Tuesday, April 01, 2008

Berdustakah kita?

Assalamualikum...

Persoalan yang ingin di bawa kepada perbncangan kali ini seringkali diajukan kepada "diri ini" bahkan diyakini ianya kerap kali ditanya juga kepada kebanyakan individu lain. Persoalan tentang bolehkah seorang lelaki berambut panjang dan bolehkan seorang perempuan berambut pendek?

Soalan tersebut boleh dipisahkan menjadi 2 persoalan. Dan untuk memudahkan "diri ini" menulis maka ianya akan dipecahkan di mana soalan berkaitan lelaki adalah persoalan yg pertama dan soalan yg bekaitan perempuan dijadikan persoalan yang kedua.

1) Lelaki berambut panjang:

Keadaan ini telah menjadi satu senario yang biasa kita lihat di mana-mana. Apabila ditanya kepada individu-individu terbabit (yang berambut panjang), pelbagai alasan yang dikemukakan semata-mata untuk menguatkan hujjah perihal kepanjangan rambut mereka.

Antara hujah yang sering mereka kemukakan yang ingin diutamakan dalam sanggahan dalam tulisan ini ialah: i) kubur masing-masing, Jadi aku tak kacau korang buat apa la korang nak sibuk jaga tepi kain orang lain..dan sewaktu denganya. ii) Sunnah Rasulullah S.A.W.

Ayuh! kita tumpukan kepada 2 hujah dangkal di atas.
i) Berkenaan perkara ini telah "diri ini" nyatakan secara umum kepada dan oleh pihak mana sewajarnya frasa tersebut diungkapkan. Dalam tulisan sebelum ini disertakan beberapa terjemahan ayat Al-Quran tentang perkara yang berkaitan. Kesimpulannya kerana kubur masing-masing lah saudara seislam kita yang lain mengambil berat tentang kita. Pertamanya kerana mereka melaksanakan kewajipan yang Allah tetapkan ke atas semua Umat Islam iaitu mesti menyampaikan nasihat/dakwah dalam apajua keadaan dan bentuk. Mereka meyakini janji Allah bahawa kemanisan di alam Kubur dan Akhirat adalah suatu yang pasti dan nasihat/dakwah adalah salah satu daripada tiket-tiket kemewahan dan kebahagiaan yang akan dikecapi di Kubur dan Akhirat kelak. Keduanya kerana kubur masing-masing juga lah kawan-kawan yang menasihatkan kita tadi mengingatkan kita tentang perihal akhak dan juga tingkah laku kita yang agak merimaskan (dengan panduan dan kacamata syariah) dan boleh menyebabkan Islam itu dipandang hina oleh orang lain. Masakan tidak, kerana kubur masing-masing lah kawan-kawan kita tadi kasihankan kita, sebab jika kematian adalah serentak dan kubur juga adalah sekali dan sama serta Allah membenarkan individu-individu yang 'terselamat' dari azab kubur menaungi (ala-ala memberi syafaat) orang lain maka tidaklah kawan-kawan kita tadi risau dan bimbang tentang kita. Kerana mereka yakini Allah tidak akan berdusta. Tetapi masalahnya di sini ialah kematian setiap orang adalah berbeza dari segi masa tempat dan keadaan kematian itu sendiri dan naungan tadi adalah suatu yang mustahil dalam keadaan begitu. Maka sesuailah kawan-kawan tadi memainkan peranan mengingatkan kita terhadap perkara yang kita lakukan. Ketiganya, Kawan-kawan atau pihak yang menegur/menasihati kita tadi amat yakin tentang peristiwa yang Allah dan Rasulnya gambarkan tentang Hari Pembalasan. Ketika itu semua manusia akan dihitung amalannya dan dipersoal tentang apa yang telah dilakukan ketika hayatnya di dunia. Maka akan ada keadaan dimana saling tuding menuding ke arah orang lain semata-mata takut dicampakkan ke dalam Neraka yang azabnya terlalu dahsyat. Jadi daripada kawan-kawan kita dipersalah di hari pembalasan nanti sebaiknya lah mereka memainkan peranan yang sewajibnya di dunia ini agar tudingan itu nanti akan ditolak mentah oleh Allah kerana mereka telah menjalankan kewajipan mereka dengan mengingatkan kita atas setiap perilaku kita yang agak merimaskan tadi. Jadi kerana kubur masing-masing lah mereka bertindak sedemikian. Kita pula perlulah terima teguran dan nasihat itu untuk bekalan kita dikubur dan ketika dalam ketakutan di medan perhitungan nanti.

ii) Ianya Sunnah Rasullullah S.A.W.
Jika kita menghujjahkan sedemikian maka hak kawan-kawan kita adalah mereka diberitahu tentang sumber yang kita rujuk kerana menyandarkan kepanjangan rambut (dan apa jua tindakan kita) kepada Sunnah Rasullullah S.A.W. Setiap Sunnah Rasullullah semestinya terlakar di dalam sumber-sumber hadith yang sampai kepada kita. Apakah benar kita mengetahui tentang perkara tersebut atau kita hanya menyandarkan dan memindahkan apa-apa yang pernah kita dengari atau disampaikan oleh orang lain melaui kaedah pindah lisan. Kemudian sewenang-wenangnya kita terus dengan yakinnya mengisytiharkan bahawa ianya adalah Sunnah Baginda S.A.W. Tidakkah kita takut tentag ancaman Rasullullah S.A.W. terhadap mereka-mereka yang mendustakan Baginda (Muhammad S.A.W.)? Hadis tentang perkara ini telah dikethaui umum bahkan ianya sebahagian dari hadith yang masyhur dan dimasyhurkan oleh semua lapisan pendakwah masakini.

حدثنا أبو بكر قال حدثنا ابن نمير عن الأوزاعي عن حسان بن عطية عن أبي كبشة عن عبد الله بن عمرو قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

Maksudnya: "Barangsiapa yang mendustakan Aku (Muhammad S.A.W), sesungguhnya dia telah menyediakan tempatnya di dalam neraka (atas pendustaan yang telah dilakukan)". -Riwayat, Ahmad, 2/413)

Kesilapan dan kurang fahamnya kita apabila hanya mengaitkan hadis tadi dengan golongan-golongan yang memalsukan hadith dan seumpamanya. Sewajarnya kita meneliti dan memahami bahawa apajua pendustaan yang kita sandarkan kembali samada kepada Rasullulah S.A.W, Allah dan juga Islam sesungguhnya ia juga termasuk dalam kategori tersebut kerana secara tidak lansung kerana tindakan sedemikian akan memburukkan nama baginda S.A.W.

Dalam hal sifat rambut Rasulullah S.A.W (kepada mana-mana individu yang menghafal atau memiliki sumber hadis berkaitan sifat rambut Baginda S.A.W amatlah diharapkan agar dapat memaklumkan maklumat berkaitan kepada "diri ini" ) kita seringkali menyandarkan panjangnya rambut nabi dengan kepanjangan rambut kita. Apakah kita mengetahui secara jelas sifat-sifat kepanjangan rambut nabi? (panjangnya setakat mana? keadaan rambut Baginda ketika panjang? ketika dan selama mana baginda berkedaan begitu?) Jika kita jelas keadaan tersebut dan kita yakini itulah sifat rambut baginda maka silakan kekal untuk menyimpan rambut anda dalam keadaan yang panjang (sehingga boleh dinisbahkan kepada Sunnah).

Seterusnya, Keperibadian Rasullullah S.A.W. adalah amat sempurna. Kesempurnaan tersebut bukan hanya datang secara berasingan tetapi ianya secara pakej dan menyeluruh. Hinggakan musuh-musuh Islam tiada hujjah untuk memburukkan Rasullullah S.A.W. Maka sewajarnya apabila kita sering menyandarkan kepanjangan rambut tadi dengan Sunnah maka amalan dan tindakan kita yang lain juga perlulah mengikut Sunnah. Dan yang utamanya ialah kita mendahulukan Sunnah yang besar kemudian diikuti dengan Sunnah Baginda yang lain. Akan tetapi ketika ini, jika kita lihat kepada manusia-manusia yang berambut panjang (Muslim), apakah lebih banyak kita nampak sifat terpuji (acuan Syariah) atau sebaliknya? Apakah tingkah laku mereka mendatangkan kelebihan kepada Islam atau sebaliknya?

Bagi sesiapa yang rupanya mirip kepada keayuan seorang wanita, Haram baginya untuk menyimpan rambut dalam keadaan panjang kerana ianya sah menyerupai wanita. Dan celaan serta larangan tersebut jelas dalam Islam. (tambahan pula kalau dah perangai dan tingkah laku lembut semacam dah macam perempuan (tak salah perempuan untuk bersifat lembut bahkan itulah peribadi mereka), termasuk guna peralatan yang digunakan untuk 'menghias' diri dan sebagainya). Keadaan ini banyak berlaku disekeliling kita. Moga Allah membuka pintu hati kita semua gaar berubah ke arah yang lebih baik mengikut apa yang dituntutNYA.

Sekali lagi diingatkan, supaya kita tidak hanya menyadarkan sesuatu kepada Sunnah semata-mata kerana kita melakukan perkara tersebut padahal kita berbuat demikian bukanlah kerana Sunnah Rasullullah S.A.W. tetapi lebih kerana sunnah manusia-manusia lain sebelum daripada kita.

Sementelah kebanyakan daripada kita juga apabila berpewatakan demikian lebih menonjolkan sifat yang tercela iaitu riak dan angkuh kerana kononnya dengan berambut panjang seorang lelaki itu akan dilihat 'macho', gagah dan sebagainya. Bahkan kadang-kadang ramai di antara kita yang gagal untuk menyahut seruan yang lebih besar iaitu sentiasa kemas dan bersih. Sehingga menjadi fitnah dan buah mulut sesama kita. Akhirnya Sunnah Rasullullah tidak lagi dianggap mulia. Siapakah yang bersalah dalam keadaan ini? mereka yang menegur kitakah atau kita sendiri yang berambut panjang tetapi tingkah laku tak pula mengikut Sunnah dalam keadaan kepanjangan rambut tadi di sandarkan kepada Sunnah kononnya.

Semoga kita bukanlah beban bagi Islam dan juga bukan penyebab fitnah berlaku terhadap Islam (bila dah musuh-musuh Islam cerca Islam baru pakat sibuk bantah sana bantah sini, padahal semua itu kerana tingkahlaku kita sendiri yang gagal mengimplementasikan contoh yang terbaik dan mengamalkan semua tuntutan Islam).

