Sunday, October 25, 2009

Penipuan secara Terang dan Jelas

Assalamualaikum...

Ketika membaca ayat 22 surah Al-An'am baru-baru ini, hati terdetik berdoa moga-moga "diri ini " tidak termasuk dalam kategori yang tersebut dalam ayat tersebut.

Gerun dan gentar bila memikirkan apa yang Allah gambarkan. Suasana ketika manusia semua dibangkitkan dihadapan Allah. Ketika di hadapan Allah manusia masih ingin melakukan pembohongan padahal ketika di dunia telah banyak pembohongan yang telah dilakukan.

 وَيَوۡمَ نَحۡشُرُهُمۡ جَمِيعً۬ا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشۡرَكُوٓاْ أَيۡنَ شُرَكَآؤُكُمُ ٱلَّذِينَ كُنتُمۡ تَزۡعُمُونَ (٢٢) ثُمَّ لَمۡ تَكُن فِتۡنَتُہُمۡ إِلَّآ أَن قَالُواْ وَٱللَّهِ رَبِّنَا مَا كُنَّا مُشۡرِكِينَ (٢٣) ٱنظُرۡ كَيۡفَ كَذَبُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ‌ۚ وَضَلَّ عَنۡہُم مَّا كَانُواْ يَفۡتَرُونَ (٢٤

Maksudnya :

"Dan (ingatlah), hari yang di waktu itu kami menghimpun mereka semuanya, kemudian kami berkata kepada orang-orang musyrik: "Di manakah sembahan-sembahan kamu yang dulu kamu katakan (sekutu-sekutu) kami?".(22)

Kemudian tiadalah fitnah mereka, kecuali mengatakan: "Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah".(23)

Lihatlah bagaimana mereka Telah berdusta kepada diri mereka sendiri dan hilanglah daripada mereka sembahan-sembahan yang dahulu mereka ada-adakan"(24)

Lihat bagaimanakah sikap manusia yang telah Allah rakamkan di dalam kitabnya. Ketika di dunia Allah telah hantarkan peringatan (Rasul dan Kitabnya) tetapi manusia masih memilih untuk hidup dengan berpandukan hawa nafsu masing-masing. Akhirnya manusia sedemikian mati dalam keadaan jauh dari hidayah agama Allah S.W.T.

Kelak ketika dibangkitkan dan dihadapkan di hadapan Allah apakah kita mampu tersenyum atau sebaliknya? Atau apakah kita juga akan tergolong dalam golongan mereka yang melakukan penipuan secara jelas dan terang ini?

Moga kehidupan kita adalah kehidupan yang berteraskan panduan dari Al-Quran dan Sunnah agar kita tergolong bersama mereka yang berjaya di sisi Allah yang Maha Berkuasa.

Di Dunia ini kita hanya ada 2 pilihan yang perlu kita buat setiap hari ketika mula melalui hari-hari baru dalam hidup ini. Samada kita memilih untuk hidup dengan panduan Al-Quran dan Sunnah (Islam) atau sebaliknya iaitu memilih jalan-jalan yang bertentangan dengan Islam (kufur). Pilihan inilah perlu direnungi setiap pagi ketika memulakan kehidupan harian agar kita tetap teguh dengan Islam kerana bencikan dan takut akan kekufuran.

p/s: lama dah nak menulis pasal ayat ni, Alhamdulillah Allah bukakan jalan untuk sekali lg berjumpa dengan ayat ni dan diizinkan untuk berkongsi secara umum dengan semua di luar sana meskpiun dalam keadaan kurang kemampuan untuk membincangkan ayat ini secara detil. Moga ianya tetap bermanfaat untuk kita semua.

wassalam...









Wednesday, September 30, 2009

Ada kesinambungan atau ...?

Assalamualaikum...

Ramadhan 1430 telah berlalu. Kini usia Ramadhan yang telah kita lalui semakin bertambah dan insyaAllah akan kekal bertambah selagi usia masih berbaki. Syawal menjengah dan pasti akan berakhir kerana ianya adalah sebahagian daripada proses kewujudan Dunia ini.

Ramadhan yang dilalui dengan berbagai azam, akhirnya pergi tanpa 'bertanya' atau 'menunggu' setiap individu memastikan azam dan cita-cita mereka tercapai bagai diangan-angankan. Perginya menguji manusia untuk bermuhasabah apakah mereka akan kekal menjadi hamba-hamba Allah yang sentiasa bersyukur sebagaimana yang telah dilakukan ketika Ramadhan atau kembali kepada 'fitrah' masing-masing sebelum ketibaan Ramadhan.

Persoalan pertama untuk kita semua : Sudahkah kita melakukan puasa sunat Syawal? persoalan ini khas ditujukan kepada mereka yang ber'niat' untuk melaksanakannya.

Persoalan berikutnya: Sehingga ke saat ini, apakah amalan kita di bulan Ramadhan lalu masih tersisa kini? atau pudar dan hilang bersama perginya ramadhan?

Apakah kini Al-Quran kembali ke 'rumah'nya sebagai barang hiasan? atau apakah kini Al-Quran hanya dipersiapkan sebagai hantaran? (lagi haru kalau jadi gini)

Apakah solat kita kekal di awal waktu sebagaimana yang kita lakukan sepanjang Ramadhan?

Berbagai persoalan lagi yang perlu ditimbulkan oleh diri masing-masing sesuai dengan azam yang diangan-angankan sewaktu awal Ramadhan lalu...

Selamat bermuhasabah!



Sunday, September 06, 2009

Landasan Dunia

Asslamualaikum...

Pernahkah anda menaiki keretapi atau kapal terbang? Apakah perasaan anda ketika pertama kali menaiki keretapi dan kapal terbang?

Takut, bimbang?

Meskipun akan ada yang menjawab dengan jawapan 'tak rasa apa-apa' dsbnya, tetapi perbincangan kali ini akan melibatkan semua pihak, Yang takut dan bimbang mahupun sebaliknya.

Apakah pula perasaan anda ketika dalam perjalanan menaiki keretapi/ kapal terbang ketika musim hujan?

Ramai di antara kita berasa bimbang bahawa keretapi atau kapal terbang akan tergelincir atau terbabas dari landasannya.

Tapi apakah kita semua berasa bimbang dan takut terbabas dari landasan yang telah Allah sediakan untuk dilalui oleh semua makhluknya khasnya kita sebagai umat Islam?

Landasan Allah telah diketahui pasti ada cabaran dan pancarobanya semacam juga kita mengetahui akan risiko menaiki keretapi/kapal terbang ketika musim hujan.

Dalam Surah Ankabut ayat 2-3 Allah telah berfirman, Maksdunya:

"Apakah manusia itu menyangka mereka mudah mengaku beriman dengan hanya berkata "kami telah beriman" tanpa mereka diuji? Dan kami telah menguji orang-orang sebelum daripada mereka, dan sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui golongan yang benar, dan begitu juga DIA mengetahui sesiapa yang berdusta"

Apakah dalam kita melalui kehidupan ini kita sentiasa memastikan kehidupan kita benar-benar di atas landasan Allah S.W.T? Apakah kita melakukan persediaan secukupnya agar tidak tergelincir dari landasan yang telah disediakan?

Bolehkah kita terselamat dari tergelincir dari landasan Allah?

Mafhum Hadith Rasulullah S..A.W ketika peristiwa haji wida' :

" ...Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara yang tidak akan menyesatkan kamu selamanya jika sekiranya kamu benar-benar berpegang (mengikut dan mengamalkan) kepadanya, itulah Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnahku (Rasulullah S.A.W)"...

Jelas bukan?

Sama-sama kita nilaikan samada kita mengikuti sunnahNYA atau sebaliknya.... atau kita sanggup tergelincir daripada landasan yang telah siap sedia hingga ke Syurga Allah S.W.T dengan memilih landasan lain yang terus ke Neraka?

Setakat mana persiapan kita?

MLM 1

Assalamualaikum...

Banyak tajuk yang nak ditulis, tapi bila ditangguh-tangguh maka semua tajuk-tajuk yang berkaitan terus hilang begitu sahaja. Nak menulis dalam nota kecil yang sentiasa dalam poket pun selalu tertangguh dan akhirnya 'kecewa' begitu aje.

Sementara muncul kembali tajuk ini dalam ingatan maka suka "diri ini" kongsikan dan lontarkan pandangan serta persoalan kepada semua kita.

Apabila berbicara tentang MLM maka ramai di luar sana akan terlibat dalam perbincangan ini. Jika inginkan perbincangan yang 'serius' dan detil maka semua kita di alu-alukan menziarahi portal ust zaharuddin (zaharuddin.net) juga portal-portal dan laman-laman yang sewaktu dengannya samada yang menyokong dan seiring dengan ust zahar atau yang mengambil pandangan berbeza dengannya.

