Sunday, August 06, 2006

Bersatulah wahai umat Islam semua...

Assalamualaikum...

Firman Allah Subahanahu-wa-ta'ala:


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ
Maksudnya :

"hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)." (Al-Maidah : 2)

Dalam Hadis Rasullullah Sallallahualaihi-wa-salam :

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَأَبُو عَامِرٍ الْأَشْعَرِيُّ قَالا حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ إِدْرِيسَ وَأَبُو أُسَامَةَ ح و حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْلاءِ أَبُو كُرَيْبٍ حَدَّثَنَا ابْنُ الْمُبَارَكِ وَابْنُ إِدْرِيسَ وَأَبُو أُسَامَةَ كُلُّهُمْ عَنْ بُرَيْدٍ عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

Maksudnya:
" Rasullullah telah bersabda : Sesungguhnya orang mukmin dengan mukin yang lain bagaikan sebuah bangunan, mereka saling kuat menguatkan antara satu sama lain." (Riwayat Muslim, 4684)

dan dalam hadis yang lain:

حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ الْقُرَشِيُّ قَالَ حَدَّثَنَا أَبِي قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو بُرْدَةَ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الإِسلام أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
Maksudnya:
" Sahabat bertanya kepada Rasullullah: Apakah yang paling afdhal (mulia@mempunyai kelebihan) dalam Islam? Rasulullah menjawab: Orang Islam yang menyelamatkan saudaranya (umat Islam yang lain) dari lidahnya dan juga tangannya." (Riwayat Bukhari, 10)

Ayuhlah saudara-saudara ku sekelian kita menggembling tenaga untuk berusaha bersatu atas panji yang telah lama kita abaikan لا إله إلَله محمد رسول الله

Semoga dengan kembalinya panji tersebut dalam fikiran dan kehidupan kita maka Islam akan kembali ke tempat yang selayak baginya.

Assalamualaikum.

Lina Joy ?

Assalamualaikum...

Satu lagi isu yang perlu diambil berat oleh semua umat Islam di Malaysia, iaitu isu berkaitan dengan permohonan penukaran nama dan agama oleh seorang wanita melayu yang memohon untuk menukar agama dan seterusnya nama kepada Lina Joy.

"diri ini" amat pasti semua kita telah masak dan faham tentang isu ini. Ramai di kalangan kita telah berusaha untuk sama-sama mengikuti perkembangan dan sama-sama menunjukkan penentangan kita terhadap permohonan tersebut yang jelas akan menyebabkan semakin ramai 'penganut Islam' yang akan memohon keluar daripada Islam.

"diri ini" hanya ingin membawa kita semua untuk menoleh sekejap ke belakang dan menoleh kepada diri kita, keluarga serta mereka-mereka yang rapat dengan kita. Apakah sumbangan kita untuk memastikan Islam terus sebati dengan umat Islam di Malaysia terutama golongan-golongan yang disebutkan tadi? Sedarkah kita sebenarnya apa yang berlaku tadi adalah disebabkan kelekaan kita untuk mengamalkan dan memastikan semua golongan yang rapat dengan kita tadi mengamalkan Islam dengan wajah yang sebenarnya yang telah jelas digambarkan di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasullullah.

"diri ini" tidak berhajat untuk menyalahkan sesiapa dalam perkara ini (sudah pasti kita salahkan mereka yang bukan Islam kerana ingin mencabar kedaulatan Islam) tetapi sedikit sebanyak kesalahan juga perlu kita letakkan dalam diri masing-masing. Berapa ramai di kalangan ibubapa kini yang lebih gemar anak-anak mereka berpakaian bagai seorang yang 'bertelanjang'? "diri ini" menyentuh bab pakaian adalah kerana ianya adalah punca utama yang "diri ini" nampak menyebabkan semua kita lari dari kefahaman Islam yang sebenar. Soalan seterusnya, berapa ramai ibubapa yang menekankan kefahaman Islam yang menyeluruh kepada anak-anak mereka? Berapa ramai pula yang lebih suka anak-anak mereka mengikut trend ( budaya dan pakaian) masa kini? Berapa ramai ibubapa yang hanya mengikut pendapat anak-anak tanpa bertegas untuk membimbing mereka ke jalan yang lurus (sebagaimana yang kita sering baca dalam solat dalam surah al-fatihah)? Berapa ramai pula ibubapa yang mereka sendiri melarang anak-anak mereka untuk memahami dan mengamalkan Islam sebagaimana yang mereka pelajari disekolah (dah tentulah guru-guru dan ustaz serta ustazah yang didik)? Berapa ramai pula ibubapa yang bertegas kepada anak-anak dalam perkara-perkara yang tak membawa manfaat kepada Islam dan sudah tentu tak bermanfaat untuk bekalan di akhirat kelak?

Cukup lah dahulu persoalan tadi tu. Harapnya semua kita menjawab dengan jujur soalan tadi. Bukan "diri ini" nak kita semua jawab jumlah bagi setiap soalan, tapi cukup untuk hanya kita fikir kita berada dalam golongan yang mana. Kalimah 'ibubapa' merangkumi semua golongan yang berkuasa dalam keluarga masing-masing bukan hanya tertumpu kepada ibubapa realiti sahaja.

Apakah kita sanggup kita digolongkan dalam golongan yang bercakap kosong sahaja tanpa berusaha untuk melaksanakan apa yang dituntut oleh Islam. jangan jadi golongan yang dicela Allah, sebagaimana yang telah difirmankan olehNya:


كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لا تَفْعَلُونَ

Maksudnya:
"Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."(As-Saff:3)

Jangan hanya melaungkan ketidakpuasan hati kita terhadap orang bukan Islam yang mencabar Islam, tetapi marilah sama-sama kita pastikan kita mengamalkan dan memastikan orang-orang di sekeliling kita juga turut mengamalkan Islam sebagaimana yang dituntut oleh Syara'. Moga-moga dengan perlakuan kita itu dapat menggerunkan mereka yang bukan Islam daripada melakukan penentangan kepada Islam. Dan sudah pasti jika kita semua berusaha kepada satu jalan, maka kesatuan akan jelas dan dapat memperkuat ikatan sesama kita.

Assalamualaikum.

Kelemahan yang telah digambarkan...

Assalamualaikum...

Tajuk tersebut dipilih kerana "diri ini" cuba untuk mengetengahkan pendapat tentang apa yang berlaku terhadap umat Islam ketika ini. Bukan kerana merasakan "diri ini" terlalu mantap dan unggul sehingga sanggup meletakkan sebarang cop atau tanda kepada umat Islam seluruhnya. Tetapi sekadar merenung kembali kepada hadis Rasullullah Sallallahualaihi-wa-salam yang jelas menggambarkan keadaan umat Islam suatu masa nanti (Zaman selepas kewafatan Baginda). Hadis tersebut adalah seperti berikut :


حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الدِّمَشْقِيُّ حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ بَكْرٍ حَدَّثَنَا ابْنُ جَابِرٍ حَدَّثَنِي أَبُو عَبْدِ السَّلَامِ عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
Maksudnya:
"Rasullullah Sallallahualaihi-wa-salam telah bersabda : Akan sampai suatu masa umat-umat lain akan meratah dan memamah kamu (umat Islam) laksana orang-orang yang mengelilingi hidangan, bertanya seorang sahabat kepada Rasullullah: adakah kami (umat Islam) ketika itu ramai atau sedikit? Jawab Rasullullah: bahkan jumlah kamu ramai tetapi hanya bagai buih-buihan ketika banjir@lautan, Allah menghilangkan kehebatan kamu dan menghilangkan perasaan gerun umat-umat lain terhadap kamu dan Allah mencampakkan di hati-hati kamu penyakit al-wahan, seterusnya bertanya sahabat kepada Rasullullah: apakah al-wahan itu? Jawab Rasullullah Sallallahualaihi-wa-salam: ianya adalah perasaan cintakan dunia dan bencikan mati".(Riwayat Abu Daud, 3745)

Wahai umat Islam semua, sedarlah kita ayuh bangunlah daripada lena yang lama yang disulami dengan mimpi yang dicipta oleh kita sendiri. Jelas penyakit tersebut telah melanda kita semua. Kita lebih mencintai dunia sehinggakan tiada lagi kehebatan yang dirasai oleh umat Islam. Dalam masa yang sama umat-umat lain hanya menjadikan kita 'kambing hitam' mereka. Kita diperlaku bagai binatang-binatang yang tidak bertuan yang mengganggu tanaman mereka. Mereka hanya menuggu masa untuk memastikan kita semua pupus dari dunia ini (meskipun perkara tersebut adalah mustahil).