2.Perempuan berambut pendek:

Runsing juga bila ditanya soalan begini.
i) Jika seseorang permpuan itu menutup aurat dengan sempurna (sebagaimana yang telah Islam gariskan) maka persoalan ini amatlah tidak releven dengan mereka. Kerana mereka kekal dengan ciri keperempuanan bahkan sebagai seorang muslimat yang iltizam dengan tuntutan Islam. Persolan rambut mereka pendek semacam lelaki adalah persoalan yang musathil. Kerana apabila seseorang muslimat/perempuan beriltizam dengan Islam maka semestinya ada pihak lain juga yang berkuasa ke atas mereka yang sama beriltizam dengan tuntutan Islam. Pihak yang berkuasa tersebut ialah Ibubapa atau sanak saudara atau suami atau anak-anak dan sebagainya.

ii) bagi perempuan yang tidak menutup aurat dengan sempurna pula, persoalan ini amat perlu dipandang serius. Pertamanya "diri ini" ingin mengingatkan supaya jadilah muslimah yang sempurna dari segi iltizamnya dengan Islam. Jika anda bertudung dan menepati ciri-ciri menutup aurat yang sempurna sebagaimana yang islam ajarkan nescaya anda tidak akan sesekali berpewatakan mirip lelaki samada rambut, pakaian dan tingkah laku dan sebagaianya.

iii) Jika inginkan "diri ini" membincangkan tentang hukum, maka hukum bagi seorang perempuan yang meyerupai lelaki juga adalah sama dengan hukum seorang lelaki menyerupa wanita dalam pelbagai sudut fizikal. Mengapa Islam menggariskan panduan menutup aurat yang sedemikian kepada muslimah? pengajaran yang "diri ini" boleh katakan ialah kerana Islam menggariskan batasan dan had yang cukup sempurna bagi sifat-sifat seorang lelaki dan seorang perempuan. Jika seorang perempuan itu menutup aurat dengan sempurna dan berusaha mengikuti apajua tuntutan syariat ke atas mereka nescaya persoalan di atas tidak akan terbit lagi.

bukan kerana diskriminasi "diri ini" membincangkan begitu tetapi ianya adalah realiti. Jika muslimat/wanita semua menepati kehendak syariat maka semestinya perbahasan kepada lelaki yang menyerupai wanita juga boleh dikaitkan dengan meniru gaya atau perlakuan mereka yang bukan Islam dan celaan Islam terhadap perkra yang haram amat jelas...

Semoga tulisan ini membantu kita terus mengorak langkah maju bersama Islam...

"Jangan Jadikan diri kita punca fitnah berlaku ke atas Allah, Para Rasulnya dan Juga Islam".






Friday, March 28, 2008

-Kubur masing-masing-

Assalamualikum...

'Kebangkitan' Islam pada era ini amat dirasai oleh semua musuh-musuh Islam. Mereka berusaha untuk memastikan Umat Islam akan kembali lemah sebagaimana ketika selepas kejatuhan khilafah pada tahun 1924M. Pada wal Mac lalu sekali lagi kita diingatkan tentang tarikh kejatuhan khilafah. Bukan kerana kita meraikannya tetapi sebagai mengenang nasib Umat Islam yang entah bila akan bangkit kembali mengikut landasan dan acuan Syariat.

Apabila berbicara tentang kejatuhan moral Umat Islam ketika ini, dan semestinya ia sejak zaman berzaman (zaman kelemahan Umat Islam) maka kita akan berusaha untuk membincangkan langkah-langkah yang perlu di ambil oleh semua pihak agar memastikan Islam kembali ke tempat yang selayak baginya. Maka peranan Umat Islam yang sanggup mengorbankan diri mereka ke jalan yang dituntut Allah dan Islam (dakwah) amat dialu-alukan.

Pendakwah- apabila membicarakan pula tentang pendakwah maka ramai dikalangan Umat Islam (khasnya dibumi Asia tenggara ini) secara lansung akan membayangkan golongan tertentu iaitu para ustaz/ah (syeikh/ah). Padahal maksud pendakwah itu amat luas. Abaikan bidang pengkhususan, selagi mana sesorang umat Islam itu mengorbankan kehidupannya kepada jalan yang dituntut tersebut (Dakwah) maka mereka layak bergelar pendakwah. Ustaz/ah apabila menceburkan diri ke medan dakwah bukanlah satu kepelikan dan satu perkara yang ajaib, tetapi ianya adalah kewajipan yang lebih besar daripada kewajipan berdakwah seseorang atau mereka yang bukan dalam bidang pengkhususan yang boleh digelar sebagai ustaz/ah pada masa kini (zaman kita lah kerana dibeza2kan bidang pengkhususan maka jadi lah ianya sedemikian).

Dunia Islam patut memberikan pengiktirafan yang amat tinggi kepada mereka-mereka yang mengorbankan diri mereka ke medan Dakwah sekalipun mereka itu bukanlah pakar dan yang arif tentang ilmu yang berkaitan sebagaimana pakarnya mereka-mereka yang berada dalam bidang pengkhususan tersebut. (Mereka ini mungkin boleh diistilah seketika sebagai 'orang luar' dalam tulisan ini). 'Orang Luar' tadi sebenarnya lebih tekun dan lebih beriltizam dan lebih komitmennya dalam medan dakwah berbanding mereka-mereka yang memang khusus dalam bidang tersebut (pendapat peribadi). Kesanggupan mereka bersama-sama meringankan beban tugas dakwah para ustaz/ah itu amat terpuji. Moga Umat Islam yang lain menuruti langkah terpuji tersebut.

Suatu yang malang bagi Umat Islam apabila mereka-mereka yang khusus (ahli) dalam bidang dakwah tidak sanggup memainkan peranan yang lebih besar daripada yang sepatutnya. Masih ramai dikalangan golongan yng mempunyai kelayakan dan pengkhususan dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Dakwah Islamiyyah tidak menceburkan diri secara total dalam membantu mengembalikan maruah Islam. Mereka tidak membantu masyarakat ke arah mengamalkan apa yang dituntut oleh Islam secara menyeluruh. Bahkan lebih hina lagi ada di antaranya yang hanya sanggup menyeru ke arah kebaikan semata-mata tanpa sanggup berusaha untuk mencegah kemungkaran (berlandaskan neraca Syariat).

Pelbagai alasan yang diberikan semata-mata untuk menghalalkan segala tindakan mereka. Moga Allah melindungi semua yang terlibat dalam medan dakwah daripada menjadi sebahagian daripada golongan tersebut.

Apabila golongan ustaz/ah gagal memainkan peranan sewajarnya, maka kesannya amat besar sehingga menyebabkan 'Orang Luar' juga semakin takut untuk meneruskan usaha mereka bahkan turut takut untuk melibatkan diri dalam medan dakwah kerana merasakan diri mereka terlalu kerdil (dari segi ilmu penghayatan islam) jika dibandingkan dengan ustaz/ah yang memang khusus dan ahli dalam bidang tersebut. Jika ustaz/ah gagal apakah mereka yang bukan ustaz/ah akan berjaya dalam medan tersebut? itulah yang sering bermain di dalam fikiran pihak terbabit.

Antara cabaran pendakwah kini dalam melaksanakan misi mereka, ialah keenganan Umat Islam sendiri memberikan komitmen dan sokongan utnuk membantu memantapkan maruah Islam. Bahkan kadang-kadang dicemuhnya pula dengan pelbagai cemuhan semata-mata kerana bagi mereka orang yang membicarakan tentang Islam dan dakwah ini sungguh memual dan meloyakan.

Pesanan kepada semua pembaca dan sahabat serta Saudaraku Umat islam di luar sana. jangan sesekali kita menggolongkan diri kita sebagai orang yang membenci atau menjauhkan diri dari medan dakwah. Jagan semata-mata kerana alasan peribadi maka kita menolak saranan dakwah orang lain. Yang lebih teruknya, apabila kita seolah-olah angkuh dengan mengatakan bahwa kubur masing-masing punya atau seumpamanya.

Beberapa hari yang lalu, Alhamdulillah Allah memberi keizinan dan kesempatan untuk diperdengarkan seseorang membaca ayat dalam Surah Al-Baqarah ayat ke -139. Mendeganr sahaja bacaaan tersebut terus terdetik dihati, ya ini lah yang telah lama "diri ini" cari dan inginkan.

Firman Allah Dalam Ayat tersebut:

قُلْ أَتُحَآجُّونَنَا فِي اللّهِ وَهُوَ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ وَلَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُخْلِصُونَ

139. Katakanlah: "Apakah kamu memperdebatkan dengan kami tentang Allah, padahal dia adalah Tuhan kami dan Tuhan kamu; bagi kami amalan kami, dan bagi kamu amalan kamu dan Hanya kepada-Nya kami mengikhlaskan hati,

Kemudian apabila disemak kedalam beberapa kitab tafsir, kesimpulannya ialah ayat tersebut memberi panduan kepada semua pendakwah, apabila mereka berdepan dengan golongan yang engkar (antaranya yang sering bersifat keakuan-kubur masing²-) maka ketahuilah sepatutnya frasa 'kubur masing-masing' lebih layak digunakan oleh pendakwah sendiri. Di mana kerana kubur (dan amalan) masing-masing lah Allah mengingatkan kita untuk menyebarkan Islam supaya diamalkan oleh semua manusia di bumi ini. Jangan kita jadi seumpama kaum yahudi dan nasrani. mereka ini apabila dituntut untuk mereka melaksanakan Islam mereka berkeras mempertahankan untuk kekal dengan agama yang telah mereka selewengkan.

Begitu juga allah berfirman,


وَإِذَا سَمِعُوا اللَّغْوَ أَعْرَضُوا عَنْهُ وَقَالُوا لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ لَا نَبْتَغِي الْجَاهِلِينَ
Maksudnya:

55. Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata: "Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil"(-Al-Qasas).

فَلِذَلِكَ فَادْعُ وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءهُمْ وَقُلْ آمَنتُ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ مِن كِتَابٍ وَأُمِرْتُ لِأَعْدِلَ بَيْنَكُمُ اللَّهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ لَا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ اللَّهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ

Maksudnya:

15. Maka Karena itu Serulah (mereka kepada agama ini) dan tetaplah[1343] sebagai mana diperintahkan kepadamu dan janganlah mengikuti hawa nafsu mereka dan Katakanlah: "Aku beriman kepada semua Kitab yang diturunkan Allah dan Aku diperintahkan supaya berlaku adil diantara kamu. Allah-lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. bagi kami amal-amal kami dan bagi kamu amal-amal kamu. tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu, Allah mengumpulkan antara kita dan kepada-Nyalah kembali (kita)".-Syuraa-

--------

[1343] Maksudnya: tetaplah dalam agama dan lanjutkanlah berdakwah.

Semoga apabila kita berdepan dengan golongan yang suka ber'frasa' kubur masing-masing kita akan kembali kerujuk kepada ayat ini untuk menyedarkan mereka yang telah lama terpengaruh dengan frasa tersebut...




Sunday, February 17, 2008

Petua

Assalamualikum...

Seringkali di dengari samada melalui petua orang tua atau saranan pakar perubatan, apabila kita sakit mata maka paling tidak antara cadangan untuk kaedah pengubatannya ialah melazimi untuk memandang tumbuh-tumbuhan dan seluruh alam kehidupan semulajadi yang bewarna hijau. Dikatakan ianya dapat membantu mengubat penyakit-penyakit tertentu yang berkaitan mata kita. Bahkan ada yang mengesyorkannya untuk memastikan mata kita sentiasa sihat dan sentiasa dalam keadaan yang baik.

