Wednesday, February 06, 2008

Di Mana Kita?

Assalamualaikum...

Umum mengetahui bahawa dunia hari ini bergerak pantas dengan kemajuan teknologi. Manusia berusaha untuk memanfaatkan kelebihan tersebut untuk menjamin kehidupan sebagaimana yang mereka cita-citakan.

Umat Islam tidak terkecuali daripada memanfaatkan kemajuantersebut. Antara manfaat yang paling ketara diperolehi oleh semua pihak ialah capaian ilmu melalui akses alam maya tanpa perlu lagi bersusah payah untuk ke perpustakaan atau gedung-gedung buku untuk melakukan kajian umum.

Dengan kemajuan yang terhidang di hadapan setiap individu maka kehendak untuk memahami tuntutan agama(Islam) juga menjadi semakin baik dan boleh dilihat dengan jelas. Suatu yang ketara ketika ini ialah sebahagian umat Islam telah 'mampu' dan sentiasa berkehendak untuk membuat kajian umum terhadap setiap ibadah yang telah mereka lakukan supaya ianya tepat sebagaimana yang 'dikehendaki dan 'dituntut' oleh Islam.

Kesan daripada keinginan dan keupayaan tersebut maka kita dapat lihat satu perkembangan yang positif apabila ramai di kalangan Umat Islam telah mengetahui dalil atas setiap perlakuan ibadah mereka yang sebelum ini yang jarang berlaku sebelum daripada itu. Mereka juga sentiasa menjaga batasan yang ditetapkan dalam melaksanakan urusan kehidupan seharian mereka supaya ianya tidak bercanggah dengan tuntutan syariat.

Kita sewajarnya memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas nikmat yang tehidang di depan kita ketika ini .Nikmat yang mebolehkan setiap dari kita mendapat ilmu lebih daripada kemampuan manusia sebelum dari ini.

Tetapi dalam keadaan yang demikian, berlaku pertembungan yang cukup ketara antara mereka yang cuba 'memaafaatkan' lapangan ilmu tadi dengan golongan yang kurang selesa dengan kaedah tersebut. Golongan ini bukan tidak selesa dengan kaedah yang digunakan iaitu mengkaji bergantung kepada capaian ilmu alam maya. Mereka tidak berseruju apabila semakin ramai di kalangan umat Islam yang mula memandang serong kepada mereka yang masih 'tidak berubah' dengan kaedah melaksanakan ibadah yang telah mereka pelajari melalui ilmu-ilmu yang telah disampaikan kepada mereka oleh ilmuan2 terdahulu. Kaedah yang cukup mudah, beramal dengan apa yang didengari dan dipelajari.

Tahun berlalu, pertembungan ini menjadi semakin 'panas' kerana pertembungan ini melibatkan mereka yang ahli (pakar) dalam bidang ini. Jika boleh "diri ini" katakan kini pertembungan ini lebih menyerlahkan perselisihan peribadi bukan lagi kerana ilmu.

Jika ilmu dijadikan asas untuk melakukan perubahan atau membetulkan apa yang dilihat tidak betul nescaya keadaan akan menjadi tenang dan perubahan yang diinginkan akan dapat dilihat dengan jayanya. Masalah yang timbul ialah apabila ilmu tadi dicampur adukkan dengan ketaasuban kepada sesetengah pihak maka lahirlah kesan yang sebaliknya.

Tulisan selepas ini akan dikupas dengan lebih jelas dan terang terhadap situasi yang dimaksudkan. Yang terpenting bagi kita semua adalah berlaku adil kepada semua pihak.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran"- (An-Nahl:90).



No comments:

Post a Comment