"diri ini" tidak menafikan masih ada umat Islam yang terus bersama kehebatan Islam, mereka berusaha untuk mengetengahkan Islam sebagai suatu produk yang boleh memikat hati semua manusia. Tetapi kita jangan lupa dan menafikan realiti ketika ini, yang jelas dan zahir adalah golongan semacam kita yang terus leka dan lalai dan hanya seronok dan ditipu dengan kehidupan dan kemewahan dunia. Kita dibuai dengan perkhabaran yang serba cantik tentang kehidupan dunia sehingga kita terlupa (meskipun kekadang tetap 'mengingati' akhirat) tentang janji-janji Allah kepada pejuang-pejuang dan pendakwah-pendakwah yang berusaha meletakkan diri mereka dijalan Allah Subahanahu-wa-ta'ala.

Sanggupkah kita terus diperlakukan bagai binatang yang tidak bertuan?

Terpulang kepada kita semua untuk memuhasabah dan melakukan check & balance kepada diri sendiri dan keluarga serta mereka-mereka yang berada di sekeliling kita.

Assalamualaikum.

Saturday, August 05, 2006

Mengapa tercetusnya peperangan antara israel dan Hezbullah?

Assalamualaikum...

"diri ini" nak berkongsi sedikit maklumat-maklumat yang diterima (tak semestinya betul, kita tengok dan nilai aje ) dari pelbagai pihak terhadap apa yang berlaku antara hezbullah dan israel.

Apabila mula meletusnya peperangan antara Hezbullah dan israel ramai di antara kita mengeluarkan pandangan terhadap apa yang berlaku. "diri ini" tertarik kepada beberapa andaian yang dikemukakan oleh beberapa pihak dan didengari atau dibaca sendiri oleh "diri ini".

1. Hezbullah melakukan serang hendap dan seterusnya menculik 2 tentera israel sebagai tebusan untuk ditukarkan dengan tawanan yang merupakan ahli mereka ( boleh diterima dan tidak perlu diulas)

2. Hezbullah melakukan tindakan tersebut semata-mata kerana ingin membantu saudara-saudara mereka di Palestin yang saban hari dihina dan diperlakukan bagai binatang yang tidak bertuan. ( Alasan yang menyejukkan hati semua pihak, kerana masih wujud kelompok Islam yang mampu melakukan protes secara terbuka hingga menyebabkan dunia kecoh dan terpaksa membincangkan jalan penyelesaian, sekalipun semua jalan penyelesaian itu memihak kepada israel )

3. israel sengaja mencipta alasan untuk menyerang Hezbullah kerana sebelum ini Hezbullah dengan jelas memberikan sokongan kepada saudara-saudara mereka di Palestin dalam menghadapai sifat dan sikap kebinatangan israel. Mereka ingin mengalihkan pandangan dunia kepada Lubnan dan Hezbullah semata-mata untuk mengelak masyarakat dunia mengambil berat apa yang dilakukan mereka terhadap rakyat dan kerajaan Palestin. (Antara hujah yang famous dan masuk akal kerana memang terbukti dunia semua melupakan Palestin bilamana Lubnan diserang. Bahkan semua agensi berita dunia sengaja memperbanyakkan berita berkenaan peperangan Hezbullah dan israel meskipun berita tersebut tidak sahih. Berita Palestin kalau ada pun sikit sangat dan terletak di sudut-sudut yang tak akan dilihat oleh orang).

4. Peperangan yang meletus itu adalah rekaan dan mainan serta perancangan israel bersama Hezbullah (syiah). Alasan yang dikemukakan ialah kerana syiah memang berhajat kepada Baitul Maqdis untuk menunjukkan kekuasaan mereka dan membawa semua umat islam menganut fahaman Syiah. dan ini terbukti juga melalui sejarah dunia Islam bilamana Syiah bersekongkol dengan yahudi untuk meluaskan pengaruh mereka di dunia Islam. syiah juga berusaha untuk menjadikan Lubnan negara syiah yang seterusnya. ( 1. sentimen syiah sunni yang paling ketara. apa yang pasti kemungkinan juga boleh "diri ini" bawakan ialah ini juga antara mainan kuffar yang ingin terus melaga-lagakan sunni dan syiah. dan mereka ingin memastikan pengikut sunni tidak mebantu Hezbullah yang memang dikenali sebagai kelompok syiah. Nah, tak berapa lama lepas tu terus ada yang buat kenyataan untuk menghalang umat Islam membantu Hezbullah walau dengan doa. Salahkah jika kita berdoa untuk kesejahteraan umat Islam seluruhnya? 2. Rujuk juga sejarah, pernahkah yahudi mengorbankan walau satu nyawa bangsa mereka semata-mata ingin mendapatkan pengaruh dan kekuasaan? Tengok sahaja kepada apa yang berlaku pertengahan 90-an dahulu. Mereka sanggup menukarkan beratus-ratus nyawa umat Islam semata-mata inginkan bangkai hanya beberapa org yahudi yang mati di medan pertempuran dengan Hamas dan juga Hezbullah suatu ketika dahulu. Apakah boleh diterima akal yang israel sanggup mengorbankan hampir seratus (setakat ni la) nyawa yahudi semata-mata ingin memastikan perancangan mereka bersama Hezbullah berjalan lancar? 3. Bilamana Hezbullah menghalau Yahudi dari Lubnan setelah peperangan saudara yang amat panjang di Lubnan tiada pula yang menunding tuduhan kepada Hezbullah seolah-olah mereka berkomplot dengan Yahudi? 4. Sanggupkah Hezbullah korbankan pengikut mereka semata-mata nak berkomplot dgn yahudi? ye lah ada yang kata sebab hezbullah nak hapuskan sunni kat Lubnan.- cukup kot ulasan pasal point yg ni nanti panjang lak tulisan ni )

5. israel mula menunjukkan taring untuk memastikan rancangan mereka memajukan bumi yahudi merangkumi seluruh tanah Arab (meliputi furat dan nil). (ni memang jelas lah). Supaya mereka mudah menawan syria pula lepas ni. Lepas tu kerja mereka jadi mudah. sebab baki negara Islam yang lain adalah umat-umat yg suka menurut aje. ("ye la mana boleh 'lawan' kerajaan, kan ke hukumnya haram tu..so patuh je lah sekalipun kerajaan bersekongkol dengan yahudi dan amerika juga sekutu-sekutu mereka").

6. israel buat langkah permulaan untuk tunjuk kepada amerika yang dunia islam memang dah lemah dan mati. Mereka dah tak ada sifat saling tolong menolong apatah lagi semangat jihad pemuda-pemuda mereka juga dah terperosok ntah ke mana. Lepas tu mudah lah amerika dan konco-konconya nak serang Iran. ( kita semua faham kan isu ni? isu nuklear lah kononnya)

itu lah antara alasan yang famous dan familiar didengari dan dibaca sepanjang krisis ini berlaku. ada lagi tapi cukup lah rasanay "diri ini" bawakan setakat itu aje. Yang penting dan muhimnya kita semua fikir-fikirlah. Semua ulasan dalam kurungan tu adalah apa yang "diri ini" fikirkan tatkala mendengar dan membaca respon terhadap krisis ini. Dan untuk peringatan "diri ini" masih bersetuju dengan pandangan yang kedua dan ketiga tanpa mengkesampingkan pandangan pandangan yang lain keculai pandangan keempat. Siapa yang tak setuju tu bolehlah kemukakan pandangan pula. Kita boleh berbincang.Lagipun ini pandangan peribadi je pun...

Assalamualaikum.

Hezbullah@Lebanon vs israel

Assalamualaikum...

Pujian dan syukur dipanjatkan kepada Allah Subahanahu-wa-ta'la atas segala nikmat dan rahmatNya. Alhamdulillah "diri ini" masih diberi peluang dan kesempatan untuk terus berkongsi apa yang terlintas dalam fikiran ini. Saban hari memikirkan tajuk-tajuk dan topik untuk dibawa berkongsi bersama semua pihak tetapi apakan daya "diri ini" hanya sekadar memikir tanpa mengambil langkah membawa segala yang terlintas tersebut ke hadapan.

Setelah hampir 3 minggu berehat dan membaca serta memerhati semua ulasan dan bicara lapisan masyarakat terhadap isu-isu yang melanda dunia ketika ini, "diri ini" berusaha untuk turut sama-sama berkongsi perkara yang sama.