Moralnya di sini ialah keperluan untuk memandang elemen-elemen yang bewarna hijau itu adalah suatu tuntuan untuk memastikan mata kita dalam keadaan yang sihat bukan hanya dilihat elemen-elemen hijau tadi hanya ketika kita menghadapi sesuatu penyakit. Jadikan ianya sebagai satu kelaziman dalam hidup untuk memastikan kehidupan kita sihat sejahtera.

Dalam kehidupan seharian kita juga banyak perkara-perkara yang membuatkan kita 'sakit mata'. Maka tak salah jika kita mengadaptasikan cadangan dan petua tadi untuk menjadikan kehidupan kita lebih bermakna...

Jadikan hijau sebagai warna kegemaran kita agar jiwa kita tidak terseksa apabila terpaksa memandang elemen-elemen yang bersifat kehijauan kelak.


Saturday, February 16, 2008

Sebenarnya Berbeza...

Assalamualikum...

Alhamdulillah makin ramai membincangkan konsep negara kebajikan. Semuanya timbul ekoran janji PAS untuk menwarkan kepada Rakayat Malaysia sebuah negara berkebajikan.

Ramai yang tersedak dan terbatuk-batuk dek kerana tawaran sedemikian. Berbagai persepsi dan pandangan di zahirkan semata-mata untuk menyokong atau menyanggah tawaran tersebut. Hinggakan terkadang sumber yang dirujuk adalah sumber yang salah. Mereka yang menawarkan tawaran sedemikian adalah PAS maka pandangan dan huraian yang jelas perlu di mabil dari sumber mereka supaya dapat difahmai dengan betul dan kemudian jika ingin kekal menyanggah maka sanggahan yang dibuat kelak akan lebih 'nampak membina'.

Tapi sebaliknya yang berlaku ramai di kalangan masyarakat cuba memahami konsep tawaran yang dibuat oleh PAS melalui medan yang bertentangan. Maka sebagai sebahagian daripada masyarakat yang celik dengan maklumat kita semua harus bertindak memastikan kita dan juga mereka yang berada di sekeliling kita mengambil maklumat daripada sumber yang tepat. Meskipun sumber tersebut seringkali di katkan 'bias'.

Setelah mengamati dan mengikut perkembangan tentang tawaran yang dibuat,. maka diri ini sedar akan satu perbezaan yang amat ketara. Iaitu Media-media utama Malaysia mewar-warkan PAS ingin menawarkan Malaysia untuk menajdi negara kebajikan. Seolah-seolah rakyat akan hidup dengan dikelilingi pelbagai subsidi dan perkhidmatan percuma.

PAS menawarkan bukan menawarkan negara kebajikan tetapi menawarkan Negara Berkebajikan di mana kebajikan rakayat adalah aspek utama dalam membuat keputusan di dalam pentadbiran. Itulah yang "diri ini" faham dari maksud yang disampaikan oleh Dr. Dzulkifley Ahmad Salah seorang daripada AJK PAS Pusat.

Kesimpulannya ialah rupanya berebza kedua indikator tersebut. Kita yang gagal teliti sebelum ini. Moga terus hidup dengan ketelitian...

Wednesday, February 06, 2008

Di Mana Kita ? (2)

Assalamualikum....

Menyambung kembali bicara kita terhadap pertembungan yang berlaku kepada Dunia Islam ketika ini. Khasnya Di bumi tercinta kita iaitu Malaysia. Perkongsian kali ini lebih merujuk kepada 2 golongan yang dimaksudkan dalam pertembungan ini. Lontaran pandangan ini bukan kerana perselisihan pendangan peribadi antara "diri ini" dengan mana-mana pihak.

Apabila berbicara tentang ibadat ketika ini, tidak boleh tidak akan timbul beberapa persoalan yang merujuk kepada pandangan-pandangan yang dilihat sebagai bercanggah dengan apa yang sering dilakukan dan telah pun sebati dengan amalan Umat Islam di malaysia. Istilah Kaum Muda dan Kaum Tua kembali menjadi perbincangan hangat. Abaikan pengistilahan tersebut! apa yang ingin kita bincangkan ialah kesan daripada berlakunya pertembungan ini.

Kita mengharapkan dengan hujah-hujah yang dibawa oleh kedua pihak akan membantu memberi kefahaman yang lebih kepada masyarakat terhadap setiap ibadah dan perkara yang mereka lakukan. Tetapi sebagaimana yang disebut dalam persoalan ini sebelum ini, Kesan yang lebih buruk berlaku ialah timbul semangat taasub yang lebih melampau dan lebih kritikal daripada 'taasub' yang disandarkan kepada kedua pihak sebelum daripada ini.

Di bawah ini diberikan definisi ringkas kedua golongan yang dimaksudkan. Ianya adalah pendefinisian yang dibuat sendiri oleh "diri ini" melalui kefaham yang terhad dalam diri:

Golongan (1) : Mereka yang kekal berpendapat bahawa taqlid (mengikut pandangan Mujtahid Imam yang empat (Mazhab Empat) adalah diharuskan (Kaum Tua). Umat Islam zaman kini tiada lagi yang mampu berijtihad.
Golongan (2) : Mereka yang berpendapat bahawa dengan capaian ilmu di 'alam maya' maka taqlid adalah suatu yang tidak lagi relevan (Kaum Muda). Pintu ijtihad sentiasa terbuka.

-------------------------------------------------------------------------------------
Kesan yang amat ketara dan membimbangkan ketika ini ialah apabila-kedua-dua pihak sering mempertahankan hujah masing-masing tanpa ada kompromi antara satu dengan yang lainnya. "diri ini" tidak kisah jika pertembungan itu melibatkan 2 perkara yang jelas bertentangan, contohnya perkara yang jelas tidak diasaskan dalam Islam (melalui Al-Quran dan Sunnah) disandarkan ianya sebagai satu ibadah (seolah-olah ianya adalah ibadah khusus) maka "diri ini"
akan bersependapat dengan mana-mana golongan yang memberi kefahaman kepada masyarakat umum bahawa ianya bukan ibadah khusus sebagaimana kewajipan kita melaksanakan solat 5 waktu. Contoh: bacaan yassin pada malam jumaat, apakah kita perlu menetang keras masyarakat yang melakukannya tanpa kompromi? Apakah kekal mereka 'bersalah' sekalipun mereka tidak lansung menyandarkan dan mengganggap ianya adalah satu tuntutan khas dalam Islam sebagaimana tuntutan melakukan solat 5 waktu atau Puasa di bulan Ramadhan dll? Ok, dalam situasi ini "diri ini" masih boleh berkompromi lagi dengan kedua2 pihak.

Keadaan yang paling membimbangkan ialah apabila seolah-olah kedua2 pihak menafikan
Sunnah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Samada perkara ini disedari oleh mereka atau tidak itu perkara lain. Harapan "diri ini" ialah agar kedua2 pihak supaya toleransi dalam menyelesaikan kekusutan ini. Contoh : Qunut dalam solat subuh. Kedua-dua pihak mengakui bahawa Rasullullah pernah membaca qunut dalam solat subuh (meskipun satu pihak hanya berpendapat jelas berpendapat jelas Rasulullah Qunut hanya dalam tempoh tertentu kerana sebab tertentu). Pihak yang satu lagi turut mengakui perkara ini. Tetapi apa yang berlaku, dalam pemerhatian "diri ini" adalah kedua-dua pihak seolah-olah menafikan bahawa Rasullulah tidak berqunut dan pernah berqunut dalam Solat Subuh. Masing-masing ingin menegakkan hujah masing-masing tanpa ada kompromi. Padahal keduanya adalah Sunnah Rasullullah. Kenapa kita sering berbalah pada perkara yang diperakui ianya adalah Sunnah? Sesiapa yang ingin melakukan juga Qunut dalam solat Subuh maka dipersilakan selagi mana mereka tidak menggangap bahawa Rasullullah sentiasa Qunut ketika Solat Subuh. Dan sesiapa yang tidak mahu Qunut kerana berpendapat ianya adalah lebih baik kerana Rasullulah sering solat begitu maka dialu-alukan tetapi diingatkan jangan sesekali menghukum mereka yang melakukan Qunut dengan pelbagai tohmahan dan 'hukuman' kerana ianya juga Sunnah.

Kemudian, seringkali didengari daripada mereka yang tergolong dalam golongan yang pertama tadi menyanggah golongan yang kedua tentang pendapat mereka yang membolehkan berijtihad. Contoh yang dibawa ialah sentuhan antara suami isteri yang berwuduk adakah ianya batal? Golongan yang kedua menerima pakai hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (kadang2 kita lupa kepada status penerimaan Umat Islam Kepada Sunan Sittah (Kitab Hadith yang enam) kemudian menyanggah semata-mata kerana pendapat tersebut dimasyhurkan oleh golongan lain) yang membuktikan Ianya tidak batal. Golongan pertama menyanggah kerana berpendapat seakan golongan kedua menyalahkan Imam Mazhab yang mengatakan wuduk batal apabila tersentuh di antara lelaki dan perempuan meskipun mereka adalah suami isteri. Persoalan yang dibangkitkan, siapa si polan atau mereka jika nak dibandingkan dengan Imam Mazhab? " diri ini" amat yakin mereka yang disitilahkan sebagai golongan yang kedua (ahli dan pakar) tidak lansung menganggap Imam Mazhab telah melakukan kesalahan sehingga boleh dikeji meskipun kekadang pengikut mereka menampakkan seolah-olah ianya begitu.

Untuk penyelesaian dalam perkara sebegini, suka "diri ini" ingatkan kepada semua pihak supaya kita kembali mengingati sumber hukum di dalam Islam yang telah disepakati oleh Ulama'. 1. Al-Quran 2. Sunnah Rasullullah S.A.W 3, Ijma' 4. Qias.
Al-Quran Dan Sunnah Rasullullah adalah Sumber yang utama. Maka di sana jika terdapat bukti yg jelas daripada Al-Quran mahupun Sunnah tentang sesuatu perkara, kemudian ada ijtihad ulama terhadap perkara yang sama dan ianya seolah berbeza dengan Sumber asal tadi maka perlulah diutamakan Sumber yang asal iaitu Al-Quran dan Sunnah. Perkara ini telah disepakati oleh semua ulama. Tetapi sedih, pertembungan yang belaku juga antara kedua golongan adalah melibatkan mereka yang memahami konsep ini. Bahkan kekadang mereka lah yang mengajar konsep ini kepada anak murid masing-masing tetapi tindakan mereka tidak semacam apa yang mereka ajarkan.