Satu perkara sahaja yang "diri ini" ingin bangkitkan. Kerap kali dilontarkan persoalan kepada golongan ustaz/ah tentang MLM ini. Apakah hukumnya harus dll dalam keadaan banyak MLM telah memiliki penasihat Syariah masing-masing?

antara isi kandungan jawapan "diri ini" apabila berdepan dengan soalan sedemikian:

1) Sehalal mana pun atau sehebat mana pun individu/kumpulan yang menjadi panel syarie dalam mana-mana MLM atau apa-apa perniagaan yang dijalankan dengan kaedah yang sama atau sewaktu dengannya, ianya tetap boleh dipersoalkan apabila ramai yang menjadi agen MLM tidak bersedia untuk 'berniaga'.

Perniagaan adalah suatu pekerjaan yang pasti berdepan risiko. Hanya yang membezakan adalah tinggi atau rendah risikonya sahaja. Apakah antara risiko berniaga?

Jawapannya mudah, semestinya risiko dalam perniagaan adalah untung-rugi dan juga pasang- surut pelanggan. tentang untung-rugi juga telah terjawab dalam laman-laman tertentu yang pastinya ramai di antara kita telah meneliti dan menyemaknya teksnya.

Tumpuan kita adalah kepada pasang-surut pelanggan. Seorang peniaga apabila memulakan perniagaan sewajarnya menyedari tentang perkara ini. Peniaga tidak boleh melakukan paksaan kepada mana-mana individu untuk membeli atau sentiasa membeli produk mereka. Seorang peniaga juga tidak boleh 'menghukum' mana-mana individu yang tidak membeli produk mereka dengan andaian-anadaian tertentu yang menghukum. Contohnya "si fulan b. si fulan tu bukannya nak tolong kawan-kawan, apa la salahnya dia tolong beli barang aku ni, bukan sapa pun melayu juga dan islam juga yang memiliki produk ini." dan yang sewaktu dengannya.

Isu besar yang "diri ini" lihat berlaku kepada ramai agen MLM atau mana-mana Agen insuran sekali pun adalah mereka seringkali seolah-olah memaksa individu atau kumpulan untuk membeli produk mereka. Masakan tidak dikatakan begitu? Pada awal ketika mula-mula hendak memasarkan produk mereka, mereka dengan senang hati murah senyuman dan manis air mukanya. Akan tetapi setelah tidak dilayan (sesetengahnya setelah beberapa kali percubaaan untuk memastikan produk mereka dibeli oleh kenalan mereka), maka mereka mula lokek senyuman dan mula masam muka dengan individu-individu terbabit. Yang paling parahnya adalah hinggakan dibuatnya individu-individu yang pernah di'iklan'kan produk MLM kepada mereka tidak lagi mahu berjumpa dengan agen-agen tadi meskipun agen-agen tadi adalah kenalannya. Kerana apa? tidak lain tidak bukan kerana terasa semacam satu paksaan bagi mereka. Ingin dijawab dengan terang dan jelas bahawa mereka tidak mahu produk itu, kasihankan agen terbabit bimbang 'terasa' hati.... Apabila bertembung sahaja pasti salah satu pihak akan berasa serba tak kena dan akan berusaha untuk mengelak sejauh mungkin daripada berselisih bahu.

Apakah ini cara kita menjalankan perniagaan?

2) Ramai Agen tidak pandai berniaga. Kerap kali mereka menelefon atau ber'sms' dengan kita hanya kerana ingin memasarkan produk mereka sahaja. Dicari sampai lubang cacing segala kontak yang pernah mereka kenali untuk di'iklankan' tentang produk mereka. Diajak bertemu semata untuk di'ceramahkan' tentang produk mereka padahal ramai yang sebelum itu apabila kita menghubungi mereka untuk bertanya khabar, mereka semacam tidak endahkan kita. Tiba-tiba apabila menjadi agen mula pandai beramah kembali. Tapi sayang, bertemu aje terus dibahas tentang produk mereka, jarang sangat ingin mereka berbual panjang lebar tentang perkenalan (pengalaman/kenangan dll) antara satu dengan yang lain. kenangan-kenagan ketika sama-sama belajar atau bekerja satu ketika dulu dan sebagainya. Masa hanya diperuntukkan untuk mendengar taklimat agen sahaja. Selesai memberi taklimat agen mula memberi alasan perlu segera bergerak ke tempat lain tanpa 'meraikan' kita.

Apakah anda salah seorang daripada agen yang sedemikian? mencari kenalan hanya untuk menambah pendapatan sendiri?