Hampir sebulan berlalu israel terus melakukan pembantaian terhadap rakyat Lubnan dengan menggunakan lesen untuk melumpuh dan menghapuskan semua rangkaian yang berkait dengan Hezbullah. Mereka melakukannya tanpa rasa belas ihsan terhadap rakyat Lubnan terutamanya umat Islam. Dengan menggunakan segala kekuatan udara, mereka memsunahkan hampir keseluruhan Lubnan tanpa sediktpun rasa bersalah (rujuk semua laporaqn kenyataan perdana menteri israel). Subahanallah dan Alhamdulillah, mereka merasakan telah melakukan perancangan yang rapi untuk menghancurkan Lubnan tetapi mereka terlupa Allah lah yang memiliki sekelian alam ini dan sesunggguhnya perancangan Allah itu mengatasi segala-galanya. Tatkala amerika dan sekutu-sekutunya terus kukuh berdiri dibelakang israel, masyarakat dunia terus melakukan protes dan tunjuk perasaan agar israel memberhentikan perlakuan yang tidak berperikemanusiaan tersebut. Meskipun israel adalah bangsa yang tidak pernah mengambil berat pandangan orang lain, kita mengharapkan dengan tunjuk perasaan masyarakat dunia tersebut dapatlah memberi kesan ke atas apa yang israel usahakan. Ketepikan amerika dan sekutu-sekutunya, kerana mereka ini mempunyai matlamat yang sama dengan israel iaitu menghapuskan umat Islam dan memastikan Islam pupus di dunia. Apa yang penting bagi kita semua adalah berusaha untuk menunjukkan kesatuan umat Islam supaya di sana wujud walau sedikit sekalipun rasa gerun kuffar kepada umat islam seluruhnya.

Apa yang dikesalkan ketika ini ialah wujud kelompok-kelompok yang berusaha untuk menunding kesalahan kepada Hezbullah kerana menculik tentera israel. Mereka berhujah dengan perlakuan tersebutlah menyebabkan meletusnya peperangan atanra israel dan Lubnan seterusnya menyebabkan melayang beratus-ratus nyawa yang 'tidak bersalah'. Entahlah "diri ini" sendiri rasa sangsi dengan kenyataan tersebut. Tetapi apa yang pasti "diri ini" masih seperti ketika peperangan ini meletus, mengharapkan Hezbullah dengan bantuan pengikut sunni di Lubnan dapat menghapuskan israel (sekalipun ianya amat mustahil). Tidak kah kelompok-kelompok tadi memikirkan kenapa Hezbullah melakukan penculikan tersebut?
Merujuk kepada alasan yang dikemukakan oleh Hassan Nasrullah (Setiausaha Agung Hezbullah) bahawa penculikan tersebut dilakukan adalah untuk membawa dan mengalih perhatian israel supaya tidak terus melakukan pembantaian yang sememangnya tidak berperi kemanusiaan terhadap rakyat Palestin. Meskipun masih ada yang menolak alasan tersebut, "diri ini" ingin mengajukan satu soalan yang entah dapat membantu atau tidak merungkai sedikit kekusutan di minda kita semua. Sedarkah anda semua, di manakah lokasi penculikan tersebut berlaku? Tidakkah ianya berlaku dalam wilayah Lubnan? siapa yang bersalah di sini? Hezbullah atau tentera-tentera israel yang menceroboh wilayah Lubnan?

Semoga persoalan tadi dapat membantu kita dalam melihat isu ini dengan lebih adil dan berperikemanusiaan.

Assalamualaikum.

Thursday, July 13, 2006

Dunia Islam Didendami

Assalamualaikum...

Apakah isu yg menarik perhatian anda sepanjang minggu ini? Apakah isu yang membuatkan anda termenung dan memikirkan tentangnya?

Pelbagai soalan boleh dikemukakan. Cuma pada kesempatan yang singkat ini, sekadar ingin membawa saudara-saudari semua supaya sentiasa melihat dan mengambil tahu apakah yang berlaku sepanjang minggu ini dan minggu-minggu akan datang kepada dunia Islam. Israel dan semua konco-konco dan tali barutnya telah sepakat untuk mempertahankan Israel dan memerangi dunia Islam terutamanya Lubnan dan Palestin.

Jika dilihat sepanjang peristiwa kekecohan ini berlaku, muncul jaguh-jaguh dunia yang memusuhi Islam bersatu mengumpul kekuatan untuk berhadapan kemungkinan-kemungkinan mereka diserang oleh umat Islam. Tetapi dalam masa mereka semua sibuk, Dunia Islam sendiri terus dilanda kegelapan dan kemurungan serta kelesuan terhadap sikap dan tabiat umat Islam sendiri. Umat Islam sibuk dengan kemenagan Italy dalam perlawanan akhir piala dunia, Memikirkan apakah sebab yang membuatkan zinedine zidane menanduk dada mitterazzi, dan tidak ketinggalan di malaysia yang sibuk dengan segala macam program realiti Tv (terutamanya AF). Sibuk memikirkan siapakan yang akan menjuarai dan siapa yg akan disingkir minggu berikutnya.

Dalam pada itu saudara-saudara kita di tempat lain diserang dan diperangi sehinggakan tiada tempat lagi untuk mereka berlindung. hinggalah mereka tiada pilihan melainkan mati dengan berperang daripada mati tanpa berusaha menyelamatkan bumi mereka dan juga bumi suci untuk umat Islam itu sendiri. Kita pula hanya sibuk mebahsakan mereka semua sebagai pengganas yang tidak reti untuk berdamai dan suka kepada kemusnahan.

Tidakkah kita insaf dan berfikir, siapakah pengganas yang sebenarnya? Israel? Amerika? Russia? Perancis? atau ...? Bagi "diri ini" ketika ini jawapan yang selayaknya ialah kita sendiri (umat dan pemimpin umat Islam) adalah pengganas dan musuh bagi saudara-saudara kita yang diperangi. Masakan tidak? kita asyik dibuai kelekaan dan kesenangan tanpa memikirkan kesusahan yg saudara-saudara kita hadapi. Kita sering melemparkan paling kurang secebis tuduhan kepada saudara-saudara kita di sana tanpa menyelami apakah yang sebenarnya berlaku ke atas mereka.

Teruskanlah dengan sikap tunggu dan lihat kita, selagi tanah air kita sendiri tidak diperangi. Saat itu nanti barulah kita akan menyalahkan dunia Islam dan umat-umatnya yang lain yang hanya melihat kehancuran tanah air kita.

Video: Nasyid Arab

Farshi Turab

Friday, June 30, 2006

Pembohongan Di Sebalik Isu Palestin...

Assalamualaikum..

Semoga semua yang berada di luar sana berada dalam keadaan sihat wal-a'fiat. Telah hampir 2 minggu pos baru gagal dimasukkan ke dalam blog ini, maka pada kesempatan yang sedikit ini "diri ini" berusaha untuk memasukkan pos baru bagi memastikan blog ini terus berfungsi dan membawa matlamat yang dinginkan.

"Diri ini" amat berharap kepada semua warga muslim Malaysia agar tidak melupai isu-isu yang menimpa saudara kita di Palestin sekalipun Malaysia kini digemparkan dengan isu 'teguran' Tun Dr. Mahathir terhadap Kerajaan Malaysia dan juga tindak tanduk balas pihak kerajaan terhadap semua teguran dan juga kritikan tersebut. Memang diakui 'serangan' dan kritikan tersebut adalah di luar jangkaan umum dan semestinya apabila ia berlaku maka sudah pasti semua rakyat berusaha untuk memahaminya. Tetapi janganlah seklai-kali kita abaikan tanggungjawab kita utk mengambil berat dan memberi sedikit ruang masa kita untuk membaca dan memahami isu-isu yang melanda umat Islam secara keseluruhannya.

Pada 26 Jun 2006 (Ahad) Dr. Mahmoud Al-Ramahi, setiausaha PLC telah bertindak memberikan kefahaman kepada umat Islam dan Dunia kepada isu yang digembar gemburkan oleh agen berita dunia (sudah semestinya didalangi oleh puak yang memerangi Islam). Agen-agen berita dunia telah dengan sengaja atau sebaliknya telah memutar belitkan isu yang melanda rakyat palestin dan menggambarkan seolah-olah semua perkara (pembunuhan) yang berlaku di Palestin adalah berpunca daripada tindakan puak pembebasan Palestin. Apa yang malangnya ada di antara Umat Islam yang mempercayainya seratus peratus dan meletakkan segala kesalahan kepada Rakayat Palestin. Tambahan pula mereka telah memilih HAMAS sebagai kumpulan yang dipercayai untuk memimpin Palestin.