Untuk meringkaskan tulisan ini, kita terus pergi kepada penyelesaian yang mungkin boleh meleraikan kekusutan dan kekecohan ini. Semua pihak harus berlapang dada dalam mengembangkan ilmu masing-masing. Terjahan dan kejian kepada peribadi bukanlah penyelesaian yang sewajarnya. Hujah dan Ilmu perlulah diutamakan dalam mencari penyelesaian. Rujuk kembali sumber hukum insyaAllah kemudian kita akan beroleh pendapat dan pandangan yang baik dan ibadah kita juga dapat dilaksanakan dengan baik.

Begitu juga dalam kita bermuamalah dengan hadis Rasullullah, jangan kita lupa di sana ada satu ilmu yang mengajar kita bagaimana ulama hadis menentukan status setiap hadith yang sampai kepada kita. 'Takhrij Hadis' adalah ilmu yang membimbing kita ke arah tersebut. Jadi kepada mereka yang bukan ahli jangan sesekali menghukum sesuatu hadis tanpa rujukan yang di perakui dalam keadaan kita tidak arif dan bukan ahli dalam bidang tersebut. Kadang2 ahli ilmu yang terlibat dalam pertembungan pendapat ini menampakkan seolah2 mereka tidak memahami ilmu yang berkaitan dengan baik sehingga saling menghukum antara satu sama lain dengan hukuman yang tidak adil. Banyak lagi perkara besar yang timbul dalam pertembungan ini yang perlu kepada perbincangan secara ilmiah antara semua pihak.

Moga apa yg terbuku dapat di fahami oleh semua yang membaca. Sama-sama kita doakan agar
pertemuan dan perbincangan secara ilmiah dengan huujah-hujah ilmiah akan terjadi satu masa nanti demi melihat pertembungan ini dapat dikawal sebaik mungkin.

Di Mana Kita?

Assalamualaikum...

Umum mengetahui bahawa dunia hari ini bergerak pantas dengan kemajuan teknologi. Manusia berusaha untuk memanfaatkan kelebihan tersebut untuk menjamin kehidupan sebagaimana yang mereka cita-citakan.

Umat Islam tidak terkecuali daripada memanfaatkan kemajuantersebut. Antara manfaat yang paling ketara diperolehi oleh semua pihak ialah capaian ilmu melalui akses alam maya tanpa perlu lagi bersusah payah untuk ke perpustakaan atau gedung-gedung buku untuk melakukan kajian umum.

Dengan kemajuan yang terhidang di hadapan setiap individu maka kehendak untuk memahami tuntutan agama(Islam) juga menjadi semakin baik dan boleh dilihat dengan jelas. Suatu yang ketara ketika ini ialah sebahagian umat Islam telah 'mampu' dan sentiasa berkehendak untuk membuat kajian umum terhadap setiap ibadah yang telah mereka lakukan supaya ianya tepat sebagaimana yang 'dikehendaki dan 'dituntut' oleh Islam.

Kesan daripada keinginan dan keupayaan tersebut maka kita dapat lihat satu perkembangan yang positif apabila ramai di kalangan Umat Islam telah mengetahui dalil atas setiap perlakuan ibadah mereka yang sebelum ini yang jarang berlaku sebelum daripada itu. Mereka juga sentiasa menjaga batasan yang ditetapkan dalam melaksanakan urusan kehidupan seharian mereka supaya ianya tidak bercanggah dengan tuntutan syariat.

Kita sewajarnya memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas nikmat yang tehidang di depan kita ketika ini .Nikmat yang mebolehkan setiap dari kita mendapat ilmu lebih daripada kemampuan manusia sebelum dari ini.

Tetapi dalam keadaan yang demikian, berlaku pertembungan yang cukup ketara antara mereka yang cuba 'memaafaatkan' lapangan ilmu tadi dengan golongan yang kurang selesa dengan kaedah tersebut. Golongan ini bukan tidak selesa dengan kaedah yang digunakan iaitu mengkaji bergantung kepada capaian ilmu alam maya. Mereka tidak berseruju apabila semakin ramai di kalangan umat Islam yang mula memandang serong kepada mereka yang masih 'tidak berubah' dengan kaedah melaksanakan ibadah yang telah mereka pelajari melalui ilmu-ilmu yang telah disampaikan kepada mereka oleh ilmuan2 terdahulu. Kaedah yang cukup mudah, beramal dengan apa yang didengari dan dipelajari.

Tahun berlalu, pertembungan ini menjadi semakin 'panas' kerana pertembungan ini melibatkan mereka yang ahli (pakar) dalam bidang ini. Jika boleh "diri ini" katakan kini pertembungan ini lebih menyerlahkan perselisihan peribadi bukan lagi kerana ilmu.

Jika ilmu dijadikan asas untuk melakukan perubahan atau membetulkan apa yang dilihat tidak betul nescaya keadaan akan menjadi tenang dan perubahan yang diinginkan akan dapat dilihat dengan jayanya. Masalah yang timbul ialah apabila ilmu tadi dicampur adukkan dengan ketaasuban kepada sesetengah pihak maka lahirlah kesan yang sebaliknya.

Tulisan selepas ini akan dikupas dengan lebih jelas dan terang terhadap situasi yang dimaksudkan. Yang terpenting bagi kita semua adalah berlaku adil kepada semua pihak.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran"- (An-Nahl:90).



Saturday, February 02, 2008

Taasub..

Assalamualaikum...

Taasub (terjemahan ada di bahagian bawah tulisan ini). Satu tajuk yang biasa kita bincangkan dengan sahabat masing-masing dan kita pernah mendengarnya daripada mereka yang lebih arif dan tua daripada kita. Secara ringkasnya Islam amat melarang kita sebagai umatnya taasub kepada sesuatu perkara apatah lagi apabila ianya berkait rapat dengan amalan-amalan dalam kehidupan seharian kita.

Perbahasan tentang taasub kini menjadi hangat apabila sering dibahaskan oleh para ilmuan. Apa yang kesalkan ialah semakin ianya dibahaskan oleh para ilmuan penyakit ini menjadi semakin kritikal. "diri ini" secara peribadi gagal menyelami dan mengkaji apakah faktor yang menyebabkan keadaan ini menjadi-jadi dan boleh dikatakan kekal berada pada tahap yang membimbangkan.

Jika ingin membahaskan secara panjang lebar tentang perkara ini, dibimbangi "diri ini" juga gagal membawa masyarakat ke arah yang lebih baik. Apa yang diharapkan ialah supaya para ilmuan yang sering membincangkan tajuk ini supaya menjelaskan secara jelas tentang konsep dan maskud taasub itu agar masyarakat faham. Kita tidak boleh menggangap dan bersangka baik kononnya masyarakat akan faham sebagaimana yang kita fahami. Kadang-kadang kita berfikir, takkanlah masyarakat susah nak faham padahal kita mudah sahaja untuk memahaminya. Pemikiran sebegini hendaklah dijauhi supaya kita berlaku adil kepada semua pihak. Jangan dalam kita sibuk menjelaskan topik tersebut, kita pula gagal membendung masyarakat yang mula taasub kepada pandangan kita semata-mata padahal dalam masa yang sama pandangan yang sama atau lebih baik turut dijelaskan oleh pihak lain.

Kecelaruan yang seringkali timbul ialah apabila masyarakat atau pengikut atau mereka yang teruja dengan pandangan sesetengah pihak sering berbicara dan berhujah dengan berpandukan hujah individu atau pihak tertentu sahaja dan mengenepikan secara total pandangan pihak atau individu lain yang boleh jadi pandangan tersebut lebih baik atau berada pada tahap yang sama dan boleh dipertimbangkan. Juga kadang-kadang perkara yang sering dilakukan oleh mereka yang taasub ini ialah apabila menggunakan hujah Al-Quran atau Hadith Rasullullah S.A.W mereka turut menyandarkan kepada individu atau kumpulan yang mereka kagumi padahal sewajarnya mereka terus perjelaskan sumber ayat dan hadith tersebut kepada sumbernya yang asal iaitu Al-Quran dan Hadith tetapi mereka lebih selesa untuk berhujah dengan mengatakan bahawa si polan atau kumpulan yang dikaguminya yang mengatakan begitu.

"diri ini" sesekali tidak lansung melarang untuk kita mengemukakan hujah dengan bersandarkan kepada hujah individu tertentu atau kumpulan tertentu tapi mestilah dengan syarat ianya benar daripada individu atau kumpulan tersebut (yang bukan dari Al-Quran dan Hadith). Ketika kita boleh berlaku adil ketika menulis dengan menyatakan sumber petikan atau rujukan terhadap isu yang kita bincangkan, kenapa dalam kita berhujah secara lisan kita gagal melakukan perkara yang sama?

Moga kita tidak tergolong dalam golongan yang selesa untuk kekal berkeadaan seperti yang dimaksudkan. Semoga kita perbaiki bentuk hujah kita apabila menulis juga apabila berhujah secara lisan. Moga Allah melindungi kita daripada penyakit ini yang akan menyebabkan Islam kekal seperti sekarang tanpa ada potensi untuk kembali ke landasan yang sewajar baginya.

Ringkasnya Taasub membawa maksud: Perasaan yang wujud dalam diri seseorang yang menyangka dirinya/kumpulannya sahaja berada dalam keadaan dan jalan yang betul dan baginya pandangan atau orang lain semuanya tidak betul sebagaimana dirinya. Bahkan yang lebih buruk apabila mereka mengeji dan mencaci pandangan pihak lain. Mereka ini seolah-olah menafikan hak untuk bersuara atau memberi pandangan (neraca yang mesti digunkaan ialah Syara').

Semoga kita menghukum sesuatu perkara berpandukan neraca Syara' dan Sunnah.


Bertanyalah...

Assalamualikum...
Bangsa Melayu memang dikenali sebagai bangsa yang malu untuk bertanya. Perkara ini sering dibahaskan di Malaysia. Terutama apabila ianya dikaitkan dengan ketinggalan pelajar melayu dalam pelajaran. Moga kita semua berjaya keluar dari kepompong tersebut.

Sebagai menyahut seruan para ilmuan, supaya pelajar melayu khasnya dan umat Muslim itu sendiri banyak bertanya dan sentiasa bertanya jika menghadapi apa jua masalah yang perlu kepada penyelesaian maka diri ini melazimkan diri untuk terus bertanya.

Baru-baru ini, memandangkan telah lama "diri ini" tak melakukan 'tawaf' sekitar Kuala Lumpur maka "diri ini" mengambil keputusan untuk melakukan rutin masa lapang iaitu "tawaf" ke tempat-tempat yang jarang "diri ini" lalui semata-mata untuk memastikan semua pelosok Kuala Lumpur ini dikenali oleh "diri ini". Apabila sampai ke satu tempat dan kebetulan "diri ini" memang ingin pergi ke satu destinasi yang sewajarnya "diri ini" pergi kerana ingin melaksanakan amanah, "diri ini" menghadapi masalah untuk sampai ke destinasi tersebut kerana tidak arif tentang jalan di kawasan tersebut. Maka tanpa berlengah, "diri ini" ambil keputusan untuk bertanya kepada mereka-mereka yang lebih 'arif'.

