Thursday, May 18, 2006

Batas Pergaulan...

Assalalamualaikum…

Merujuk kepada dua laporan daripada akhbar harian metro yang telah dipos…maka elok rasanya dibincangkan di sini megenai sebab-sebab kepada berlakunya perkara tersebut. Jangan tersalah anggap! “diri ini” bukanlah ahli nujum nak membuat tekaan tak tentu pasal kepada perkara yang dah berlaku. Jauh sekali untuk mengatakan bahawa kalaulah mereka itu dapat buat “perkara tertentu” mesti tidak berlaku sebagaimana yang telah kita maklumi itu. Sesungguhnya perkara itu membawa kepada perbuatan yang sangat dimurkai oleh Allah Subhanhu-wa-ta’ala iaitu syirik.

Cuma apa yang ingin dibincangkan ialah mengenai topik yang mungkin di sana akan ada yang tidak bersetuju dengan “diri ini”. Tetapi perbincangan yang akan dibawakan ini adalah pandangan dan pendapat dari kacamata “diri ini” sendiri. Jadi sudah tentu pendapat dan pandangan ini boleh ditolak atau diterima. Cuma apa yang nak diingatkan, janganlah kerana kelemahan atau kecuaian “diri ini” dalam mengulas topik ini nanti kita semua menafikan pula dalil-dalil yang telah syarak tentukan dalam topik ini. Sesungguhnya dalil-dalil tersebut adalah panduan yang benar dan tiada lagi yang mampu mengatasi keduanya melainkan kefahaman individulah yang membuatkan dalil-dalil daripada sumber yang asal (Al-Quran dan Sunnah Rasullullah) itu dilihat seolah-olah lemah dalam mentadbir kehidupan seharian kita semua. Sama-sama berdoa kepada Allah Subhanahu-wa-ta’ala agar kita tidak tergolong dalam golongan yang disebutkan sebentar tadi.

Apabila terbaca laporan-laporan tersebut (masih banyak lagi laporan bagi kes yang sama tetapi tidak dipos kerana mengganggap cukuplah sebagai contoh sahaja).. maka akal fikiran “diri ini” ligat memikirkan tentang kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan. Apa kena mengena kes-kes semua tu dengan kita ?? Bukankah kita yang menyebabkan berlakunya keadaan-keadaan tersebut?? Masakan tidak, kitalah yang bersungguh-sungguh memperjuangkan kebebasan pergaulan antara lelaki dan perempuan sehinggalah perkara tersebut tidak lagi dianggap asing jika berlaku didepan mata kita. Berbagai perkara lagi yang berlaku di sekeliling kita semuanya berpunca daripada sikap kita sendiri. Tanpa kita sedari, jika di muhasabah kembali kita telah secara sengaja atau tidak membelakangkan apa yang telah dituntut dan diajar oleh syara’ (Al-Quran dan Sunnah ). Kita lebih memikirkan tentang relevan atau tidak perbuatan kita denga keadaan semasa dan dalam masa yang sama menafikan kedua sumber rujukan agama kita tadi. Jadi nilailah diri kita semua, adakah kita sebagai hamba Allah yang bersyukur??

Berbalik kepada topik yang sebenar yang ingin “diri ini” bicarakan agar ianya boleh menjadi panduan dan muhasabah bagi kita semua, bukankah Islam telah menggariskan dan mensyaratkan batas pergaulan yang cukup ketat anatara lelaki dan perempuan?? Merujuk kepada ayat 32 di dalam surah Al-Isra’ :

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Di dalam ayat yang lain, Allah Subahanhu-wa-ta’ala telah berfirman :

وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ...

…janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi…(Al-An’am :151)


Lihatlah, mulia dan indahnya Islam itu. Sedari permulaan lagi Islam telah melarang kita untuk mendekati semua perbuatan yang boleh membawa kepada perlakuan zina. Apatah lagi perbuatan zina itu sendiri?? Maka sama-sama kita semak diri kita, apakah kita menyahut seruan ayat tersebut?? Timbul persoalan yang boleh dikatakan masyhur dan sentiasa menjadi alasan kita untuk menghalalkan apa yang kita telah lakukan. Antara alasan tersebut ialah “ ala kami bukannya buat apa pun, kami sekadar bersembang dan mebicarakan masalah tertentu yang dikira penting”.Padahal umum mengetahui bahkan kekadang diri kita sendiri menyedari semua itu tidak membawa apa-apa manfaat kepada amalan kita untuk menjawab soalan-soalan yang berkaitan amalan kita semasa menghuni dunia ini ketika di Akhirat kelak.

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30 ) وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّعَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ...(31)

Maksudnya :

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka … (An-Nur : 30-31)

Lihatlah, di dalam ayat ini juga Allah Subahanhu-wa-ta’ala telah mengajarkan kepada kita bagaimana kaedah untuk menjaga keselamatan diri kita daripada melakukan semua perbuatan yang mungkar yang bersabit dengan topik yang “diri ini” bicarakan. Tidak perlu rasanya diulas dan ditafsirkan ayat yang telah jelas. Tulisan ini sekadar ingin mengingatkan kita sahaja agar kita dapat melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah Subahanhu-wa-ta’ala. Alangkah indahnya jika kita semua melaksanakan apa yang diperintahkan. Jangan mengaitkan dengan isu-isu yang menampakkan kejahilan kita terhadap Islam contohnya kita bertanya, dengan melakukan perkara-perkara tersebut bolehkah kemungkaran atau jenayah sebagaimana yang telah dilaporkan oleh akhbar harian metro itu terhapus?? Itu semua adalah persoalan daripada golongan-golongan yang bencikan Islam. Jangan jadikan diri kita sebahagian daripada mereka. Cukuplah dengan kita mengatakan kita mematuhi semua yang telah Islam ajarkan. Sekali-kali tidak akan kita persoalkan kenapa dan apa hikmah ( kita selalu fikirkan perkara ni) disebalik tuntutan melakukan sesuatu perkara.

Pesanan terakhir untuk kali ini, renungkanlah firman Allah Subahanahu-wa-ta’ala :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يؤمرون (6)

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.(At-Tahrim : 6)

Sama-samalah kita menjaga peribadi dan akhlak keluarga kita daripada sebarang kemungkaran yang sengaja kita lakukan. “diri ini” percaya semua kita menyayangi keluarga masing-masing.Maka ambillah tindakan yang sewajarnya untuk memastikan keluarga kita berkelakuan sebagaimana yang telah Islam gariskan. Jangan mencipta alasan dan menjadikan alasan tersebut sebagai lesen atau tiket untuk kita terus melakukan kesilapan. Sesungguhnya setiap yang kerap dan sering dilakukan itu tidak dikira sebagai kesilapan melainkan ianya adalah kesalahan yang sengaja kita lakukan.

Semoga tulisan yang panjang ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

Assalamualalaikum…

No comments:

Post a Comment