Mengikut kenyataan Dr. Mahmoud Al-Ramahi, segala yang berlaku (serangan puak pembebasan Palestin terhadap Israel) adalah tindak balas yang dilakukan setelah israel (sengaja menggunakan huruf kecil..kerana tidak mahu meletakkan kemuliaan kepada israel) menyerang dan meletupkan wilayah-wilayah Palestin secara membabi-buta. Beliau juga telah dengan jelas menggambarkan kesedihan beliau di atas pembohongan fakta tersebut dan juga tindakan Umat Islam sendiri yang tidak mempercayai rakyat palestin bahkan sering meletakkan israel di atas landasan yang 'betul'.

Apakah kita semua tidak mempunyai perasaan untuk melihat pembebasan Palestin? Bagaimana pembebasan boleh berlaku jika kita sendiri (umat Islam) sering menyalahkan rakyat Palestin di atas semua perkara yng berlaku, dan menggambarkan seolah-olah israel sentiasa di pihak yang benar? Sudah cukupkah dengan apa yang kita lakukan di dunia ini, sehingga kita mudah berpuas hati terhadap isu-isu yang melanda umat Islam di luar dari negara kita? Banyak lagi persoalan yang boleh kita timbulkan terhadap diri sendiri, tetapi apakah kita melatih dan mebiasakan diri untuk mempersoalkannya?

Semoga kita sentiasa bersama golongan-golongan yang meperjuangkan masa-masa mereka demi melihat kebenaran Islam itu terserlah di muka bumi ini. Jangan kita jadikan diri kita msuh terhadap golognan-golongan ini dan menjadikan diri kita mengambil tindakan yang sebaliknya (lalai daripada berusaha meletakkan Islam di tempat selayaknya) daripada tindakan yang diambil oleh golongan-golongan tadi. Semoga isu ini dapat menjadikan kita senitasa sedar di atas segala tindakan kita semua sementara usia yang dikurniakan Allah ini masih berbaki dan masih relevan untuk kita beramal.

wassalam..



Friday, June 16, 2006

Tanggung Sendiri Setiap Amalan

Assalamualaikum,

Firman Allah Subahnahu-wa-taala:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ أَسَاء فَعَلَيْهَا ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

Maksudnya:
Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.(Al-Jaathiyah :15)

قُلْ أَغَيْرَ اللّهِ أَبْغِي رَبًّا وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَيْءٍ وَلاَ تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلاَّ عَلَيْهَا وَلاَ تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى ثُمَّ إِلَى رَبِّكُم مَّرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ


Maksudnya :
Katakanlah wahai Muhammad (pesankan kepada umatmu), Patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya dan seseorang itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Dia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.( Al-An'am :164)

Sahabat-sahabat sekelian,
Sengaja memilih ayat-ayat untuk sama-sama kita renungkan agar kita tidak tersilap faham tentang apa yang ingin disampaikan. Ketika "diri ini" rasa ingin membawa ayat ini kedepan kalian, teringat situasi di mana orang-orang melayu sering menggunakan istilah "jangan menjaga tepi kain orang" dan "diri ini" merasakan boleh kita kaitkan istilah tersebut dengan ayat-ayat ini. Di sana masih ada ayat-ayat lain yang juga berkaitan perkara yang sama. kita selalu atau paling tidak pun biasa mendengar ayat yang Allah ceritakan keadaan ketika di padang mahsyar nanti (hari kiamat). Ketika saat itu terjadi bertempiaranlah manusia semua di hadapan Allah Subhanahu-wa-ta'ala. Ibu-ibu tidak punya masa untuk membicarakan hal suami-suami atau anak-anak mereka dan begitu juga yang lainnya. maka disutu bukti tentang perihal amalan itu berbalik kepadai ndividu itu sendiri.
Apa yang ingin dibicarakan ialah salah faham kita kepada konsep ini. Ada sebilangan kecil di antara kita yang mengatakan, nah! inikan dalil yang jelas tentang amalan masing-masing, jadi kenapa ada pihak yang sibuk nak memperbetulkan pihak yang lain atau ada pihak yang sering menasihati pihak yang lain? Kita katakan kepada mereka, bukankah di sana masih ada ayat-ayat yang Allah ceritakan dan khabarkan kepada kita tentang tanggungjawab kita di dunia ini. Antara tanggungjawab seorang muslim ke atas makhluk Allah yang lain adalah berbuat baik kepada mereka dan juga sentiasa menasihati dan memperbaiki setip apa yang dilihatnya perlu dibaiki berdasarkan dalil dan pimpinan daripada sumber hukum di dalam Islam.
Semoga kita semua tidak tergolong di dalam golongan yang mengambil mudah konsep ini, dan memarahi atau membenci mereka-mereka yang ingin membantu kita dan dalam masa yang sama membantu diri mereka sendiri agar bersikap dan beramal sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

Sekian, wassalam..





Berbuat Baik kepada Ibubapa..

السلام عليكم

Secara ringkas..18 Jun ini akan meriahlah dunia ini dengan sambutan hari bapa sekalipun sambutan tersebut tidaklah semeriah sambutan hari ibu dan hari-hari lainnya.Bukan tujuan tulisan ini untuk membawa pembaca kepada menilai asal-usul kepada sambutan ini, tetapi sekadar ingin memastikan "diri ini" dan juga semua di luar sana agar melakukan post mortem tehadap sikap kita kepada kedua ibubapa.

Firman Allah Subhanahu-wa-taala :

وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيمًا

Maksudnya :
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uff" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Al-Isra' :23)

Sama-samalah kita melihat maksud ayat tersebut dan mengkaji apakah kita terselamat daripada perbuatan yang ditegah oleh Allah Subahanhu-wa-taala dalam ayat di atas. Ulama Fiqh dan Tafsir melihat dan membahaskan tentang maksud perkataan 'uff' dan sependapat mengenai hukumnya. Mereka melihat dalam ayat di atas bahawasanya Allah Subhanahu-wa-taala melarang kita semua dari menyakiti kedua ibubapa kita sekalipun dgn perkataan yg sedemikian. Maka bagaimana pula dengan tindakan kita yang jauh lebih buruk daripada itu?

Berbalik kepada isu sambutan hari bapa, "diri ini" bukan hendak menghukum terhadap mereka yang menyambut hari tersebut, tetapi sekadar ingin mengingatkan diri sendiri dan juga yang lainnya agar janganlah kita hanya berbuat baik kepada kedua ibubapa kita (dalam konteks perbincangan kali ini 'bapa') pada hari-hari yang telah ditentukan sebagaimana yang telah dimaklumi semua. Teruskan usaha kita untuk beramal dan melakukan kebajikan kepada mereka dan mengasihani keduanya. Rehatkanlah mereka daripada karenah kita yang merunsingkan dewasa ini. Cukuplah apa yang telah kita lakukan ketika kecil dahulu. Serikan mereka dengan keranah dan perbuatan yang menyenangkan mereka berlandaskan petunjuk Al-Quran dan Sunnah (Islam).

Bagi yang tidak menyambut hari tersebut pula dan mungkin tidak pernah mengetahuinya, janganlah mengabaikan tanggungjawab kita terhadap mereka berdua selama mana kita berpeluang untuk berbuat demikian. Apakah setelah ketiadaan mereka kelak baru kita hendak menyesali setiap tingkah laku kita terhadap mereka (sekalipun kebiasaannya hanya seketika)?

والسلام

Monday, June 12, 2006

Istilah...?

Assalamualaikum...

Ada sahaja perkara yang tak berkenan di hati ni. Hari ni sekadar nak bawa beberapa istilah yg perlu diubah-pakai oleh semua.

Apakah mereka yang berjuang di palestin itu layak dipanggil militan? Belum sempat merujuk kamus Dewan Bahasa kerana tak tau lah kat sapa ada kamus tu kat 'sini'. Tapi daripada penggunaan suratkhabar sebelum ini bolehlah kita nisbahkan maksud militan tu dituju kepada puak pengganas. bukan kah begitu? jadi apakah mereka yang berusaha hendak mendapatkan balik hak mereka boleh dianggap militan? membaca tajuk akhbar dalam berita harian hari ini "Pejuang Palestin Terus Lancarkan Roket" di bahagian berita dunia semangat jadi berkobar-kobar untuk mengikuti perkembangan laporan akhbar tersebut (sekalipun berita tersebut dah keluaq kat laman palestin dari hari sebelum tu lg). Tapi menyedihkan..ayat yang mula digunakan oleh pemberita tersebut ialah..

"BAITULMAQDIS: Militan Palestin melancarkan kira-kira 10 pelancar roket di Israel dari Semenanjung Gaza awal semalam, hampir mengenai sebuah koleh di bandar selatan Israel, Sderot, kata tentera dan khidmat bantuan".

Nah! pelik jika kita lihat di situ, mereka yang menuntut hak mereka daripada perampas dipanggil militan dan pihak yang merampas pulak kita istilahkan dengan istilah yang baik "tentera Israel". Apakah tiada keadilan bagi kita sesama Islam? Apakah kita tidak mengguris hati saudara-saudara kita di sana? Apakah perasaan mereka jika kereka dilaporkan tentang keadaan ini? Meskipun kami di sini tak tergamak nak sampaikan perkara tersebut, tapi tak mustahil mereka akan dapat tahu suatu hari nanti..
Malaysia lah yang sering diharapkan membantu mereka, satu-satunya negara bukan arab yang lantang (kononnya) untuk memperjuangkan hak Palestin. Tapi dalam bab yang sekecil ini pun kita gagal. Jadi sama-samalah kita berfikir agar tidak melakukan perkara yang sama.

Dalam isu yang kedua, terdengar seketika tadi ada sahabat yang menggunakan istilah "perkahwinan adalah satu perjudian". Jadi hati memberontak untuk membantah penggunaan tersebut. Sekalipun akan ada yang menganggap ianya isu tempelan sahaja tetapi tetap "diri ini" hendak membawanya juga ke hadapan pembaca.
Kenapakah Perkahwinan Yang dimuliakan dalam Islam di gandingkan dengan suatu yang diharamkan dalam Islam. Bukankah Halal dan haram itu tak boleh duduk bersama-sama? hinakah perkahwinan itu semata-mata kerana sesetengah individu yang tidak melaksanakan tanggugjawab terhadap perkahwinan mereka maka kita dengan senang hati menggabungkan istilah yang sememangnya bersalahan (kontra) antara satu sama lain? Dalam isu ini cukuplah "diri ini" mengajak semua kita berfikir tentang setiap istilah yang kita gunakan. Biarlah orang lain menganggap ianya isu kecil, tetapi kita tetap memuliakan apa yang dimuliakan Allah dan RasulNya ( Islam).

Teringat kepada hadis nabi Muhammad Sallallahu-alihi-wasallam:

حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ حَدَّثَنَا زَكَرِيَّاءُ عَنْ عَامِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النُّعْمَانَ بْنَ بَشِيرٍ يَقُولُ :
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْحَلَالُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا مُشَبَّهَاتٌ لَا يَعْلَمُهَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ فَمَنْ اتَّقَى الْمُشَبَّهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ كَرَاعٍ يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يُوَاقِعَهُ أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلَا إِنَّ حِمَى اللَّهِ فِي أَرْضِهِ مَحَارِمُهُ أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya :
Sesungguhnya Nu'man b. Basyir berkata : Aku mendengar Rasullullah Sallallahu-alihi-wassallam bersabda : Sesungguhnya perkara yang halal itu telah jelas dan yang haram itu juga telah jelas. Dan di antara keduanya terdapat perkara yang syubhah (yang disangsikan),kebanyakan manusia tidak menyedari tentangnya. Barangsiapa yang menjaga perkara tersebut maka dia telah memelihara Agamanya dan maruahnya dan sebaliknya barangsiapa yang termasuk dalam golongan yang melakukan perkara tersebut (yang disangsikan halal dan haramnya) maka sesungguhnya dia telah jatuh kepada perkara yang haram, sebagaimana pemilik peliharaan membawa peliharaannya di kawasan larangan dan dia tidak menyedari binatang peliharaannya memakan makanan di kawasan itu, sesungguhnya Allah Suhanahu-wa-ta'ala telah menetapkan sempadan bagi setiap pemerintahan dan ketahuilah sempadan bagi Allah Subhanahu-wa-ta'ala ialah perkara-perkara yang haram dan ketahuilah sesungguhnya di dalam jasad (badan) manusia ada segumpal daging yang bercampur dengan darah apabila baik daging tersebut baiklah keseluruhan seseorang itu dan apabila buruk daging tersebut maka buruklah keseluruhan orang tersebut. Ketahuilah bahawasanya itulah hati. (dan ada yang memahami kepada maksud hakiki kalimah tersebut sebagai jantung).


السلام عليكم

Alhamdulillah...

السلام عليكم

Alhamdulillah..tepat jam 11:40 tadi abis jawab exam paper terakhir untuk semester ni. tapi sekadar untuk mengingatkan diri sendiri dan juga semua muslimin kat luar sana, bahawa peperiksaan yang dihadapi sepanjang tempoh pembelajaran adalah suatu peperiksaan yang kecil sahaja jika nak dibandingkan dengan peperiksaan yang lebih utama..(macam post terdahulu: Peperiksaan dunia lebih utama?). Apa yang pasti jika kerana peperiksaan dalam tempoh pembelajaran dan juga hidup kita resah dan bimbang terhadap keputusan yang bakal terhasil, bagaimana dengan peperiksaan di 'SANA'? Sudahkah kita mempersiapkan diri kita sebaiknya.

والسلام

Friday, June 09, 2006

Adakah Kau lupa :

adakah kau lupa



Wednesday, May 24, 2006

Israel buat dajal lg...

Assalamualaikum...

Terkejut dengan laporan secara lansung Al-Jazeera (Bahasa Arab) di dalam saluran beritanya petang tadi sekitar jam 3:00 pm (jordan) dan 8:00pm (malaysia) Israel masuk ke kawasan penempatan rakyat Palestin di Gaza dan melakukan serangan terhadap mereka. Melihat siaran tersebut, "diri ini" terfikir bagaimanakah Palestin dituduh sebagai pengganas tatkala yang sentiasa melakukan keganasan dan serangan adalah pihak Israel?? ketika saat tersebut 2 orang saudara kita syahid hasil pertempuran dengan tentera Israel dan 11 lg tercera (tak pasti terlibat dgn pertempuran atau orang awam).

Aduhai masyarakat Islam seluruh dunia, adakah kita masih membiarkan saudara-saudara kita di sana tanpa pembelaan?? mereka tidak meminta utk kita sama-sama berjuang dan menghadirkan diri di bumi mereka, tetapi cukup sekadar kita melaungkan bantahan terhadap elemen-elemen yang memusushi mereka dan Islam khususnya. Kita di Malaysia sentiasa diwar-warkan tentang kemewahan dan kemakmuran negara sehinggakan kita menafikan hak saudara-saudara seislam kita di bumi suci tersebut. Ayuh bangkitlah lakukan sedikit perubahan demi memastikan Islam subur di bumi Allah ini.

Assalamualaikum..

Komen...

Wanita sanggah teguran Nik Aziz


KOTA BHARU: Kalangan wanita di negeri ini, termasuk peniaga menyangkal kenyataan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat kononnya pemakaian barang kemas untuk menunjuk-nunjuk dan tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.


Sambil meminta Menteri Besar Kelantan itu memahami naluri wanita yang sukakan barang kemas, mereka juga berpendapat barang kemas yang ada pada mereka boleh dijadikan sandaran untuk mendapat wang ketika kecemasan.


Peniaga ikan, Hasmah Ali, 49, berkata tindakannya memakai barang kemas ketika keluar rumah termasuk berniaga di pasar bukannya untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya bimbang dicuri ketika disimpan di rumah.

“Barang kemas yang banyak adalah satu bentuk pelaburan jangka panjang untuk wanita ketika mempunyai lebihan wang.

"Sekiranya terdesak untuk mendapatkan wang, barang kemas yang ada itu menjadi sumber utama kerana boleh dijual dan digadai serta merta. Saya memakainya kerana bimbang meninggalkan di rumah kerana banyak kejadian pecah rumah," katanya.

Hasmah juga menyangkal kenyataan Menteri Besar itu yang mengatakan pemakaian barang kemas yang banyak pada diri tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kerana melumpuhkan gerakan emas.

Penjual sayur, Fauziah Ali, 45, berkata beliau menghormati pendapat Nik Aziz tetapi pada masa sama meminta Menteri Besar itu memahami kehendak wanita yang ingin kelihatan cantik dengan perhiasan diri.

"Saya memang suka memakai barang kemas sejak muda dan tidak suka menyimpan di rumah kerana bimbang dicuri. Barang kemas yang dipakai sekadar hiasan diri, selain menjadi modal ketika terdesak.

"Kalau tinggalkan barang kemas di rumah, saya rasa tidak sedap hati kerana bimbang dicuri ketika semua orang keluar bekerja. Cara terbaik ialah memakainya pada diri," katanya ketika ditemui di Pasar Siti Khadijah, semalam. .

Kelmarin, Berita Harian melaporkan Nik Abdul Aziz berkata, sikap wanita Kelantan yang gemar memakai hiasan emas yang banyak pada diri masing-masing adalah bertentangan dengan Islam.

Katanya, tindakan mereka memakai emas yang banyak sebagai perhiasan diri semata-mata tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kerana menyebabkan pergerakan emas lumpuh.