Ringkasnya, pada hari tersebut "diri ini" terpaksa bertanya beberapa individu dan kumpulan arah ke destinasi terbabit, tetapi amat mengecewakan, banyak-banyak yang ditanya hanya 3 individu yang membantu dan menunjukan arah yang tepat dan betul. Untuk pengetahuan semua mereka-mereka yang ditanya itu ialah orang yang sama agama dan bangsa dengan "diri ini". Apakah susah untuk kita katakan 'tidak tahu' terhadap perkara yang memang kita tidak tahu?

Ini lah yang sering berlaku dalam dunia hari ini, kebanyakan kita selalu sahaja mengambil langkah ingin menunjuk kepada umum bahawa kita sentiasa arif dan pandai tentang semua perkara. Maka pantang sahaja ditanya pasti kita akan menjawab seolah-olah memang kita amat arif tentang perkara tersebut. Akhirnya kita akan menyusahkan mereka yang bertanya dan mungkin kesannya kepada individu atau kumpulan lain yang bersangkutan dengan mereka yang bertanya.

Moga kita semua sedar keupayaan diri masing-masing dan hanya menjawab apa yang diketahui, Jika tidak pasti tentang sesuatu perkara apabila ditanya, adalah lebih wajar kita menjelaskan perkara sebenar bahawa kita tidak pasti atau tidak arif tentang perkara tersebut (jangan pula buat dalam peperiksaan sekolah atau U, kalau nak buat juga jangan libatkan "diri ini" :D)

"terima kasih kepada mereka yang membantu pada hari tersebut dan kepada mereka yang jujur bahawa mereka tidak arif tentang arah yang ditanya" kepada yang lainnya (termasuk diri sendiri) moga Allah membuka pintu hati mereka (dan diri sendiri) supaya sedar tentang kesilapan mereka (dan diri sendiri)."

Akhirnya, sila rujuk kepada ayat surah An-Nahl:43 dan Anibiyaa:7.

Selesai...

Assalamualaikum..
Alhamdulillah dengan Izin Allah S.W.T, masalah yang dihadapi dalam blog ni sebelum ini telah selesai. Sidebar telah kembali ke posisi yang selayaknya sesuai dengan namanya. Masalah tersebut selesai dengan sendirinya apabila post baru yang dihantar ke dalam blog ini mengambil tempat dalam blog...

kerana masalah...

Assalamualikum..
Maaf kepada semua yang masuk ke blog ini, selepas tarikh 23 jan "diri ini" mengalami masalah untuk berkongsi pandangan dengan anda smeua dalam blog ini. Masalah berpunca kerana tiada semangat nak muatnaikkan apa-apa tulisan terbaru apabila didapati sidebar blog ni secara tiba-tiba berpindah ke bahagian bawah blog. Jadi kerana berusaha untuk menyelesaikan kekusutan tersebut maka "diri ini" tidak dapat menyembunyikan kerunsingan tentang apa yang berlaku. Jadi di harap kepada mana-mana sahabat yang mempunyai pengalaman yang sama atau mempunyai pengetahuan tentang masalah tersebut harap dapat dikongsikan bersama agar blog ni tak dilihat janggal. "diri ini" telah melakukan beberapa kali semakan terhadap HTML blog dan juga temptlate tetapi masalah tersebut kekal tanpa ada perubahan.
Jika ada pandangan atau anda ingin/mampu membantu sila respon ke email "diri ini" syababul_jabal@yahoo.com.
Terima kasih kerana meluangkan masa...

Wednesday, January 23, 2008

Hindraf...

Assalamualaikum...

Secara tidak rasminya dan tidak lansungnya, segala tindakan kerajaan ketika ini membuktikan tuntutan dan tuduhan Hindraf bahawa kaum India diabaikan dalam pembangunan negara adalah berkesan. Bermula daripada tarikh perhimpunan yang dianjurkan oleh HINDRAF diadakan, Datuk Seri Samy Vellu bekerja cukup keras untuk membuktikan bahawa MIC tidak pernah leka dalam meperjuangkan nasib kaum India di negara ini.

Bermula dengan arahan PM kepada Datuk Seri S Samy Vellu untuk menyenaraikan semua kuil di Malaysia hinggalah kepada pengumuman cuti sempena menyambut thaipusam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Semuanya tindakan tersebut membawa masyarakat (rakyat) kepada satu rumusan yang 'sama' iaitu MIC terasa 'bahang' kerana HINDRAF berjaya menyedarkan masyarakat India di atas kegagalan MIC melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kaum India di negara ini.

Meskipun 5 orang penggerak HINDRAF di 'ISA'kan, tetapi apa yang pasti mereka mampu tersenyum kerana kesan daripada apa yang mereka lakukan mebuahkan hasil.

Tulisan ini tidak sekali-kali menggambarkan "diri ini" menyokong apa yang dilakukan oleh HINDRAF. "diri ini" sekali-kali tidak lansung bersetuju dengan HINDRAF apabila mereka mendakwa setiap minggu ada sahaja kuil yang dirobohkan, serta dakwaan mereka bahawa berlaku penindasan dan penghapusan etnik di dalam negara ini dan beberapa dakwaan lagi yang bersifat tuduhan melulu dan tidak berasas. Tetapi inilah hasil keputusan daripada pemerhatian dan pembacaan politik semasa.

Jadi semoga Pilihanraya akan datang rakyat benar-benar 'mengajar' mereka-mereka yang tidak melaksanakan tugas dengan baik ini agar gugur terus daripada mentadbir negara.






Nilai Sasterawan Malaysia...

Assalamualaikum...

Minggu lalu satu lagi kejutan menjelma dan menyelubungi Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Kejutan kali ini adalah kepada matapelajaran bahasa Melayu (Sastera). Untuk tahun-tahun yang akan datang (khabarnya hingga 2010..atau mungkin lebih) semua pelajar akan mula menggunakan novel-novel hasil karya Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan juga Zaid Akhtar.

Mendukacitakan kita semua apabila tiada lansung karya-karya penulis-penulis yang telah mendapat pengiktirafan negara. Karya-karya mereka yang bergelar Sasterawan Negara tidak lansung dijadikan rujukan untuk mata pelajaran tersebut. Jadi apakah nilai 'Sasterawan Negara' yang dianugerahkan? Apakah karya-karya mereka tidak menarik? atau gelaran sasterawan dianugerahkan kerana mereka telah lama menulis dan mencipta karya? Persoalan-persoalan yang "diri ini" yakin tidak dapat dijawab oleh semua pihak.

"diri ini" tidak lansung tidak mengiktiraf peranan penulis-penulis yang telah dipilih karya mereka untuk dijadikan teks di sekolah. Karya-karya mereka telah membantu menyemarakkan lagi dunia sastera (meskipun nilai kesusasteraan tetap boleh dipertikaikan pada beberapa aspek penulisan). Cuma kita amat mengharapkan agar karya-karya sasterawan kita di angkat untuk terus memartabatkan dunia kesusasteraan di Malaysia.

Ahadiat Akashah, siapa yang tidak kenal gaya novel yang ditulis oleh beliau (bagi sesiapa yang minat membaca novel)? Apakah kriteria yang membolehkan karya beliau dijadikan teks untuk rujukan pelajar-pelajar sekolah? Mengikut laporan tidak rasmi, karya sasterawan-sasterawan negara tidak dipilih kerana novel dan sastera mereka terlalu berat. Beratkah karya A. Samad Said? Beratkah karya Usman Awang? Beratkah karya Shahnon Ahmad? Beratkah Karya Datuk Abdullah Hussein?

Apakah hanya kerana remaja masa kini mabuk dengan percintaan (cinta monyet) maka karya-karya yang lebih cenderung kepada percintaan dianggap yang terbaik (ringan) untuk dijadikan rujukan dan teks? Apakah harapan kita kepada remaja-remaja tadi jika kita dilihat memberi galakan kepada mereka untuk dibuai alam khayalan percintaan remaja yang tersirat dan tersurat dalam karya-karya yang dipilih? Persoalan utama ialah apakah karya-karya sedemikian dikira sebagai koleksi sastera untuk dunia kesusasteraan Malaysia?

Suatu ketika dahulu, pernah dimaklumkan kepada "diri ini" bahawa pelajar-pelajar yang mengambil matapelajaran Bahasa Melayu di Singapura menggunakan Novel Salina karya A.Samad Said sebagai rujukan bagi matapelajaran berkaitan. Bahkan dikhabarkan mereka menggunakan teks asal 'Salina' yang sememangnya diistilahkan 'berat' bagi masyarakat kita di sini. Kemudian beberapa tahun yang lalu, 'Salina' telah diringkaskan dan diterbitkan semula dengan saiz dan isi setaraf dengan novel masa kini. Bagi "diri ini" meskipun belum pernah berpeluang untuk membaca teks asal 'Salina' , membaca novel yang telah diringkaskan (diringkaskan sendiri oleh penulis asal) cukup mengujakan. Pengajaran tentang dunia kehidupan melayu suatu masa dahulu sungguh mengharukan. Banyak lagi novel A.Samad Said yang boleh dijadikan teks jika dirasakan 'Salina' mengajak kepada budaya yang 'kurang sihat'.

SN Shahnon Ahmad juga menghasilkan karya-karya yang cukup popular dengan dunia kesusasteraan negara kita. Ranjau Sepanjang Jalan antara karya masa kini yang perlu diambil pengajaran oleh anak-anak muda. Menceritakan tentang kehidupan petani kampung boleh membawa rmaja kita keluar daripada dunia mereka sendiri yang penuh dengan khayalan.

Selain itu Pihak berwajib juga boleh mencadangkan karya-karya penulis speerti Azizi Abdullah, Abdullah Hussain dan juga mereka yang sewaktu dengannya yang sering memaparkan kehidupan masyarakat sebagai jalan cerita di dalam novel mereka. Kesan yang lebih mendalam kepada jiwa anak-anak muda akan kita perolehi dan manfaatkan adalah untuk masa depan negara. Meskipun bukan dalam masa yang singkat teta[i " diri ini" yakin anak-anak muda yang diajar untuk membaca karya-karya kemasyarakatan akan membuahkan hasil yang cukup positif.

'Imam', novel yang telah yang memenangi anugerah sejak beberapa tahun yang lalu boleh juga dijadikan teks untuk keperluan pelajar sekolah. Ketika Malaysia 'kecoh' dengan perbalahan Kaum Muda dan Kaum Tua, novel ini wajar diangkat ke tahap tertinggi. Mengajar kita menghargai pandangan orang lain, juga mengajak kita sentiasa berlapang dada dan bersabar dalam mengharungi kehidupan yang lebih bermakna. Juga membawa kita menelusuri kisah perselisihan pendapat dan pandangan antara mereka yang diistilahkan sebagai Kaum Tua dengan mereka yang diistilahkan sebagai Kaum Muda. Cuma mungkin ianya kurang sesuai bagi penganut agama lain.

