Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Monday, January 10, 2011

Adat Vs Hukum Agama

Assalamualaikum...

Sekadar berkongsi apa yang di'lihat' hari ini.

Peristiwa berlaku di sebuah kedai makan ketika ingin membuat bayaran di kaunter.

Seorang wanita yang tidak memakai tudung sedang membuat bayaran di kaunter. "diri ini" tunggulah giliran untuk membuat bayaran. Rancak perbualan wanita tersebut dengan penjaga kaunter.

Selepas beliau selesai membuat bayaran dan ingin pergi ke bahagian "air" (bungkus air kot), beliau terpaksa melalui ruang yang ada di antara "diri ini" dan kawan sekerja. Alangkah beradabnya beliau siap menundukkan badan sebagai tanda memohon laluan...

terkedu!... sungguh tinggi nilai adabnya.. tapi alangkah terkejutnya "diri ini" rupanya beliau hanya memakai seluar 'katok' (seluar pendek paras lutut - atas lutut)...

Jadi bertukar la tajuk perbualan "diri ini" dengan kawan tadi menjadi Adab vs Hukum... sungguh kita amat mengutamakan adab 'ketimuran' tapi dengan Agama kita tidak kisah samada kita beradab atau tidak...

Moga kita sentiasa tergolong dalam golongan mereka yang beradab dalam agama...

Monday, August 23, 2010

Beza puasa 2 Golongan

Assalamualaikum...

Berbuka di mana hari ini?

berbuka apa hari ni?

2 soalan di atas jika di ajukan kepada golongan berharta dengan mereka yang miskin dan susah pasti kita akan melihat 2 perbezaan situasi.

Jika ditanya kepada yang kaya 2 soalan di atas maka :
ianya pasti merujuk kepada kekusutan memilih makanan atau tempat kerana kemampuan mereka yang tidak terbatas dalam mendaaptkan sesuatu.

Tetapi jika ditanya kepada yang miskin dan yang sewaktu dengannya.. maka ianya pasti merujuk kepada kegusaran mereka yang tidak tahu apakah akan ada rezeki mereka untuk berbuka dan di masjid manakah yang boleh mereka sertai berbuka secara percuma itu pun bagi mereka yang tidak mempunyai jumlah keluarga yang besar.

itu lah 2 situasi yang boleh menginsafkan kita jika kita bijak menilai di mana kita...

Monday, June 21, 2010

Mansuhkan UPSR dan PMR?


Assalamualaikum...

Semoga kita semua sihat wal-afiat dan dilimpahi Rahmat serta keberkatan dari Allah S.W.T.

Semua saluran televisyen semalam melaporkan melalui berita masing-masing bahawa Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri 'menyahut' cadangan beberapa orang ahli akademik beberapa bulan/tahun yang lalu untuk memansuhkan UPSR dan PMR.

Menteri Pelajaran memaklumkan bahawa beliau membuka kepada sebarang perbincangan dan pandangan terutama dari ahli akademik berkaitan cadangan tersebut. 

Pagi ini, kebanyakan slot bicara dan diskusi media massa membincang dan membicarakan tentang isu tersebut. Ada yang setuju dan ada juga yang kurang bersetuju.

"diri ini" bersetuju agar PMR dimansuhkan kerana tiada nilaian apa-apa kepada peperiksaan tersebut berbanding SRP suatu ketika dahulu yang turut menjadi syarat kelayakan untuk bekerja. Bahkan yang menariknya adalah mereka yang gagal mencapai peratusan yang 'standard' tidak boleh menaiki kelas (tingkatan 4) dan terpaksa mengulangi kelas ting 3.

Bagi UPSR, jika di sana ada kaedah lain yang lebih sempurna untuk menentukan kelayakan seseorang bagi memasuki sekolah berasrama penuh atau mana-mana sekolah elit maka ianya amat-amat dialukan. tetapi jika di sana tiada sebarang cadangan berkaitan isu tersebut maka seeloknya ianya dikekalkan dan diberi nafas baru serta pembaikan bagi mengelakkan ibubapa terus turut menilai anak-anak mereka berdasarkan kepada keputusan peperiksaan.

Situasi ketika ini, ramai ibubapa yang lebih mementingkan peperiksaan  untuk anak-anak mereka hinggakan anak-anak tidak ditekankan tentang pendidikan agama secara menyeluruh. Mereka bertungkus lumus mencari nafkah untuk memastikan anak-anak diberikan tuisyen (kelas tambahan) bagi mencapai target mereka supaya anak-anak 'berjaya' dalam peperiksaan mereka. Bahkan tidak keterlaluan rasanya jika dikatakan ibubapa yang lebih berusaha untuk memastikan anak-anak mereka 'skor' semua mata pelajaran semata-mata untuk mendapat sanjungan dan pujian dari masyarakat.

Masa anak-anak hanya dihabiskan untuk memberi tumpuan kepada subjek-subjek yang terlibat dengan peperiksaan. Hak-anak-anak untuk mendapat 'pendidikan' secara tidak formal (melalui pergaulan dan pengalaman sendiri) amat berkurangan.  Kehidupan anak-anak masa kini lebih disusun atur dan ditetapkan oleh ibubapa. Maka kita dapat lihat generasi kini, ramai pemuda-pemudi (remaja) yang gagal membuat keputusan yang terbaik dalam kehidupan mereka hinggakan mereka memilih jalan yang salah. Masyarakat juga memandang keputusan peperiksaan adalah segalanya dalam meneruskan kehidupan. Akhirnya mereka yang 'gagal' dalam peperiksaan tiada lagi minat untuk meneruskan pelajaran mereka kerana telah dilabel sebagai mereka yang 'tidak akan berjaya'.

Ibubapa lebih memerhatikan dan mementingkan keputusan peperiksaan berbanding melihat kepada akhlak anak-anak. Akhirnya kita dapat melihat kerosakan di dalam masyarakat kini. Dalam ruang berita tv9 semalam, turut dilaporkan satu berita dan kes yang pada hemat "diri ini" adalah kesan daripada keutamaan kita kepada peperiksaan.

TV9 membuat laporan tentang ramai anak-anak gadis yang juga penuntut di salah sebuah IPT tempatan yang ber'ciri'kan islam berubah wajah. Siangnya di kampus mereka memakai tundung dan berpakaian kemas. Malamnya pula mereka berubah watak menjadi tetamu-tetamu kelab malam. Satu temuramah dilakukan kepada seorang pelajar perempuan yang turut terlibat menjadi penghuni kelab malam di sekitar bukit bintang ("diri ini" yakin bukan di situ sahaja) pelajar tersebut memaklumkan bahawa ramai di kalangan kawan-kawan sekelas dengannya turut kelihatan di waktu malam di tempat-tempat sebegitu walaupun pada waktu siangnya seolah-olah berpewatakan menolak untuk pergi ke tempat-tempat begitu.

Melihat kepada situasi tersebut, maka boleh disimpulkan bahawa keruntuhan moral di kalangan remaja bukan lagi suatu isu yang hanya boleh dibangkitkan mengikut musim sebagiamana yang berlaku ketika ini. Semua pihak perlu berusaha keras untuk memastikan masing-masing memainkan peranan sewajarnya. Jangan jadi sebagiamana yang dimaksudkan oleh Ust Daud Che Ngah suatu ketika di dalam perbualan telefon TV9 (berita) bahawa kita berusaha membanteras segala kegiatan tidak bermoral, tetapi ada pihak lain yang kononnya runsing dan pening dengan situasi tersebut tetapi merekalah yang menganjurkan segala macam konsert dan hiburan yang melalaikan dan merosakkan remaja-remaja.

Jadi sekali lagi "diri ini"  tegaskan bahawa "diri ini" amat bersetuju supaya UPSR dan PMR dimansuhkan atau diberi nafas baru agar masyarakat tidak lagi tertipu dengan peperiksaan dan mengabaikan pendidikan agama. Ruang yang ada atas kelonggaran yang wujud selepas itu perlulah diisi dengan menyediakan pendidikan agama yang lebih menyeluruh dan 'formal' sehinggalah kepada peringkat menengah dan mungkin hingga peringkat IPT.

Friday, April 16, 2010

Muhasabah melalui 'Tariq Ad- Dakwah'

Assalamualaikum...

Semalam "diri ini" berkesempatan mengulang-baca buku yang amat dimaklumi oleh majoriti mereka yang sedia bersama jalan dakwah. Tariq Ad-Dakwah yang ditulis oleh As-Sheikh Mustafa Masyhur. ketika membaca beberapa topik, "diri ini" tertarik ingin berkongsi dengan semua sahabat di luar sana tentang apa yang berlaku ketika ini di jalan dakwah. Perkongsian ini hanya lah berupa 'copy dan 'paste' dari terjemahan buku tersebut tanpa apa-apa ulasan. Terpulang kepada semua untuk memahaminya...

Dalam bab 5 :

5.6 Di Antara Sikap Terburu-buru dan Longgar

   Adakalanya orang yang berjalan di atas jalan ini terlalu optimis. Apabila ia tidak melihat sebarang tanda-tanda kemenangan sedangkan pada hematnya ia telah mengalami berbagai-bagai kepayahan dan ujian disepanjang jalannya, dan ia telah memberi pengorbanan yang semaksimanya.Dia mungkin terdorong oleh semangatnya yang berapi-api dan penuh ghairah untuk menggunakan kekuatan senjata sebagai cara untuk mempercepatkan perjalanan. Lidahnya seolah-olah berkata:

"Walaupun aku yang datang kemudian, aku mestilah mampu membuat sesuatu yang tidak dapat dibuat oleh orang-orang dahulu".

    Dengan demikian, dia dan orang-orang yang bersetuju dengannya membuat sesuatu di luar perencanaan yang rapi, yang di dorong oleh semangat yang berapi-api dan membabi-buta. Akhirnya bukan sahaja tidak sampai kepada matlamat yang dicita-citakan bahkan merosakkan dan membahayakan harakah Islam. Wajib difahami secara mendalam bahawa kekuatan yang pertama ialah kekuatan akidah dan keteguhan iman dan diiringi pula dengan kekuatan persatuan dan perpaduan. Akhir sekali barulah kekuatan tangan dan senjata. Itu pun jika sudah tidak mempunyai jalan dan pilihan lain. Oleh kerana itu marilah kita sama-sama rujuk kembali dan cuba memahami
maksud kata-kata indah dan halus oleh Imam Hassan Al-Banna di dalam tulisannya di dalam "RISALAH MUKTAMAR KELIMA" di bawah tajuk "Al-Ikhwan: Kekuatan Serta Revolusi".