Seorang peniaga, Sakinah Jaafar, 43, mengakui pemakaian barang kemas yang banyak sudah menjadi tradisi dan budaya wanita negeri ini terutama peniaga.

"Masa ada duit lebih hasil berniaga, kami simpan secara membeli emas. Selain boleh dipakai sebagai hiasan, apabila terdesak memerlukan duit, ia boleh gadai dan dijual," katanya. Berita harian 24 Mei 2006.

ulasan tamb : emmhh...benarlah apa yg dikisahkan dalam movie Mami jarum...buktinya dalam gambar di atas. Semata-mata nak tunjuk kononnya tak setuju dengan pendapat seseorang, maka ditayang-tayang barang kemas yang dimiliki. Berbanggalah dengan apa yg dimiliki tetapi bukan dengan cara tersebut.. Firman Allah Subahanahu-wa-ta'ala:

... وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (31)
Maksudnya :
...dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.(An-Nur : 31)

Jelas daripada maksud ayat tersebut melarang wanita daripada menzahirkan perhiasan mereka melainkan kepada golongan-golongan yang disebut dalam ayat tersebut. Allah subhanahu-wa-ta'ala menjelaskan dengan terperinci kepada kaum wanita terhadap batasan yang perlu dijaga berkaitan dengan bab perhiasan ini.

Dalam bab ini "diri ini" perlu mengingatkan keluarga dan juga semua yg berada disekeliling agar berwaspada dengan tindakan yg dilakukan. Jangan kerana ketidak puasan hati terhadap seseorang atau sekumpulan kita dengan sewenang-wenangnya mempertikaikan apa yang dikatakan. Semak dan teliti jika di sana ada disandarkan kepada sumber rujukan yang diterima Islam. Jangan juga hanya kerana hendak memenuhi permintaan sesetengah pihak kita melakukan sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

"Diri ini" melihat situasi ini daripada sudut yang mungkin berbeza, sempat juga membaca kenyataan yang dikatakan menghina wanita tersebut di dalam semua akhbar. Apa yang difahami ialah kenyataan tersebut sekadar memerikan contoh dan galakan kepada kaum wanita agar membuat tabungan dengan menggunakan Dinar Emas yang akan diperkenalkan.Sekurang-kurangnya boleh mendapat keuntungan jika harga emas melonjak naik lagi pada masa hadapan. Berbanding jika hanya dipakai sebagai perhiasan apatah lagi jika dipakai berlebihan.

Merujuk kepada laporan akhbar hari ini juga (24 Mei 2006) digambarkan seolah-olah semua wanita memahami kenyataan tersebut sebagaimana yang digambarkan. iaitu kenyataan tersebut menghina kaum wanita. Jika diteliti kenyataan yang tidak berpuas hati hanya daripada satu pihak. dan pihak yang lain bersetuju agar wanita tidak melakukan pembaziran dengan menzahirkan perhiasan (emas) secara berlebihan.

???? :

Berita Harian (24 Mei 2006) bhgn Dalam Negeri.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pas Kelantan dibidas kerana menggunakan kaum wanita untuk mempromosi program dinar emas dan dirham perak yang didakwa mereka akan diperkenalkan di negeri itu.


Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, berkata tindakan pemimpin negeri itu menimbulkan isu wanita yang suka memakai emas sebagai perhiasan diri, dianggap tidak wajar.

“Isu berkenaan (pemakaian emas) terlalu remeh untuk dihebahkan seorang pemimpin negeri, banyak lagi isu yang lebih besar yang wajar diberi perhatian.

“Lagi pun, mengapa perlu gunakan wanita untuk mempromosikan program di tempat sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata sikap wanita negeri itu yang gemar memakai hiasan emas yang banyak pada diri masing-masing adalah bertentangan dengan Islam.

Beliau berpendapat, tindakan golongan itu dianggap tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kerana menyebabkan pergerakan emas lumpuh.

Noraini berkata, wanita zaman sekarang semakin bijak untuk membuat sebarang keputusan termasuk perbuatan membeli emas untuk pemakaian sendiri atau ahli keluarga.

“Bukannya untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya pemakaian emas untuk kepuasan diri tetapi pada tahap yang tidak keterlaluan,” katanya.

Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (Wanita JIM), Dr Harlina Halizah Siraj pula berpendapat, setiap wanita wajar diberi kebebasan menentukan kehendak mereka asalkan ia tidak melampaui batas.

“Ada di kalangan wanita yang kaya tidak menghabiskan wang dengan membeli barang kemas, tetapi ada pula yang tidak berduit suka memiliki barang kemas yang banyak.

“Amalan itu sudah dilakukan sejak sekian lama, dengan syarat zakat harta itu dijelaskan untuk membersihkan harga yang dimiliki,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Azam Wanita, Azlinda Baroni, berkata pemilikan barang kemas yang terlalu banyak boleh dianggap pembaziran, bagaimanapun ia jarang berlaku di zaman ini.

“Memang agama Islam menentang pembaziran termasuk dalam pembelian barang kemas tetapi tidak salah jika ia untuk tujuan melabur,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, setiap individu perlu menilai tahap kemampuan dirinya sebelum bertindak membeli barang kemas dan tidak lupa menjelaskan zakat harta masing-masing.





Tuesday, May 23, 2006

Republik China tunjukkan keberanian...

Assalamualaikum..

Merujuk kepada laporan di bawah, kebenaran pasti memihak kepada Islam. Cuma masa dan waktu yang akan menetukan semua itu. Yang pasti tanggungjawab kita adalah berusaha ke arah memastikan Islam itu dikembalikan kepada tempat yang selayaknya. Firman Allah Subahanahu-wa-ta'ala:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَنْ يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Maksud:
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.(Aali-Imran: 19)

Dua berita di bawah menunjukkan kepada kita keberanian di antara negara bukan Islam menjemput dan memberi kebenaran kepada Pihak Berukuasa Palestin melawat negara mereka samada atas urusan hubungan dua hala atau juga memberi kebenaran kepada Pihak Berkuasa palestin bertemu dengan rakyatnya yang berada di luar negara.

Saksikanlah kekuasaan Allah Subahanahu-wa-ta'ala, di kala Amerika dan sekutu-sekutu rapatnya menyekat semua kemudahan dan akses kepada pihak berkuasa Palestin, dilahirkan pula keperihatinan tersebut kepada pihak lain. Semoga "dunia" mampu melihat kepada kebejatan akhlak Amerika dan sekutu-sekutunya dan seterusnya membuang semua kepercayaan dan 'ketakutan' mereka terhadap amerika dan sekutu-sekutunya.

Semoga Dunia Islam juga menjadi lebih perihatin di atas isu ini. Bukan menunggu 'lampu hijau' daripada tindakan Amerika dan sekutunya barulah Dunia Islam mula menyusun langkah untuk bertindak.Kita amat bersyukur sekalipun dalam keadaan Dunia Islam berada dalam kegelapan, masih terbit cahaya untuk menyatukan hati-hati kita bergabung tenaga dan material semata-mata ingin melihat saudara-saudara kita di palestin mendapat hak mereka yang telah di abaikan dengan sengaja oleh musuh-musuh Islam.Dan yang paling sedih, secara sedar atau tidak kita juga pernah sati ketika menyokong tindakan musuh-musuh Islam ini dan mungkin sehingga sekarang kita masih bersama mereka (musuh-musuh Islam). Renungkanlah kepada semua tindak tanduk dan perilaku kita seharian. Pastikan kita tidak melakukan perkara jijik tersebut.



China tetap menjemput Dr Mahmoud Zahar walaupun ditekan oleh Israel

Posted on Monday, May 22 @ 11:52:19 MYT by admin
Berita Semasa gunxx writes

" Isnin, 22/05/2006 - China telah menolak protes oleh pihak rejim Zionis berhubung dengan jemputan menteri luar China terhadap menteri luar Palestin, Dr Mahmoud Zahar untuk menghadiri persidangan hubungan Arab-China.

Jurucakap menteri luar China berkata China tetap akan menjemput Zahar dan 22 menteri luar Arab yang lain ke Beijing bulan ini.

Sementara itu, Perdana Menteri China mengutuk sekeras2nya tindakan pemulauan oleh Barat terhadap kerajaan HAMAS. "Demokrasi apakah ini jika mereka menolak kerajaan yang dipilih secara demokrasi ?".

Rabu lalu, Israel memprotes duta China yang menjemput Dr Mahmoud Zahar ke Beijing. Israel berpandangan HAMAS ialah satu organisasi pengganas walaupun mereka sebenarnya bertindak mempertahankan diri dari serangan bertali arus oleh rejim Zionis yang ganas dan kejam.

