Sunday, September 19, 2010

Monday, August 23, 2010

Beza puasa 2 Golongan

Assalamualaikum...

Berbuka di mana hari ini?

berbuka apa hari ni?

2 soalan di atas jika di ajukan kepada golongan berharta dengan mereka yang miskin dan susah pasti kita akan melihat 2 perbezaan situasi.

Jika ditanya kepada yang kaya 2 soalan di atas maka :
ianya pasti merujuk kepada kekusutan memilih makanan atau tempat kerana kemampuan mereka yang tidak terbatas dalam mendaaptkan sesuatu.

Tetapi jika ditanya kepada yang miskin dan yang sewaktu dengannya.. maka ianya pasti merujuk kepada kegusaran mereka yang tidak tahu apakah akan ada rezeki mereka untuk berbuka dan di masjid manakah yang boleh mereka sertai berbuka secara percuma itu pun bagi mereka yang tidak mempunyai jumlah keluarga yang besar.

itu lah 2 situasi yang boleh menginsafkan kita jika kita bijak menilai di mana kita...

Monday, June 28, 2010

Menjelang Ramadhan


Assalamualikum...

Telah beberapa hari kita berada di dalam bulan rejab. Berbaki beberapa hari kemudiannya Ramadhan bakal menjelang.

Kebiasaanya, saat inilah ramai di antara mereka-mereka yang tidak sempurna bilangan puasa ramadhan pada tahun lalu akan mula bertungkus lumus menggantikan puasa mereka sebelum berakhirnya bulan Syaaban.

Beberapa perkara yang perlu kita fahami berkaitan qadha puasa Ramadhan ini ialah :

1.     gantian perlu sama dengan jumlah hari yang tertinggal pada Ramadhan yang lalu.
2.     gantian perlu disegerakan sebelum tibanya hari syak (29 & 30 Syaaban).
3.     Fidyah bagi mereka yang tidak mampu menggantikan puasa
4.     Kafarah Puasa

1.     Jumlah Hari gantian sama dengan jumlah puasa yang ditinggal

وَمَنْ کَانَ مَرِيْضًا اَوْ عَلٰى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ اَيَّامٍ اُخَرَؕ يُرِيْدُ اللّٰهُ بِکُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيْدُ بِکُمُ الْعُسْرَ وَلِتُکْمِلُوْا الْعِدَّةَ وَلِتُکَبِّرُوْا اللّٰهَ عَلٰى مَا هَدٰىكُمْ وَلَعَلَّکُمْ تَشْكُرُوْنَ
  
…dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia menggantikan puasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Ini adalah kerana Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur (Al-Baqarah: 185).

روى البخاري (321) ومسلم (335) واللفظ له عَنْ مُعَاذَةَ قَالَتْ : سَأَلْتُ عَائِشَةَ فَقُلْتُ : مَا بَالُ الْحَائِضِ تَقْضِي الصَّوْمَ وَلا تَقْضِي الصَّلاةَ ؟ فَقَالَتْ : أَحَرُورِيَّةٌ أَنْتِ ؟! قُلْتُ : لَسْتُ بِحَرُورِيَّةٍ ، وَلَكِنِّي أَسْأَلُ . قَالَتْ : كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ .

…Aisyah R.A. telah berkata apabila ditanya oleh seorang perempuan berkenaan gantian puasa (perempuan yang meninggalkan puasa kerana haid) beliau menjawab : Keadaan ini telah dijelaskan oleh nabi kepada kami dahulu, kami disuruh menggantikan puasa dan kami tidak disuruh menggantikan solat kerananya”. – RW Bukhari (321) dan Muslim (335).

2.     Gantian (qadha) puasa perlu disegerakan

Dalam membahaskan perkara ini, majoriti ulama’ menggalakkan mereka yang meniggalkan puasa kerana sebab syar’ie menggantikannya sesegera mungkin selepas 1 syawal tanpa menunggu hingga hampirnya Ramadhan yang berikutnya kerana dibimbangi tidak sempat menggantikan puasa kerana ajal telah tiba meskipun tempoh menggantikannya adalah panjang sebagaimana hadith yang diriwayatkan Aisyah R.A;

Gantian ini boleh dilakukan berturut-turut atau sebaliknya, sebagaimana umumnya dalil tentang gantian puasa di atas.

Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Aku mempunyai puasa ganti bulan Ramadan tetapi aku tidak berkuasa menggantikannya kecuali pada bulan Syaaban disebabkan kesibukan dari Rasulullah s.a.w atau kesibukan dengan Rasulullah s.a.w. RW Imam Muslim (1933).

Perlu diingat bahawasanya 29 dan 30 Syaaban adalah antara hari yang diharamkan berpuasa (hari syak).

Abu Hurairah r.a meriwayatkan katanya:
Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa”. RW Imam Muslim (1812)

3.     Fidyah bagi mereka yang tidak selesai menggantikan puasa hingga Ramadhan berikutnya:

Bagi mereka yang tidak selesai menggantikan puasa sehingga masuk ke Ramadhan berikutnya maka mereka perlulah membayar fidyah, secupak beras (675 gram) bagi setiap hari yang tidak selesai diganti. Tidak menjadi kesalahan jika seseorang itu ingin memberikan lebih dari apa yang diwajibkan. Sebagaimana yang telah di sebut dalam Al-Baqarah: 184.

4.     Kafarah

Hukum ini hanyalah bagi mereka (suami-isteri) yang melakukan persetubuhan di siang hari  Ramadhan.

Kafarahnya adalah:

1.     Membebaskan seorang hamba
2.     Puasa 2 bulan berturut-turut
3.     Memberi makan 60 orang fakir miskin

Dalam membahaskan perkara ini, Fuqaha menjelaskan bahawa kafarah ini bersifat urutan iaitu mesti diutamakan bebaskan hamba jika tidak mampu maka hendaklah puasa 2 bulan berturut-turut dan jika tidak mampu hendaklah memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.

Monday, June 21, 2010

Mansuhkan UPSR dan PMR?


Assalamualaikum...

Semoga kita semua sihat wal-afiat dan dilimpahi Rahmat serta keberkatan dari Allah S.W.T.

Semua saluran televisyen semalam melaporkan melalui berita masing-masing bahawa Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri 'menyahut' cadangan beberapa orang ahli akademik beberapa bulan/tahun yang lalu untuk memansuhkan UPSR dan PMR.

Menteri Pelajaran memaklumkan bahawa beliau membuka kepada sebarang perbincangan dan pandangan terutama dari ahli akademik berkaitan cadangan tersebut. 

Pagi ini, kebanyakan slot bicara dan diskusi media massa membincang dan membicarakan tentang isu tersebut. Ada yang setuju dan ada juga yang kurang bersetuju.

"diri ini" bersetuju agar PMR dimansuhkan kerana tiada nilaian apa-apa kepada peperiksaan tersebut berbanding SRP suatu ketika dahulu yang turut menjadi syarat kelayakan untuk bekerja. Bahkan yang menariknya adalah mereka yang gagal mencapai peratusan yang 'standard' tidak boleh menaiki kelas (tingkatan 4) dan terpaksa mengulangi kelas ting 3.

Bagi UPSR, jika di sana ada kaedah lain yang lebih sempurna untuk menentukan kelayakan seseorang bagi memasuki sekolah berasrama penuh atau mana-mana sekolah elit maka ianya amat-amat dialukan. tetapi jika di sana tiada sebarang cadangan berkaitan isu tersebut maka seeloknya ianya dikekalkan dan diberi nafas baru serta pembaikan bagi mengelakkan ibubapa terus turut menilai anak-anak mereka berdasarkan kepada keputusan peperiksaan.

Situasi ketika ini, ramai ibubapa yang lebih mementingkan peperiksaan  untuk anak-anak mereka hinggakan anak-anak tidak ditekankan tentang pendidikan agama secara menyeluruh. Mereka bertungkus lumus mencari nafkah untuk memastikan anak-anak diberikan tuisyen (kelas tambahan) bagi mencapai target mereka supaya anak-anak 'berjaya' dalam peperiksaan mereka. Bahkan tidak keterlaluan rasanya jika dikatakan ibubapa yang lebih berusaha untuk memastikan anak-anak mereka 'skor' semua mata pelajaran semata-mata untuk mendapat sanjungan dan pujian dari masyarakat.

Masa anak-anak hanya dihabiskan untuk memberi tumpuan kepada subjek-subjek yang terlibat dengan peperiksaan. Hak-anak-anak untuk mendapat 'pendidikan' secara tidak formal (melalui pergaulan dan pengalaman sendiri) amat berkurangan.  Kehidupan anak-anak masa kini lebih disusun atur dan ditetapkan oleh ibubapa. Maka kita dapat lihat generasi kini, ramai pemuda-pemudi (remaja) yang gagal membuat keputusan yang terbaik dalam kehidupan mereka hinggakan mereka memilih jalan yang salah. Masyarakat juga memandang keputusan peperiksaan adalah segalanya dalam meneruskan kehidupan. Akhirnya mereka yang 'gagal' dalam peperiksaan tiada lagi minat untuk meneruskan pelajaran mereka kerana telah dilabel sebagai mereka yang 'tidak akan berjaya'.

Ibubapa lebih memerhatikan dan mementingkan keputusan peperiksaan berbanding melihat kepada akhlak anak-anak. Akhirnya kita dapat melihat kerosakan di dalam masyarakat kini. Dalam ruang berita tv9 semalam, turut dilaporkan satu berita dan kes yang pada hemat "diri ini" adalah kesan daripada keutamaan kita kepada peperiksaan.

TV9 membuat laporan tentang ramai anak-anak gadis yang juga penuntut di salah sebuah IPT tempatan yang ber'ciri'kan islam berubah wajah. Siangnya di kampus mereka memakai tundung dan berpakaian kemas. Malamnya pula mereka berubah watak menjadi tetamu-tetamu kelab malam. Satu temuramah dilakukan kepada seorang pelajar perempuan yang turut terlibat menjadi penghuni kelab malam di sekitar bukit bintang ("diri ini" yakin bukan di situ sahaja) pelajar tersebut memaklumkan bahawa ramai di kalangan kawan-kawan sekelas dengannya turut kelihatan di waktu malam di tempat-tempat sebegitu walaupun pada waktu siangnya seolah-olah berpewatakan menolak untuk pergi ke tempat-tempat begitu.

Melihat kepada situasi tersebut, maka boleh disimpulkan bahawa keruntuhan moral di kalangan remaja bukan lagi suatu isu yang hanya boleh dibangkitkan mengikut musim sebagiamana yang berlaku ketika ini. Semua pihak perlu berusaha keras untuk memastikan masing-masing memainkan peranan sewajarnya. Jangan jadi sebagiamana yang dimaksudkan oleh Ust Daud Che Ngah suatu ketika di dalam perbualan telefon TV9 (berita) bahawa kita berusaha membanteras segala kegiatan tidak bermoral, tetapi ada pihak lain yang kononnya runsing dan pening dengan situasi tersebut tetapi merekalah yang menganjurkan segala macam konsert dan hiburan yang melalaikan dan merosakkan remaja-remaja.

Jadi sekali lagi "diri ini"  tegaskan bahawa "diri ini" amat bersetuju supaya UPSR dan PMR dimansuhkan atau diberi nafas baru agar masyarakat tidak lagi tertipu dengan peperiksaan dan mengabaikan pendidikan agama. Ruang yang ada atas kelonggaran yang wujud selepas itu perlulah diisi dengan menyediakan pendidikan agama yang lebih menyeluruh dan 'formal' sehinggalah kepada peringkat menengah dan mungkin hingga peringkat IPT.

Friday, April 16, 2010

Muhasabah melalui 'Tariq Ad- Dakwah'

Assalamualaikum...

Semalam "diri ini" berkesempatan mengulang-baca buku yang amat dimaklumi oleh majoriti mereka yang sedia bersama jalan dakwah. Tariq Ad-Dakwah yang ditulis oleh As-Sheikh Mustafa Masyhur. ketika membaca beberapa topik, "diri ini" tertarik ingin berkongsi dengan semua sahabat di luar sana tentang apa yang berlaku ketika ini di jalan dakwah. Perkongsian ini hanya lah berupa 'copy dan 'paste' dari terjemahan buku tersebut tanpa apa-apa ulasan. Terpulang kepada semua untuk memahaminya...

Dalam bab 5 :

5.6 Di Antara Sikap Terburu-buru dan Longgar

   Adakalanya orang yang berjalan di atas jalan ini terlalu optimis. Apabila ia tidak melihat sebarang tanda-tanda kemenangan sedangkan pada hematnya ia telah mengalami berbagai-bagai kepayahan dan ujian disepanjang jalannya, dan ia telah memberi pengorbanan yang semaksimanya.Dia mungkin terdorong oleh semangatnya yang berapi-api dan penuh ghairah untuk menggunakan kekuatan senjata sebagai cara untuk mempercepatkan perjalanan. Lidahnya seolah-olah berkata:

"Walaupun aku yang datang kemudian, aku mestilah mampu membuat sesuatu yang tidak dapat dibuat oleh orang-orang dahulu".

    Dengan demikian, dia dan orang-orang yang bersetuju dengannya membuat sesuatu di luar perencanaan yang rapi, yang di dorong oleh semangat yang berapi-api dan membabi-buta. Akhirnya bukan sahaja tidak sampai kepada matlamat yang dicita-citakan bahkan merosakkan dan membahayakan harakah Islam. Wajib difahami secara mendalam bahawa kekuatan yang pertama ialah kekuatan akidah dan keteguhan iman dan diiringi pula dengan kekuatan persatuan dan perpaduan. Akhir sekali barulah kekuatan tangan dan senjata. Itu pun jika sudah tidak mempunyai jalan dan pilihan lain. Oleh kerana itu marilah kita sama-sama rujuk kembali dan cuba memahami
maksud kata-kata indah dan halus oleh Imam Hassan Al-Banna di dalam tulisannya di dalam "RISALAH MUKTAMAR KELIMA" di bawah tajuk "Al-Ikhwan: Kekuatan Serta Revolusi".

5.7 Di Antara Politik dan Tarbiah
    Di sana ada lagi satu penyelewengan yang boleh menjauhkan kita dari jalan yang sihat iaitu kita memandang ringan terhadap proses tarbiah, pembentukan dan perlunya beriltizam dengan ajaran Islam dalam membentuk dasar dan asas yang teguh. Lantas kita seolah-olah melatah lalu menggunakan cara dan uslub politik menurut sikap dan telatah parti-parti politik. Kita akan mudah terpedaya dengan kuantiti anggota yang kita ambil yang dianggap menguntungkan tanpa mewujudkan iltizam tarbiah. Ini adalah satu jalan dan cara yang sangat merbahaya yang tidak dipercayai akibatnya. Ini mungkin menyediakan anasir yang kukuh yang mampu memikul hasil kemenangan, kekukuhan dan kekuasaan untuk Islam.
    Sebenarnya kita tidak kekurangan kuantiti, tetapi kita kekurangan kualiti. Kita kekurangan bentuk dan contoh Islan yang kuat imannya yang membulatkan dirinya untuk dakwah, rela berkorban pada jalan dakwah dan jihad fi-sabilillah dan yang sentiasa istiqamah hinggalah bertemu Tuhannya. Oleh kerana itu marilah kita beriltizam dengan tarbiah dan janganlah kita redha menukarkannya dengan cara yang lain.

5.8 Di Antara Dakwah dan Manusia

   Kita adalah manusia yang kadangkala benar dan kadangkala salah dan kadangkala kita
berbeza pendapat. Ini merupakan perkara biasa bagi sesiapa yang bekerja dan berusaha di dalam sesuatu bidang. Tetapi, di bawah naungan cinta, kasih sayang dan persaudaraan kerana Allah, dan dorongan ikhlas dan tajarrud (membulatkan diri kerana Allah), segala kesalahan boleh diperbetulkan, perbezaan pendapat boleh diperbaiki, penerangan boleh dibentangkan, dipertimbangkan dan dirumuskan serta diselaraskan. Hal ini melahirkan tolong-menolong dan bahu-membahu di antara kita semua. 
   Perbezaan pendapat di dalam sesuatu perkara tidak merbahaya selagi ditauti oleh rasa cinta dan kasih sayang. Tetapi jika ditonjolkan oleh orang-orang yang tertentu yang mempunyai kepentingan lalu dikobarkan di dalam suasana marah kerana membela diri ditambah lagi rasa bangga di dalam melakukan dosa dan mengampu orang-orang yang tertentu yang boleh merugikan dakwah.
   Maka di sinilah syaitan masuk campur dan akan melahirkan perpecahan. Akhirnya segala usaha menjadi hancur berantakan, waktu dihabiskan dalam perbalahan kemudian berusaha pula membuat perdamaian. Jika perkara seperti ini terus terjadi dan berulang maka dakwah dan kepentingannya akan terkorban di dalam suasana yang sedemikian. Pada hal sewajarnyalah segala usaha yang membina perlu ditumpukan kepada generasi yang sedang tumbuh dan mekar dalam mendidik dan mempersiapkan mereka dengan sebaik-baiknya.
    Inilah sebahagian dari penyelewengan dan ketergelinciran di sepanjang jalan dakwah. Marilah kita sedari dan pelihara diri kita daripadanya. Kita sentiasalah tanpa henti meminta pertolongan kepada Allah Taala supaya dia membawa kita, memimpin kita melalui jalan yang benar dan menunjuki kita jalan lurus kerana sesungguhnya Dia Maha Kuasa membuat apa yang dikehendakinya. 


----------------------------
Ingat! dalam kita mencari kemenangan untuk Islam, Tarbiyah tetap wajib diterap ke dalam jiwa semua pendokong dakwah.

Thursday, April 08, 2010

Mimpi bertemu Rasulullah S.A.W

Monday, March 22, 2010

Nota Ringkas

Assalamualaikum...

Beberapa hari yang lalu "diri ini" membawa diri ke program forum sempena Maulidurrasul di Masjid Nurul Hidayah Pandan Indah. Ahli panelnya adalah terdiri daripada YB Dato' Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan juga YB Dr. Abd Rani Osman. MOderator pada malam itu adalah Imam 1 Masjid Al-Azim Pandan Indah iaitu Yang Bhg Ust Dziaulhaq b. Hashim. 

"diri ini" rasa amat berbaloi pada malam itu kerana perkongsian yang dibawa oleh kedua-dua ahli panel juga dengan soalan yang dikemukakan oleh moderator cukup tersusun dan mudah difahami oleh mereka yang mendengar. 

Apa yang ingin dikongsikan adalah beberapa noktah penting yang disebut oleh YB Dato' Nik Amar. Beliau mengingatkan kepada semua umat ISLAM agar  sentiasa menimba ilmu untuk memahami Al-Quran dan Hadis. Ini kerana menurut beliau perbalahan dalam masyarakat ketika ini adalah kerana masyarakat terlalu sibuk dengan bahan-bahan yang ditulis oleh para ulama sahaja tanpa merujuk kepada sumber yang asal. Jika dilihat kepada situasi semasa memang layak lah perbalahan berlaku dikalangan ilmuan agama sendiri. Masing-masing cuba menegakkan pendirian masing-masing hanya kerana memabca tulisan sebahagian ulama yang lain. Adakah dibangkitkan hujah dari Al-Quran dan Sunnah?

Contohnya yang diberikan cukup mudah, Apabila hampir atau masuknya Ramadhan, masyarakat kita sibuk membahaskan tentang rakaat Tarawikh, adakah 8 (11) atau 20? berbalah hingga ada pihak yang tidak akan sembahyang di belakang pihak yang lain. Bahkan yang paling hina adalah perbalahan berlaku di kedai kopi yang akhirnya masing-masing tidak langsung menunaikan Tarawikh.

Begitu juga dengan Qunut Subuh, mereka yang tidak Qunut akan terus menjadikan Qunut sebagai alasan untuk tidak berjemaah subuh di masjid atau surau. Dan bagi mereka yang berqunut pula akan menyerang golongan yang tidak berqunut. Menurut moderator dan juga Dato' Nik Amar, kedua-duanya warid berlaku di zaman Rasulullah. jadi terpulang lah kepada kita untuk beramal. yang paling penting ketika ini adalah kita pakat-pakat mendisiplinkan diri untuk snetiasa mendirikan solat subuh secara berjemaah di surau atau di masjid. Jangan biarkan hanya imam dan bilal serta siak masjid sahaja yang mengimarahkan masjid di waktu subuh. 

Jadi semoga kita menjadi golongan yang sentiasa kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Jangan kita terlalu taasub mazhab hinggakan sentiasa mempertahankan hujah mazhab yang boleh dikategorikan sebagai lemah jika dibanding dengan hujah Al-Quran dan Sunnah. Menurut dato' Nik Amar perkara ini terpaksa juga beliau sebutkan meskipun akan ada golongan yang tidak menyukainya.

Dr. Rani pula pada penghujung sesi Forum pada malam itu juga mengingatkan kepada mereka-mereka yang mengajar di masjid dan surau supaya tidak membuatkan jemaah 'susah hati' dengan menyentuh perkara-perkara berkaitan kepatian. Bicara soal politik benar dibolehkan dalam Masjid kerana Sirah membuktikan ianya berlaku tetapi untuk mmebicarakan tentang politik kepartian adalah tidak sesuai dan bukan waqi'nya.

