Tuesday, January 16, 2007

Doakan Kesejahteraan Rakyat Malaysia

Setelah sekian lama mendiamkan diri, kini "diri ini" cuba untuk muncul kembali berkongsi apa jua cerita dengan semua warga diluar sana. Dunia semakin tua. Semua keselesaan kita dengan cuaca dan iklim sebelum ini telah berubah dan kucar-kacir. Ramalan kaji cuaca hanya tinggal ramalan. Tiada lagi keyakinan di pihak yang membuat ramalan untuk membuktikan kesahihan ramalan mereka. Kini cuaca seluruh dunia telah bersalahan dengan adat kebiasaanya. Malaysia juga tidak terkecuali daripada ditimpa musibah yang serupa. Sekeliling kita ditimpa bah yang cukup dahsyat. Kalau dulu kita boleh menjangkakan bila akan datangnya musim hujan dan sebaliknya, negeri mana dan kawasan mana yang akan ditimpa banjir dan sebagainya. Kini negeri-negeri yang tidak dijangkakan pun telah ditimpa banjir yang dahsyat. Tiada lagi individu yang boleh berbangga seolah-olah negeri mereka selamat daripada ditimpa banjir (musibah dan bencana). Kuala Lumpur satu ketika dulu dibanggakan dengan segala kemodenannya. Kini warga kota telah mengalami trauma dan mimpi ngeri dengan pelbagai bencana alam yang tidak dijangka telah berlaku beberapa tahun kebelakangan ini. Suatu ketika dulu pantai timur cukup sinonim dengan bahnya, akhir tahun sahaja tengkujuh pasti melanda. Kini yang dikatakan tengkujuh itu tetap hadir cuma masanya tidak menentu seperti dulu. Petani dan nelayan kini sungguh gusar dengan apa yang menimpa. Masyarakat merungut dengan kenaikan semua harga ikan dan sayur serta barangan runcit yang lain. Jangan kita lupakan golongan tadi (nelayan dan petani) yang melaksanakan tanggungjawab mereka hanya semata-mata kerana ingin memberi nafkah kepada keluarga masing-masing dengan menjadi nelayan dan petani. Mereka bersusah payah bercucuk-tanam serta mengharungi lautan dan ombak untuk tujuan itu. Tetapi bagaimanakan nasib mereka ketika ini? Apakah kehidupan mereka terjamin? Sama-samalah menyelami perasaan mereka ketika ini disamping kita menyelami perasaan keluarga dan masyarakat yang turut terlibat dalam bencana yang melanda Malaysia ketika ini. Pastikan kita sentiasa menghormati dan mengasihi sesama kita tanpa memikirkan darjat dan pangkat yang sementara itu. Sama-sama juga memahami dan cuba membantu golongan-golongan yang memerlukan. Manusia sering dan sentiasa memerlukan satu sama lain. Sekalipun mereka itu kekadang dinisbahkan sebagai golongan bawahan (pengnisbahan yang perlu dibuang terus dari kamus kehidupan kita) mereka tetap masyarakat dan elemen penting dalam pembangunan Ummah dan negara yang dicintai.

No comments:

Post a Comment