Karya Azizi Abdullah cukup dekat dengan Jiwa masyarakat. Belaiu mengkaji dengan mendalam sebelum beliau menghasilkan sebarang karya untuk ditatap masyarakat. Hasilnya kebanykan kita telah lihat sendiri. Karya-karya beliau dibahaskan oleh peminat-peminat sastera. Pastinya karya-karya yang lebih berbentuk realiti sebegini akan membantu pembangunan modal insan dalam masyarakat kita yang meminati sastera. Kita akan lebih mengenali budaya-budaya yang belum pernah kita telusuri sepanjang hayat kita.

Begitu juga karya Sasterawan-Sasterawan negara yang lainnya. "diri ini" amat menyakini karya mereka lebih membawa manfaat yang menyeluruh jika dijadikan teks di sekolah. Akan lahir lebih ramai Sasterawan pada masa mendatang. Tetapi jika kita hanya bergantung kepada novel-novel yang berbentuk 'percintaan remaja' atau 'Cinta Monyet' maka dunia kesusasteraan kita akan lenyap begitu sahaja kerana akan lahir lebih ramai lagi penulis-penulis yang membawa genre percitaan yang merupakan khayalan yang melampau.

Semoga desakan atau luahan rasa mereka-mereka yang meminati dunia kesusasteraan melayu akan menjadikan pihak berwajib mepertimbangkan kembali keputusan yang telah mereka capai. Meskipun mereka-mereka ini bukanlah Sasterawan atau penulis-penulis novel, tetapi dengan membaca karya-karya penulis-penulis yang betul-betul menghayati dan membawa mereka mendalami dunia kesusateraan membolehkan mereka menilai setiap kelayakan dan prestasi penulis setiap karya terbabit.

Pak Samad (A. Samad Said) telah dengan rendah diri memohon supaya beliau tidak lagi dipanggil dengan Gelaran Sasterawan Negara. Perkara ini diluahkan ketika beliau diberi peluang untuk berdiskusi dengan peminat-peminat Sastera negara. Mereka yang hadir dengan sendirinya menggelar beliau Sebagai sasterawan Rakyat kerana berani dan serius dalam menjadikan Sastera sebagai ilmu yang sewajarnya dihayati oleh semua pihak. Kata-kata kekesalan beliau bukanlah kerana karya beliau tidak diangkat untuk dijadikan teks sekolah tetapi kecewa kerana Sasterawan Negara hanyalah 'pengiktirafan' palsu.

Dah la panjang la pula tulis pasal benda ni...harapnya anda semua boleh la sambung sendiri tulisan ini mengikut kemahuan dan acuan masing-masing. Yang pentingnya sama-sama hargai Dunia kesusasteraan dalam negara kita.

Sasterawan Negara







Takut...

Assalamualaikum...

Ramai di kalangan kita yang sering salah faham terhadap ancaman Allah S.W.T kepada golongan yang tidak 'menjaga Al-Quran.

antara kefahaman mereka ialah :

1) Menghafal (ikut kefahaman melayu) Al-Quran kemudian lupa terhadap apa yang dihafalnya.Ini membuatkan ramai dikalangan kita takut untuk menghafal Al-Quran kerana bimbang dicela Allah S.W.T kerana terlupa (tidak mengingati hafalan) mana-mana ayat di dalamnya.
(Hafaz) jika merujuk kepada asal kalimah arab ialah menjaga, jadi sekiranya mana-mana individu yang menghafal Al-Quran kemudian terlupa mana-mana bahagian tanpa mengabaikan apa jua tuntutan yang termaktub di dalam nya dikira sebagai mereka yang menjaganya.

2) 'menjaga' Al-Quran dengan menjadikan Al-Quran itu sebagai antara hiasan di dalam penginapan masing-masing atau tempat-tempat tertentu.
- Kurang ( atau tidak) membacanya dan kurang usaha untuk memahaminya.

3) 'menjaga' seni lagu (taranum) dan mengabaikan tajwid. Termasuk juga mereka ini ialah golongan yang suka kepada musabaqah (pertandingan) membaca Al-Quran yang biasanya beserta taranum tetapi tidak lansung menghayatinya. Menghayati Al-Quran bukan semata-mata dibacakan terjemahan, tetapi turut berusaha melaksanakan segala tuntutan yang ada di dalam Al-Quran itu sendiri.
Mereka-mereka yang arif (menjaga) tajwid dan mengiringi bacaan mereka dengan taranum tidak termasuk golongan ini jika mereka turut berusaha memahami apa yang dituntut Al-Quran.

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang salah faham terhadap maksud 'menjaga' yang dituntut oleh Allah S.W.T

Kenapa perlu bersusah payah!

Assalamualikum...

Firman Allah S.W.T:

لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْراً كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya:
Allah tidak membebani seseorang melainkan sepadan dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (Al-Baqarah:186)

-------------------------------------------------------

Pernahkah anda berbincang atau ditanya tentang apa jua perkara yang berkaitan dengan ayat ini? "diri ini" berkeyakinan bahawa ayat ini sering didengari daripada orang yang 'konon'nya pasrah dengan kemampuan mereka lebih daripada seorang dai'e berdakwah berdalilkan ayat tersebut.

Siapa gologan yang pasrah dengan kemampuan mereka? "diri ini" mentakrifkan mereka ini adalah golongan yang sentiasa mencari alasan untuk memenuhi tanggungjawab yang telah Allah tetapkan ke atas setiap muslim. Tanggungjawab sebagai khalifah Allah S.W.T. Tidak perlu lagi rasanya diperjelas di sini apakah tanggungjawab-tanggungjawab sebagai kahlifah Allah di muka bumi ini. Jangan! jangan pula kita hanya membayangkan bahawa tanggungjawab kahlifah itu ialah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran semata-mata. Tanggungjawab khalifah juga merangkumi segala kewajipan yang telah Allah tuntut kepada setiap individu antaranya solat, berbuat baik kepada 'orang tua' (ibu bapa dan ke atas) dan lain-lain lagi.

Golongan yang pasrah ini sering menggunakan ayat ini untuk meyerlahkan keengganan mereka menerima pelawaan atau nasihat daripada orang lain supaya sentiasa berbuat dan berperlakuan baik (menurut kacamata syara', bukan kacamata insan yang sentiasa rasa dirinya betul tanpa berpndukan Syara'). Mereka berhujah bahawa sesungguhnya Allah tidak memaksa apa-apa yang tidak mampu dilakukannya jadi kenapa anda sebagai saudara seagam pula yang memaksa mereka untuk melakukan sesuatu kebaikan?...ini lah salah faham yang amat jelek untuk kita bincangkan.

"diri ini" mendoakan moga Allah menunjukkan jalan yang lurus kepada kita semua. Mereka menyangka bahawa ayat tersebut tepat dengan kondisi dan situasi mereka. Padahal ayat tersebut boleh difahami dengan jelas tanpa kita perlu bersusah payah menyelak helaian tafsir yang di buat oleh para ilmuan. Benar, Allah tidak memberatkan kita dengan apa yang tidak mampu kita lakukan, tetapi ianya adalah merujuk kepada keadaan-keadaan tertentu seperti, jahil, ketidakmampuan kudrat dan juga dipaksa. Jadi jika mereka bersandarkan ayat ini dengan menyatakan kondisi mereka adalah seperti yang dimaksudkan ayat di atas maka amatlah tidak bertepatan jika ianya bukan berdasarkan 3 kategori yang dimaksudkan. Apakah mereka suka digelar jahil? semestinya tidak! apakah mereka golongan yang kudratnya terbatas? secara zahirnya yang dilihat kudrat mereka sama sahaja dengan kudrat kita. Apakah mereka dipaksa untuk tidak melakukan sesuatu yang dipertanggungjawabkan? mungkin tidak! (Setiap penilaian juga dibuat dengan panduan Syara').

Jadi moga kita tidak tergolong dalam golongan yang mempersendakan ayat Allah sedemikian. Tahukah kita jika kita merujuk dalil (samada Al-Quran atau Sunnah) dengan tujuan untuk mengelak daripada melakukan kerja-kerja untuk Islam maka kita termasuk golongan yang mempersendakan Islam. Sama seperti golongan lain yang secara jelas memepersenda Islam. Kesan sendaan kepada Islam yang dilakukan oleh mana-maan Umat Islam adalah lebih besar daripada sebarang sendaaan yang dilakukan oleh mereka yang bukan Islam terhadap Islam...
Moga Allah melindungi dan merahmati kita semua!...

Nak Buat Macam mana....

Assalamualikum...

"Nak buat macam mana dah taqdir hidup aku/saya macam ni..."

"Mungkin inilah taqdir yang Allah tentukan untuk aku/saya..."

Kedua-dua ayat di atas serta ayat-ayat yang lain tetapi sewaktu dengannya merujuk kepada konsep keimanan kita dengan Qadha dan Qadar Allah S.W.T.

Kedua-ayat di atas seringkali diungkap apabila seseorang ditimpa musibah atau ujian daripada Allah S.W.T. Ujian dan musibah yang dimaksudkan adalah lebih kepada ujian dan musibah yang 'buruk'. Jarang atau boleh juga "diri ini" katakan tiada Umat Islam yang mengungkap kata-kata seperti di atas ketika mereka dilimpahi segala kemewahan dan kesenangan. Kebanyakan Umat Islm hanya mengingati dan mengungkap tentang Qadar (taqdir) Allah S.W.T ketika mereka di 'timpa' musibah atau ujian yang 'buruk'. Ketika itulah biasanya kita dapat lihat seakan kuatnya keimanan seseorang kerana mengingati Allah S.W.T.

Kita perlu sedarkan diri kita, bahawa sewajarnya kita tidak hanya mengingati Allah ketika dilanda 'musibah'. Ketika berada dalam keadaan yang menyenangkan juga harus dan wajiblah kita mengingati Allah dan Taqdirnya.

Firman Allah S.W.T:
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَن يُؤْمِن بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya:
Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah S.W.T, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya DIA akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (At-Taghabun:11)

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Maksudnya:
Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Al- Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.(Al-Hadiid:22)

Jadi ianya satu keperluan untuk kita semua melazimi diri masing-masing dengan kesedaran bahawa apa yang berlaku di dunia ini adalah Qadar (Taqdir) Allah S.W.T tidak kira yang baik atau yang buruk dan kita diberi kebebasan untuk berikhtiar untuk melakukan sesuatu perkara. Jangan hanya apabila ditimpa keburukan barulah kita pasrah bahawa ianya adalah Taqdir Allah dan apabila berada dalan keadaan kesenangan kita lupa tentang Taqdir.

Kelebihan dan kebaikan beriman dengan Qadha dan Qadar adalah pembuktian kebergantungan kita dengan Allah S.W.T. Kita membuktikan bahawa kita adalah makhluk yang sentiasa bersyukur kepadaNYA kerana sentiasa menjadikan Allah sebagai tempat kita bergantung dan memohon sebarang keperluan sebagaimana yang telah kita ikrarkan dalam setiap rakaat solat kita (kalau yang tak solat tu pepandai la na muhasabah!).