5.7 Di Antara Politik dan Tarbiah
    Di sana ada lagi satu penyelewengan yang boleh menjauhkan kita dari jalan yang sihat iaitu kita memandang ringan terhadap proses tarbiah, pembentukan dan perlunya beriltizam dengan ajaran Islam dalam membentuk dasar dan asas yang teguh. Lantas kita seolah-olah melatah lalu menggunakan cara dan uslub politik menurut sikap dan telatah parti-parti politik. Kita akan mudah terpedaya dengan kuantiti anggota yang kita ambil yang dianggap menguntungkan tanpa mewujudkan iltizam tarbiah. Ini adalah satu jalan dan cara yang sangat merbahaya yang tidak dipercayai akibatnya. Ini mungkin menyediakan anasir yang kukuh yang mampu memikul hasil kemenangan, kekukuhan dan kekuasaan untuk Islam.
    Sebenarnya kita tidak kekurangan kuantiti, tetapi kita kekurangan kualiti. Kita kekurangan bentuk dan contoh Islan yang kuat imannya yang membulatkan dirinya untuk dakwah, rela berkorban pada jalan dakwah dan jihad fi-sabilillah dan yang sentiasa istiqamah hinggalah bertemu Tuhannya. Oleh kerana itu marilah kita beriltizam dengan tarbiah dan janganlah kita redha menukarkannya dengan cara yang lain.

5.8 Di Antara Dakwah dan Manusia

   Kita adalah manusia yang kadangkala benar dan kadangkala salah dan kadangkala kita
berbeza pendapat. Ini merupakan perkara biasa bagi sesiapa yang bekerja dan berusaha di dalam sesuatu bidang. Tetapi, di bawah naungan cinta, kasih sayang dan persaudaraan kerana Allah, dan dorongan ikhlas dan tajarrud (membulatkan diri kerana Allah), segala kesalahan boleh diperbetulkan, perbezaan pendapat boleh diperbaiki, penerangan boleh dibentangkan, dipertimbangkan dan dirumuskan serta diselaraskan. Hal ini melahirkan tolong-menolong dan bahu-membahu di antara kita semua. 
   Perbezaan pendapat di dalam sesuatu perkara tidak merbahaya selagi ditauti oleh rasa cinta dan kasih sayang. Tetapi jika ditonjolkan oleh orang-orang yang tertentu yang mempunyai kepentingan lalu dikobarkan di dalam suasana marah kerana membela diri ditambah lagi rasa bangga di dalam melakukan dosa dan mengampu orang-orang yang tertentu yang boleh merugikan dakwah.
   Maka di sinilah syaitan masuk campur dan akan melahirkan perpecahan. Akhirnya segala usaha menjadi hancur berantakan, waktu dihabiskan dalam perbalahan kemudian berusaha pula membuat perdamaian. Jika perkara seperti ini terus terjadi dan berulang maka dakwah dan kepentingannya akan terkorban di dalam suasana yang sedemikian. Pada hal sewajarnyalah segala usaha yang membina perlu ditumpukan kepada generasi yang sedang tumbuh dan mekar dalam mendidik dan mempersiapkan mereka dengan sebaik-baiknya.
    Inilah sebahagian dari penyelewengan dan ketergelinciran di sepanjang jalan dakwah. Marilah kita sedari dan pelihara diri kita daripadanya. Kita sentiasalah tanpa henti meminta pertolongan kepada Allah Taala supaya dia membawa kita, memimpin kita melalui jalan yang benar dan menunjuki kita jalan lurus kerana sesungguhnya Dia Maha Kuasa membuat apa yang dikehendakinya. 


----------------------------
Ingat! dalam kita mencari kemenangan untuk Islam, Tarbiyah tetap wajib diterap ke dalam jiwa semua pendokong dakwah.

Monday, March 22, 2010

Senyum, Salam dan Bertanya Khabar

Assalamualaikum...

Tajuk di atas dipilih untuk berkongsi rasa dengan semua sahabat-sahabat di luar sana. 3 rangkaian perkataan tersebut yang juga merpuakan rangkaian perbuatan yang amat dipuji dan dituntut kepada semua umat Islam untuk mempraktikkannya.

Jika dilihat kepada situasi dan keadaan semasa, salah atu punca utama renggangnya hubungan di kalangan masyarakat dan juga kurangnya pergaulan antara masyarakat kerana tidak mengimplementasikan budaya dan galakan yang dianjurkan oleh Islam.

Kita amat susah untuk senyum dan memberi salam terutama kepada mereka yang tidak kita kenali. Bahkan ada di antara kita juga susah dan payah untuk memberikan senyuman dan salam kepada orang-orang yang dikenalinya (dalam hal ini sesama jantina dah le..nanti lain pula jadinya, ada yang tak boleh tidur malam..:))

Ramai di antara kita pasti biasa terbaca atau terdengar tentang galakan Rasullullah S.A.W untuk kita sentiasa memebri salam samada kepada yang dikenali ataupun yang tidak dikenali. Ini lah antara Sunnah Nabi Muhammad S.A.W yang hampir-hampir pupus dek kerana manusia mula leka dengan 'kesibukan' masing-masing dan tidak lagi memikirkan masa depa ISLAM.

Contoh yang paling mudah adalah, jika kita berada dalam lif, dan dalam lif tu juga ada seorang -dua manusia yang lain (samada muslim atau tidak) berapa ramai di antara kita yang ringan mulutnya untuk bertegur sapa? atau masing-masing buat-buat sibuk dengan melihat-lihat dan membelek-belek telefon bimibt masing-masing? kononnya  terlalu sibuk membaca sms yang bertalu-talu masuk ke telefon bimbit sendiri. kita dengan dunia kita sendiri dan orang lain yang berada dalam lif itu juga dengan dunia mereka sendiri. 

Masing-masing segan dan malu untuk melihatkan keindahan ISLAM. Alangkah indahnya, jika di dalam lif itu adalah mereka yang bukan ISLAM dan kita mampu bertegur sapa dengan mereka dan terus membina hubungan sesama manusia moga-moga sampai satu saat kita ada kekuatan untuk menjelaskan ISLAM kepada mereka.

Indahnya ISLAM. Indahnya SENYUMAN. Indahnya SALAM. Yang tak Indahnya adalah Umat ISLAM. Semoga kita ada kekuatan untuk mengubah diri kita agar sentiasa melaksanakan sunnah-sunnah yang hampir tidak lagi diambil berat oleh Umat Islam yang lainnya...

Friday, August 28, 2009

Masjid...

Assalamualikum...

Masjid,

Islam memandang tinggi kepada peranan masjid dalam membina umat. Ulama-ulama dahulu kala sampai mensyaratkan jarak dengan masjid sedia ada untuk membolehkan Masjid baru didirikan. Tapi ketika ini banyak masjid yang didirikan bukan lagi kerana taqwanya tapi kerana nak 'glamour' dan nak gah.

Antaranya adalah masjid baru di putrajaya. Masjid Besi atau Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Bila baca kenyataan dari Pengerusi Perbadanan Putrajaya rasa ok la jawapan tentang pembinaan masjid tu walaupun entah bila lah Putrajaya nak capai kesesakan sampai kena bina masjid besar-besar gitu.

"

Samsudin berkata, pembinaan masjid yang menelan belanja RM208 juta itu siap seperti yang dijadualkan dan boleh memuatkan seramai 20,000 orang jemaah.

"Kami selalu ditanya kenapa perlu dibuat satu lagi masjid baru sedangkan Masjid Putra di Presint 1 sudah cukup besar.

"Ini kerana kami menjangkakan populasi di Core Island akan meningkat kepada 28,000 orang, oleh sebab itulah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dibina iaitu untuk menampung jumlah penduduk yang meningkat," katanya. "


Tapi bila baca kenyataan Pengerusi JAKIM lak rasa sedih la pulak...

ha baca je la kat sini

"

Menurut Wan Mohd, tahun lepas sahaja seramai 565,408 pelancong telah datang melawat Masjid Putra.

Pemandangan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada waktu malam.

"Masjid ini memang menabjubkan dan mempunyai banyak kelebihan.

"Selain boleh menampung jumlah jemaah yang ramai, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin juga boleh menjadi daya tarikan pelancong.


Emmh..




Tuesday, April 01, 2008

Berdustakah kita?

Assalamualikum...

Persoalan yang ingin di bawa kepada perbncangan kali ini seringkali diajukan kepada "diri ini" bahkan diyakini ianya kerap kali ditanya juga kepada kebanyakan individu lain. Persoalan tentang bolehkah seorang lelaki berambut panjang dan bolehkan seorang perempuan berambut pendek?

Soalan tersebut boleh dipisahkan menjadi 2 persoalan. Dan untuk memudahkan "diri ini" menulis maka ianya akan dipecahkan di mana soalan berkaitan lelaki adalah persoalan yg pertama dan soalan yg bekaitan perempuan dijadikan persoalan yang kedua.

1) Lelaki berambut panjang:

Keadaan ini telah menjadi satu senario yang biasa kita lihat di mana-mana. Apabila ditanya kepada individu-individu terbabit (yang berambut panjang), pelbagai alasan yang dikemukakan semata-mata untuk menguatkan hujjah perihal kepanjangan rambut mereka.

Antara hujah yang sering mereka kemukakan yang ingin diutamakan dalam sanggahan dalam tulisan ini ialah: i) kubur masing-masing, Jadi aku tak kacau korang buat apa la korang nak sibuk jaga tepi kain orang lain..dan sewaktu denganya. ii) Sunnah Rasulullah S.A.W.

Ayuh! kita tumpukan kepada 2 hujah dangkal di atas.
i) Berkenaan perkara ini telah "diri ini" nyatakan secara umum kepada dan oleh pihak mana sewajarnya frasa tersebut diungkapkan. Dalam tulisan sebelum ini disertakan beberapa terjemahan ayat Al-Quran tentang perkara yang berkaitan. Kesimpulannya kerana kubur masing-masing lah saudara seislam kita yang lain mengambil berat tentang kita. Pertamanya kerana mereka melaksanakan kewajipan yang Allah tetapkan ke atas semua Umat Islam iaitu mesti menyampaikan nasihat/dakwah dalam apajua keadaan dan bentuk. Mereka meyakini janji Allah bahawa kemanisan di alam Kubur dan Akhirat adalah suatu yang pasti dan nasihat/dakwah adalah salah satu daripada tiket-tiket kemewahan dan kebahagiaan yang akan dikecapi di Kubur dan Akhirat kelak. Keduanya kerana kubur masing-masing juga lah kawan-kawan yang menasihatkan kita tadi mengingatkan kita tentang perihal akhak dan juga tingkah laku kita yang agak merimaskan (dengan panduan dan kacamata syariah) dan boleh menyebabkan Islam itu dipandang hina oleh orang lain. Masakan tidak, kerana kubur masing-masing lah kawan-kawan kita tadi kasihankan kita, sebab jika kematian adalah serentak dan kubur juga adalah sekali dan sama serta Allah membenarkan individu-individu yang 'terselamat' dari azab kubur menaungi (ala-ala memberi syafaat) orang lain maka tidaklah kawan-kawan kita tadi risau dan bimbang tentang kita. Kerana mereka yakini Allah tidak akan berdusta. Tetapi masalahnya di sini ialah kematian setiap orang adalah berbeza dari segi masa tempat dan keadaan kematian itu sendiri dan naungan tadi adalah suatu yang mustahil dalam keadaan begitu. Maka sesuailah kawan-kawan tadi memainkan peranan mengingatkan kita terhadap perkara yang kita lakukan. Ketiganya, Kawan-kawan atau pihak yang menegur/menasihati kita tadi amat yakin tentang peristiwa yang Allah dan Rasulnya gambarkan tentang Hari Pembalasan. Ketika itu semua manusia akan dihitung amalannya dan dipersoal tentang apa yang telah dilakukan ketika hayatnya di dunia. Maka akan ada keadaan dimana saling tuding menuding ke arah orang lain semata-mata takut dicampakkan ke dalam Neraka yang azabnya terlalu dahsyat. Jadi daripada kawan-kawan kita dipersalah di hari pembalasan nanti sebaiknya lah mereka memainkan peranan yang sewajibnya di dunia ini agar tudingan itu nanti akan ditolak mentah oleh Allah kerana mereka telah menjalankan kewajipan mereka dengan mengingatkan kita atas setiap perilaku kita yang agak merimaskan tadi. Jadi kerana kubur masing-masing lah mereka bertindak sedemikian. Kita pula perlulah terima teguran dan nasihat itu untuk bekalan kita dikubur dan ketika dalam ketakutan di medan perhitungan nanti.

ii) Ianya Sunnah Rasullullah S.A.W.
Jika kita menghujjahkan sedemikian maka hak kawan-kawan kita adalah mereka diberitahu tentang sumber yang kita rujuk kerana menyandarkan kepanjangan rambut (dan apa jua tindakan kita) kepada Sunnah Rasullullah S.A.W. Setiap Sunnah Rasullullah semestinya terlakar di dalam sumber-sumber hadith yang sampai kepada kita. Apakah benar kita mengetahui tentang perkara tersebut atau kita hanya menyandarkan dan memindahkan apa-apa yang pernah kita dengari atau disampaikan oleh orang lain melaui kaedah pindah lisan. Kemudian sewenang-wenangnya kita terus dengan yakinnya mengisytiharkan bahawa ianya adalah Sunnah Baginda S.A.W. Tidakkah kita takut tentag ancaman Rasullullah S.A.W. terhadap mereka-mereka yang mendustakan Baginda (Muhammad S.A.W.)? Hadis tentang perkara ini telah dikethaui umum bahkan ianya sebahagian dari hadith yang masyhur dan dimasyhurkan oleh semua lapisan pendakwah masakini.

حدثنا أبو بكر قال حدثنا ابن نمير عن الأوزاعي عن حسان بن عطية عن أبي كبشة عن عبد الله بن عمرو قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

Maksudnya: "Barangsiapa yang mendustakan Aku (Muhammad S.A.W), sesungguhnya dia telah menyediakan tempatnya di dalam neraka (atas pendustaan yang telah dilakukan)". -Riwayat, Ahmad, 2/413)

Kesilapan dan kurang fahamnya kita apabila hanya mengaitkan hadis tadi dengan golongan-golongan yang memalsukan hadith dan seumpamanya. Sewajarnya kita meneliti dan memahami bahawa apajua pendustaan yang kita sandarkan kembali samada kepada Rasullulah S.A.W, Allah dan juga Islam sesungguhnya ia juga termasuk dalam kategori tersebut kerana secara tidak lansung kerana tindakan sedemikian akan memburukkan nama baginda S.A.W.

Dalam hal sifat rambut Rasulullah S.A.W (kepada mana-mana individu yang menghafal atau memiliki sumber hadis berkaitan sifat rambut Baginda S.A.W amatlah diharapkan agar dapat memaklumkan maklumat berkaitan kepada "diri ini" ) kita seringkali menyandarkan panjangnya rambut nabi dengan kepanjangan rambut kita. Apakah kita mengetahui secara jelas sifat-sifat kepanjangan rambut nabi? (panjangnya setakat mana? keadaan rambut Baginda ketika panjang? ketika dan selama mana baginda berkedaan begitu?) Jika kita jelas keadaan tersebut dan kita yakini itulah sifat rambut baginda maka silakan kekal untuk menyimpan rambut anda dalam keadaan yang panjang (sehingga boleh dinisbahkan kepada Sunnah).

Seterusnya, Keperibadian Rasullullah S.A.W. adalah amat sempurna. Kesempurnaan tersebut bukan hanya datang secara berasingan tetapi ianya secara pakej dan menyeluruh. Hinggakan musuh-musuh Islam tiada hujjah untuk memburukkan Rasullullah S.A.W. Maka sewajarnya apabila kita sering menyandarkan kepanjangan rambut tadi dengan Sunnah maka amalan dan tindakan kita yang lain juga perlulah mengikut Sunnah. Dan yang utamanya ialah kita mendahulukan Sunnah yang besar kemudian diikuti dengan Sunnah Baginda yang lain. Akan tetapi ketika ini, jika kita lihat kepada manusia-manusia yang berambut panjang (Muslim), apakah lebih banyak kita nampak sifat terpuji (acuan Syariah) atau sebaliknya? Apakah tingkah laku mereka mendatangkan kelebihan kepada Islam atau sebaliknya?

Bagi sesiapa yang rupanya mirip kepada keayuan seorang wanita, Haram baginya untuk menyimpan rambut dalam keadaan panjang kerana ianya sah menyerupai wanita. Dan celaan serta larangan tersebut jelas dalam Islam. (tambahan pula kalau dah perangai dan tingkah laku lembut semacam dah macam perempuan (tak salah perempuan untuk bersifat lembut bahkan itulah peribadi mereka), termasuk guna peralatan yang digunakan untuk 'menghias' diri dan sebagainya). Keadaan ini banyak berlaku disekeliling kita. Moga Allah membuka pintu hati kita semua gaar berubah ke arah yang lebih baik mengikut apa yang dituntutNYA.

Sekali lagi diingatkan, supaya kita tidak hanya menyadarkan sesuatu kepada Sunnah semata-mata kerana kita melakukan perkara tersebut padahal kita berbuat demikian bukanlah kerana Sunnah Rasullullah S.A.W. tetapi lebih kerana sunnah manusia-manusia lain sebelum daripada kita.

Sementelah kebanyakan daripada kita juga apabila berpewatakan demikian lebih menonjolkan sifat yang tercela iaitu riak dan angkuh kerana kononnya dengan berambut panjang seorang lelaki itu akan dilihat 'macho', gagah dan sebagainya. Bahkan kadang-kadang ramai di antara kita yang gagal untuk menyahut seruan yang lebih besar iaitu sentiasa kemas dan bersih. Sehingga menjadi fitnah dan buah mulut sesama kita. Akhirnya Sunnah Rasullullah tidak lagi dianggap mulia. Siapakah yang bersalah dalam keadaan ini? mereka yang menegur kitakah atau kita sendiri yang berambut panjang tetapi tingkah laku tak pula mengikut Sunnah dalam keadaan kepanjangan rambut tadi di sandarkan kepada Sunnah kononnya.

Semoga kita bukanlah beban bagi Islam dan juga bukan penyebab fitnah berlaku terhadap Islam (bila dah musuh-musuh Islam cerca Islam baru pakat sibuk bantah sana bantah sini, padahal semua itu kerana tingkahlaku kita sendiri yang gagal mengimplementasikan contoh yang terbaik dan mengamalkan semua tuntutan Islam).

2.Perempuan berambut pendek:

Runsing juga bila ditanya soalan begini.
i) Jika seseorang permpuan itu menutup aurat dengan sempurna (sebagaimana yang telah Islam gariskan) maka persoalan ini amatlah tidak releven dengan mereka. Kerana mereka kekal dengan ciri keperempuanan bahkan sebagai seorang muslimat yang iltizam dengan tuntutan Islam. Persolan rambut mereka pendek semacam lelaki adalah persoalan yang musathil. Kerana apabila seseorang muslimat/perempuan beriltizam dengan Islam maka semestinya ada pihak lain juga yang berkuasa ke atas mereka yang sama beriltizam dengan tuntutan Islam. Pihak yang berkuasa tersebut ialah Ibubapa atau sanak saudara atau suami atau anak-anak dan sebagainya.

ii) bagi perempuan yang tidak menutup aurat dengan sempurna pula, persoalan ini amat perlu dipandang serius. Pertamanya "diri ini" ingin mengingatkan supaya jadilah muslimah yang sempurna dari segi iltizamnya dengan Islam. Jika anda bertudung dan menepati ciri-ciri menutup aurat yang sempurna sebagaimana yang islam ajarkan nescaya anda tidak akan sesekali berpewatakan mirip lelaki samada rambut, pakaian dan tingkah laku dan sebagaianya.

iii) Jika inginkan "diri ini" membincangkan tentang hukum, maka hukum bagi seorang perempuan yang meyerupai lelaki juga adalah sama dengan hukum seorang lelaki menyerupa wanita dalam pelbagai sudut fizikal. Mengapa Islam menggariskan panduan menutup aurat yang sedemikian kepada muslimah? pengajaran yang "diri ini" boleh katakan ialah kerana Islam menggariskan batasan dan had yang cukup sempurna bagi sifat-sifat seorang lelaki dan seorang perempuan. Jika seorang perempuan itu menutup aurat dengan sempurna dan berusaha mengikuti apajua tuntutan syariat ke atas mereka nescaya persoalan di atas tidak akan terbit lagi.

bukan kerana diskriminasi "diri ini" membincangkan begitu tetapi ianya adalah realiti. Jika muslimat/wanita semua menepati kehendak syariat maka semestinya perbahasan kepada lelaki yang menyerupai wanita juga boleh dikaitkan dengan meniru gaya atau perlakuan mereka yang bukan Islam dan celaan Islam terhadap perkra yang haram amat jelas...

Semoga tulisan ini membantu kita terus mengorak langkah maju bersama Islam...

"Jangan Jadikan diri kita punca fitnah berlaku ke atas Allah, Para Rasulnya dan Juga Islam".






Friday, March 28, 2008

-Kubur masing-masing-

Assalamualikum...

'Kebangkitan' Islam pada era ini amat dirasai oleh semua musuh-musuh Islam. Mereka berusaha untuk memastikan Umat Islam akan kembali lemah sebagaimana ketika selepas kejatuhan khilafah pada tahun 1924M. Pada wal Mac lalu sekali lagi kita diingatkan tentang tarikh kejatuhan khilafah. Bukan kerana kita meraikannya tetapi sebagai mengenang nasib Umat Islam yang entah bila akan bangkit kembali mengikut landasan dan acuan Syariat.

Apabila berbicara tentang kejatuhan moral Umat Islam ketika ini, dan semestinya ia sejak zaman berzaman (zaman kelemahan Umat Islam) maka kita akan berusaha untuk membincangkan langkah-langkah yang perlu di ambil oleh semua pihak agar memastikan Islam kembali ke tempat yang selayak baginya. Maka peranan Umat Islam yang sanggup mengorbankan diri mereka ke jalan yang dituntut Allah dan Islam (dakwah) amat dialu-alukan.

Pendakwah- apabila membicarakan pula tentang pendakwah maka ramai dikalangan Umat Islam (khasnya dibumi Asia tenggara ini) secara lansung akan membayangkan golongan tertentu iaitu para ustaz/ah (syeikh/ah). Padahal maksud pendakwah itu amat luas. Abaikan bidang pengkhususan, selagi mana sesorang umat Islam itu mengorbankan kehidupannya kepada jalan yang dituntut tersebut (Dakwah) maka mereka layak bergelar pendakwah. Ustaz/ah apabila menceburkan diri ke medan dakwah bukanlah satu kepelikan dan satu perkara yang ajaib, tetapi ianya adalah kewajipan yang lebih besar daripada kewajipan berdakwah seseorang atau mereka yang bukan dalam bidang pengkhususan yang boleh digelar sebagai ustaz/ah pada masa kini (zaman kita lah kerana dibeza2kan bidang pengkhususan maka jadi lah ianya sedemikian).

Dunia Islam patut memberikan pengiktirafan yang amat tinggi kepada mereka-mereka yang mengorbankan diri mereka ke medan Dakwah sekalipun mereka itu bukanlah pakar dan yang arif tentang ilmu yang berkaitan sebagaimana pakarnya mereka-mereka yang berada dalam bidang pengkhususan tersebut. (Mereka ini mungkin boleh diistilah seketika sebagai 'orang luar' dalam tulisan ini). 'Orang Luar' tadi sebenarnya lebih tekun dan lebih beriltizam dan lebih komitmennya dalam medan dakwah berbanding mereka-mereka yang memang khusus dalam bidang tersebut (pendapat peribadi). Kesanggupan mereka bersama-sama meringankan beban tugas dakwah para ustaz/ah itu amat terpuji. Moga Umat Islam yang lain menuruti langkah terpuji tersebut.

Suatu yang malang bagi Umat Islam apabila mereka-mereka yang khusus (ahli) dalam bidang dakwah tidak sanggup memainkan peranan yang lebih besar daripada yang sepatutnya. Masih ramai dikalangan golongan yng mempunyai kelayakan dan pengkhususan dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Dakwah Islamiyyah tidak menceburkan diri secara total dalam membantu mengembalikan maruah Islam. Mereka tidak membantu masyarakat ke arah mengamalkan apa yang dituntut oleh Islam secara menyeluruh. Bahkan lebih hina lagi ada di antaranya yang hanya sanggup menyeru ke arah kebaikan semata-mata tanpa sanggup berusaha untuk mencegah kemungkaran (berlandaskan neraca Syariat).

Pelbagai alasan yang diberikan semata-mata untuk menghalalkan segala tindakan mereka. Moga Allah melindungi semua yang terlibat dalam medan dakwah daripada menjadi sebahagian daripada golongan tersebut.

Apabila golongan ustaz/ah gagal memainkan peranan sewajarnya, maka kesannya amat besar sehingga menyebabkan 'Orang Luar' juga semakin takut untuk meneruskan usaha mereka bahkan turut takut untuk melibatkan diri dalam medan dakwah kerana merasakan diri mereka terlalu kerdil (dari segi ilmu penghayatan islam) jika dibandingkan dengan ustaz/ah yang memang khusus dan ahli dalam bidang tersebut. Jika ustaz/ah gagal apakah mereka yang bukan ustaz/ah akan berjaya dalam medan tersebut? itulah yang sering bermain di dalam fikiran pihak terbabit.

Antara cabaran pendakwah kini dalam melaksanakan misi mereka, ialah keenganan Umat Islam sendiri memberikan komitmen dan sokongan utnuk membantu memantapkan maruah Islam. Bahkan kadang-kadang dicemuhnya pula dengan pelbagai cemuhan semata-mata kerana bagi mereka orang yang membicarakan tentang Islam dan dakwah ini sungguh memual dan meloyakan.

Pesanan kepada semua pembaca dan sahabat serta Saudaraku Umat islam di luar sana. jangan sesekali kita menggolongkan diri kita sebagai orang yang membenci atau menjauhkan diri dari medan dakwah. Jagan semata-mata kerana alasan peribadi maka kita menolak saranan dakwah orang lain. Yang lebih teruknya, apabila kita seolah-olah angkuh dengan mengatakan bahwa kubur masing-masing punya atau seumpamanya.

Beberapa hari yang lalu, Alhamdulillah Allah memberi keizinan dan kesempatan untuk diperdengarkan seseorang membaca ayat dalam Surah Al-Baqarah ayat ke -139. Mendeganr sahaja bacaaan tersebut terus terdetik dihati, ya ini lah yang telah lama "diri ini" cari dan inginkan.

Firman Allah Dalam Ayat tersebut:

قُلْ أَتُحَآجُّونَنَا فِي اللّهِ وَهُوَ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ وَلَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُخْلِصُونَ

139. Katakanlah: "Apakah kamu memperdebatkan dengan kami tentang Allah, padahal dia adalah Tuhan kami dan Tuhan kamu; bagi kami amalan kami, dan bagi kamu amalan kamu dan Hanya kepada-Nya kami mengikhlaskan hati,

Kemudian apabila disemak kedalam beberapa kitab tafsir, kesimpulannya ialah ayat tersebut memberi panduan kepada semua pendakwah, apabila mereka berdepan dengan golongan yang engkar (antaranya yang sering bersifat keakuan-kubur masing²-) maka ketahuilah sepatutnya frasa 'kubur masing-masing' lebih layak digunakan oleh pendakwah sendiri. Di mana kerana kubur (dan amalan) masing-masing lah Allah mengingatkan kita untuk menyebarkan Islam supaya diamalkan oleh semua manusia di bumi ini. Jangan kita jadi seumpama kaum yahudi dan nasrani. mereka ini apabila dituntut untuk mereka melaksanakan Islam mereka berkeras mempertahankan untuk kekal dengan agama yang telah mereka selewengkan.

Begitu juga allah berfirman,


وَإِذَا سَمِعُوا اللَّغْوَ أَعْرَضُوا عَنْهُ وَقَالُوا لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ لَا نَبْتَغِي الْجَاهِلِينَ
Maksudnya:

55. Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata: "Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil"(-Al-Qasas).

فَلِذَلِكَ فَادْعُ وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءهُمْ وَقُلْ آمَنتُ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ مِن كِتَابٍ وَأُمِرْتُ لِأَعْدِلَ بَيْنَكُمُ اللَّهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ لَا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ اللَّهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ

Maksudnya:

15. Maka Karena itu Serulah (mereka kepada agama ini) dan tetaplah[1343] sebagai mana diperintahkan kepadamu dan janganlah mengikuti hawa nafsu mereka dan Katakanlah: "Aku beriman kepada semua Kitab yang diturunkan Allah dan Aku diperintahkan supaya berlaku adil diantara kamu. Allah-lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. bagi kami amal-amal kami dan bagi kamu amal-amal kamu. tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu, Allah mengumpulkan antara kita dan kepada-Nyalah kembali (kita)".-Syuraa-

--------

[1343] Maksudnya: tetaplah dalam agama dan lanjutkanlah berdakwah.

Semoga apabila kita berdepan dengan golongan yang suka ber'frasa' kubur masing-masing kita akan kembali kerujuk kepada ayat ini untuk menyedarkan mereka yang telah lama terpengaruh dengan frasa tersebut...




Saturday, February 02, 2008

Taasub..

Assalamualaikum...

Taasub (terjemahan ada di bahagian bawah tulisan ini). Satu tajuk yang biasa kita bincangkan dengan sahabat masing-masing dan kita pernah mendengarnya daripada mereka yang lebih arif dan tua daripada kita. Secara ringkasnya Islam amat melarang kita sebagai umatnya taasub kepada sesuatu perkara apatah lagi apabila ianya berkait rapat dengan amalan-amalan dalam kehidupan seharian kita.

Perbahasan tentang taasub kini menjadi hangat apabila sering dibahaskan oleh para ilmuan. Apa yang kesalkan ialah semakin ianya dibahaskan oleh para ilmuan penyakit ini menjadi semakin kritikal. "diri ini" secara peribadi gagal menyelami dan mengkaji apakah faktor yang menyebabkan keadaan ini menjadi-jadi dan boleh dikatakan kekal berada pada tahap yang membimbangkan.

