Sunday, August 06, 2006

Kelemahan yang telah digambarkan...

Assalamualaikum...

Tajuk tersebut dipilih kerana "diri ini" cuba untuk mengetengahkan pendapat tentang apa yang berlaku terhadap umat Islam ketika ini. Bukan kerana merasakan "diri ini" terlalu mantap dan unggul sehingga sanggup meletakkan sebarang cop atau tanda kepada umat Islam seluruhnya. Tetapi sekadar merenung kembali kepada hadis Rasullullah Sallallahualaihi-wa-salam yang jelas menggambarkan keadaan umat Islam suatu masa nanti (Zaman selepas kewafatan Baginda). Hadis tersebut adalah seperti berikut :


حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الدِّمَشْقِيُّ حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ بَكْرٍ حَدَّثَنَا ابْنُ جَابِرٍ حَدَّثَنِي أَبُو عَبْدِ السَّلَامِ عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
Maksudnya:
"Rasullullah Sallallahualaihi-wa-salam telah bersabda : Akan sampai suatu masa umat-umat lain akan meratah dan memamah kamu (umat Islam) laksana orang-orang yang mengelilingi hidangan, bertanya seorang sahabat kepada Rasullullah: adakah kami (umat Islam) ketika itu ramai atau sedikit? Jawab Rasullullah: bahkan jumlah kamu ramai tetapi hanya bagai buih-buihan ketika banjir@lautan, Allah menghilangkan kehebatan kamu dan menghilangkan perasaan gerun umat-umat lain terhadap kamu dan Allah mencampakkan di hati-hati kamu penyakit al-wahan, seterusnya bertanya sahabat kepada Rasullullah: apakah al-wahan itu? Jawab Rasullullah Sallallahualaihi-wa-salam: ianya adalah perasaan cintakan dunia dan bencikan mati".(Riwayat Abu Daud, 3745)

Wahai umat Islam semua, sedarlah kita ayuh bangunlah daripada lena yang lama yang disulami dengan mimpi yang dicipta oleh kita sendiri. Jelas penyakit tersebut telah melanda kita semua. Kita lebih mencintai dunia sehinggakan tiada lagi kehebatan yang dirasai oleh umat Islam. Dalam masa yang sama umat-umat lain hanya menjadikan kita 'kambing hitam' mereka. Kita diperlaku bagai binatang-binatang yang tidak bertuan yang mengganggu tanaman mereka. Mereka hanya menuggu masa untuk memastikan kita semua pupus dari dunia ini (meskipun perkara tersebut adalah mustahil).

"diri ini" tidak menafikan masih ada umat Islam yang terus bersama kehebatan Islam, mereka berusaha untuk mengetengahkan Islam sebagai suatu produk yang boleh memikat hati semua manusia. Tetapi kita jangan lupa dan menafikan realiti ketika ini, yang jelas dan zahir adalah golongan semacam kita yang terus leka dan lalai dan hanya seronok dan ditipu dengan kehidupan dan kemewahan dunia. Kita dibuai dengan perkhabaran yang serba cantik tentang kehidupan dunia sehingga kita terlupa (meskipun kekadang tetap 'mengingati' akhirat) tentang janji-janji Allah kepada pejuang-pejuang dan pendakwah-pendakwah yang berusaha meletakkan diri mereka dijalan Allah Subahanahu-wa-ta'ala.

Sanggupkah kita terus diperlakukan bagai binatang yang tidak bertuan?

Terpulang kepada kita semua untuk memuhasabah dan melakukan check & balance kepada diri sendiri dan keluarga serta mereka-mereka yang berada di sekeliling kita.

Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment