Thursday, May 18, 2006

Peperiksaan Universiti (Dunia) lebih utama ??


Assalamualaikum..

Semoga sahabat-sahabat di luar sana semua berada di dalam keadaan sihat wal-a’fiat.

Minggu peperiksaan telah hampir bermula di semua universiti kat Jordan ni. Maka dapatlah dilihat sifat bertungkus lumusnya penuntut-penuntut ilmu di sini mengulangkaji pelajaran masing-masing. “Kepenatan dan keletihan mengulangkaji pelajaran untuk “second exam” tak habis hilang lagi, tapi “final exam tiba lak hampir tiba”, begitulah antara keluhan yg biasa didengari..bahkan rasanya pernah tuturkan juga kot..

Situasi begini bukan sahaja berlaku di Jordan, bahkan berlaku di mana-mana sahaja. Juga tidak keterlaluan jika dikatakan keadaan ini turut melanda golongan-golongan yang telah melepasi peringkat ini. Apakan tidak! Mereka juga terpaksa menghadapi pelbagai ujian atau peperiksaan dalam hidup yang dilalui…terutama ujian yang didatangkan dalam mengharungi kehidupan seharian. Ujian ini tidak dapat tidak dilalui oleh semua manusia.

Topik yang ingin dibicarakan di dalam ruangan ini hari ni adalah merujuk kepada situasi di atas tadi. Kita sering risau dan gundah-gulana bila berdepan dengan ujian atau peperiksaan. Namakanlah apa-apa pun peperiksaan dan ujian tu, yang pasti biasanya kita akan berusaha untuk menyiapkan diri sebaik mungkin menghadapinya sekalipun mungkin di sana persediaan yang dibuat tidaklah “perfect” dan mantap. Isunya di sini adalah kita tetap melakukan persediaan tersebut.

Kita bawa konsep situasi ini kepada yang lebih besar. Apakah kita telah mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan dan ujian Allah di Akhirat kelak?? Persoalan ini mungkin dinilai bahawa “diri ini” terlau gopoh dan cepat menghukum. “Diri ini” nak nyatakan di sini bahawa tulisan ini hanyalah sekadar nak ingatkan diri sendiri, keluarga , sahabat handai, semua yang ada di sekeliling “diri ini” dan juga untuk semua masyarakat yang faham Bahasa Melayu lah amnya.

Bersama kita renung sejenak kepada dalil-dalil di bawah ini, yang menunjukkan kepada kita situasi pada Hari Akhirat kelak.

وَاتَّقُوا يَوْمًا لَا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلَا تَنْفَعُهَا شَفَاعَةٌ وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ (123)

Maksud:

Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara). (Al-Baqarah : 123)

-Jelas digambarkan keadaan manusia pada Hari Kiamat kelak yang tidak mampu dan tidak berkesempatan untuk membantu manusia lain dalam menghadapi persoalan (Hisab) Allah Subhanahu-wa-ta`ala. Peringatan telah Allah berikan pada permulaan ayat tersebut, di mana kita dituntut untuk memelihara diri kita dari hura-hara yang akan berlaku pada hari Akhirat kelak. Jadi untuk memelihara daripada situasi tersebut maka bermulalah dari sekarang memperbaiki diri kita untuk memastikan kita mencapai matlamat yang digambarkan dalam ayat tersebut.


قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ... أَسْعَدُ النَّاسِ بِشَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ خَالِصًا مِنْ قَلْبِهِ أَوْ نَفْسِهِ

Maksud:

… Manusia yang paling gembira dengan syafaatku pada Hari Kiamat kelak adalah mereka yang mengucapkan tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah (kalimah Tauhid) dengan Ikhlas yang terbit daripada hati atau dirinya. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu. (Shahih Bukhari, 97)

- Hadis ini pula menjelaskan kepada kita satu golongan yang mendapat syafaat Rasullullah pada hari Kiamat kelak. Mereka itulah golongan yang ikhlas beriman dengan Allah Subhanahu-wa-ta`ala. Apakah kita dalam golongna tersebut? Nilailah diri masing-masing terhadap apa yang kita lakukan. Manusia yang ikhlas tidak akan sentiasa melakukan dosa dan ingkar kepada perintah Allah …

وَكُلَّ إِنْسَانٍ أَلْزَمْنَاهُ طَائِرَهُ فِي عُنُقِهِ وَنُخْرِجُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كِتَابًا يَلْقَاهُ مَنْشُورًا (13)

Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya). (Al-Isra : 13)


- Ayat di atas tersebut pula adalah gambaran keadaan ketika kita hampir dihitung amalan dan ditanya tentang semua perkara yang kita lakukan di bumi Allah `azzawajalla. Bersediakah kita untuk membaca buku amalan tersebut?


وَمَاذَا عَلَيْهِمْ لَوْ آمَنُوا بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقَهُمُ اللَّهُ وَكَانَ اللَّهُ بِهِمْ عَلِيمًا (39)

Dan apakah (kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mereka mendermakan sebahagian dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengetahui akan keadaan mereka.(An-Nisa’ : 39)

- dan ayat yang terakhir ini “diri ini” sengaja memilihnya. Semata-mata tidak mahu ada yang menafikan di sana ada ayat-ayat yang menyampaikan berita gembira kepada umat Islam sebagai bekalan Hari Akhirat nanti. Maka berusahalah untuk menjadikan diri masing-masing termasuk di dalam golongan di atas.

Masih banyak lagi ayat-ayat yang boleh dikaitkan dengan perbincagan ini. Tetapi untuk ketika ini, rasanya cukuplah sebagai renungan bersama..

Pastikan kesibukan Imtihan (periksa) di dunia ini tidak menghalang kita untuk memastikan diri kita mampu untuk menjawab persoalan peperiksaan di “sana” nanti.

No comments:

Post a Comment