Jika ingin membahaskan secara panjang lebar tentang perkara ini, dibimbangi "diri ini" juga gagal membawa masyarakat ke arah yang lebih baik. Apa yang diharapkan ialah supaya para ilmuan yang sering membincangkan tajuk ini supaya menjelaskan secara jelas tentang konsep dan maskud taasub itu agar masyarakat faham. Kita tidak boleh menggangap dan bersangka baik kononnya masyarakat akan faham sebagaimana yang kita fahami. Kadang-kadang kita berfikir, takkanlah masyarakat susah nak faham padahal kita mudah sahaja untuk memahaminya. Pemikiran sebegini hendaklah dijauhi supaya kita berlaku adil kepada semua pihak. Jangan dalam kita sibuk menjelaskan topik tersebut, kita pula gagal membendung masyarakat yang mula taasub kepada pandangan kita semata-mata padahal dalam masa yang sama pandangan yang sama atau lebih baik turut dijelaskan oleh pihak lain.

Kecelaruan yang seringkali timbul ialah apabila masyarakat atau pengikut atau mereka yang teruja dengan pandangan sesetengah pihak sering berbicara dan berhujah dengan berpandukan hujah individu atau pihak tertentu sahaja dan mengenepikan secara total pandangan pihak atau individu lain yang boleh jadi pandangan tersebut lebih baik atau berada pada tahap yang sama dan boleh dipertimbangkan. Juga kadang-kadang perkara yang sering dilakukan oleh mereka yang taasub ini ialah apabila menggunakan hujah Al-Quran atau Hadith Rasullullah S.A.W mereka turut menyandarkan kepada individu atau kumpulan yang mereka kagumi padahal sewajarnya mereka terus perjelaskan sumber ayat dan hadith tersebut kepada sumbernya yang asal iaitu Al-Quran dan Hadith tetapi mereka lebih selesa untuk berhujah dengan mengatakan bahawa si polan atau kumpulan yang dikaguminya yang mengatakan begitu.

"diri ini" sesekali tidak lansung melarang untuk kita mengemukakan hujah dengan bersandarkan kepada hujah individu tertentu atau kumpulan tertentu tapi mestilah dengan syarat ianya benar daripada individu atau kumpulan tersebut (yang bukan dari Al-Quran dan Hadith). Ketika kita boleh berlaku adil ketika menulis dengan menyatakan sumber petikan atau rujukan terhadap isu yang kita bincangkan, kenapa dalam kita berhujah secara lisan kita gagal melakukan perkara yang sama?

Moga kita tidak tergolong dalam golongan yang selesa untuk kekal berkeadaan seperti yang dimaksudkan. Semoga kita perbaiki bentuk hujah kita apabila menulis juga apabila berhujah secara lisan. Moga Allah melindungi kita daripada penyakit ini yang akan menyebabkan Islam kekal seperti sekarang tanpa ada potensi untuk kembali ke landasan yang sewajar baginya.

Ringkasnya Taasub membawa maksud: Perasaan yang wujud dalam diri seseorang yang menyangka dirinya/kumpulannya sahaja berada dalam keadaan dan jalan yang betul dan baginya pandangan atau orang lain semuanya tidak betul sebagaimana dirinya. Bahkan yang lebih buruk apabila mereka mengeji dan mencaci pandangan pihak lain. Mereka ini seolah-olah menafikan hak untuk bersuara atau memberi pandangan (neraca yang mesti digunkaan ialah Syara').

Semoga kita menghukum sesuatu perkara berpandukan neraca Syara' dan Sunnah.


Bertanyalah...

Assalamualikum...
Bangsa Melayu memang dikenali sebagai bangsa yang malu untuk bertanya. Perkara ini sering dibahaskan di Malaysia. Terutama apabila ianya dikaitkan dengan ketinggalan pelajar melayu dalam pelajaran. Moga kita semua berjaya keluar dari kepompong tersebut.

Sebagai menyahut seruan para ilmuan, supaya pelajar melayu khasnya dan umat Muslim itu sendiri banyak bertanya dan sentiasa bertanya jika menghadapi apa jua masalah yang perlu kepada penyelesaian maka diri ini melazimkan diri untuk terus bertanya.

Baru-baru ini, memandangkan telah lama "diri ini" tak melakukan 'tawaf' sekitar Kuala Lumpur maka "diri ini" mengambil keputusan untuk melakukan rutin masa lapang iaitu "tawaf" ke tempat-tempat yang jarang "diri ini" lalui semata-mata untuk memastikan semua pelosok Kuala Lumpur ini dikenali oleh "diri ini". Apabila sampai ke satu tempat dan kebetulan "diri ini" memang ingin pergi ke satu destinasi yang sewajarnya "diri ini" pergi kerana ingin melaksanakan amanah, "diri ini" menghadapi masalah untuk sampai ke destinasi tersebut kerana tidak arif tentang jalan di kawasan tersebut. Maka tanpa berlengah, "diri ini" ambil keputusan untuk bertanya kepada mereka-mereka yang lebih 'arif'.

Ringkasnya, pada hari tersebut "diri ini" terpaksa bertanya beberapa individu dan kumpulan arah ke destinasi terbabit, tetapi amat mengecewakan, banyak-banyak yang ditanya hanya 3 individu yang membantu dan menunjukan arah yang tepat dan betul. Untuk pengetahuan semua mereka-mereka yang ditanya itu ialah orang yang sama agama dan bangsa dengan "diri ini". Apakah susah untuk kita katakan 'tidak tahu' terhadap perkara yang memang kita tidak tahu?

Ini lah yang sering berlaku dalam dunia hari ini, kebanyakan kita selalu sahaja mengambil langkah ingin menunjuk kepada umum bahawa kita sentiasa arif dan pandai tentang semua perkara. Maka pantang sahaja ditanya pasti kita akan menjawab seolah-olah memang kita amat arif tentang perkara tersebut. Akhirnya kita akan menyusahkan mereka yang bertanya dan mungkin kesannya kepada individu atau kumpulan lain yang bersangkutan dengan mereka yang bertanya.

Moga kita semua sedar keupayaan diri masing-masing dan hanya menjawab apa yang diketahui, Jika tidak pasti tentang sesuatu perkara apabila ditanya, adalah lebih wajar kita menjelaskan perkara sebenar bahawa kita tidak pasti atau tidak arif tentang perkara tersebut (jangan pula buat dalam peperiksaan sekolah atau U, kalau nak buat juga jangan libatkan "diri ini" :D)

"terima kasih kepada mereka yang membantu pada hari tersebut dan kepada mereka yang jujur bahawa mereka tidak arif tentang arah yang ditanya" kepada yang lainnya (termasuk diri sendiri) moga Allah membuka pintu hati mereka (dan diri sendiri) supaya sedar tentang kesilapan mereka (dan diri sendiri)."

Akhirnya, sila rujuk kepada ayat surah An-Nahl:43 dan Anibiyaa:7.

Wednesday, January 23, 2008

Kenapa perlu bersusah payah!

Assalamualikum...

Firman Allah S.W.T:

لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْراً كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya:
Allah tidak membebani seseorang melainkan sepadan dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (Al-Baqarah:186)

-------------------------------------------------------

Pernahkah anda berbincang atau ditanya tentang apa jua perkara yang berkaitan dengan ayat ini? "diri ini" berkeyakinan bahawa ayat ini sering didengari daripada orang yang 'konon'nya pasrah dengan kemampuan mereka lebih daripada seorang dai'e berdakwah berdalilkan ayat tersebut.

Siapa gologan yang pasrah dengan kemampuan mereka? "diri ini" mentakrifkan mereka ini adalah golongan yang sentiasa mencari alasan untuk memenuhi tanggungjawab yang telah Allah tetapkan ke atas setiap muslim. Tanggungjawab sebagai khalifah Allah S.W.T. Tidak perlu lagi rasanya diperjelas di sini apakah tanggungjawab-tanggungjawab sebagai kahlifah Allah di muka bumi ini. Jangan! jangan pula kita hanya membayangkan bahawa tanggungjawab kahlifah itu ialah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran semata-mata. Tanggungjawab khalifah juga merangkumi segala kewajipan yang telah Allah tuntut kepada setiap individu antaranya solat, berbuat baik kepada 'orang tua' (ibu bapa dan ke atas) dan lain-lain lagi.

Golongan yang pasrah ini sering menggunakan ayat ini untuk meyerlahkan keengganan mereka menerima pelawaan atau nasihat daripada orang lain supaya sentiasa berbuat dan berperlakuan baik (menurut kacamata syara', bukan kacamata insan yang sentiasa rasa dirinya betul tanpa berpndukan Syara'). Mereka berhujah bahawa sesungguhnya Allah tidak memaksa apa-apa yang tidak mampu dilakukannya jadi kenapa anda sebagai saudara seagam pula yang memaksa mereka untuk melakukan sesuatu kebaikan?...ini lah salah faham yang amat jelek untuk kita bincangkan.

"diri ini" mendoakan moga Allah menunjukkan jalan yang lurus kepada kita semua. Mereka menyangka bahawa ayat tersebut tepat dengan kondisi dan situasi mereka. Padahal ayat tersebut boleh difahami dengan jelas tanpa kita perlu bersusah payah menyelak helaian tafsir yang di buat oleh para ilmuan. Benar, Allah tidak memberatkan kita dengan apa yang tidak mampu kita lakukan, tetapi ianya adalah merujuk kepada keadaan-keadaan tertentu seperti, jahil, ketidakmampuan kudrat dan juga dipaksa. Jadi jika mereka bersandarkan ayat ini dengan menyatakan kondisi mereka adalah seperti yang dimaksudkan ayat di atas maka amatlah tidak bertepatan jika ianya bukan berdasarkan 3 kategori yang dimaksudkan. Apakah mereka suka digelar jahil? semestinya tidak! apakah mereka golongan yang kudratnya terbatas? secara zahirnya yang dilihat kudrat mereka sama sahaja dengan kudrat kita. Apakah mereka dipaksa untuk tidak melakukan sesuatu yang dipertanggungjawabkan? mungkin tidak! (Setiap penilaian juga dibuat dengan panduan Syara').

Jadi moga kita tidak tergolong dalam golongan yang mempersendakan ayat Allah sedemikian. Tahukah kita jika kita merujuk dalil (samada Al-Quran atau Sunnah) dengan tujuan untuk mengelak daripada melakukan kerja-kerja untuk Islam maka kita termasuk golongan yang mempersendakan Islam. Sama seperti golongan lain yang secara jelas memepersenda Islam. Kesan sendaan kepada Islam yang dilakukan oleh mana-maan Umat Islam adalah lebih besar daripada sebarang sendaaan yang dilakukan oleh mereka yang bukan Islam terhadap Islam...
Moga Allah melindungi dan merahmati kita semua!...

