Showing posts with label ar-ruhi. Show all posts
Showing posts with label ar-ruhi. Show all posts

Sunday, October 25, 2009

Penipuan secara Terang dan Jelas

Assalamualaikum...

Ketika membaca ayat 22 surah Al-An'am baru-baru ini, hati terdetik berdoa moga-moga "diri ini " tidak termasuk dalam kategori yang tersebut dalam ayat tersebut.

Gerun dan gentar bila memikirkan apa yang Allah gambarkan. Suasana ketika manusia semua dibangkitkan dihadapan Allah. Ketika di hadapan Allah manusia masih ingin melakukan pembohongan padahal ketika di dunia telah banyak pembohongan yang telah dilakukan.

 وَيَوۡمَ نَحۡشُرُهُمۡ جَمِيعً۬ا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشۡرَكُوٓاْ أَيۡنَ شُرَكَآؤُكُمُ ٱلَّذِينَ كُنتُمۡ تَزۡعُمُونَ (٢٢) ثُمَّ لَمۡ تَكُن فِتۡنَتُہُمۡ إِلَّآ أَن قَالُواْ وَٱللَّهِ رَبِّنَا مَا كُنَّا مُشۡرِكِينَ (٢٣) ٱنظُرۡ كَيۡفَ كَذَبُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ‌ۚ وَضَلَّ عَنۡہُم مَّا كَانُواْ يَفۡتَرُونَ (٢٤

Maksudnya :

"Dan (ingatlah), hari yang di waktu itu kami menghimpun mereka semuanya, kemudian kami berkata kepada orang-orang musyrik: "Di manakah sembahan-sembahan kamu yang dulu kamu katakan (sekutu-sekutu) kami?".(22)

Kemudian tiadalah fitnah mereka, kecuali mengatakan: "Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah".(23)

Lihatlah bagaimana mereka Telah berdusta kepada diri mereka sendiri dan hilanglah daripada mereka sembahan-sembahan yang dahulu mereka ada-adakan"(24)

Lihat bagaimanakah sikap manusia yang telah Allah rakamkan di dalam kitabnya. Ketika di dunia Allah telah hantarkan peringatan (Rasul dan Kitabnya) tetapi manusia masih memilih untuk hidup dengan berpandukan hawa nafsu masing-masing. Akhirnya manusia sedemikian mati dalam keadaan jauh dari hidayah agama Allah S.W.T.

Kelak ketika dibangkitkan dan dihadapkan di hadapan Allah apakah kita mampu tersenyum atau sebaliknya? Atau apakah kita juga akan tergolong dalam golongan mereka yang melakukan penipuan secara jelas dan terang ini?

Moga kehidupan kita adalah kehidupan yang berteraskan panduan dari Al-Quran dan Sunnah agar kita tergolong bersama mereka yang berjaya di sisi Allah yang Maha Berkuasa.

Di Dunia ini kita hanya ada 2 pilihan yang perlu kita buat setiap hari ketika mula melalui hari-hari baru dalam hidup ini. Samada kita memilih untuk hidup dengan panduan Al-Quran dan Sunnah (Islam) atau sebaliknya iaitu memilih jalan-jalan yang bertentangan dengan Islam (kufur). Pilihan inilah perlu direnungi setiap pagi ketika memulakan kehidupan harian agar kita tetap teguh dengan Islam kerana bencikan dan takut akan kekufuran.

p/s: lama dah nak menulis pasal ayat ni, Alhamdulillah Allah bukakan jalan untuk sekali lg berjumpa dengan ayat ni dan diizinkan untuk berkongsi secara umum dengan semua di luar sana meskpiun dalam keadaan kurang kemampuan untuk membincangkan ayat ini secara detil. Moga ianya tetap bermanfaat untuk kita semua.

wassalam...









Sunday, September 06, 2009

Landasan Dunia

Asslamualaikum...

Pernahkah anda menaiki keretapi atau kapal terbang? Apakah perasaan anda ketika pertama kali menaiki keretapi dan kapal terbang?

Takut, bimbang?

Meskipun akan ada yang menjawab dengan jawapan 'tak rasa apa-apa' dsbnya, tetapi perbincangan kali ini akan melibatkan semua pihak, Yang takut dan bimbang mahupun sebaliknya.

Apakah pula perasaan anda ketika dalam perjalanan menaiki keretapi/ kapal terbang ketika musim hujan?

Ramai di antara kita berasa bimbang bahawa keretapi atau kapal terbang akan tergelincir atau terbabas dari landasannya.

