Wednesday, January 23, 2008

Nilai Sasterawan Malaysia...

Assalamualaikum...

Minggu lalu satu lagi kejutan menjelma dan menyelubungi Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Kejutan kali ini adalah kepada matapelajaran bahasa Melayu (Sastera). Untuk tahun-tahun yang akan datang (khabarnya hingga 2010..atau mungkin lebih) semua pelajar akan mula menggunakan novel-novel hasil karya Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan juga Zaid Akhtar.

Mendukacitakan kita semua apabila tiada lansung karya-karya penulis-penulis yang telah mendapat pengiktirafan negara. Karya-karya mereka yang bergelar Sasterawan Negara tidak lansung dijadikan rujukan untuk mata pelajaran tersebut. Jadi apakah nilai 'Sasterawan Negara' yang dianugerahkan? Apakah karya-karya mereka tidak menarik? atau gelaran sasterawan dianugerahkan kerana mereka telah lama menulis dan mencipta karya? Persoalan-persoalan yang "diri ini" yakin tidak dapat dijawab oleh semua pihak.

"diri ini" tidak lansung tidak mengiktiraf peranan penulis-penulis yang telah dipilih karya mereka untuk dijadikan teks di sekolah. Karya-karya mereka telah membantu menyemarakkan lagi dunia sastera (meskipun nilai kesusasteraan tetap boleh dipertikaikan pada beberapa aspek penulisan). Cuma kita amat mengharapkan agar karya-karya sasterawan kita di angkat untuk terus memartabatkan dunia kesusasteraan di Malaysia.

Ahadiat Akashah, siapa yang tidak kenal gaya novel yang ditulis oleh beliau (bagi sesiapa yang minat membaca novel)? Apakah kriteria yang membolehkan karya beliau dijadikan teks untuk rujukan pelajar-pelajar sekolah? Mengikut laporan tidak rasmi, karya sasterawan-sasterawan negara tidak dipilih kerana novel dan sastera mereka terlalu berat. Beratkah karya A. Samad Said? Beratkah karya Usman Awang? Beratkah karya Shahnon Ahmad? Beratkah Karya Datuk Abdullah Hussein?

Apakah hanya kerana remaja masa kini mabuk dengan percintaan (cinta monyet) maka karya-karya yang lebih cenderung kepada percintaan dianggap yang terbaik (ringan) untuk dijadikan rujukan dan teks? Apakah harapan kita kepada remaja-remaja tadi jika kita dilihat memberi galakan kepada mereka untuk dibuai alam khayalan percintaan remaja yang tersirat dan tersurat dalam karya-karya yang dipilih? Persoalan utama ialah apakah karya-karya sedemikian dikira sebagai koleksi sastera untuk dunia kesusasteraan Malaysia?

Suatu ketika dahulu, pernah dimaklumkan kepada "diri ini" bahawa pelajar-pelajar yang mengambil matapelajaran Bahasa Melayu di Singapura menggunakan Novel Salina karya A.Samad Said sebagai rujukan bagi matapelajaran berkaitan. Bahkan dikhabarkan mereka menggunakan teks asal 'Salina' yang sememangnya diistilahkan 'berat' bagi masyarakat kita di sini. Kemudian beberapa tahun yang lalu, 'Salina' telah diringkaskan dan diterbitkan semula dengan saiz dan isi setaraf dengan novel masa kini. Bagi "diri ini" meskipun belum pernah berpeluang untuk membaca teks asal 'Salina' , membaca novel yang telah diringkaskan (diringkaskan sendiri oleh penulis asal) cukup mengujakan. Pengajaran tentang dunia kehidupan melayu suatu masa dahulu sungguh mengharukan. Banyak lagi novel A.Samad Said yang boleh dijadikan teks jika dirasakan 'Salina' mengajak kepada budaya yang 'kurang sihat'.

SN Shahnon Ahmad juga menghasilkan karya-karya yang cukup popular dengan dunia kesusasteraan negara kita. Ranjau Sepanjang Jalan antara karya masa kini yang perlu diambil pengajaran oleh anak-anak muda. Menceritakan tentang kehidupan petani kampung boleh membawa rmaja kita keluar daripada dunia mereka sendiri yang penuh dengan khayalan.

