Wednesday, February 06, 2008

Di Mana Kita ? (2)

Assalamualikum....

Menyambung kembali bicara kita terhadap pertembungan yang berlaku kepada Dunia Islam ketika ini. Khasnya Di bumi tercinta kita iaitu Malaysia. Perkongsian kali ini lebih merujuk kepada 2 golongan yang dimaksudkan dalam pertembungan ini. Lontaran pandangan ini bukan kerana perselisihan pendangan peribadi antara "diri ini" dengan mana-mana pihak.

Apabila berbicara tentang ibadat ketika ini, tidak boleh tidak akan timbul beberapa persoalan yang merujuk kepada pandangan-pandangan yang dilihat sebagai bercanggah dengan apa yang sering dilakukan dan telah pun sebati dengan amalan Umat Islam di malaysia. Istilah Kaum Muda dan Kaum Tua kembali menjadi perbincangan hangat. Abaikan pengistilahan tersebut! apa yang ingin kita bincangkan ialah kesan daripada berlakunya pertembungan ini.

Kita mengharapkan dengan hujah-hujah yang dibawa oleh kedua pihak akan membantu memberi kefahaman yang lebih kepada masyarakat terhadap setiap ibadah dan perkara yang mereka lakukan. Tetapi sebagaimana yang disebut dalam persoalan ini sebelum ini, Kesan yang lebih buruk berlaku ialah timbul semangat taasub yang lebih melampau dan lebih kritikal daripada 'taasub' yang disandarkan kepada kedua pihak sebelum daripada ini.

Di bawah ini diberikan definisi ringkas kedua golongan yang dimaksudkan. Ianya adalah pendefinisian yang dibuat sendiri oleh "diri ini" melalui kefaham yang terhad dalam diri:

Golongan (1) : Mereka yang kekal berpendapat bahawa taqlid (mengikut pandangan Mujtahid Imam yang empat (Mazhab Empat) adalah diharuskan (Kaum Tua). Umat Islam zaman kini tiada lagi yang mampu berijtihad.
Golongan (2) : Mereka yang berpendapat bahawa dengan capaian ilmu di 'alam maya' maka taqlid adalah suatu yang tidak lagi relevan (Kaum Muda). Pintu ijtihad sentiasa terbuka.

-------------------------------------------------------------------------------------
Kesan yang amat ketara dan membimbangkan ketika ini ialah apabila-kedua-dua pihak sering mempertahankan hujah masing-masing tanpa ada kompromi antara satu dengan yang lainnya. "diri ini" tidak kisah jika pertembungan itu melibatkan 2 perkara yang jelas bertentangan, contohnya perkara yang jelas tidak diasaskan dalam Islam (melalui Al-Quran dan Sunnah) disandarkan ianya sebagai satu ibadah (seolah-olah ianya adalah ibadah khusus) maka "diri ini"
akan bersependapat dengan mana-mana golongan yang memberi kefahaman kepada masyarakat umum bahawa ianya bukan ibadah khusus sebagaimana kewajipan kita melaksanakan solat 5 waktu. Contoh: bacaan yassin pada malam jumaat, apakah kita perlu menetang keras masyarakat yang melakukannya tanpa kompromi? Apakah kekal mereka 'bersalah' sekalipun mereka tidak lansung menyandarkan dan mengganggap ianya adalah satu tuntutan khas dalam Islam sebagaimana tuntutan melakukan solat 5 waktu atau Puasa di bulan Ramadhan dll? Ok, dalam situasi ini "diri ini" masih boleh berkompromi lagi dengan kedua2 pihak.

Keadaan yang paling membimbangkan ialah apabila seolah-olah kedua2 pihak menafikan
Sunnah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Samada perkara ini disedari oleh mereka atau tidak itu perkara lain. Harapan "diri ini" ialah agar kedua2 pihak supaya toleransi dalam menyelesaikan kekusutan ini. Contoh : Qunut dalam solat subuh. Kedua-dua pihak mengakui bahawa Rasullullah pernah membaca qunut dalam solat subuh (meskipun satu pihak hanya berpendapat jelas berpendapat jelas Rasulullah Qunut hanya dalam tempoh tertentu kerana sebab tertentu). Pihak yang satu lagi turut mengakui perkara ini. Tetapi apa yang berlaku, dalam pemerhatian "diri ini" adalah kedua-dua pihak seolah-olah menafikan bahawa Rasullulah tidak berqunut dan pernah berqunut dalam Solat Subuh. Masing-masing ingin menegakkan hujah masing-masing tanpa ada kompromi. Padahal keduanya adalah Sunnah Rasullullah. Kenapa kita sering berbalah pada perkara yang diperakui ianya adalah Sunnah? Sesiapa yang ingin melakukan juga Qunut dalam solat Subuh maka dipersilakan selagi mana mereka tidak menggangap bahawa Rasullullah sentiasa Qunut ketika Solat Subuh. Dan sesiapa yang tidak mahu Qunut kerana berpendapat ianya adalah lebih baik kerana Rasullulah sering solat begitu maka dialu-alukan tetapi diingatkan jangan sesekali menghukum mereka yang melakukan Qunut dengan pelbagai tohmahan dan 'hukuman' kerana ianya juga Sunnah.