Juga diingatkan kepada pengurusan masjid dan ustaz-ustaz yang memiliki ruang untuk menyampaikan khutbah, jangan lah berkhutbah terllau panjang hingga hampir ke 2.15 -2.30 petang. Jika keadaan itu berlaku, maka ianya menampakkan kita tidak lansung sensitif dengan persekitaran di mana ramai di antara jemaah yang perlu bekerja dan kembali ke pejabat selepas solat jumaat.

Itu lah sebagian dari perkara-perkara yang disentuh pada malam itu dan sempat dikongsikan "diri ini" bersama anda semua. 

Semoga kita mendapat manfaat darinya. 



Senyum, Salam dan Bertanya Khabar

Assalamualaikum...

Tajuk di atas dipilih untuk berkongsi rasa dengan semua sahabat-sahabat di luar sana. 3 rangkaian perkataan tersebut yang juga merpuakan rangkaian perbuatan yang amat dipuji dan dituntut kepada semua umat Islam untuk mempraktikkannya.

Jika dilihat kepada situasi dan keadaan semasa, salah atu punca utama renggangnya hubungan di kalangan masyarakat dan juga kurangnya pergaulan antara masyarakat kerana tidak mengimplementasikan budaya dan galakan yang dianjurkan oleh Islam.

Kita amat susah untuk senyum dan memberi salam terutama kepada mereka yang tidak kita kenali. Bahkan ada di antara kita juga susah dan payah untuk memberikan senyuman dan salam kepada orang-orang yang dikenalinya (dalam hal ini sesama jantina dah le..nanti lain pula jadinya, ada yang tak boleh tidur malam..:))

Ramai di antara kita pasti biasa terbaca atau terdengar tentang galakan Rasullullah S.A.W untuk kita sentiasa memebri salam samada kepada yang dikenali ataupun yang tidak dikenali. Ini lah antara Sunnah Nabi Muhammad S.A.W yang hampir-hampir pupus dek kerana manusia mula leka dengan 'kesibukan' masing-masing dan tidak lagi memikirkan masa depa ISLAM.

Contoh yang paling mudah adalah, jika kita berada dalam lif, dan dalam lif tu juga ada seorang -dua manusia yang lain (samada muslim atau tidak) berapa ramai di antara kita yang ringan mulutnya untuk bertegur sapa? atau masing-masing buat-buat sibuk dengan melihat-lihat dan membelek-belek telefon bimibt masing-masing? kononnya  terlalu sibuk membaca sms yang bertalu-talu masuk ke telefon bimbit sendiri. kita dengan dunia kita sendiri dan orang lain yang berada dalam lif itu juga dengan dunia mereka sendiri. 

Masing-masing segan dan malu untuk melihatkan keindahan ISLAM. Alangkah indahnya, jika di dalam lif itu adalah mereka yang bukan ISLAM dan kita mampu bertegur sapa dengan mereka dan terus membina hubungan sesama manusia moga-moga sampai satu saat kita ada kekuatan untuk menjelaskan ISLAM kepada mereka.

Indahnya ISLAM. Indahnya SENYUMAN. Indahnya SALAM. Yang tak Indahnya adalah Umat ISLAM. Semoga kita ada kekuatan untuk mengubah diri kita agar sentiasa melaksanakan sunnah-sunnah yang hampir tidak lagi diambil berat oleh Umat Islam yang lainnya...

Thursday, March 18, 2010

Kes Buang Bayi...

Assalamualaikum...

Semenjak 2 menjak ni kes pembuangan bayi berulang kembali (hangat). Sungai, tong sampah, longkang, surau, masjid, pagar-pagar bangunan menjadi antara tempat pembuangan 'sisa' hubungan yang terlarang.

Yang paling menggemparkan malaysia dan "diri ini" yakin jika sampai ke pengetahuan dunia, dunia turut gempar dan bergoncang adalah bayi dibuang dan dibakar. Sungguh hina dan kejam perlakuan manusia. Benarlah Firman Allah di dalam surah Al-Aaraf : 179

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ ڪَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ‌ۖ لَهُمۡ قُلُوبٌ۬ لَّا يَفۡقَهُونَ بِہَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٌ۬ لَّا يُبۡصِرُونَ بِہَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٌ۬ لَّا يَسۡمَعُونَ بِہَآ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ

Sekiranya binatang boleh berkata-kata, nescaya binatang akan menuntut untuk menjaga bayi yang ingin dibuang oleh mereka yang durjana.