Tapi apakah kita semua berasa bimbang dan takut terbabas dari landasan yang telah Allah sediakan untuk dilalui oleh semua makhluknya khasnya kita sebagai umat Islam?

Landasan Allah telah diketahui pasti ada cabaran dan pancarobanya semacam juga kita mengetahui akan risiko menaiki keretapi/kapal terbang ketika musim hujan.

Dalam Surah Ankabut ayat 2-3 Allah telah berfirman, Maksdunya:

"Apakah manusia itu menyangka mereka mudah mengaku beriman dengan hanya berkata "kami telah beriman" tanpa mereka diuji? Dan kami telah menguji orang-orang sebelum daripada mereka, dan sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui golongan yang benar, dan begitu juga DIA mengetahui sesiapa yang berdusta"

Apakah dalam kita melalui kehidupan ini kita sentiasa memastikan kehidupan kita benar-benar di atas landasan Allah S.W.T? Apakah kita melakukan persediaan secukupnya agar tidak tergelincir dari landasan yang telah disediakan?

Bolehkah kita terselamat dari tergelincir dari landasan Allah?

Mafhum Hadith Rasulullah S..A.W ketika peristiwa haji wida' :

" ...Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara yang tidak akan menyesatkan kamu selamanya jika sekiranya kamu benar-benar berpegang (mengikut dan mengamalkan) kepadanya, itulah Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnahku (Rasulullah S.A.W)"...

Jelas bukan?

Sama-sama kita nilaikan samada kita mengikuti sunnahNYA atau sebaliknya.... atau kita sanggup tergelincir daripada landasan yang telah siap sedia hingga ke Syurga Allah S.W.T dengan memilih landasan lain yang terus ke Neraka?

Setakat mana persiapan kita?

Wednesday, January 23, 2008

Nak Buat Macam mana....

Assalamualikum...

"Nak buat macam mana dah taqdir hidup aku/saya macam ni..."

"Mungkin inilah taqdir yang Allah tentukan untuk aku/saya..."

Kedua-dua ayat di atas serta ayat-ayat yang lain tetapi sewaktu dengannya merujuk kepada konsep keimanan kita dengan Qadha dan Qadar Allah S.W.T.

Kedua-ayat di atas seringkali diungkap apabila seseorang ditimpa musibah atau ujian daripada Allah S.W.T. Ujian dan musibah yang dimaksudkan adalah lebih kepada ujian dan musibah yang 'buruk'. Jarang atau boleh juga "diri ini" katakan tiada Umat Islam yang mengungkap kata-kata seperti di atas ketika mereka dilimpahi segala kemewahan dan kesenangan. Kebanyakan Umat Islm hanya mengingati dan mengungkap tentang Qadar (taqdir) Allah S.W.T ketika mereka di 'timpa' musibah atau ujian yang 'buruk'. Ketika itulah biasanya kita dapat lihat seakan kuatnya keimanan seseorang kerana mengingati Allah S.W.T.

Kita perlu sedarkan diri kita, bahawa sewajarnya kita tidak hanya mengingati Allah ketika dilanda 'musibah'. Ketika berada dalam keadaan yang menyenangkan juga harus dan wajiblah kita mengingati Allah dan Taqdirnya.

Firman Allah S.W.T:
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَن يُؤْمِن بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya:
Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah S.W.T, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya DIA akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (At-Taghabun:11)

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Maksudnya:
Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Al- Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.(Al-Hadiid:22)

Jadi ianya satu keperluan untuk kita semua melazimi diri masing-masing dengan kesedaran bahawa apa yang berlaku di dunia ini adalah Qadar (Taqdir) Allah S.W.T tidak kira yang baik atau yang buruk dan kita diberi kebebasan untuk berikhtiar untuk melakukan sesuatu perkara. Jangan hanya apabila ditimpa keburukan barulah kita pasrah bahawa ianya adalah Taqdir Allah dan apabila berada dalan keadaan kesenangan kita lupa tentang Taqdir.

Kelebihan dan kebaikan beriman dengan Qadha dan Qadar adalah pembuktian kebergantungan kita dengan Allah S.W.T. Kita membuktikan bahawa kita adalah makhluk yang sentiasa bersyukur kepadaNYA kerana sentiasa menjadikan Allah sebagai tempat kita bergantung dan memohon sebarang keperluan sebagaimana yang telah kita ikrarkan dalam setiap rakaat solat kita (kalau yang tak solat tu pepandai la na muhasabah!).

