Monday, June 21, 2010

Mansuhkan UPSR dan PMR?


Assalamualaikum...

Semoga kita semua sihat wal-afiat dan dilimpahi Rahmat serta keberkatan dari Allah S.W.T.

Semua saluran televisyen semalam melaporkan melalui berita masing-masing bahawa Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri 'menyahut' cadangan beberapa orang ahli akademik beberapa bulan/tahun yang lalu untuk memansuhkan UPSR dan PMR.

Menteri Pelajaran memaklumkan bahawa beliau membuka kepada sebarang perbincangan dan pandangan terutama dari ahli akademik berkaitan cadangan tersebut. 

Pagi ini, kebanyakan slot bicara dan diskusi media massa membincang dan membicarakan tentang isu tersebut. Ada yang setuju dan ada juga yang kurang bersetuju.

"diri ini" bersetuju agar PMR dimansuhkan kerana tiada nilaian apa-apa kepada peperiksaan tersebut berbanding SRP suatu ketika dahulu yang turut menjadi syarat kelayakan untuk bekerja. Bahkan yang menariknya adalah mereka yang gagal mencapai peratusan yang 'standard' tidak boleh menaiki kelas (tingkatan 4) dan terpaksa mengulangi kelas ting 3.

Bagi UPSR, jika di sana ada kaedah lain yang lebih sempurna untuk menentukan kelayakan seseorang bagi memasuki sekolah berasrama penuh atau mana-mana sekolah elit maka ianya amat-amat dialukan. tetapi jika di sana tiada sebarang cadangan berkaitan isu tersebut maka seeloknya ianya dikekalkan dan diberi nafas baru serta pembaikan bagi mengelakkan ibubapa terus turut menilai anak-anak mereka berdasarkan kepada keputusan peperiksaan.

Situasi ketika ini, ramai ibubapa yang lebih mementingkan peperiksaan  untuk anak-anak mereka hinggakan anak-anak tidak ditekankan tentang pendidikan agama secara menyeluruh. Mereka bertungkus lumus mencari nafkah untuk memastikan anak-anak diberikan tuisyen (kelas tambahan) bagi mencapai target mereka supaya anak-anak 'berjaya' dalam peperiksaan mereka. Bahkan tidak keterlaluan rasanya jika dikatakan ibubapa yang lebih berusaha untuk memastikan anak-anak mereka 'skor' semua mata pelajaran semata-mata untuk mendapat sanjungan dan pujian dari masyarakat.

Masa anak-anak hanya dihabiskan untuk memberi tumpuan kepada subjek-subjek yang terlibat dengan peperiksaan. Hak-anak-anak untuk mendapat 'pendidikan' secara tidak formal (melalui pergaulan dan pengalaman sendiri) amat berkurangan.  Kehidupan anak-anak masa kini lebih disusun atur dan ditetapkan oleh ibubapa. Maka kita dapat lihat generasi kini, ramai pemuda-pemudi (remaja) yang gagal membuat keputusan yang terbaik dalam kehidupan mereka hinggakan mereka memilih jalan yang salah. Masyarakat juga memandang keputusan peperiksaan adalah segalanya dalam meneruskan kehidupan. Akhirnya mereka yang 'gagal' dalam peperiksaan tiada lagi minat untuk meneruskan pelajaran mereka kerana telah dilabel sebagai mereka yang 'tidak akan berjaya'.

Ibubapa lebih memerhatikan dan mementingkan keputusan peperiksaan berbanding melihat kepada akhlak anak-anak. Akhirnya kita dapat melihat kerosakan di dalam masyarakat kini. Dalam ruang berita tv9 semalam, turut dilaporkan satu berita dan kes yang pada hemat "diri ini" adalah kesan daripada keutamaan kita kepada peperiksaan.

TV9 membuat laporan tentang ramai anak-anak gadis yang juga penuntut di salah sebuah IPT tempatan yang ber'ciri'kan islam berubah wajah. Siangnya di kampus mereka memakai tundung dan berpakaian kemas. Malamnya pula mereka berubah watak menjadi tetamu-tetamu kelab malam. Satu temuramah dilakukan kepada seorang pelajar perempuan yang turut terlibat menjadi penghuni kelab malam di sekitar bukit bintang ("diri ini" yakin bukan di situ sahaja) pelajar tersebut memaklumkan bahawa ramai di kalangan kawan-kawan sekelas dengannya turut kelihatan di waktu malam di tempat-tempat sebegitu walaupun pada waktu siangnya seolah-olah berpewatakan menolak untuk pergi ke tempat-tempat begitu.

Melihat kepada situasi tersebut, maka boleh disimpulkan bahawa keruntuhan moral di kalangan remaja bukan lagi suatu isu yang hanya boleh dibangkitkan mengikut musim sebagiamana yang berlaku ketika ini. Semua pihak perlu berusaha keras untuk memastikan masing-masing memainkan peranan sewajarnya. Jangan jadi sebagiamana yang dimaksudkan oleh Ust Daud Che Ngah suatu ketika di dalam perbualan telefon TV9 (berita) bahawa kita berusaha membanteras segala kegiatan tidak bermoral, tetapi ada pihak lain yang kononnya runsing dan pening dengan situasi tersebut tetapi merekalah yang menganjurkan segala macam konsert dan hiburan yang melalaikan dan merosakkan remaja-remaja.

Jadi sekali lagi "diri ini"  tegaskan bahawa "diri ini" amat bersetuju supaya UPSR dan PMR dimansuhkan atau diberi nafas baru agar masyarakat tidak lagi tertipu dengan peperiksaan dan mengabaikan pendidikan agama. Ruang yang ada atas kelonggaran yang wujud selepas itu perlulah diisi dengan menyediakan pendidikan agama yang lebih menyeluruh dan 'formal' sehinggalah kepada peringkat menengah dan mungkin hingga peringkat IPT.

No comments:

Post a Comment