Sabda Rasullullah S.A.W:

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: كنت خلف النبي صلى الله عليه وسلم يوماً فقال: ( يا غلام إني أعلمك كلمات: إحفظ الله يحفظك، إحفظ الله تجده تجاهك، إذا سألت فاسأل الله وإذا استعنت فاستعن بالله، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله تعالى لك. وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك، رفعت الأقلام وجفت الصحف) رواه الترمذي وقال: حسن صحيح

Maksudnya:
Sabda Rasullullah S.A.W:"Wahai 'pemuda' aku ajarkan kepada kamu satu kalimah (ayat): Jagalah Allah Nescaya DIA akan menjaga kamu, Jagalah DIA di mana sahaj kamu berada, jika kamu memerlukan pertolongan pohonlah kepadaNYA, Ketahuilah bahawa Umat Islam itu jika mereka bersepakat untuk membantu (memberi manfaat) kamu, ianya tidak akan terjadi melainkan dengan keizinan Allah S.W.T, begitu juga jika mereka bersepakat (berkumpul) untuk memudaratkan kamu, ianya tidak akan terjadi melainkan diizinkan Allah S.W.T. Sesunguhnya Qalam itu telah diangkat dan 'buku' (yang tertulis di Luh Mahfuz) telah tertulis sebagai mana yang dikehendakiNYA". (RW Tirmidzi, Hasan Shahih)

Jangan lagi harapnya kita hanya menyandarkan taqdir kepada perkara-perkara buruk semata-mata! 'Seolah-olah' kita menyalahkan Allah dalam keadaan kita tidak sedari. Ingatlah! keimanan itu sesuatu yang berharga, dan sesuatu yang berharga dan bernilai susah untuk dijaga.Jadi pastikan kita sering tegur menegur dan nasihat menasihati antar satu dengan yang lain agar kita tidak terjemrumus ke medan yang merugikan kita di Akhirat kelak...



Sunday, January 20, 2008

Sudah la...


Asslamualaikum...


Memandangkan masa terbatas, tetapi tetap ingin mengisi blog dengan tulisan baru, maka dengan rendah dirinya "diri ini" nak kongsikan salah satu masalah yang berlaku di Malaysia ketika ini dan mungkin juga turut melanda negara lain.

Individu 'M' : Asslmkm, maaf ganggu! ada masa sikit ke? blh saya nak minta pendapat sikit? nak tanya berkaitan satu perkara...

'I' : Silakan..

'M': Baru-baru ni saya ada mendengar pendapat seorang 'ustaz', kita tak blh menjemput jiran/saudara seagama kita yang tidak menunaikan solat untuk hadir ke kenduri yang kita adakan di rumah kita...pandangan ustaz pula macamana?

'I': Emmh...pertama sekali harapnya kami tidak dibanding-bandingkan. Mungkin pandangan saya salah, jadi harapnya dapat dipertimbangkan... Tapi secara dasarnya saya tak setuju dengan kenyataan 'Ustaz' tersebut. Ada dinyatakan dalil untuk menyokong hujah beliau? bukan apa, cuma untuk memudahkan saya merujuk kepada dalil tersebut mungkin juga saya tak perasan tentang bab ini...

'M': Seingat saya tak ada pula...

'I': Bukan apa..sepatutnya apabila membincangkan perkara-perkara yang jarang orang bincang dan menghukum pula kemudiannya..sewajarnya beliau memimpin masyarakat dengan dalil supaya masyarakat tahu punca hukum dari mana...

'M': Saya waktu dengar tu macam susah nak percaya juga, dan akal saya susah nak terima pula kenyataan macam tu...seolah-olah kita mengasingkan pula individu yang tak sembahyang tadi...

'I': Tak apa la...harapnya jawapan saya tak dijadikan asas untuk menolak terus 'ustaz' tersebut. Mungkin kalau beliau silap pun dalam bab sebegini aje...

'M' : Ya saya faham ustaz..

'I': Bagi saya kenyataan tersebut boleh disanggah dan tidak tepat. Mengapa kita nak menghukum saudara kita sebegitu rupa?..apa kah kita yakin yang dia memang tidak menunaikan solat?...Sekalipun menyakini akan hal tersebut, setakat mana pula usaha kita untuk membimbing dia? Apakah dengan memulau sedemikian akan menyelesaikan masalah dan individu tadi akan menunaikan semua kewajipan yang selama ini ditinggalkan?..

'M': Susah juga ye ustaz?

'I': Bagi saya meskipun kita meyakini individu terbabit tidak menunaikan solat, adalah lebih baik kita turut jemput dia ke sebarang majlis yang kita adakan. Ianya boleh membina hubungan yang lebih rapat dan memudahkan kita berinteraksi dengannya pada masa yang akan datang. Tambahan pula biasanya kita akan turut menjemput 'orang surau/ masjid' menghadiri jamuan yang kita adakan. Sekurang-kurangnya itulah usaha kita untuk membolehkan saudara kita tadi rapat dengan masjid/surau dengan cara bina hubungan yang kuat antaranya dengan 'orang-orang surau/masjid tadi...

'M': (dengusan nafas)....

'I': Bagaimana pula hukumnya kalau saudara kita tadi menjemput kita ke majlis yang diadakan dirumahnya pula?... apakah turut tidak dibolehkan?...kalau ikut hukum yang 'ustaz' tu sebutkan, maka bagi saya afdalnya jemputan yang dibuat oleh saudara kita tadi ditolak...setuju ke begitu?

'M': tak kot...macam tak patut pula..bukan ke Rasulullah ajar kita untuk memenuhi undangan saudara kita?

'I': Secara umumnya begitulah. Bukan ke sewajarnya kita mendoakan saudara kita tadi mendapat petunjuk dari Allah?.. apakah dengan cara yang disyorkan tadi (pulau) boleh membantu ke arah tersebut? Saya rasa tidak...

'M': Setuju...

'I': Ringkasnya begini la.. saya teringat peristiwa Rasulullullah S.A.W menziarahi jirannya yang senitasa dengki dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Ada sahaja cara yang digunakan untuk melemahkan dakwah Rasulullah dan juga melemahkan semangat Rasullullah untuk berdakwah..Tetapi apabila jiran tadi ditimpa musibah (sakit) Rasulullah adalah antara yang awal menziarahinya...itu lah antara kaedah Rasulullah berdakwah..jadi apakah kita tidak mahu mengambil contoh dari peristiwa tersebut?...

Siapa kita hendak menghukum mereka yang ingkar perintah Allah sedemikian rupa...hak berjiran adalah hak umum yang sepatutnya diraikan oleh semua pihak..meskipun semua tetangga maklum tentag kemalasan saudara kita tadi menunaikan solat...tetapi hak beliau dalam berjiran hendaklah kita tunaikan...Bagaimana mungkin kita berada dalam keadaan kenyang tetapi membiarkan saudara kita tadi (jiran tetangga) hanya mengetahui tentang majlis yang kita adakan daripada bualan masyarakat setempat dalam keadaan dia tidak dijemput. Apakah kita tidak takut saudara tadi atau keluarganya tidak merasa kenyang sepertimana kita rasakan?...

Hadith Rasullullah S.A.W...

Mafhumnya:
"Tidak sempurna iman kamu jika sekiranya kamu membiarkan jiran/saudara kamu berada dalam kelaparan ketika kamu berada dalam keadaan kekenyangan"...

kelaparan = kesusahan
Kekenyangan = Kesenangan dll.

'M': Ok ustaz saya rasa saya faham apa yang ustaz maksudkan...terima kasih nanti boleh la saya rujuk lagi kalau ada maslaah macam ni timbul ye?

'I' : tiada larangan, tetapi jangan mendoakan agar masalah seumpama tu timbul lagi di kalangan masyarakat..ianya lebih membuatkan saya rasa kesal dengan title graduan Syariah...

'M' : kenapa?

'I': tak apa la, insyaAllah satu masa nanti akhi akan faham...
--------------------------------

p/s 1) jangan la kita mengeruhkan hubungan sesama masyarakat hanya kerana pendapat-pendapat peribadi kita tetapi masyarakat memandang ianya adalah tuntutan agama...jelaskan kepada mereka sekiranya ianya pendapat peribadi. Masyarkat tidak dapat membezakan yang mana pendapat ustaz dan yang mana tuntutan Islam. Bagi mereka sesiapa sahaja yang mengaji agama, balik dari timur tengah, serta berpewatakan ala-ala ustaz/ah sedikit
maka ianya adalah tempat rujukan bagi hal-hal agama..dan apa-apa yang zahir dari mereka-mereka ini adalah semuanya tuntutan Agama (Islam)..

2) Jangan kita yang tergolong dalam golongan yang dirujuk, malu dan segan untuk mengaku kesalahan serta ketidakarifan kita dalam sesuatu hal...bagi saya ianya perkara biasa kerana ilmu Allah itu luas dan kita semestinya tidak mampu mengethaui kesemuanya...

3) Bimbinglah masyarakat kerana mereka memang mengharapkan bimbingan. Jangan menghukum mereka dan mengharapkan mereka perlu menjadi semacam kita (kononnya arif 'ilmu-ilmu Islam'). Bersyukurlah kerana kita terpilih untuk dirujuk....berterima kasih la kepada mereka kerana sering bertanya. Ianya lebih mulia daripada sering melakukan sesuatu perkara seolah-olah arif tetang perkara tersebut...

.....?













Thursday, January 17, 2008

Kesan Surat Berantai...

Assalamualaikum...

Baru-baru ini "diri ini" telah menerima beberapa email yang berupa email berantai. Setelah sekian lama email sedemikian tak muncul dalam email "diri ini" tiba-tiba ianya kembali lagi menjengah di dalam inbox.

Kecewa dan sedih kerana ada di antara kita yang perpengetahuan agama turut menyebarkan email tersebut kepada senarai email yg ada padanya.Maksud email berantai tu ialah terkandung dalamnya gesaan untuk kita menyebarkan kandungan email tersebut kepada kenalan yang lain dalam jumlah yang tertentu untuk menjamin kita mendapat kesenangan. Ada juga yang berupa ancaman jika kita tidak menyebarkan kepada umat Islam yang lain.

Perkara ini bagi "diri ini" tidak bertepatan dengan aqidah yang kita anuti. Apakah kita masih tidak yakin dengana kekuasaan Allah S.W.T? sehingga kita sanggup menjadi 'penjamin' bagi sesuatu kesenangan atau kesusahan yang akan menimpa seseorang individu tanpa ada sandaran yang sahih menurut sumber-sumber hukum dalam Islam?

Tidakkah kita menghafal surah Quraisy? pada ayat terakhir Allah S.W.T telah berfirman yang membawa maksud " (Allah lah ) Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan" (4). juga firmannya dalam surah yassin yang kerap kali kita baca dalam apa jua majlis dalam ayat yang ke 82 dan 83. FirmanNYA yang bermaksud : "Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia (82) Maka Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan"(83).