Sabda Rasullullah S.A.W:

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: كنت خلف النبي صلى الله عليه وسلم يوماً فقال: ( يا غلام إني أعلمك كلمات: إحفظ الله يحفظك، إحفظ الله تجده تجاهك، إذا سألت فاسأل الله وإذا استعنت فاستعن بالله، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله تعالى لك. وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك، رفعت الأقلام وجفت الصحف) رواه الترمذي وقال: حسن صحيح

Maksudnya:
Sabda Rasullullah S.A.W:"Wahai 'pemuda' aku ajarkan kepada kamu satu kalimah (ayat): Jagalah Allah Nescaya DIA akan menjaga kamu, Jagalah DIA di mana sahaj kamu berada, jika kamu memerlukan pertolongan pohonlah kepadaNYA, Ketahuilah bahawa Umat Islam itu jika mereka bersepakat untuk membantu (memberi manfaat) kamu, ianya tidak akan terjadi melainkan dengan keizinan Allah S.W.T, begitu juga jika mereka bersepakat (berkumpul) untuk memudaratkan kamu, ianya tidak akan terjadi melainkan diizinkan Allah S.W.T. Sesunguhnya Qalam itu telah diangkat dan 'buku' (yang tertulis di Luh Mahfuz) telah tertulis sebagai mana yang dikehendakiNYA". (RW Tirmidzi, Hasan Shahih)

Jangan lagi harapnya kita hanya menyandarkan taqdir kepada perkara-perkara buruk semata-mata! 'Seolah-olah' kita menyalahkan Allah dalam keadaan kita tidak sedari. Ingatlah! keimanan itu sesuatu yang berharga, dan sesuatu yang berharga dan bernilai susah untuk dijaga.Jadi pastikan kita sering tegur menegur dan nasihat menasihati antar satu dengan yang lain agar kita tidak terjemrumus ke medan yang merugikan kita di Akhirat kelak...



Wednesday, December 19, 2007

Ujian: lulus atau tidak?

Assalamualikum...

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ{155} الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ{156} أُولَـئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَـئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ{157

Maksudnya:
"Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar (155). (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" (156). Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk (157)". (Al-Baqarah)


Pengajaran yang boleh di ambil:

1) Perkara pertama ketika dibacakan ayat ini, pasti kita smeua tahu apa tujuannya, tidak lain tidak bukan ialah supaya kita menginsafi bahawa semua musbiah yang Allah turunkan kepada kita ialah ujian daripadaNYA. Dan jika kita adalah di antara hambaNYA yang bersyukur maka sebutlah ayat 156 ini . (yang bermaksud Sesungguhnya kami/kita adalah daripada Allah dan kepadaNYA lah kita akan kembali). Saranan ini bukan hanya ketika dikhabarkan kepada kita akan suatu kematian tetapi sunnahNYA adalah ketika kita ditmpa apa jua musibah.

2) Dalam ayat 155 membuktikan lagi kepada kita tentag kekuasaan Allah S.W.T. Jika kita antara hambanya yang sentiasa berusaha untuk mengimani sebaik mungkin kewujudan Allah, maka yakinilah bahawa hanya Allah sahaja yang mampu untuk membolak balikkan apa-apa yang kita ada (harta benda dan segalanya). Ramai di kalangan kita takut untuk memperkata yang benar semata-mata takutkaan ancaman kononnya 'rezeki' boleh ditarik balik atau dibekukan oleh sesetengah manusia/pihak lain.

3) Tunggulah janji Allah yang seterusnya jika kita mampu untuk mempraktikkan kedua saranan Allah S.W.T dalam 2 ayat yang telah dibincangkan di atas.

Sekali lagi Malaysia berdepan dengan situasi getir, banjir melanda di beberapa negeri di pantai timur. Ketika ini banjir turut telah melanda Kedah. Maka seeloknya maka kita lazimi diri kita denga sarana di atas tadi. Dan sedarlah banjir tadi datang adalah ujian daripada Allah untuk membuktikan lagi keimanan dan ketaqwaan hamba-hambanya.

Jika ada di antara kita atau keluarga kita yang turut terkesan dengan 'ujian' ini maka ingatkan lah kepada mereka tentang perkara ini. Dibimbangi kadang-kadang ada sekelompok manusia yang gagal mengawal emosi ketika berdepan 'ujian' sebegini seolah-olah menyalahkan taqdir. Moga kita semua terselamat daripada bala yang amat dahsyat ini iaitu kekufuran. Insaf dan sedarlah bahawa tiada tempat yang Allah sediakan di Syurga bagi mereka-mereka yang kufur terhadapnya.

post lama:
Doakan kesejahteraan...
Iktibar

Saturday, December 15, 2007

Pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail...

