Wednesday, January 16, 2008

Assalamualaikum....

Firman Allah dalam Surah Thaha:

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَكَانَ لِزَاماً وَأَجَلٌ مُسَمًّى

Maksudnya:
Dan sekiranya tidak ada suatu ketetapan dari Allah yang telah terdahulu atau tidak ada ajal yang telah ditentukan, pasti (azab itu) menimpa mereka. (129)
--------------------------------------------------------------

Dalam melayari kehidupan seharian kita, seringkali cabaran yang berada di hadapan kita menyebabkan ketaqwaan dan keimanan kita goyah. Umat Islam secara kasarnya, jika dilihat kepada situasi ketika ini berada dalam keadaan kesempitan. Samada kesempitan hidup kerana kurangnya harta atau kesempitan kerana 'fitnah' yang berlaku di sekeliling mereka. Seringkali juga kita terlupa untuk mengakui akan kesempitan ilmu kita utk memastikan ketaqwaan dan keimanan kita berada pada tahap yang sewajarnya sebagai hamba Allah S.W.T.

Semua kesempitan dan kesusahan yang disebutkan di atas seringkali dibandingkan dengan kesenangan yang diperolehi oleh mereka-mereka yang bukan Islam (Semoga mereka segera menyahut seruan hidayah Allah S.W.T). Maka setelah perbandingan dilakukan, ramai dikalangan umat Islam tersungkur di medan ujian tersebut. Mereka menyangka bahawa segala kemewahan dan kesenangan di dunia ini adalah wajah sebenar tentang sesuatu kebenaran. Maka berpusu-pusu dan berbondong-bondonglah mereka mengejar kemewahan dan kesenangan dengan apa jua cara dan kaedah sehinggakan ramai yang tergelincir daripada landasan keimanan yang sebenar.

Perlu kita sedari, Allah S.W.T telah menyebutkan di dalam surah yang sama pada ayat yang ke 131:

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجاً مِّنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَى

Maksudnya:
Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami cobai mereka dengannya. Dan kurniaanTuhan kamu (ALLAH) adalah lebih baik dan lebih kekal.

Allah S.W.T telah dengan secara jelas mengingatkan semua umat Islam bermula dari zaman Rasulullah S.A.W lagi tentang bahaya jika kita sering membanding-bandingkan kemewahan dan kesenangan mereka-mereka yang bukan Islam dan juga mengingatkan kita supaya kita tidak terlalu memandang kemewahan yang diperolehi mereka di dunia ini supaya kita tidak cemburu akan apa yang mereka perolehi. Ayat tersebut sama sekali tidak melarang mana-mana umat Islam yang berupaya untuk mendapatkan kemewahan di dunia ini untuk terus berusaha ke arah tersebut. Tetapi ianya lebih kepada peringatan secara umum kerana Allah S.W.T sebagai Pencipta yang Maha Agung mengetahui apa yang sering diimpikan oleh kebanyakan manusia. Jadi usahlah kita menafikan keagunganNYA.

Ingatlah! Kemewahan yang dimiliki oleh mereka yang bukan Islam hanyalah sebagai perhiasan dan kegembiraan untuk seketika melainkan mereka menyahut seruan hidayah Allah S.W.T.

Ayat yang seterusnya dalam suraj Thaha:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقاً نَّحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Maksudnya:
Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezki kepadamu, Kamilah yang memberi rezki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa(132).

Dalam ayat tersebut Allah S.W.T mengajar kepada semua Umat Islam cara untuk mengelakkan diri kita terperangkap dalam bahaya tersebut. Solat yang dimaksudkan di situ bukan hanya semata-mata solat sebagaimana yang kita fahami. Ianya juga merangkumi doa yang kita panjatkan kepadaNYA. Yang mana "diri ini" amat menyakini setiap daripada kita seringkali tidak lupa untuk berdoa supaya Allah S.W.T melimpahi kesenangan dan rezeki yang mencukupi kepada diri masing-masing. Maka di dalam ayat tersebut Allah juga mengingatkan kita bahawa sesungguhnya DIA lah yang memberi rezeki kepada semua makhluknya dan yakinilah perkara tersebut. Di mana jika masing-masing di antara kita tidak berusaha ke arah menjauhi bahaya (membandingkan kekayaan orang bukan ISlam) sedemikian, dibimbangi keimanan kita akan menjadi rapuh dan menyebabkan kita tergolong dalam golongan mereka-mereka yang rugi di akhirat kelak.

Sebagai Umat Islam yang sentiasa berusaha untuk menaik taraf kehambaan kita terhadap Allah S.W.T kepada tahap yang lebih tinggi iaitu supaya tergolong dalam golongan mereka yang beriman dan bertakwa. maka semestinya kita mendidik diri dan jiwa kita supaya sama sekali tidak lagi memikirkan tentang kesenangan dan kemewahan mereka yang belum menyahut hidayah Allah S.W.T kerana dibimbangi ianya akan menjatuhkan nilai keimanan dan ketakwaan kita kepadanya melainkan jika diyakini bahawa perbandingan tersebut akan memotovasikan kita untuk maju bersama Islam.

Jika kita semua membaca dan memahami ayat-ayat terakhir surah Thaha ini maka semestinya kita akan sedari bahawa ayat-ayat tersebut membicarakan tentang ancaman mereka-mereka yang bukan Islam terhadap dakwah yang dilakukan oleh Rasullullah S.A.W. Di mana kemuncaknya ialah pada ayat ke 129 sebagaimana yang tertera pada permulaan bicara ini.
Ayat tersebut juga secara tidak lansung mengajar kita tentang konsep keimanan yang dipelajari sejak di sekolah rendah lagi iaitu lah kepercayaan /keimanan kepada Qada' dan Qadar (yang baik dan yang buruk).

Jadi sama-sama kita mengajar jiwa masing-masing supaya menyakini akan sesuatu perkara itu adalah ketetapan Allah S.W.T. Kita sebagai makhluk dan hambanya diberi peluang untuk berikhtiar dalam kehidupan ini dengan ikhtiar yang berpandukan ketetapan syara' bukan ikhtiar yang berpandukan hawa nafsu semata-mata.

"Syara' dijunjung, nafsu dihitung"


No comments:

Post a Comment