Haruskah perniagaan sebegini?

Perniagaan bukanlah melihat kepada siapa yang berniaga (ustaz/ah ke atau sesiapa sekali pun), tetapi ianya dilihat kepada bagaimana ianya dijalankan. Apakah ketika proses jual-beli berlaku perkara-perkara syubhah dsb...?

akhir kata, moga anda semua dapat menyambung tulisan ini dengan memikirkan apa yang "diri ini" maksudkan tentang hukum perniagaan sebegitu...

Wassalam


Friday, August 28, 2009

Masjid...

Assalamualikum...

Masjid,

Islam memandang tinggi kepada peranan masjid dalam membina umat. Ulama-ulama dahulu kala sampai mensyaratkan jarak dengan masjid sedia ada untuk membolehkan Masjid baru didirikan. Tapi ketika ini banyak masjid yang didirikan bukan lagi kerana taqwanya tapi kerana nak 'glamour' dan nak gah.

Antaranya adalah masjid baru di putrajaya. Masjid Besi atau Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Bila baca kenyataan dari Pengerusi Perbadanan Putrajaya rasa ok la jawapan tentang pembinaan masjid tu walaupun entah bila lah Putrajaya nak capai kesesakan sampai kena bina masjid besar-besar gitu.

"

Samsudin berkata, pembinaan masjid yang menelan belanja RM208 juta itu siap seperti yang dijadualkan dan boleh memuatkan seramai 20,000 orang jemaah.

"Kami selalu ditanya kenapa perlu dibuat satu lagi masjid baru sedangkan Masjid Putra di Presint 1 sudah cukup besar.

"Ini kerana kami menjangkakan populasi di Core Island akan meningkat kepada 28,000 orang, oleh sebab itulah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dibina iaitu untuk menampung jumlah penduduk yang meningkat," katanya. "


Tapi bila baca kenyataan Pengerusi JAKIM lak rasa sedih la pulak...

ha baca je la kat sini

"

Menurut Wan Mohd, tahun lepas sahaja seramai 565,408 pelancong telah datang melawat Masjid Putra.

Pemandangan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada waktu malam.

"Masjid ini memang menabjubkan dan mempunyai banyak kelebihan.

"Selain boleh menampung jumlah jemaah yang ramai, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin juga boleh menjadi daya tarikan pelancong.


Emmh..




Wartawan tidak bertauliah...

Asslamualaikum...

Jam 10 malam 27 Ogos 2009, masuk beberapa sms dan call menyampaikan tentang 'berita sedih' iaitu kematian Ust Ismail Kamus. SMS tersebar dengan begitu cepat dan pantas. Panggilan telefon juga diterima dari berbagai pihak...sampai la ke pagi masih duk terima lagi SMS yang sama...

Setakat yang sempat "diri ini" tahu adalah ust Ismail Kamus masih dalam keadaan sihat maka dengan geramnya reply semual semua sms dan minta jangan disebarkan berita tak sahih tersebut.


pengajaran:

1. Kesian Datuk Ismail Kamus, dah 2-3 kali terjadi keadaan macam ni ke atas beliau. Harapnya masing-masing lepas ni kaji dulu berita yang diterima melalui sms dan telefon masing-masing.

2. Tak yah susah-susah nak jadi wartawan tolong sebar berita. tunggu je berita rasmi daripada mana-mana akhbar rasmi negara so selesai masalah.

3. Selalu lah baca berita dan dengar berita dan ambil tahu sikit pasal keadaan negara. Maka kita akan kenal setiap individu yang berpengaruh. Yang Meninggal semalam adalah Senator Prof Dr. Ismail b. Salleh. ni Pantang je dengar nama Ismail, yang tau dan kenal Ismail kamus je...

4. Lain kali dengar sebarang berita rasmi pastikan keadaan anda dalam keadaan yang sedar sepenuhnya. Bukan Pra-sedar. Sah yang tolong sebar mulanya tengah tidur waktu keluar berita pasal kematian Prof Ismail maka diingatnya Ismail Kamus..

5. Yang di luar negara pun tok sah duk sibuk nak sebar berita untuk orang malaysia. biar je depa dapat berita dari sumber rasmi. Selesai masalah..

Kalau nak jadi wartawan pi la lapor diri kat mana-mana syarikat akhbar atau berita dalam negara atau luar negara...

Sekian....

Tuesday, August 25, 2009

Berbuka

Assalamualikum...