Selain itu Pihak berwajib juga boleh mencadangkan karya-karya penulis speerti Azizi Abdullah, Abdullah Hussain dan juga mereka yang sewaktu dengannya yang sering memaparkan kehidupan masyarakat sebagai jalan cerita di dalam novel mereka. Kesan yang lebih mendalam kepada jiwa anak-anak muda akan kita perolehi dan manfaatkan adalah untuk masa depan negara. Meskipun bukan dalam masa yang singkat teta[i " diri ini" yakin anak-anak muda yang diajar untuk membaca karya-karya kemasyarakatan akan membuahkan hasil yang cukup positif.

'Imam', novel yang telah yang memenangi anugerah sejak beberapa tahun yang lalu boleh juga dijadikan teks untuk keperluan pelajar sekolah. Ketika Malaysia 'kecoh' dengan perbalahan Kaum Muda dan Kaum Tua, novel ini wajar diangkat ke tahap tertinggi. Mengajar kita menghargai pandangan orang lain, juga mengajak kita sentiasa berlapang dada dan bersabar dalam mengharungi kehidupan yang lebih bermakna. Juga membawa kita menelusuri kisah perselisihan pendapat dan pandangan antara mereka yang diistilahkan sebagai Kaum Tua dengan mereka yang diistilahkan sebagai Kaum Muda. Cuma mungkin ianya kurang sesuai bagi penganut agama lain.

Karya Azizi Abdullah cukup dekat dengan Jiwa masyarakat. Belaiu mengkaji dengan mendalam sebelum beliau menghasilkan sebarang karya untuk ditatap masyarakat. Hasilnya kebanykan kita telah lihat sendiri. Karya-karya beliau dibahaskan oleh peminat-peminat sastera. Pastinya karya-karya yang lebih berbentuk realiti sebegini akan membantu pembangunan modal insan dalam masyarakat kita yang meminati sastera. Kita akan lebih mengenali budaya-budaya yang belum pernah kita telusuri sepanjang hayat kita.

Begitu juga karya Sasterawan-Sasterawan negara yang lainnya. "diri ini" amat menyakini karya mereka lebih membawa manfaat yang menyeluruh jika dijadikan teks di sekolah. Akan lahir lebih ramai Sasterawan pada masa mendatang. Tetapi jika kita hanya bergantung kepada novel-novel yang berbentuk 'percintaan remaja' atau 'Cinta Monyet' maka dunia kesusasteraan kita akan lenyap begitu sahaja kerana akan lahir lebih ramai lagi penulis-penulis yang membawa genre percitaan yang merupakan khayalan yang melampau.

Semoga desakan atau luahan rasa mereka-mereka yang meminati dunia kesusasteraan melayu akan menjadikan pihak berwajib mepertimbangkan kembali keputusan yang telah mereka capai. Meskipun mereka-mereka ini bukanlah Sasterawan atau penulis-penulis novel, tetapi dengan membaca karya-karya penulis-penulis yang betul-betul menghayati dan membawa mereka mendalami dunia kesusateraan membolehkan mereka menilai setiap kelayakan dan prestasi penulis setiap karya terbabit.

Pak Samad (A. Samad Said) telah dengan rendah diri memohon supaya beliau tidak lagi dipanggil dengan Gelaran Sasterawan Negara. Perkara ini diluahkan ketika beliau diberi peluang untuk berdiskusi dengan peminat-peminat Sastera negara. Mereka yang hadir dengan sendirinya menggelar beliau Sebagai sasterawan Rakyat kerana berani dan serius dalam menjadikan Sastera sebagai ilmu yang sewajarnya dihayati oleh semua pihak. Kata-kata kekesalan beliau bukanlah kerana karya beliau tidak diangkat untuk dijadikan teks sekolah tetapi kecewa kerana Sasterawan Negara hanyalah 'pengiktirafan' palsu.

Dah la panjang la pula tulis pasal benda ni...harapnya anda semua boleh la sambung sendiri tulisan ini mengikut kemahuan dan acuan masing-masing. Yang pentingnya sama-sama hargai Dunia kesusasteraan dalam negara kita.

Sasterawan Negara







No comments:

Post a Comment