Note: sumber : http://www.palestine-info.co.uk
penterjemah : gunx
"

Bravo Norway !
Posted on Friday, May 19 @ 11:08:15 MYT by admin
Berita Semasa gunxx writes " Jumaat, 19/05/2006 - Norway memberi visa kepada penggubal undang-undang Hamas Yahya Mousa untuk melawat komuniti Palestin di sana dan untuk mengukuhkan hubungan dengan kerajaan Norway.

Mousa memuji tindakan Norway itu dan menggesa negara lain yang begitu berat menerima Hamas berikutan tekanan daripada Israel dan Amerika untuk mengkaji semula secara positif dan bersedia untuk mendengar pandangan Hamas. Pintu-pintu perbincangan dan perhubungan perlulah dibuka secara luas bukan menyorok di sebalik tabir kata beliau lagi.

Mousa akan bertemu MP dan pegawai kerajaan Norway dengan matlamat membuka lembaran baru hubungan Palestin-Norway di mana Hamas menganggap Norway merupakan satu pusat penting di Eropah.

Menteri Pelarian Atef Odwan dalam masa yang sama telah pun melawat Sweden dan Norway dan bersedia terbang ke Jerman atas jemputan. Ramai berpendapat Hamas sedang memecah sekatan-sekatan yang dikenakan Amerika, Israel dan sesetengah negara EU dalam memeras ugut Hamas untuk menggugurkan segala perjuangan mereka menentang Israel.

Note: sumber : http://www.palestine-info.co.uk
penterjemah : anonymous
"

Thursday, May 18, 2006

Batas Pergaulan...

Assalalamualaikum…

Merujuk kepada dua laporan daripada akhbar harian metro yang telah dipos…maka elok rasanya dibincangkan di sini megenai sebab-sebab kepada berlakunya perkara tersebut. Jangan tersalah anggap! “diri ini” bukanlah ahli nujum nak membuat tekaan tak tentu pasal kepada perkara yang dah berlaku. Jauh sekali untuk mengatakan bahawa kalaulah mereka itu dapat buat “perkara tertentu” mesti tidak berlaku sebagaimana yang telah kita maklumi itu. Sesungguhnya perkara itu membawa kepada perbuatan yang sangat dimurkai oleh Allah Subhanhu-wa-ta’ala iaitu syirik.

Cuma apa yang ingin dibincangkan ialah mengenai topik yang mungkin di sana akan ada yang tidak bersetuju dengan “diri ini”. Tetapi perbincangan yang akan dibawakan ini adalah pandangan dan pendapat dari kacamata “diri ini” sendiri. Jadi sudah tentu pendapat dan pandangan ini boleh ditolak atau diterima. Cuma apa yang nak diingatkan, janganlah kerana kelemahan atau kecuaian “diri ini” dalam mengulas topik ini nanti kita semua menafikan pula dalil-dalil yang telah syarak tentukan dalam topik ini. Sesungguhnya dalil-dalil tersebut adalah panduan yang benar dan tiada lagi yang mampu mengatasi keduanya melainkan kefahaman individulah yang membuatkan dalil-dalil daripada sumber yang asal (Al-Quran dan Sunnah Rasullullah) itu dilihat seolah-olah lemah dalam mentadbir kehidupan seharian kita semua. Sama-sama berdoa kepada Allah Subhanahu-wa-ta’ala agar kita tidak tergolong dalam golongan yang disebutkan sebentar tadi.

Apabila terbaca laporan-laporan tersebut (masih banyak lagi laporan bagi kes yang sama tetapi tidak dipos kerana mengganggap cukuplah sebagai contoh sahaja).. maka akal fikiran “diri ini” ligat memikirkan tentang kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan. Apa kena mengena kes-kes semua tu dengan kita ?? Bukankah kita yang menyebabkan berlakunya keadaan-keadaan tersebut?? Masakan tidak, kitalah yang bersungguh-sungguh memperjuangkan kebebasan pergaulan antara lelaki dan perempuan sehinggalah perkara tersebut tidak lagi dianggap asing jika berlaku didepan mata kita. Berbagai perkara lagi yang berlaku di sekeliling kita semuanya berpunca daripada sikap kita sendiri. Tanpa kita sedari, jika di muhasabah kembali kita telah secara sengaja atau tidak membelakangkan apa yang telah dituntut dan diajar oleh syara’ (Al-Quran dan Sunnah ). Kita lebih memikirkan tentang relevan atau tidak perbuatan kita denga keadaan semasa dan dalam masa yang sama menafikan kedua sumber rujukan agama kita tadi. Jadi nilailah diri kita semua, adakah kita sebagai hamba Allah yang bersyukur??

Berbalik kepada topik yang sebenar yang ingin “diri ini” bicarakan agar ianya boleh menjadi panduan dan muhasabah bagi kita semua, bukankah Islam telah menggariskan dan mensyaratkan batas pergaulan yang cukup ketat anatara lelaki dan perempuan?? Merujuk kepada ayat 32 di dalam surah Al-Isra’ :

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Di dalam ayat yang lain, Allah Subahanhu-wa-ta’ala telah berfirman :

وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ...

…janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi…(Al-An’am :151)


Lihatlah, mulia dan indahnya Islam itu. Sedari permulaan lagi Islam telah melarang kita untuk mendekati semua perbuatan yang boleh membawa kepada perlakuan zina. Apatah lagi perbuatan zina itu sendiri?? Maka sama-sama kita semak diri kita, apakah kita menyahut seruan ayat tersebut?? Timbul persoalan yang boleh dikatakan masyhur dan sentiasa menjadi alasan kita untuk menghalalkan apa yang kita telah lakukan. Antara alasan tersebut ialah “ ala kami bukannya buat apa pun, kami sekadar bersembang dan mebicarakan masalah tertentu yang dikira penting”.Padahal umum mengetahui bahkan kekadang diri kita sendiri menyedari semua itu tidak membawa apa-apa manfaat kepada amalan kita untuk menjawab soalan-soalan yang berkaitan amalan kita semasa menghuni dunia ini ketika di Akhirat kelak.

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30 ) وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّعَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ...(31)

Maksudnya :

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka … (An-Nur : 30-31)

Lihatlah, di dalam ayat ini juga Allah Subahanhu-wa-ta’ala telah mengajarkan kepada kita bagaimana kaedah untuk menjaga keselamatan diri kita daripada melakukan semua perbuatan yang mungkar yang bersabit dengan topik yang “diri ini” bicarakan. Tidak perlu rasanya diulas dan ditafsirkan ayat yang telah jelas. Tulisan ini sekadar ingin mengingatkan kita sahaja agar kita dapat melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah Subahanhu-wa-ta’ala. Alangkah indahnya jika kita semua melaksanakan apa yang diperintahkan. Jangan mengaitkan dengan isu-isu yang menampakkan kejahilan kita terhadap Islam contohnya kita bertanya, dengan melakukan perkara-perkara tersebut bolehkah kemungkaran atau jenayah sebagaimana yang telah dilaporkan oleh akhbar harian metro itu terhapus?? Itu semua adalah persoalan daripada golongan-golongan yang bencikan Islam. Jangan jadikan diri kita sebahagian daripada mereka. Cukuplah dengan kita mengatakan kita mematuhi semua yang telah Islam ajarkan. Sekali-kali tidak akan kita persoalkan kenapa dan apa hikmah ( kita selalu fikirkan perkara ni) disebalik tuntutan melakukan sesuatu perkara.

Pesanan terakhir untuk kali ini, renungkanlah firman Allah Subahanahu-wa-ta’ala :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يؤمرون (6)

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.(At-Tahrim : 6)

Sama-samalah kita menjaga peribadi dan akhlak keluarga kita daripada sebarang kemungkaran yang sengaja kita lakukan. “diri ini” percaya semua kita menyayangi keluarga masing-masing.Maka ambillah tindakan yang sewajarnya untuk memastikan keluarga kita berkelakuan sebagaimana yang telah Islam gariskan. Jangan mencipta alasan dan menjadikan alasan tersebut sebagai lesen atau tiket untuk kita terus melakukan kesilapan. Sesungguhnya setiap yang kerap dan sering dilakukan itu tidak dikira sebagai kesilapan melainkan ianya adalah kesalahan yang sengaja kita lakukan.

Semoga tulisan yang panjang ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

Assalamualalaikum…

Gadis dirogol bekas tentera...