Apakah kita hanya membaca dan menghafal tanpa melihat kepada maksud dan tafsir ayat-ayat tersebut? Jika kita rasa takut dengan ancaman atau berasa selesa dengan jaminan kesenangan dalam email atau surat berantai yag kita terima, maknanya kita masih lagi mempercayai perkara-perkara yang karut dan menyebabkan kesannya kepada Aqidah yang kita anuti iaitu (Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah). Masih ada keraguan lagikah keimanan kita terhadap Allah S.W.T?

Harapan "diri ini" ialah semoga sesiapa yang membaca tulisan ini tidak terlibat dalam kegiatan sedemikian. Sedarlah! apa jua kandungan isi surat atau email yang berupa seakan atau seumpamanya hukumnya adalah sama. Sebagaimana hukum dan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa kebangsaan terhadap surat berantai yang didakwa kononnya pernah ditulis oleh salah seorang kerabat penjaga pintu kaabah. Selagimana ianya mengandungi ancaman atau khabar kesenangan secara khusus. InsyaAllah jika berkelapangan dan berkesmepatan "diri ini" akan berusaha untuk mengumpul beberapa contoh email berantai ini (selain dari surat atau email berantai yang kononnya ditulis oleh penjaga kaabah. kerana ianya telah diputuskan fatwanya secara jelas).

Wednesday, January 16, 2008

Assalamualaikum....

Firman Allah dalam Surah Thaha:

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَكَانَ لِزَاماً وَأَجَلٌ مُسَمًّى

Maksudnya:
Dan sekiranya tidak ada suatu ketetapan dari Allah yang telah terdahulu atau tidak ada ajal yang telah ditentukan, pasti (azab itu) menimpa mereka. (129)
--------------------------------------------------------------

Dalam melayari kehidupan seharian kita, seringkali cabaran yang berada di hadapan kita menyebabkan ketaqwaan dan keimanan kita goyah. Umat Islam secara kasarnya, jika dilihat kepada situasi ketika ini berada dalam keadaan kesempitan. Samada kesempitan hidup kerana kurangnya harta atau kesempitan kerana 'fitnah' yang berlaku di sekeliling mereka. Seringkali juga kita terlupa untuk mengakui akan kesempitan ilmu kita utk memastikan ketaqwaan dan keimanan kita berada pada tahap yang sewajarnya sebagai hamba Allah S.W.T.

Semua kesempitan dan kesusahan yang disebutkan di atas seringkali dibandingkan dengan kesenangan yang diperolehi oleh mereka-mereka yang bukan Islam (Semoga mereka segera menyahut seruan hidayah Allah S.W.T). Maka setelah perbandingan dilakukan, ramai dikalangan umat Islam tersungkur di medan ujian tersebut. Mereka menyangka bahawa segala kemewahan dan kesenangan di dunia ini adalah wajah sebenar tentang sesuatu kebenaran. Maka berpusu-pusu dan berbondong-bondonglah mereka mengejar kemewahan dan kesenangan dengan apa jua cara dan kaedah sehinggakan ramai yang tergelincir daripada landasan keimanan yang sebenar.

Perlu kita sedari, Allah S.W.T telah menyebutkan di dalam surah yang sama pada ayat yang ke 131:

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجاً مِّنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَى

Maksudnya:
Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami cobai mereka dengannya. Dan kurniaanTuhan kamu (ALLAH) adalah lebih baik dan lebih kekal.

Allah S.W.T telah dengan secara jelas mengingatkan semua umat Islam bermula dari zaman Rasulullah S.A.W lagi tentang bahaya jika kita sering membanding-bandingkan kemewahan dan kesenangan mereka-mereka yang bukan Islam dan juga mengingatkan kita supaya kita tidak terlalu memandang kemewahan yang diperolehi mereka di dunia ini supaya kita tidak cemburu akan apa yang mereka perolehi. Ayat tersebut sama sekali tidak melarang mana-mana umat Islam yang berupaya untuk mendapatkan kemewahan di dunia ini untuk terus berusaha ke arah tersebut. Tetapi ianya lebih kepada peringatan secara umum kerana Allah S.W.T sebagai Pencipta yang Maha Agung mengetahui apa yang sering diimpikan oleh kebanyakan manusia. Jadi usahlah kita menafikan keagunganNYA.

Ingatlah! Kemewahan yang dimiliki oleh mereka yang bukan Islam hanyalah sebagai perhiasan dan kegembiraan untuk seketika melainkan mereka menyahut seruan hidayah Allah S.W.T.

Ayat yang seterusnya dalam suraj Thaha:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقاً نَّحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Maksudnya:
Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezki kepadamu, Kamilah yang memberi rezki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa(132).

Dalam ayat tersebut Allah S.W.T mengajar kepada semua Umat Islam cara untuk mengelakkan diri kita terperangkap dalam bahaya tersebut. Solat yang dimaksudkan di situ bukan hanya semata-mata solat sebagaimana yang kita fahami. Ianya juga merangkumi doa yang kita panjatkan kepadaNYA. Yang mana "diri ini" amat menyakini setiap daripada kita seringkali tidak lupa untuk berdoa supaya Allah S.W.T melimpahi kesenangan dan rezeki yang mencukupi kepada diri masing-masing. Maka di dalam ayat tersebut Allah juga mengingatkan kita bahawa sesungguhnya DIA lah yang memberi rezeki kepada semua makhluknya dan yakinilah perkara tersebut. Di mana jika masing-masing di antara kita tidak berusaha ke arah menjauhi bahaya (membandingkan kekayaan orang bukan ISlam) sedemikian, dibimbangi keimanan kita akan menjadi rapuh dan menyebabkan kita tergolong dalam golongan mereka-mereka yang rugi di akhirat kelak.

Sebagai Umat Islam yang sentiasa berusaha untuk menaik taraf kehambaan kita terhadap Allah S.W.T kepada tahap yang lebih tinggi iaitu supaya tergolong dalam golongan mereka yang beriman dan bertakwa. maka semestinya kita mendidik diri dan jiwa kita supaya sama sekali tidak lagi memikirkan tentang kesenangan dan kemewahan mereka yang belum menyahut hidayah Allah S.W.T kerana dibimbangi ianya akan menjatuhkan nilai keimanan dan ketakwaan kita kepadanya melainkan jika diyakini bahawa perbandingan tersebut akan memotovasikan kita untuk maju bersama Islam.

Jika kita semua membaca dan memahami ayat-ayat terakhir surah Thaha ini maka semestinya kita akan sedari bahawa ayat-ayat tersebut membicarakan tentang ancaman mereka-mereka yang bukan Islam terhadap dakwah yang dilakukan oleh Rasullullah S.A.W. Di mana kemuncaknya ialah pada ayat ke 129 sebagaimana yang tertera pada permulaan bicara ini.
Ayat tersebut juga secara tidak lansung mengajar kita tentang konsep keimanan yang dipelajari sejak di sekolah rendah lagi iaitu lah kepercayaan /keimanan kepada Qada' dan Qadar (yang baik dan yang buruk).

Jadi sama-sama kita mengajar jiwa masing-masing supaya menyakini akan sesuatu perkara itu adalah ketetapan Allah S.W.T. Kita sebagai makhluk dan hambanya diberi peluang untuk berikhtiar dalam kehidupan ini dengan ikhtiar yang berpandukan ketetapan syara' bukan ikhtiar yang berpandukan hawa nafsu semata-mata.

"Syara' dijunjung, nafsu dihitung"


Sunday, January 13, 2008

Polis dicabar lagi...

Assalamualikum...

Awal minggu yang lalu kita semua dikejutkan dengan berita kehilangan seorang kanak-kanak (Sharlinie Mohd Nashar, 5). Kejadian ini adalah kejadian kedua di dalam satu kawasan kejiranan yang sama (hampir) di mana beberapa hari sebelum itu kita digemparkan juga dengan kes kehilangan seorang kanak-kanak (Fatiha Zaidi, 6). Alhamdulillah kanak-kanak terbait selamat ditemui.

Dalam kes pertama (kalau nak ikut kes kanak-kanak hilang tak tau la kes ke berapa dah...)kanak-kanak tersebut dijumpai bukanlah hasil kecekapan polis sehingga berjaya mengesan suspek yang terlibat, tetapi semata-mata kerana penjenayah tidak mahu menangung risiko kerana pencarian kanak-kanak terbabit dilakukan oleh segenap lapisan masyarakat maka 'mereka' meninggalkan kanak-kanak terbait di satu kawasan dan kemudiannya ditemui oleh orang ramai.

Dalam kes yang kedua ini pula menjelaskan (membuktikan) kepada kita bahawa keselamatan kanak-kanak tidak terjamin lagi. Pihak berkuasa gagal belajar daripada kes kehilangan kanak-kanak pertama dan juga kes-kes terdahulu. "diri ini" bukanlah tidak menghargai jasa pihak polis dan pihak berkuasa yang lainnya, akan tetapi setelah kes ini berlaku tiada siapa lagi yang mampu mencegah masyarakat awam daripada membuat penilaian dan spekulasi masing-masing.

Kemudian pada hari jumaat yang lalu kita dikejutkan lagi dengan kes yang lebih dahsyat iaitu pembunuhan Seorang Ahli jawatankuasa MIC pusat yang juga merupakan salah seorang Adun di negeri Johor. Pembunuhan dilakukan dengan senajata Api di dalam lif bagunan MIC Johor.

Kesimpulannya ialah tidak kira samda kanak-kanak atau orang dewasa masing-masing perlu menyedari bahawa jenayah telah berleluasa dengan giatnya di Malaysia yang dahulunya kita amat yakini keamanannya. Tiada sipa lagi yang dilihat dengan yakinnya membincangkan tentang keamanan negara dari ancaman jenayah. Semua ini kerana banyak kes yang berlaku (seakan-akan berturut- turur) gagal diselesaikan oleh pihak berkuasa (polis) dengan menangkap penjenayah yang sebenar.

"diri ini" mencadangkan kepada pihak polis supaya menumpukan kerja utama mereka iaitu membendung kegiatan jenayah seperti di atas daripada mereka melibatkan diri dalam kes-kes yang bersifat politik. Apabila keadaan ini berlaku maka lihatlah! penjenayah secara terang melakukan jenayah terancang mereka kerana menyedari dan memahami bahawa pihak polis lebih mengutamakan 'kes-kes' yang bersifat politik dan kepartian dalam negara kita.

Jangan sampai ucapan tahniah yang diucapkan masyarakat berubah kepada ucapan tahniah' yang bermaksud menyindir...!!

Moga pihak polis berjaya memberkas penjenayah terbabit dan berjaya mendakwa mereka sehinggalah mereka dijatuhi hukuman yang sewajarnya (beberapa kes sebelum ini Polis gagal dalam pendakwaan meskipun pada awalnya berjaya menangkap 'penjenayah').

Dalam masa yang sama setiap warga malaysia perlulah memastikan keselamatan diri masing-masing dan ahli keluarga dengan mengambil langkah berjaga-jaga agar keselamatan semua pihak dapat dikawal pada tahap yang maksimum.