Kemudian, seringkali didengari daripada mereka yang tergolong dalam golongan yang pertama tadi menyanggah golongan yang kedua tentang pendapat mereka yang membolehkan berijtihad. Contoh yang dibawa ialah sentuhan antara suami isteri yang berwuduk adakah ianya batal? Golongan yang kedua menerima pakai hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (kadang2 kita lupa kepada status penerimaan Umat Islam Kepada Sunan Sittah (Kitab Hadith yang enam) kemudian menyanggah semata-mata kerana pendapat tersebut dimasyhurkan oleh golongan lain) yang membuktikan Ianya tidak batal. Golongan pertama menyanggah kerana berpendapat seakan golongan kedua menyalahkan Imam Mazhab yang mengatakan wuduk batal apabila tersentuh di antara lelaki dan perempuan meskipun mereka adalah suami isteri. Persoalan yang dibangkitkan, siapa si polan atau mereka jika nak dibandingkan dengan Imam Mazhab? " diri ini" amat yakin mereka yang disitilahkan sebagai golongan yang kedua (ahli dan pakar) tidak lansung menganggap Imam Mazhab telah melakukan kesalahan sehingga boleh dikeji meskipun kekadang pengikut mereka menampakkan seolah-olah ianya begitu.

Untuk penyelesaian dalam perkara sebegini, suka "diri ini" ingatkan kepada semua pihak supaya kita kembali mengingati sumber hukum di dalam Islam yang telah disepakati oleh Ulama'. 1. Al-Quran 2. Sunnah Rasullullah S.A.W 3, Ijma' 4. Qias.
Al-Quran Dan Sunnah Rasullullah adalah Sumber yang utama. Maka di sana jika terdapat bukti yg jelas daripada Al-Quran mahupun Sunnah tentang sesuatu perkara, kemudian ada ijtihad ulama terhadap perkara yang sama dan ianya seolah berbeza dengan Sumber asal tadi maka perlulah diutamakan Sumber yang asal iaitu Al-Quran dan Sunnah. Perkara ini telah disepakati oleh semua ulama. Tetapi sedih, pertembungan yang belaku juga antara kedua golongan adalah melibatkan mereka yang memahami konsep ini. Bahkan kekadang mereka lah yang mengajar konsep ini kepada anak murid masing-masing tetapi tindakan mereka tidak semacam apa yang mereka ajarkan.

Untuk meringkaskan tulisan ini, kita terus pergi kepada penyelesaian yang mungkin boleh meleraikan kekusutan dan kekecohan ini. Semua pihak harus berlapang dada dalam mengembangkan ilmu masing-masing. Terjahan dan kejian kepada peribadi bukanlah penyelesaian yang sewajarnya. Hujah dan Ilmu perlulah diutamakan dalam mencari penyelesaian. Rujuk kembali sumber hukum insyaAllah kemudian kita akan beroleh pendapat dan pandangan yang baik dan ibadah kita juga dapat dilaksanakan dengan baik.

Begitu juga dalam kita bermuamalah dengan hadis Rasullullah, jangan kita lupa di sana ada satu ilmu yang mengajar kita bagaimana ulama hadis menentukan status setiap hadith yang sampai kepada kita. 'Takhrij Hadis' adalah ilmu yang membimbing kita ke arah tersebut. Jadi kepada mereka yang bukan ahli jangan sesekali menghukum sesuatu hadis tanpa rujukan yang di perakui dalam keadaan kita tidak arif dan bukan ahli dalam bidang tersebut. Kadang2 ahli ilmu yang terlibat dalam pertembungan pendapat ini menampakkan seolah2 mereka tidak memahami ilmu yang berkaitan dengan baik sehingga saling menghukum antara satu sama lain dengan hukuman yang tidak adil. Banyak lagi perkara besar yang timbul dalam pertembungan ini yang perlu kepada perbincangan secara ilmiah antara semua pihak.

Moga apa yg terbuku dapat di fahami oleh semua yang membaca. Sama-sama kita doakan agar
pertemuan dan perbincangan secara ilmiah dengan huujah-hujah ilmiah akan terjadi satu masa nanti demi melihat pertembungan ini dapat dikawal sebaik mungkin.

No comments:

Post a Comment