Assalamualaikum...

Zulhijjah kembali lagi. Usia kita masih berpanjangan dan diberikan peluang untuk bersua lagi dengan Zulhijjah. Seringkali kita didedahkan tentang apa yang diharuskan untuk kita lakukan di dalam bulan ini. Moga keprihatinan pihak-pihak yang membantu mendedahkannya mendapat ganjaran yang setimpal.

Umum mengetahui, dalam bulan ini lah peristiwa besar berlaku dan dilalui oleh semua umat Islam. Bulan ini lah antara bulan-bulan yang tidak pernah dilupakan oleh Umat Islam seluruh dunia khasnya di tanah air tercinta ini. Manakan tidak, satu-satunya tarikh awal bulan yang diumumkan secara lansung di dalam tv ialah bulan Zulhijjah. Sehari atau dua hari sebelum masuknya 1 Zulhijjah akan muncullah Penyimpan Mohor Besar Diraja untuk mengumumkan kehadiran bulan ini dan seterusnya menetapkan tarikh sambutan Aidul Adha. Maka keesokan harinya pula terpampanglah diseluruh dada-dada akhbar akan pengumuman tersebut.

Peristiwa yang dimaksudkan tadi ialah bepergiannya jemaah muslimin ke Baitullah Al-Haram untuk mengerjakan Haji dan juga peristiwa sambutan Aidil Adha yang akan diingati oleh semua Umat Islam seluruh dunia. Pada Pagi hari tersebut (bahkan mungkin minggu-minggu sebelumnya lagi) akan dikhabarkan lah kepada kita semua tentang sejarah bermulanya kisah Aidil Adha ini yang bersangkutan dengan peristiwa pelaksanaan mimpi Nabi Ismail oleh ayahndanya iaitu Nabi Ibrahim.

Peristiwa tersebut telah dirakamkan oleh Allah di dalam Surah As-Shaffaat ayat 102-107 (kisah ini dilanjutkan hingga ayat 111).

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ{102} فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ{103} وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ{104} قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ{105} إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلَاء الْمُبِينُ{106} وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ{107}

Maksudnya:

102. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" ia menjawab: "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".

103. Tatkala keduanya Telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya ).

104. Dan kami panggillah dia: "Hai Ibrahim,

105. Sesungguhnya kamu Telah membenarkan mimpi itu[*] Sesungguhnya Demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

106. Sesungguhnya Ini benar-benar suatu ujian yang nyata.

107. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar[**].

_______________________________________________________________________

[*] yang dimaksud dengan membenarkan mimpi ialah mempercayai bahwa mimpi itu benar dari Allah s.w.t. dan wajib melaksana- kannya.

[*] sesudah nyata kesabaran dan ketaatan Ibrahim dan Ismail a.s. Maka Allah melarang menyembelih Ismail dan untuk meneruskan korban, Allah menggantinya dengan seekor sembelihan (kambing). peristiwa Ini menjadi dasar disyariatkannya qurban yang dilakukan pada hari raya haji.

Maka seringkali khatib membawa kita mengimbau kembali peristiwa bersejarah tersebut. Dan pastinya kita memanjatkan kesyukuran atas Rahman dan Rahimnya Allah itu (tu pun bagi yang mendengar khutbah Aidil Adha la). Sudah tentu pasti kita akan bersyukur. Jika tidak digantikan Nabi Ismail Alahimassalam, nescaya akan lebih ramailah manusia yang kufur kepada perintah Allah dan lupa melaksanakan tanggungjawab kepadaNYA. Tatkala perintah Allah yang sampai kepada kita pada hari ini yang meliputi kewajipan harian kita pun kita abaikan, masakan perintah yang 'di luar batas' (korbankan anak) itu akan dituruti oleh semua Umat Islam. Moga kita sentiasa tergolong dalam golongan yang bersyukur. "Selingan: Sedarlah janji Allah :
dalam surah an-Nisa':147 dan Ibrahim:7" yang bermaksud :

.مَّا يَفْعَلُ اللّهُ بِعَذَابِكُمْ إِن شَكَرْتُمْ وَآمَنتُمْ وَكَانَ اللّهُ شَاكِراً عَلِيماً

147. Mengapa Allah akan menyiksamu, jika kamu bersyukur dan beriman ? dan Allah adalah Maha Mensyukuri[***] lagi Maha Mengetahui.(An-Nisa')

[***] Allah mensyukuri hamba-hamba-Nya: memberi pahala terhadap amal-amal hamba-hamba-Nya, mema'afkan kesalahannya, menambah nikmat-Nya.

.وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

7. Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".(Ibrahim)

Pengorbanan kedua beranak tersebut bahkan juga dua orang wanita solehah (Hajar dan Sarah Alaihimassalam) telah menjadikan umat Islam sedar tentang peranan dan tanggungjawab yang perlu mereka lakukan di muka bumi Allah ini. Bagi yang bersyukur semestinya mereka menginsafi dan mengkoreksi diri melalui peristiwa bersejarah ini. Sebaliknya pula bagi mereka-mereka yang 'terlupa'. Jadi di medan yang amat kecil peranannya ini, suka "diri ini" mengingatkan diri sendiri juga saudara-saudaraku di luar sana, sedarlah tanggungjawab kita terhadap Allah dan Islam ketika usia kita masih berbaki. Jangan tunggu sehingga nyawa dipenghujung hayat barulah masing-masing berusaha bersungguh-sungguh untuk menginsafi segala kelalaian yang telah kita lakukan ketika hidup kita yang amat singkat ini. Sesungguhnya mati itu adalah pasti, hisab itu adalah pasti, Sirat (titian) itu juga adalah pasti. Yang tidak pastinya adalah dimanakah tempat kita setelah hisab dan sirat itu.

Pengorbanan apakah yang telah kita lakukan untuk menjanjikan tempat yang selesa bagi kita di 'sana' kelak? Amalan-amalan yang dituntut oleh Islam, kita hanya lakukan seadanya. Bahkan bak kata pepatah Melayu 'bagai melepas batuk ditangga' (pepatah moden pula, "bagai 'melepas' di khalayak ramai"). Apabila diseru ke arah yang sepatutnya kita mencebik muka dan pasti mengata pula dihati. Kita merasakan seruan yang dibuat oleh saudara-saudara kita yang lain adalah suatu yang menjengkelkan. Usia kita masih muda apa perlunya kita menyahut seruan-seruan kebaikan tersebut. Mengapa perlu kita tergolong dalam golongan yang 'skema'. Itu lah antara kejahatan pemikiran kita tatkala melalui situasi yang 'amat merimaskan' tersebut.

Apakah penghayatan khutbah tadi hanya buat seketika? Kita menangisi ketika imam/khatib menangisi peristiwa tesebut (kebiasaan orang melayu, sekalipun tak faham apa yg di sampaikan. (berlaku di tanah air juga di mana-mana)). Ketika itu (waktu menagis tadi la) kita mula merancang untuk melakukan berbagai-bagai perubahan dalam diri kita. Tetapi sebaliknya selepas meninggalkan sahaja perkarangan Masjid/Surau kita kembalikepada tabiat-tabiat lama yang tidak menyumbang kepada pembangunan Islam juga tidak membuktikan pengorbanan kepada agama. Kemudian datang pula Zulhijjah yang lain, perkara yang sama menjadi rutin kita. Akhirnya apabila Izrail mula 'menjengah' baru lah kita sedar akan masa yang suntuk bagi diri kita memperjuangkan apa yang dituntut oleh Islam.

Zulhijjah akan berlalu sebagaimana berlalunya Ramadhan dan juga bulan-bulan yang lain. Peluang demi peluang Allah berikan untuk kita nikmati rahmat dan nikmatNYA juga Rahman dan Rahimnya Allah. Kita yang leka, kita yang lalai, kita yang alpa, kita yang terus dibuai angan-angan dan mimpi, kita lah segala-galanya. Peluang demi peluang dihidangkan dihadapan kita. Cuma kita galal memanfaatkannya sebaik mungkin.

Moga Zulhijjah kali ini membawa pengertian yang lebih mendalam bagi setiap kita. Penghayatan yang lebih hakiki dan ikhlas demi melahirkan tindakan dan perlakuan yang seiring dengan apa yang telintas di hati. Harapan agar baki usia yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin demi memastikan tempat yang indah di 'sana' nanti.