Itulah realiti masyarakat kini yang dikelilingi dunia masing-masing. Secara tidak lansung ini adalah kesan kepada dunia kehidupan yang tidak lagi bermasyarakat. Masing-masing dengan dunia sendiri tambahan pula dikelilingi 'dunia tanpa sempadan'. FB, Freindster, twitter,blog dll.

Posting kali ini sebenarnya ingin ketengahkan pandangan tokoh agama yang dikenali di Malaysia iaitu Yg Berbahagia Ust Dato' Daud Che Ngah. Ketika dihubungi oleh TV9 untuk ulasan dalam Berita 9 berkenaan cadangan yang dikemukakan oleh seorang menteri yang mencadangkan untuk menubuhkan rumah jagaan anak-anak terbuang tersebut daripada dibuang merata-rata.

Komen Yg Bhg Dato' lebih kurang berbunyi begini " apa ni, cadangan yang sama pernah dikemukakan berapa belas tahun dulu juga dari seorang menteri untuk tubuh bank bayi. Idea tu idea kuno dan ketinggalan zaman. duk bincang langkah nak cegah tp bagi cadangan macam tu padahal dalam duk sibuk tunjuk konon kita nak cegah tp dalam masa yang sama kita juga yang sediakan ruang-ruang yang merosakkan remaja-remaja. bila nak selesai benda ni macam tu?"

Ketika mendengar komen tersebut, diri ini tersenyum sendirian kerana teringat akan kebisaan dan kehebatan Yg Bhg Dato' ketika menjadi ahli panel Forum perdana Ehwal Islam dulu. Lama tidak mendengar komentar dan ulasan yang pedas dan pedih macam tu.

:)

...




Monday, March 15, 2010

Insurans

Assalamualaikum...

2 kali menerima panggilan telefon dari wakil telemarketing yang membuat promosi tentang insurans.

1st ketika duduk menunggu azan zohor (jumaat) dalam masjid dan kedua pada 15 MAC 10. "diri ini" ini betul-betul kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh pihak telemarketing tersebut, berusaha bersungguh untuk mendapatkan pelanggan.

"diri ini" memberi keizinan kepada beliau untuk menerangkan tentang produk tersebut dengan panjang lebarnya dan dengan lancarnya tanpa sebarang gangguan (sebab "diri ini" hanya reapon dengan perkataan 'ya' dan 'ha' sahaja).

Selesai beliau menerangkan polisi tersebut, beliau dengan bersungguh-sungguh inginkan persetujuan dari pihak "diri ini" untuk menyertai skim ini yang hanya ditawarkan kepada pelanggan terpilih kerana " diri ini" adalah pemegang akaun sebuah bank yang bekerjasama dengan sebuah syarikat insurans yang telah melantik syarikat telemarketing ini menghubungi "diri ini".

Akhirnya tanpa memberi ruang kepada beliau (yang menghubungi tu la) untuk terus kecewa, "diri ini" tanya tentang "Syariah compliant" dalam skim tersebut...tup..tup... terus sahaja yang menghubungi tu memaklumkan bahawa ini adalah skim konvensional dan meminta maaf kepada "diri ini" kerana menggangu masa petang-petang ini.

kesimpulannya :

1) jangan kita segan atau malu untuk menjelaskan kehendak kita terutama jika ianya berkaitan ISLAM.

2) "diri ini" tetap respek dengan pihak yang menghubungi diri ini kerana secara profesional mengaku bahawa produk mereka tidak menepati syariah dan dengan senang hati berjanji jika ada produk yang ditawarkan menepati syariah di kemudian hari nanti, mereka akan hubungi "diri ini" lagi. tanpa ada prejudis atau tohmahan kepada skim yang menepati Syariah.

3) "diri ini" berbangga untuk petang ini kerana dengan ringan lidahnya bertanya tentang syariah compliant tanpa merasa perlu untuk berselindung apa yang kita kehendakkan. Kerana kebiasaanya kita (umat Islam) berat untuk menterjemahkan kehidupan kita dengan ISLAM. Kita lebih selesa menghormati hak mereka yang 'jauh' daripada ISLAM berbanding dengan kita berusaha untuk memberi kefahaman kepada mereka agar memahami ISLAM.

........

Sekian....