Sunday, January 20, 2008

Sudah la...


Asslamualaikum...


Memandangkan masa terbatas, tetapi tetap ingin mengisi blog dengan tulisan baru, maka dengan rendah dirinya "diri ini" nak kongsikan salah satu masalah yang berlaku di Malaysia ketika ini dan mungkin juga turut melanda negara lain.

Individu 'M' : Asslmkm, maaf ganggu! ada masa sikit ke? blh saya nak minta pendapat sikit? nak tanya berkaitan satu perkara...

'I' : Silakan..

'M': Baru-baru ni saya ada mendengar pendapat seorang 'ustaz', kita tak blh menjemput jiran/saudara seagama kita yang tidak menunaikan solat untuk hadir ke kenduri yang kita adakan di rumah kita...pandangan ustaz pula macamana?

'I': Emmh...pertama sekali harapnya kami tidak dibanding-bandingkan. Mungkin pandangan saya salah, jadi harapnya dapat dipertimbangkan... Tapi secara dasarnya saya tak setuju dengan kenyataan 'Ustaz' tersebut. Ada dinyatakan dalil untuk menyokong hujah beliau? bukan apa, cuma untuk memudahkan saya merujuk kepada dalil tersebut mungkin juga saya tak perasan tentang bab ini...

'M': Seingat saya tak ada pula...

'I': Bukan apa..sepatutnya apabila membincangkan perkara-perkara yang jarang orang bincang dan menghukum pula kemudiannya..sewajarnya beliau memimpin masyarakat dengan dalil supaya masyarakat tahu punca hukum dari mana...

'M': Saya waktu dengar tu macam susah nak percaya juga, dan akal saya susah nak terima pula kenyataan macam tu...seolah-olah kita mengasingkan pula individu yang tak sembahyang tadi...

'I': Tak apa la...harapnya jawapan saya tak dijadikan asas untuk menolak terus 'ustaz' tersebut. Mungkin kalau beliau silap pun dalam bab sebegini aje...

'M' : Ya saya faham ustaz..

'I': Bagi saya kenyataan tersebut boleh disanggah dan tidak tepat. Mengapa kita nak menghukum saudara kita sebegitu rupa?..apa kah kita yakin yang dia memang tidak menunaikan solat?...Sekalipun menyakini akan hal tersebut, setakat mana pula usaha kita untuk membimbing dia? Apakah dengan memulau sedemikian akan menyelesaikan masalah dan individu tadi akan menunaikan semua kewajipan yang selama ini ditinggalkan?..

'M': Susah juga ye ustaz?

'I': Bagi saya meskipun kita meyakini individu terbabit tidak menunaikan solat, adalah lebih baik kita turut jemput dia ke sebarang majlis yang kita adakan. Ianya boleh membina hubungan yang lebih rapat dan memudahkan kita berinteraksi dengannya pada masa yang akan datang. Tambahan pula biasanya kita akan turut menjemput 'orang surau/ masjid' menghadiri jamuan yang kita adakan. Sekurang-kurangnya itulah usaha kita untuk membolehkan saudara kita tadi rapat dengan masjid/surau dengan cara bina hubungan yang kuat antaranya dengan 'orang-orang surau/masjid tadi...

'M': (dengusan nafas)....

'I': Bagaimana pula hukumnya kalau saudara kita tadi menjemput kita ke majlis yang diadakan dirumahnya pula?... apakah turut tidak dibolehkan?...kalau ikut hukum yang 'ustaz' tu sebutkan, maka bagi saya afdalnya jemputan yang dibuat oleh saudara kita tadi ditolak...setuju ke begitu?

'M': tak kot...macam tak patut pula..bukan ke Rasulullah ajar kita untuk memenuhi undangan saudara kita?

'I': Secara umumnya begitulah. Bukan ke sewajarnya kita mendoakan saudara kita tadi mendapat petunjuk dari Allah?.. apakah dengan cara yang disyorkan tadi (pulau) boleh membantu ke arah tersebut? Saya rasa tidak...

'M': Setuju...

'I': Ringkasnya begini la.. saya teringat peristiwa Rasulullullah S.A.W menziarahi jirannya yang senitasa dengki dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Ada sahaja cara yang digunakan untuk melemahkan dakwah Rasulullah dan juga melemahkan semangat Rasullullah untuk berdakwah..Tetapi apabila jiran tadi ditimpa musibah (sakit) Rasulullah adalah antara yang awal menziarahinya...itu lah antara kaedah Rasulullah berdakwah..jadi apakah kita tidak mahu mengambil contoh dari peristiwa tersebut?...

Siapa kita hendak menghukum mereka yang ingkar perintah Allah sedemikian rupa...hak berjiran adalah hak umum yang sepatutnya diraikan oleh semua pihak..meskipun semua tetangga maklum tentag kemalasan saudara kita tadi menunaikan solat...tetapi hak beliau dalam berjiran hendaklah kita tunaikan...Bagaimana mungkin kita berada dalam keadaan kenyang tetapi membiarkan saudara kita tadi (jiran tetangga) hanya mengetahui tentang majlis yang kita adakan daripada bualan masyarakat setempat dalam keadaan dia tidak dijemput. Apakah kita tidak takut saudara tadi atau keluarganya tidak merasa kenyang sepertimana kita rasakan?...

Hadith Rasullullah S.A.W...

Mafhumnya:
"Tidak sempurna iman kamu jika sekiranya kamu membiarkan jiran/saudara kamu berada dalam kelaparan ketika kamu berada dalam keadaan kekenyangan"...

kelaparan = kesusahan
Kekenyangan = Kesenangan dll.

'M': Ok ustaz saya rasa saya faham apa yang ustaz maksudkan...terima kasih nanti boleh la saya rujuk lagi kalau ada maslaah macam ni timbul ye?

'I' : tiada larangan, tetapi jangan mendoakan agar masalah seumpama tu timbul lagi di kalangan masyarakat..ianya lebih membuatkan saya rasa kesal dengan title graduan Syariah...

'M' : kenapa?

'I': tak apa la, insyaAllah satu masa nanti akhi akan faham...
--------------------------------

p/s 1) jangan la kita mengeruhkan hubungan sesama masyarakat hanya kerana pendapat-pendapat peribadi kita tetapi masyarakat memandang ianya adalah tuntutan agama...jelaskan kepada mereka sekiranya ianya pendapat peribadi. Masyarkat tidak dapat membezakan yang mana pendapat ustaz dan yang mana tuntutan Islam. Bagi mereka sesiapa sahaja yang mengaji agama, balik dari timur tengah, serta berpewatakan ala-ala ustaz/ah sedikit
maka ianya adalah tempat rujukan bagi hal-hal agama..dan apa-apa yang zahir dari mereka-mereka ini adalah semuanya tuntutan Agama (Islam)..

2) Jangan kita yang tergolong dalam golongan yang dirujuk, malu dan segan untuk mengaku kesalahan serta ketidakarifan kita dalam sesuatu hal...bagi saya ianya perkara biasa kerana ilmu Allah itu luas dan kita semestinya tidak mampu mengethaui kesemuanya...

3) Bimbinglah masyarakat kerana mereka memang mengharapkan bimbingan. Jangan menghukum mereka dan mengharapkan mereka perlu menjadi semacam kita (kononnya arif 'ilmu-ilmu Islam'). Bersyukurlah kerana kita terpilih untuk dirujuk....berterima kasih la kepada mereka kerana sering bertanya. Ianya lebih mulia daripada sering melakukan sesuatu perkara seolah-olah arif tetang perkara tersebut...

.....?













Wednesday, January 16, 2008

Assalamualaikum....

Firman Allah dalam Surah Thaha:

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَكَانَ لِزَاماً وَأَجَلٌ مُسَمًّى

Maksudnya:
Dan sekiranya tidak ada suatu ketetapan dari Allah yang telah terdahulu atau tidak ada ajal yang telah ditentukan, pasti (azab itu) menimpa mereka. (129)
--------------------------------------------------------------

Dalam melayari kehidupan seharian kita, seringkali cabaran yang berada di hadapan kita menyebabkan ketaqwaan dan keimanan kita goyah. Umat Islam secara kasarnya, jika dilihat kepada situasi ketika ini berada dalam keadaan kesempitan. Samada kesempitan hidup kerana kurangnya harta atau kesempitan kerana 'fitnah' yang berlaku di sekeliling mereka. Seringkali juga kita terlupa untuk mengakui akan kesempitan ilmu kita utk memastikan ketaqwaan dan keimanan kita berada pada tahap yang sewajarnya sebagai hamba Allah S.W.T.

Semua kesempitan dan kesusahan yang disebutkan di atas seringkali dibandingkan dengan kesenangan yang diperolehi oleh mereka-mereka yang bukan Islam (Semoga mereka segera menyahut seruan hidayah Allah S.W.T). Maka setelah perbandingan dilakukan, ramai dikalangan umat Islam tersungkur di medan ujian tersebut. Mereka menyangka bahawa segala kemewahan dan kesenangan di dunia ini adalah wajah sebenar tentang sesuatu kebenaran. Maka berpusu-pusu dan berbondong-bondonglah mereka mengejar kemewahan dan kesenangan dengan apa jua cara dan kaedah sehinggakan ramai yang tergelincir daripada landasan keimanan yang sebenar.

Perlu kita sedari, Allah S.W.T telah menyebutkan di dalam surah yang sama pada ayat yang ke 131:

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجاً مِّنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَى

Maksudnya:
Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami cobai mereka dengannya. Dan kurniaanTuhan kamu (ALLAH) adalah lebih baik dan lebih kekal.

Allah S.W.T telah dengan secara jelas mengingatkan semua umat Islam bermula dari zaman Rasulullah S.A.W lagi tentang bahaya jika kita sering membanding-bandingkan kemewahan dan kesenangan mereka-mereka yang bukan Islam dan juga mengingatkan kita supaya kita tidak terlalu memandang kemewahan yang diperolehi mereka di dunia ini supaya kita tidak cemburu akan apa yang mereka perolehi. Ayat tersebut sama sekali tidak melarang mana-mana umat Islam yang berupaya untuk mendapatkan kemewahan di dunia ini untuk terus berusaha ke arah tersebut. Tetapi ianya lebih kepada peringatan secara umum kerana Allah S.W.T sebagai Pencipta yang Maha Agung mengetahui apa yang sering diimpikan oleh kebanyakan manusia. Jadi usahlah kita menafikan keagunganNYA.