Hadis riwayat Adi bin Hatim ra.:

Ketika turun ayat: Sehingga nyata bagimu benang yang putih dari benang yang hitam, yaitu fajar, - al-Baqarah: 187 - maka Adi bin Hatim berkata kepada Rasulullah saw: Wahai Rasulullah, sungguh saya meletakkan benang berwarna putih dan benang berwarna hitam di bawah bantalku, sehingga aku dapat mengenali antara waktu malam dan waktu siang hari. Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya bantalmu itu sangat lebar. Sesungguhnya yang dimaksud adalah hitamnya (gelapnya) malam dan putihnya (terangnya) siang pada saat fajar". RW Muslim 1824.

Hadis riwayat Umar ra., ia berkata:

Rasulullah saw. bersabda: "Ketika malam datang, siang pergi dan matahari pun terbenam, maka saat itulah orang yang berpuasa mulai berbuka". RW Muslim 1841.

.......................

Baru-baru ini "diri ini" ditanya tentang dalil perlunya bersegera berbuka (berbuka ketika permulaan azan. Maka dalil-dalil di atas adalah dalilnya.

Persoalan ini timbul kerana terdapat seseorang yang melarang keluarganya bersegera berbuka apabila masuknya (baca: telah masuk) waktu maghrib (mula azan kat tv). Pendapat si fulan tersebut adalah hanya boleh berbuka selepas abis dan selesainya azan di televisyen. - lokasi kediaman mereka adalah sekitar kuala lumpur dan tiada isu perbezaan ketara masuknya waktu maghrib-.

Jika melihat kepada dalil-dalil di atas, maka tidak syak lagi Allah dan RasulNYA S.A.W menyuruh kita bersegera berbuka ketika 'masuknya' waktu maghrib. Bahasa mudahnya berbuka ketika permulaan azan di tv berkumandang. Apa jua alasan untuk menangguhkan berbuka tatkala kita memiliki sesuatu yang boleh di jamah adalah tidak bertepatan dengan ajaran Rasulullah S.A.W.

Apa pun moga orang yang bertanya dapat menerngkan dalil ini sebaiknya kepada ahli keluargnya yang berpendapat hanya boleh berbuka selepas tamatnya azan di tv...




Hari syak...

Assalamualaikum...

Tajuk perbincangan kali ini agak terlewat dari waktunya. Apa pun moga ianya bermanfaat untuk masa mendatang.

Hari syak : 29 atau 30 syaaban (bagi tahun yang mempunyai hari dalam bulan syaaban sehingga 30 hri maka hari syaknya adalah '30'. Bagi tahun yang Syaabannya hanya 29 hari maka hari syaknya adalah '29'. Sebahagian ulama berpendapat 29 dan 30 Syaaban.

Hadith yang diriwayatakan oleh Abu Hurairah R.A :

"Rasulullah saw. bersabda: Janganlah engkau berpuasa satu atau dua hari sebelum Ramadan, kecuali bagi seorang yang biasa berpuasa, maka baginya silakan berpuasa". -RW Muslim,
1812, al-islam.com

Ada 2 pendapat dalam memahami hadith ini:

1) Di haramkan berpuasa samada ganti atau sunat kepada umat Islam pada 29 atau 30 Syaaban. Kecuali bagi mereka yang sentiasa melaksanakan puasa sunat pada kebanyakan harinya dalam setahun.

2) Diharamkan berpuasa pada 29 dan 30 Syaaban. Keadaan ini lebih dekat dengan persiapan kita menyambut Ramadhan. Bagi mana-mana Umat Islam yang perlu menggantikan puasa mereka, sebolehnya elak menangguhkan sehingga ke penghujung Syaaban. Kerana penentuan Ramadhan adalah berpandukan kepada anak bulan yang hanya Allah sahaja mengetahuinya.

Ya, meskipun kini kita mampu melahirkan ramai ahli falak untuk menghisab (membuat kiraan) dalam penentuan awal Ramadhan, tetapi Allah jualah yang lebih mengetahui segalanya.

Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata:

"Adalah aku mempunyai tanggungan puasa Ramadan, aku tidak dapat membayarnya kecuali pada bulan Syaaban, karena kesibukan dari Rasulullah saw. atau kesibukan bersama Rasulullah saw."- RW Muslim,1933, al-islam.com.

Tempoh menggantikan puasa cukup panjang bagi umat Islam yang 'terpaksa' meninggalkan puasanya. Maka adalah sebaiknya kita yang wajib menggantikan puasa Ramadhan tersebut menggantikannya seawal mungkin supaya tidak terbeban apabila Ramadhan hampir menjelang.