Edisi Nasional: Gadis dirogol bekas tentera

Oleh Badrila Jamlus
jbad@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Pertemuan seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan bekas teman lelakinya bertukar menjadi titik hitam apabila dia menjadi mangsa rogol lelaki terbabit.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, gadis berusia 17 tahun itu dikunjungi bekas teman lelakinya ketika tinggal seorang diri di rumah kakaknya di Presint 9, di sini, kelmarin.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku apabila bekas teman lelaki mangsa yang juga seorang bekas tentera tiba-tiba `naik angin’ dan terus merogol gadis malang itu.

Suspek yang bimbang perbuatan terkutuknya diketahui orang lain, melarikan diri dari tempat kejadian tanpa menghiraukan mangsa.

Berikutan itu, mangsa memaklumkan kejadian itu kepada kakak dan abang iparnya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini.

Kes berkenaan sudah diserahkan kepada Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan Mohd Khalil Kader Mohd ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Harian Metro : 18 Mei 2006

Tiga sekawan jadi mangsa rogol...

Edisi Tengah: Tiga sekawan jadi mangsa rogol

Oleh Masni Ros Pakir Mohamad
masni@hmetro.com.my


MELAKA: Tiga pelajar sekolah menengah yang ingin meraikan sambutan hari lahir seorang lelaki menjadi `habuan’ lelaki berkenaan apabila mereka dirogol di sebuah rumah dan belakang semak di Taman Damai, Bemban, Jasin dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, semua pelajar berusia 14, 15 dan 16 tahun dari Bemban itu dikatakan diberi minuman keras sebaik datang ke rumah lelaki terbabit yang baru dikenali awal tahun ini.

Difahamkan, ketika kejadian, keluarga lelaki itu tiada di rumah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Ariffin Sutan berkata, sebelum itu, semua pelajar berkenaan dibawa lelaki terbabit bersiar-siar di sekitar pekan Jasin dan bandar ini sebelum dibawa pulang ke rumah lelaki itu.

Menurutnya, selepas meminum minuman keras yang diberi, semua pelajar terbabit berasa pening lalu berbaring di ruang tamu rumah berkenaan.

“Melihat keadaan itu, lelaki berkenaan membawa pelajar berusia 15 tahun itu memasuki sebuah bilik dan merogolnya sebanyak dua kali.

“Selepas merogolnya, lelaki berkenaan membawa pelajar berusia 14 tahun itu bersiar-siar di belakang taman perumahan itu dan merogolnya dalam semak berhampiran sebanyak dua kali.

“Selepas dirogol, pelajar berkenaan ditinggalkan seorang diri dan diarah pulang sendiri,” katanya.

Ariffin berkata, lelaki itu yang pulang semula ke rumahnya kemudian merogol pula seorang lagi pelajar berusia 16 tahun yang ketika itu sedang pening kerana meminum minuman keras.

Beliau berkata, pelajar berusia 15 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Bemban jam 11.46 malam Isnin lalu manakala pelajar berusia 14 dan 16 tahun membuat laporan polis antara jam 12.29 dan 12.47 tengah malam kelmarin.

“Berikutan laporan itu, seorang lelaki berusia 21 tahun dari Bemban ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam.

“Lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Harian Metro : 18 Mei 2006

Peperiksaan Universiti (Dunia) lebih utama ??


Assalamualaikum..

Semoga sahabat-sahabat di luar sana semua berada di dalam keadaan sihat wal-a’fiat.

Minggu peperiksaan telah hampir bermula di semua universiti kat Jordan ni. Maka dapatlah dilihat sifat bertungkus lumusnya penuntut-penuntut ilmu di sini mengulangkaji pelajaran masing-masing. “Kepenatan dan keletihan mengulangkaji pelajaran untuk “second exam” tak habis hilang lagi, tapi “final exam tiba lak hampir tiba”, begitulah antara keluhan yg biasa didengari..bahkan rasanya pernah tuturkan juga kot..

Situasi begini bukan sahaja berlaku di Jordan, bahkan berlaku di mana-mana sahaja. Juga tidak keterlaluan jika dikatakan keadaan ini turut melanda golongan-golongan yang telah melepasi peringkat ini. Apakan tidak! Mereka juga terpaksa menghadapi pelbagai ujian atau peperiksaan dalam hidup yang dilalui…terutama ujian yang didatangkan dalam mengharungi kehidupan seharian. Ujian ini tidak dapat tidak dilalui oleh semua manusia.

Topik yang ingin dibicarakan di dalam ruangan ini hari ni adalah merujuk kepada situasi di atas tadi. Kita sering risau dan gundah-gulana bila berdepan dengan ujian atau peperiksaan. Namakanlah apa-apa pun peperiksaan dan ujian tu, yang pasti biasanya kita akan berusaha untuk menyiapkan diri sebaik mungkin menghadapinya sekalipun mungkin di sana persediaan yang dibuat tidaklah “perfect” dan mantap. Isunya di sini adalah kita tetap melakukan persediaan tersebut.

Kita bawa konsep situasi ini kepada yang lebih besar. Apakah kita telah mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan dan ujian Allah di Akhirat kelak?? Persoalan ini mungkin dinilai bahawa “diri ini” terlau gopoh dan cepat menghukum. “Diri ini” nak nyatakan di sini bahawa tulisan ini hanyalah sekadar nak ingatkan diri sendiri, keluarga , sahabat handai, semua yang ada di sekeliling “diri ini” dan juga untuk semua masyarakat yang faham Bahasa Melayu lah amnya.

Bersama kita renung sejenak kepada dalil-dalil di bawah ini, yang menunjukkan kepada kita situasi pada Hari Akhirat kelak.

وَاتَّقُوا يَوْمًا لَا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلَا تَنْفَعُهَا شَفَاعَةٌ وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ (123)

Maksud:

Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara). (Al-Baqarah : 123)

-Jelas digambarkan keadaan manusia pada Hari Kiamat kelak yang tidak mampu dan tidak berkesempatan untuk membantu manusia lain dalam menghadapi persoalan (Hisab) Allah Subhanahu-wa-ta`ala. Peringatan telah Allah berikan pada permulaan ayat tersebut, di mana kita dituntut untuk memelihara diri kita dari hura-hara yang akan berlaku pada hari Akhirat kelak. Jadi untuk memelihara daripada situasi tersebut maka bermulalah dari sekarang memperbaiki diri kita untuk memastikan kita mencapai matlamat yang digambarkan dalam ayat tersebut.


قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ... أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ خَالِصًا مِنْ قَلْبِهِ أَوْ نَفْسِهِ

Maksud:

… Manusia yang paling gembira dengan syafaatku pada Hari Kiamat kelak adalah mereka yang mengucapkan tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah (kalimah Tauhid) dengan Ikhlas yang terbit daripada hati atau dirinya. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu. (Shahih Bukhari, 97)

- Hadis ini pula menjelaskan kepada kita satu golongan yang mendapat syafaat Rasullullah pada hari Kiamat kelak. Mereka itulah golongan yang ikhlas beriman dengan Allah Subhanahu-wa-ta`ala. Apakah kita dalam golongna tersebut? Nilailah diri masing-masing terhadap apa yang kita lakukan. Manusia yang ikhlas tidak akan sentiasa melakukan dosa dan ingkar kepada perintah Allah …

وَكُلَّ إِنْسَانٍ أَلْزَمْنَاهُ طَائِرَهُ فِي عُنُقِهِ وَنُخْرِجُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كِتَابًا يَلْقَاهُ مَنْشُورًا (13)

Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya). (Al-Isra : 13)


- Ayat di atas tersebut pula adalah gambaran keadaan ketika kita hampir dihitung amalan dan ditanya tentang semua perkara yang kita lakukan di bumi Allah `azzawajalla. Bersediakah kita untuk membaca buku amalan tersebut?


وَمَاذَا عَلَيْهِمْ لَوْ آمَنُوا بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقَهُمُ اللَّهُ وَكَانَ اللَّهُ بِهِمْ عَلِيمًا (39)

Dan apakah (kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mereka mendermakan sebahagian dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengetahui akan keadaan mereka.(An-Nisa’ : 39)

- dan ayat yang terakhir ini “diri ini” sengaja memilihnya. Semata-mata tidak mahu ada yang menafikan di sana ada ayat-ayat yang menyampaikan berita gembira kepada umat Islam sebagai bekalan Hari Akhirat nanti. Maka berusahalah untuk menjadikan diri masing-masing termasuk di dalam golongan di atas.

Masih banyak lagi ayat-ayat yang boleh dikaitkan dengan perbincagan ini. Tetapi untuk ketika ini, rasanya cukuplah sebagai renungan bersama..

Pastikan kesibukan Imtihan (periksa) di dunia ini tidak menghalang kita untuk memastikan diri kita mampu untuk menjawab persoalan peperiksaan di “sana” nanti.