Ingatlah! Kemewahan yang dimiliki oleh mereka yang bukan Islam hanyalah sebagai perhiasan dan kegembiraan untuk seketika melainkan mereka menyahut seruan hidayah Allah S.W.T.

Ayat yang seterusnya dalam suraj Thaha:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقاً نَّحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Maksudnya:
Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezki kepadamu, Kamilah yang memberi rezki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa(132).

Dalam ayat tersebut Allah S.W.T mengajar kepada semua Umat Islam cara untuk mengelakkan diri kita terperangkap dalam bahaya tersebut. Solat yang dimaksudkan di situ bukan hanya semata-mata solat sebagaimana yang kita fahami. Ianya juga merangkumi doa yang kita panjatkan kepadaNYA. Yang mana "diri ini" amat menyakini setiap daripada kita seringkali tidak lupa untuk berdoa supaya Allah S.W.T melimpahi kesenangan dan rezeki yang mencukupi kepada diri masing-masing. Maka di dalam ayat tersebut Allah juga mengingatkan kita bahawa sesungguhnya DIA lah yang memberi rezeki kepada semua makhluknya dan yakinilah perkara tersebut. Di mana jika masing-masing di antara kita tidak berusaha ke arah menjauhi bahaya (membandingkan kekayaan orang bukan ISlam) sedemikian, dibimbangi keimanan kita akan menjadi rapuh dan menyebabkan kita tergolong dalam golongan mereka-mereka yang rugi di akhirat kelak.

Sebagai Umat Islam yang sentiasa berusaha untuk menaik taraf kehambaan kita terhadap Allah S.W.T kepada tahap yang lebih tinggi iaitu supaya tergolong dalam golongan mereka yang beriman dan bertakwa. maka semestinya kita mendidik diri dan jiwa kita supaya sama sekali tidak lagi memikirkan tentang kesenangan dan kemewahan mereka yang belum menyahut hidayah Allah S.W.T kerana dibimbangi ianya akan menjatuhkan nilai keimanan dan ketakwaan kita kepadanya melainkan jika diyakini bahawa perbandingan tersebut akan memotovasikan kita untuk maju bersama Islam.

Jika kita semua membaca dan memahami ayat-ayat terakhir surah Thaha ini maka semestinya kita akan sedari bahawa ayat-ayat tersebut membicarakan tentang ancaman mereka-mereka yang bukan Islam terhadap dakwah yang dilakukan oleh Rasullullah S.A.W. Di mana kemuncaknya ialah pada ayat ke 129 sebagaimana yang tertera pada permulaan bicara ini.
Ayat tersebut juga secara tidak lansung mengajar kita tentang konsep keimanan yang dipelajari sejak di sekolah rendah lagi iaitu lah kepercayaan /keimanan kepada Qada' dan Qadar (yang baik dan yang buruk).

Jadi sama-sama kita mengajar jiwa masing-masing supaya menyakini akan sesuatu perkara itu adalah ketetapan Allah S.W.T. Kita sebagai makhluk dan hambanya diberi peluang untuk berikhtiar dalam kehidupan ini dengan ikhtiar yang berpandukan ketetapan syara' bukan ikhtiar yang berpandukan hawa nafsu semata-mata.

"Syara' dijunjung, nafsu dihitung"


Wednesday, January 02, 2008

Gejala Sambutan Tahun Baru

Assalamualikum...

Baru beberapa hari yang lalu seluruh dunia sibuk mengadakan acara sambutan tahun baru. Pelbagai ragam dan bentuk sambutan telah diadakan. Bentuk sambutan yang menjadi rutin dunia ialah sambutan yang merupakan satu gejala (gejala kebiasannya disandarkan kepada perkara-perkara yang buruk). Begitu juga Tahun Baru (M) baru-baru ni turut telah 'digejalakan' oleh kebanyakan masyarakat dunia. Tetapi yang malangnya ialah sambutan yang turut diadakan di negara kita juga 'lebih gejala' daripada gejala yang berlaku di luar sana.

Buletin Utama dan semua berita yg rangkaian TV3 memaparkan kisah ini sehinggakan mereka secara tidak lansung 'menzahirkan' kekecewaan dengan pelbagai bentuk sambutan yang dilakukan oleh masyarakat setempat pada malam tahun baru. Dalam masa yang sama pihak stesen tv3 telah memberi 'kredit' kepada pengurusan Masjid As-Syakirin KLCC kerana telah mengadakan majlis yang lebih bermakna. Majlis tersebut diserikan dengan Forum Islam yang dipengerusikan oleh Ust Hadi Thaha dan membariskan panelis Ust zawawi Yusoh bersama Ust Jamnul Azhar. Persembahan nasyid juga turut tidak ketinggalan. Kumpulan Far East(ditayang dalam rangkaian berita tv3) dan Ust Akhil Hayy (tak ditayangkan: mestilah sbb 'kehijauan' Akhil Hayy).

Berbalik kepada kekecewaan yang dizahirkan oleh pihak stesen tv3, turut dipaparkan ketika laporan tersebut ialah aksi-aksi tidak bermoral remaja-remaja kita yang berlaku disekitar Kuala Lumpur. Ada yang dilihat dengan 'selamba' menghidu gam walaupun dilihat oleh orang ramai dan juga semestinya pihak polis yang berada di sekitar kawasan-kawasan 'gejala' pada malam tersebut. Inilah generasi yang dibangga-banggakan oleh smeua masyarakat kita yang diharapkan mampu meneruskan pembangunan negara pada masa hadapan. Padahal mereka ini lebih mampu 'membangunkan' negara dengan cara mereka sendiri yang dikelilingi hiburan yang melampau ketika usia yang sedang meningkat ini.

Meskipun bukan mereka (remaja dan pemuda) yang melakukan aksi-aksi yang bengong pada malam itu yang akan mentadbir negara tetapi mereka itu jugalah masyarakat dalam negara kita pada masa hadapan. Mereka lah yang akan menjadi antara golongan berusia yang akan mendidik generasi seterusnya. Jadi jika generasi berikutnya terus didedahkan dan dibiasakan dengan segala macam kesenangan dan hiburan dalam bentuk yang sama dan mungkin lebih nescaya bangsa kita (semestinya Agama juga) akan lenyap dari muka bumi ini. Inilah yang tidak disedari oleh ramai rakyat di dalam negara ini. Mereka menyangka yang perlu menjadi baik itu ialah mereka-mereka yang bakal menjadi pemimpin negara dan negeri sahaja dan bagi yang lainnya mereka ini bebas utnuk memilih samada menjadi baik atau sebaliknya. Selagi metaliti ini mengelilingi kehidupan masyarakat kita, selagi itulah kita tidak akan dapat mengejar 'kemajuan' yang dipelopori oleh dunia barat.

"diri ini" berasa pelik kepada peristiwa gejala ini berlaku. Pihak polis sejak dari awal lagi telah megumumkan beberapa jalan akan ditutup sempena malam tahun baru kerana ingin memberi memastikan 'kelancaran' gejala sambutan ini. Sewajarnya ketika ini lah pihak berkuasa terbabit (polis) memohon perintah mahkamah (mudah nak kurung dan saman) untuk menghalang semua rakyat kita daripada keluar menyertai gejala sambutan ini yang menghasilkan lebih banyak kesan yang negatif daripada kesan yang positif. Gejala ini lah yang sebenarnya menganggu gugat keselamatan negara secara lansung dan tidak lansung. "diri ini" secara rasminya melahirkan kekecewaan yang tidak terhingga terhadap tindakan pengecut pihak berkuasa untuk menghalang gejala ini diteruskan. Apakah semua pihak penganjur gejala ini memohon permit untuk berhimpun pada malam tersebut?..mengapa pihak polis tidak pula menyembur gas pemedih mata sebagaimana yang telah mereka lakukan ketika menyuraikan beberapa perhimpunan sebelum ini? Pada sambutan malam itulah sebenarnya lebih banak kemusnahan berlaku termasuk kemusnahan budaya ketimuran sebagaimana yang sering diwarwarkan oleh bangsa kita.

"diri ini" mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk mengharamkan acara sambutan yang sama pada tahun-tahun berikutnya kerana ianya menjejaskan kredibiliti negara kita yang menjunjung budaya ketimuran. Tidak dinafikan (kononnya) acara yang diselia oleh Kementerian tertentu untuk sambutan ini tidak mempromosikan sebarang gejala yang tidak sihat. Tetapi umum mengetahui dan pihak polis juga mengetahui akhirnya semua acara sambutan yang dihadiri oleh masyakarat awam akan menjeremus kepada gejala yang tidak sihat yang dipelopori oleh sebahagian masyarkat kita.

Akhirnya, marilah! kita semua sedar akan tanggungjawab masing-masing. Pastikan semua gejalan dan budaya yang tidak sihat termasuk budaya hiburan melampau sebagaimana yang berlaku pada malam gejala sambutan tahun baru. Pastikan diri kita dan orang-orang disekeliling menyedari akan bahaya gejala sambutan ini...Moga Ummah dijamin keselamatannya daripada fitnah di anatara berbagai fitnah dajjal...

p/s: Jangan jadikan diri kita sebahagian daripada penyokong gejala ini samada secara lansung atau tidak! Jika tidak nescaya generasi yang berikutnya akan sentiasa memaki hamun hayat anda setelah kematian anda kelak kerana telah menggadai maruah negara dan menjadikan mereka bangsa yang hancur dan tidak bermaruah..Akhirat kelak mereka juga akan menuntut tanggungjawab kita di hadapan Allah S.W.T

Saturday, December 29, 2007

Monopoli Ekonomi Di Tahun Baru

Assalamualaikum...

Saban tahun apabila masyarakat dunia hampir pasti menyambut tahun baru dengan pelbagai acara dan perayaan, sebahagian masyarakat pula tidak lari daripada kebimbangan terhadap spekulasi kenaikan harga bagi barangan keperluan seharian. Untuk sekian kalinya, tahun ini sekali lagi dunia dilanda krisis ketakutan dan kebimbangan terhadap kenaikan harga barangan yang tidak mampu lagi di kawal. Berlaku penyembunyian barangan sehingga menyukarkan pembeli. Perkara ini berlaku kerana jangkaan kenaikan harga yang berlaku kepada 'barangan' utama masa kini iaitu minyak dan gas. Jika di malaysia pula melibatkan juga kenaikan harga TOL bagi lebuhraya-lebuhraya tertentu.

