasa bagi sesiapa yang bekerja dan berusaha di dalam sesuatu bidang. Tetapi, di bawah naungan cinta, kasih sayang dan persaudaraan kerana Allah, dan dorongan ikhlas dan tajarrud (membulatkan diri kerana Allah), segala kesalahan boleh diperbetulkan, perbezaan pendapat boleh diperbaiki, penerangan boleh dibentangkan, dipertimbangkan dan dirumuskan serta diselaraskan. Hal ini melahirkan tolong-menolong dan bahu-membahu di antara kita semua. 
   Perbezaan pendapat di dalam sesuatu perkara tidak merbahaya selagi ditauti oleh rasa cinta dan kasih sayang. Tetapi jika ditonjolkan oleh orang-orang yang tertentu yang mempunyai kepentingan lalu dikobarkan di dalam suasana marah kerana membela diri ditambah lagi rasa bangga di dalam melakukan dosa dan mengampu orang-orang yang tertentu yang boleh merugikan dakwah.
   Maka di sinilah syaitan masuk campur dan akan melahirkan perpecahan. Akhirnya segala usaha menjadi hancur berantakan, waktu dihabiskan dalam perbalahan kemudian berusaha pula membuat perdamaian. Jika perkara seperti ini terus terjadi dan berulang maka dakwah dan kepentingannya akan terkorban di dalam suasana yang sedemikian. Pada hal sewajarnyalah segala usaha yang membina perlu ditumpukan kepada generasi yang sedang tumbuh dan mekar dalam mendidik dan mempersiapkan mereka dengan sebaik-baiknya.
    Inilah sebahagian dari penyelewengan dan ketergelinciran di sepanjang jalan dakwah. Marilah kita sedari dan pelihara diri kita daripadanya. Kita sentiasalah tanpa henti meminta pertolongan kepada Allah Taala supaya dia membawa kita, memimpin kita melalui jalan yang benar dan menunjuki kita jalan lurus kerana sesungguhnya Dia Maha Kuasa membuat apa yang dikehendakinya. 


----------------------------
Ingat! dalam kita mencari kemenangan untuk Islam, Tarbiyah tetap wajib diterap ke dalam jiwa semua pendokong dakwah.

Thursday, April 08, 2010

Mimpi bertemu Rasulullah S.A.W