Wednesday, January 02, 2008

Pasca Annapolis...

Assalamualaikum...

Jika kita menjangkakan perjanjian atau persefahaman Annapolis 2007 akan memberikan hasil yang cukup positif kepada rakyat Palestin, kita telah membuat kesilapan yang amat besar.

Ketika jemaah haji lain bergembira setelah selesai menunaikan fardhu haji dan kembali dengan selamat ke tanah air masing-masing, sebaliknya pula yang telah berlaku kepada jemaah haji dari Palestin yang keluar dan sepatutnya masuk kembali melaui pintu yang sama iaitu Rafah yang menjadi sempadan Palestin dan Mesir, mereka dinafikan hak untuk memasuki negara sendiri melalui pintu sempadan yang mereka inginkan.

Kerajaan Yahudi telah MENGARAHAKAN kerajaan mesir untuk menutup laluan masuk ke Gaza yang bersempadan dengan Mesir semata-mata ingin menyusahkan warga Palestin yang menetap di sekitar Gaza untuk pulang ke tanah air mereka sendiri setelah selesai menunaikan haji. "diri ini" amat kecewa dengan kelibat dan perilaku kerajaan Mesir atas tindakan mereka yang mengikut telunjuk yahudi berbanding meraikan kepulangan saudara seagama (Muslimin) mereka sendiri. Tindakan tersebut menghina semua umat Islam di dunia ini kerana sekali lagi menzahirkan kepada dunia luar bahawa semua negara umat Islam akan sentiasa mematuhi apa jua undang-undang yang di buat oleh yahudi dan barat meskipun terpaksa menindas rakyat dan juga saudara-saudara Islam yang lain yang berjiran dengan negara-negara terbabit.

"diri ini" sekali-kali tidak bersetuju dan tidak akan bersetuju dengan sebarang tindakan yang tidak berperikemanusiaan sebegini. Kita amat malang kerana dikelilingi oleh pemimpin-poemimpin yang sentiasa menyebelahi yahudi dan barat semata-mata kerana kepentingan dan agenda mereka sendiri. Mereka tidak lagi boleh menafikan dan juga tidak lagi boleh menyalahkan rakyat bawahan yang 'membaca' peristiwa ini sedemikian rupa. Situasi ini berlaku adalah kerana diterjemahkan daripada semua tindakan mereka (pemimpin-pemimpin) sebelum ini yang sentiasa mendatangkan kerugian yang melampau kepada dunia Islam.

"diri ini" membuat kesimpulan bahawa pemimpin-pemimpin ini hanya inginkan kemegahan dunia untuk diri mereka tanpa memikirkan maslahah orang-orang yang di pimpin mereka yang sentiasa mengharapkan mereka melakukan sebaliknya (tegas dengan sebarang nasir luar yang ingin menghancurkan Islam). Mereka ini apabila terlibat dengan perniagaan mereka inginkan keuntungan yang berlipat kali ganda di segenap sudut tetapi apabila berdepan dengan situasi politik ini mereka sentiasa reda dengan kerugian yang melampau. Semestinya kerugian melampau itu terletak di atas pundak rakyat jelata kerana bagi pemimpin-pemimpin ini mereka sentiasa mendapat keuntungan kerana dijamin akan kekal di puncak kekuasaan selamanya.

Keberadaan mereka di puncak sana jika dicaturkan oleh pihak luar semata-mata memanglah kita tidak mampu berkata apa-apa kerana dunia luar tadi telah selesa sekian lama memerintah dunia secara keseluruhannya walaupun di atas peta menunjukkan semua negara mempunyai pemimpin mereka sendiri. Tetapi yang mengecewakan kita ialah apabila umat Islam sendiri dalam negara masing-masing terus selesa mengangkat dan menyokong pemimpin-pemimpin sebegini untuk kekal di puncak kekuasaan. Keadaan ini menyebabkan secara tidak lansung mereka membantu 'dunia luar' tadi memudahkan tugas mereka mencaturkan pemimpin bagi setiap negara.

Ketika ini semua jemaah haji yang disekat masuk melalui Rafah telah selamat kembali ke tanah air mereka melalui pintu sempadan tersebut setelah kerajaan mesir akur dengan desakan daripada beberapa orang ahli Parlimen Palestin dan juga kenyataan tegas daripada HAMAS yang mengutuk kerajaan Mesir kerana menyebabkan kesesakan berlaku di sempadan terbabit.

Ya Allah! Bantulah hamba-hamba mu yang sentiasa ikhlas berjuang untuk mengembalikan kegemilangan Islam agar sentiasa dihormati dan diakui ketinggiannya sebagaimana yang telah Engkau perakui di dalam kitab Mu. Engkau bolak balikkan lah hati-hati mereka yang sentiasa memusuhi agama Mu agar kembali mengikut petunjuk Mu sebagaimana yang telah ditunjuk dan ditelusuri oleh junjungan besar kami Muhammad Sallallahualihi wassallam. Amin...

Moga kesengsaraan para jemaah haji Palestin tersebut akan berkesudahan dengan kesudahan yang baik. Dan semestinya semoga kekangan ini tamat sesegra yang mungkin. Bantulah mereka ya Allah!

Post lama yang berkaitan:


No comments:

Post a Comment