Samada spekulasi ini dibuat oleh pemerintah atau sebaliknya bukanlah suatu isu yang utama ketika ini, apa yang pasti pembekal barangan sentiasa mengikuti perkembangan ekonomi dunia supaya mereka boleh memanipulasi keadaan untuk terus menjamin keuntungan bagi syarikat-syarikat mereka. Benar, keuntungan adalah motif bagi sesebuah perniagaan. Tetapi apa yang merunsingkan kita pada hari ini ialah perniagaan yang dijalankan bukan lagi untuk menguntungkan kedua-dua pihak (pembeli dan penjual/pemborong/pembekal) sebaliknya lebih kepada keuntungan sebelah pihak. Pihak pengeluar dan pembekal barangan hanya memikirkan keuntungan bagi pihak syarikat mereka semata-mata tanpa memikirkan keperluan masyakarat dan kepentingan barangan tadi kepada kehidupan masyarakat.

Di Malaysia barangan yang kerap mengalami kenaikan yang 'tidak terkawal'* ialah minyak, gas, tepung, gula. Sekalipun barangan-barangan ini tergolong antara barang kawalan (harga dikawal kerajaan) tetapi desakan daripada pengeluar dan pembekal seringkali memenangi situasi getir ini. Begitu juga pasaran dunia. Elemen-elemen yang sama dan serupa juga melanda dunia luar.

Menyorot kepada krisis ini, langkah yang sewajarnya perlu diambil ialah memperkenalkan kaedah ekonomi islam yang menyeluruh dalam konsep jual-beli. Ketika ini Ekonomi dunia hanya tertumpu kepada konsep perbankan Islam semata-mata yang sudah pasti perlumbaan yang berlaku terhadap pengenalan konsep ini juga berbalik kepada keuntungan. Konsep jual beli yang seharusnya diperkenalkan ialah konsep yang meliputi semua urusan perniagaan termasuk kepada pengeluaran dan pembekalan barangan di pasaran.

Di dalam Islam apabila kita membicarakan tentang ekonomi/muamalat maka kita semestinya akan membincangkan tentang kawalan harga barang. Dalam Islam kawalan hanya dibenarkan semata-mata kerana menjaga maslahah am tanpa mengkesampingkan maslahah khas. Perkara ini telah dipraktikkan dalam sistem ekonomi dunia ketika ini. Tetapi seringkali gagal sebagimana situasi yang telah disebutkan di atas.

Ini adalah berpunca daripada sistem ekonomi dunia yang kini tertumpu kepada sistem kapitalis dan juga sosialis. Meskipun perbezaan ketara terdapat bagi kedua-dua sistem ini tetapi motif utama bagi kedua-dua sistem ini tidak lain dan tidak bukan hanya menjadikan sesetengah pihak sahaja yang kaya dan dalam masa yang sama kekal menjadikan si miskin berada terus miskin dalam kehidupan mereka. Meskipun sistem ekonomi sosialis lahir kerana tidak setuju serta ingin mengimbangi dunia ekonomi yang suatu ketika dimonopoli oleh sistem kapitalis, tetapi ianya turut bersalahan dengan sistem ekonomi yang telah dipraktikkan dunia Islam di zaman kegemilangannya dahulu.

Ya, tiada siapa yang menafikan dalam sistem ekonomi Islam turut bermotifkan keuntungan dalam perniagaan. Keuntungan yang dicapai adalah berlandaskan batas-batas yang telah ditetapkan oleh Islam. Kebanyakan masyakarat hanya memandang sistem ekonomi Islam itu ialah apabila perniagaan atau sumber kewangan sesebuah syarikat itu tidak bersangkutan dengan amalan riba. Walhal dalam sistem ekonomi Islam akhlak bagi pemilik syarikat, pekerja, peniaga, pembeli dan sebagainya turur dititik beratkan. Turut sama dalam sistem ekonomi Islam ialah Zakat dan Waqaf.

Sekalipun sesebuah syarikat itu diisytiharkan tidak lansung memiliki (0%) riba, jika pemiliknya berusaha untuk memonopoli pasaran (dengan kaedah yang tidak wajar) ia tetap haram dalam Islam maka perniagaan tersebut tetap menjadi haram. Begitu juga apabila pembeli mendesak penjual untuk menjual barangan yang diingini kepada suatu harga yang tidak diredhai penjual samada harga yang merugikan atau harga yang tidak lansung memberikan keuntungan kepada penjual, ianya juga haram dalam sistem ekonomi yang sebenarnya. Maka perlulah kita semua sedari bahawa ekonomi Islam itu adalah berasaskan kepada semua ciri-ciri kebaikan yang sentiasa menjaga maslahah umum (masyarakat/pembeli) serta tidak lansung mengkesampingkan sebarang maslahah khas (pengeluar/peniaga).

Kita mendoakan supaya akan lahir pakar-pakar bidang ekonomi Islam serta pemilik-pemilik syarikat yang berusaha menjalankan urusniaga berdasarkan konsep ekonomi Islam yang menyeluruh bukan semata-mata hanya jauh dari riba. Jika amalan ekonomi Islam dapat diwujudkan maka masyarakat tidak lagi perlu melalui saat-saat yang amat mengecewakan (barang naik) sepertimana yang berlaku pada masa ini. Masalah utama kini ialah apabila syarikat-syarikat besar yang mempertuhankan sistem kapitalis sentiasa menghantui syarikat-syarikat kecil supaya mengikuti trend perniagaan mereka. Ketika ini ekonomi dunia (Malaysia juga) sentiasa memusuhi peniaga-peniaga yang ingin menjual barangan mereka berasaskan pertukaran suka sama suka ( pembeli suka kerana harga berpatutan, peniaga pula suka kerana ada keuntugan di samping membantu pembeli-pembeli dalam kehidupan mereka). Mereka (kapitalis) inginkan supaya harga barangan adalah serupa atau hampir serupa dengan apa yang mereka tawarkan. Mereka hanya mementingkan diri sendiri apabila hanya mementingkan keuntungan yang berlipat kali ganda bagi syarikat-syarikat mereka dalam masa yang sama syarikat-syarikat kecil hanya mendapat keuntungan yang minima kerana pengeluaran yang terhad kekadang mengalmai kerugian hasil desakan dunia kapitalis.

Moga ruh Islam akan kembali dengan gemilangnya. Kitalah yang sewajarnya memainkan peranan ke arah mengembalikan ruh Islam dalam sistem ekonomi khasnya dan sistem kehidupan seharian amnya. Moga kemanisan hidup di bawah lembayung pemerintahan Islam dapat dirasai seumur hidup kita.

Dalam menjalani dunia ekonomi Islam semua pihak tertutamanya pengeluar dan peniaga wajar memahami surah Al-Mutaffifin.

Wednesday, December 19, 2007

Adab Solat Jemaah...

Assalamualaikum....

حدثنا سعيد بن عقير قال حدثنا ابن وهب عن يونس عن ابن شهاب زعم عطاء أن جابر بن عبد الله زعم أن النبي صلى الله عليه و سلم قال
: ( من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا ) . أو قال ( فلعتزل مسجدنا وليقعد في بيته ) . وأن النبي صلى الله عليه و سلم أتي بقدر فيه خضرات من بقول فوجد لها ريحا فسأل فأخبر بما فيها من البقول فقال ( قربوها ) . إلى بعض أصحابه كان معه فلما رآه كره أكلها قال ( كل فإني أناجي من لا تناجي

*riwayat Bukhari, Jami' As-Shahih Al-Mukhtasar, Tahkik Dr. Mustafa Al-Bugha, Dar Ibn Kathir, Al-yamamah beirut.

Hadith ini menjelaskan tentang saranan Rasullullah supaya mereka-mereka yang memakan bawang putih dan bawang agar menjauhi masjid kerana baunya yang 'busuk'. Jika dikumpulkan hadis-hadis yang sama maksud dengan hadith ini maka kita semua dapat simpulkan (ulama-ulama dah simpulkan pun) bahawa larangan tersebut adalah kerana bau yang terhasil daripada keduanya.

Perkara ini telah diajar dan disebarkan kepada semua umat Islam di dunia ini. Respon dan tindakan terhadap perkara ini amat positif. Sehinggakan saling ingat mengingati tentang perkara ini. Bahkan ada yang cuba menjauhi makanan ketika hampir dengan waktu untuk solat berjemaah di masjid. Begitulah prihatinnya umat Islam dengan saranan tersebut. Alhamdulillah.

Tetapi dalam masalah yang sama, jika kita lihat daripada hadith tadi dan kesimpulan yang dibuat oleh para ulama dan diri kita masing-masing, maka semestinya rokok juga adalah sebahagian daripada perkara yang mengeluarkan bau yang kurang enak. Dalam hal ini kadang-kadang perokok lazim lupa akan hadith ini sekalipun mereka tetap mengingati mafhum tentang larangan memakan bawang putih dan segala macam sayuran yang berbau. Para ustaz dan ustazah di malaysia pun kadang-kadang lupa nak mengaitkan hal ini. Yang sering tidak terlepas daripada kaitan ini ialah petai, genuak, belacan dll yang biasanya memang digunakan dalam masakan kita di Malaysia ini. Tetapi untuk mengaitkan rokok dalam perkara ini jarang sekali.

Kesimpulannya di sini, buat perokok-perokok (tak kisah la tegar ke tak tegar) hindarilah membawa rokok ke masjid atau surau apatah lagi untuk menghisap rokok sambil menuju ke masjid dan juga merokok diperkarangan masjid/surau. Insaflah diri dan kenang lah hadtih ini buat selamanya. Moga denga melazimi diri anda mengikuti peraturan ini akhirnya akan berjaya mengurangkan ketagihan dan tabiat anda merokok (kerana ketagihnya diri anda degnan solat berjemaah di masjid/surau). "diri ini" doakan agar perokok-perokok yang sentiasa berusaha untuk berhenti daripada melakukan perkara yang sia-sia ini agar berjaya mengawal diri mereka supaya lepas daripada beban melakukan perkara yang sia-sia.