Koreksi diri kita setakat mana pengorbanan yang telah kita lakukan. Nabi Ismail telah melakukan pengorbanan yang cukup besar di ketika usianya masih mentah. Ammar Yasir juga mengikutinya. Ramai lagi pejuang-pejuang muda yang berkorban melangkaui usia mereka. Kita? kita masih di sini, di kelilingi kemewahan dan keindahan hidup. Kawan-kawan, keluarga, harta benda semuanya dijadikan sebab untuk kita mengelak daripada berkorban. Alsan demi alasan kita cipta semata-mata kerana kita lupa tujuan kita dihidupkan.

nota: jangan jadikan Kenabian Ismail dan Ibrahim itu sebagai alasan untuk mengelak daripada berkorban.

Tuesday, December 11, 2007

Sabar : Susah atau senang?

Assalamualikum...

Allah S.W.T telah merakamkan (berfirman) banyak ayat-ayat yang menyentuh perihal sabar. Natijah daripada banyaknya jumlah ayat yang berkaitan sabar tersebut, boleh lah disimpulkan bahawa kesabaran itu adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam dan jika tidak keterlaluan "diri ini" membuat kesimpulan bahawa untuk melatih diri supaya kekal sentiasa bersabar adalah suatu yang amat berat dan susah.

Dalam Surah Al-Baqarah ayat 153 Allah telah berfirman:

إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ...

Maksudnya: "... Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang-orang yang bersabar."

Tuntutan bersabar itu adalah suatu yg perlu kita semua penuhi. Sejumlah lebih 60 ayat yang menyebut tentang sabardi dalam Al-Quran. Ada yang berupa tuntutan secara jelas dan ada yang berupa kisah perjuangan mereka-mereka yang terdahulu daripada kita.

Dalam mengharungi kehidupan seharian, banyak kekangan dan desakan yang berlaku dalam hidup masing-masing. Kadang-kadang ianya menuntut kesabaran yang cukup tinggi untuk kita tanganinya. Sehinggakan kadang-kadang usaha kita untuk kekal bersabar adalah suatu yang sia-sia kerana kemarahan dan ketidakpuasan hati kekal lahir dan zahir dari diri kita. Apa yang pasti jangan kita jadikan kemarahan yang memuncak terus menguasai diri kita selamanya. Kekal lah berusaha untuk sentiasa menangani kemarahan atau isu itu dengan kesabaran. Sesungguhnya jika kita bersabar seadanya kita tidak sesekali mengalami apa-apa kerugian dalam hidup ini.

Sebagai seorang hamba Allah, ujian dan pancaroba kehidupan adalah asas dalam mengukur ketaqwaan dan keimanan kita terhadap Allah S.W.T. Apakah kita akan menjadi hambanya yang mengukur kasih sayang Allah itu melalui unjian-ujian tersebut atau sebaliknya. 2 kebarangkalian pengukuran dalam hal ini, pertama: hamba-hamba yang mengukur ujian tersebut sebagai ruang untuk memuhasabah diri atas kesalahan dan dosa yang telah dilakukan dan ada pula yang cuba untuk mengukur ujian dan pancaroba itu dengan tahap kasih sayang Allah S.W.T. jika dengan ujian dan pancaroba tersebut membolehkan hamba-hamba tadi merasai diri mereka sentiasa disayangi oleh Allah, itu adalah satu kebaikan dan kelebihan bagi mereka. Akan tetapi apa yang ditakuti ialah hamba-hamba yang mengukur tahap kasih-sayang Allah, seolah-olah DIA tidak menyayangi mereka kerana mendatangkan serta menimpakan ujian dan mehnah tersebut ke atas diri mereka.

Maka dalam menghadapi situasi ini, kita pelru lah sentiasa berlapang dada dalam meneruskan kehidupan ini samada dengan Allah S.W.T atau pun dengan makhluk-makhlukNYA yang lain terutamanya manusia. Jangan kita jadi golongan yang sentiasa menuntut kesabaran daripada orang lain ketika berlaku perselisihan antara kita, walhal kita pula sering tidak lansung menunjukkan dan membuktikan kesabaran kita dalam menangani sebarang perselisihan antara kita.

Jika hal itu dapat ditangani dengan baik oleh semua manusia nescaya akan aman lah dunia ini dari sebarang persengketaan. Ya, kita tidak nafikan bahawa itu (perselisihan) adalah lumrah dan resmi kehidupan di dunia ini, tetapi berusahalah supaya pertelingkahan dan perselisihan tersebut tidak terus memuncak kepada satu tahap yang sukar lagi untuk kita ramalkan.

Ayuh! didik dan bentuklah diri kita dengan sifat sabar. Sedarlah! kesabaran itu amat indah jika ianya mewarnai kehidupan seharian semua pihak.