Dan adalah sesuatu yang amat membanggakan jika suami-suami di luar sana dapat melakukan puasa sunat ketika mana isteri-isteri berusaha menggantikan puasa mereka agar mereka mendapat sokongan moral dalam melaksanakan kewajipan kepada Allah.

Paling tidak gantilah puasa sehari atau 2 hari setiap bulan nescaya sebelum ketibaan syaaban semua hutang puasa dengan Allah telah terlangsai. Dan semua boleh menumpukan kepada puasa sunat dalam bulan syaaban sebagai persediaan menyambut Ramadhan.

Selamat beramal dengan mutu dan kualiti yang terbaik sepanjang Ramadhan ini!





Friday, August 21, 2009

Hikmah?

Assalamualaikum...

Ramadhan menjelang lagi,
Pelbagai azam dan niat kembali tersemat di hati,
Impian dan 'mimpi' mula mendaki,
Mengelak diri dari gagal untuk kesekian kali.
.........................

Seringkali kita akan di 'war-war'kan dengan kelebihan bulan Ramadhan apabila hampir dan munculnya Ramadhan. Dalam membicarakan tentang kelebihannya, akan didedahkan juga hikmah berpuasa sepanjang Ramadhan. Bahkan ianya adalah sebahagian dari silibus dalam beberapa mata pelajaran yng di ajar di peringkat sekolah rendah dan menengah hinggalah ke peringkat yang lebih tinggi. Majoriti kita melaluinya.

Antara hikmah yang sering digembar-gemburkan ialah:
1. Memberi peluang kepada perut kita untuk berehat (atau lafaz yng sewaktu dengannya)
2. Melatih manusia untuk merasai kesusahan fakir miskin (atau lafaz yang sewaktu dengannya)

Rujuk hikmah (1) :
Apakah benar perut kita dapat berehat sebagaimana yang disebut?

Ketika melalui bulan-bulan lain selain ramadhan, perut kita dilatih untuk menerima makanan dan minuman pada waktu-waktu tertentu dengan kadar yang sesuai baginya. Malangnya ketika Ramadhan, ketika perut kita benar-benar ingin merasai hikmah manusia berpuasa, kita menderanya untuk memproses makanan dalam satu tempoh waktu yang amat singkat (waktu berbuka) dengan kadar makanan yang sama atau boleh jadi lebih daripada kadar yang kita makan setiap hari pada bulan-bulan lain. Apakah hikmah ini boleh diterima?

Rujuk hikmah (2) :
Rasaikah kita kesusahan fakir miskin?

Mungkin saat kita kelaparan di siang hari, ramai yang merasainya. Tetapi waktu berbuka apakah kita merasai susahnya fakir dan miskin. Mereka hanya menjamah makanan seadanya (jika mampu memiliki makanan). Kita? berbagai jenis juadah terhidang semenjak awal waktu sebelum berbuka lagi. Pelbagai jenis samada yang manis,masam, masin dll..Rasaikah kita kesusahan mereka? Ingatkah kita kepada golongan tersebut ketika berbuka? Tercapaikah hikmah ini?

Kesimpulannya, sebagai hamba Allah yang berusaha untuk menjadi hamba yang bertakwa, cukup lah kita melakukan ibadah keranaNYA tanpa kita sering mencari hikmah dan kelebihan. Latihlah diri kita untuk melakukan ibadah samada wajib,sunat, harus dll tanpa mencari sebab dan hikmah. Sebab dan hikmah tersebut akan hilang apabila sampai masanya. tetapi pengabdian kita kepada Allah adalah berterusan sehinggalah kita dijemputNYA.

Arak haram bukan kerana memabukkan. Tapi haram kerana diharamkan Allah. Jika kerana ianya memabukkan, apakah hukum untuk mereka yang minum dalam kuantiti yang sedikit dan tidak memabukkan?

Kenapa kita solat Fardhu? Kerana kita adalah muslim dan setiap muslim diwajibkan untuk melaksanakan solat-solat terbabit. Bukan kerana pergerakan solat boleh menyihatkan kita. Itu hanya sebab yang manusia fikirkan. Tapi sebab dan hikmah di sisi Allah, hanya DIA yang tahu.

Kenapa pula kita berpuasa?

Ayuh! berubahlah untuk Ramadhan kali ini dan seterusnya. Elakkan pembaziran!

Taqaballahu minna wa minkum!

Salam Ramadhan!