Saturday, February 02, 2008

Taasub..

Assalamualaikum...

Taasub (terjemahan ada di bahagian bawah tulisan ini). Satu tajuk yang biasa kita bincangkan dengan sahabat masing-masing dan kita pernah mendengarnya daripada mereka yang lebih arif dan tua daripada kita. Secara ringkasnya Islam amat melarang kita sebagai umatnya taasub kepada sesuatu perkara apatah lagi apabila ianya berkait rapat dengan amalan-amalan dalam kehidupan seharian kita.

Perbahasan tentang taasub kini menjadi hangat apabila sering dibahaskan oleh para ilmuan. Apa yang kesalkan ialah semakin ianya dibahaskan oleh para ilmuan penyakit ini menjadi semakin kritikal. "diri ini" secara peribadi gagal menyelami dan mengkaji apakah faktor yang menyebabkan keadaan ini menjadi-jadi dan boleh dikatakan kekal berada pada tahap yang membimbangkan.

Jika ingin membahaskan secara panjang lebar tentang perkara ini, dibimbangi "diri ini" juga gagal membawa masyarakat ke arah yang lebih baik. Apa yang diharapkan ialah supaya para ilmuan yang sering membincangkan tajuk ini supaya menjelaskan secara jelas tentang konsep dan maskud taasub itu agar masyarakat faham. Kita tidak boleh menggangap dan bersangka baik kononnya masyarakat akan faham sebagaimana yang kita fahami. Kadang-kadang kita berfikir, takkanlah masyarakat susah nak faham padahal kita mudah sahaja untuk memahaminya. Pemikiran sebegini hendaklah dijauhi supaya kita berlaku adil kepada semua pihak. Jangan dalam kita sibuk menjelaskan topik tersebut, kita pula gagal membendung masyarakat yang mula taasub kepada pandangan kita semata-mata padahal dalam masa yang sama pandangan yang sama atau lebih baik turut dijelaskan oleh pihak lain.

Kecelaruan yang seringkali timbul ialah apabila masyarakat atau pengikut atau mereka yang teruja dengan pandangan sesetengah pihak sering berbicara dan berhujah dengan berpandukan hujah individu atau pihak tertentu sahaja dan mengenepikan secara total pandangan pihak atau individu lain yang boleh jadi pandangan tersebut lebih baik atau berada pada tahap yang sama dan boleh dipertimbangkan. Juga kadang-kadang perkara yang sering dilakukan oleh mereka yang taasub ini ialah apabila menggunakan hujah Al-Quran atau Hadith Rasullullah S.A.W mereka turut menyandarkan kepada individu atau kumpulan yang mereka kagumi padahal sewajarnya mereka terus perjelaskan sumber ayat dan hadith tersebut kepada sumbernya yang asal iaitu Al-Quran dan Hadith tetapi mereka lebih selesa untuk berhujah dengan mengatakan bahawa si polan atau kumpulan yang dikaguminya yang mengatakan begitu.

"diri ini" sesekali tidak lansung melarang untuk kita mengemukakan hujah dengan bersandarkan kepada hujah individu tertentu atau kumpulan tertentu tapi mestilah dengan syarat ianya benar daripada individu atau kumpulan tersebut (yang bukan dari Al-Quran dan Hadith). Ketika kita boleh berlaku adil ketika menulis dengan menyatakan sumber petikan atau rujukan terhadap isu yang kita bincangkan, kenapa dalam kita berhujah secara lisan kita gagal melakukan perkara yang sama?

Moga kita tidak tergolong dalam golongan yang selesa untuk kekal berkeadaan seperti yang dimaksudkan. Semoga kita perbaiki bentuk hujah kita apabila menulis juga apabila berhujah secara lisan. Moga Allah melindungi kita daripada penyakit ini yang akan menyebabkan Islam kekal seperti sekarang tanpa ada potensi untuk kembali ke landasan yang sewajar baginya.

Ringkasnya Taasub membawa maksud: Perasaan yang wujud dalam diri seseorang yang menyangka dirinya/kumpulannya sahaja berada dalam keadaan dan jalan yang betul dan baginya pandangan atau orang lain semuanya tidak betul sebagaimana dirinya. Bahkan yang lebih buruk apabila mereka mengeji dan mencaci pandangan pihak lain. Mereka ini seolah-olah menafikan hak untuk bersuara atau memberi pandangan (neraca yang mesti digunkaan ialah Syara').

Semoga kita menghukum sesuatu perkara berpandukan neraca Syara' dan Sunnah.


No comments:

Post a Comment