Wednesday, January 23, 2008

Kenapa perlu bersusah payah!

Assalamualikum...

Firman Allah S.W.T:

لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْراً كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya:
Allah tidak membebani seseorang melainkan sepadan dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (Al-Baqarah:186)

-------------------------------------------------------

Pernahkah anda berbincang atau ditanya tentang apa jua perkara yang berkaitan dengan ayat ini? "diri ini" berkeyakinan bahawa ayat ini sering didengari daripada orang yang 'konon'nya pasrah dengan kemampuan mereka lebih daripada seorang dai'e berdakwah berdalilkan ayat tersebut.

Siapa gologan yang pasrah dengan kemampuan mereka? "diri ini" mentakrifkan mereka ini adalah golongan yang sentiasa mencari alasan untuk memenuhi tanggungjawab yang telah Allah tetapkan ke atas setiap muslim. Tanggungjawab sebagai khalifah Allah S.W.T. Tidak perlu lagi rasanya diperjelas di sini apakah tanggungjawab-tanggungjawab sebagai kahlifah Allah di muka bumi ini. Jangan! jangan pula kita hanya membayangkan bahawa tanggungjawab kahlifah itu ialah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran semata-mata. Tanggungjawab khalifah juga merangkumi segala kewajipan yang telah Allah tuntut kepada setiap individu antaranya solat, berbuat baik kepada 'orang tua' (ibu bapa dan ke atas) dan lain-lain lagi.

Golongan yang pasrah ini sering menggunakan ayat ini untuk meyerlahkan keengganan mereka menerima pelawaan atau nasihat daripada orang lain supaya sentiasa berbuat dan berperlakuan baik (menurut kacamata syara', bukan kacamata insan yang sentiasa rasa dirinya betul tanpa berpndukan Syara'). Mereka berhujah bahawa sesungguhnya Allah tidak memaksa apa-apa yang tidak mampu dilakukannya jadi kenapa anda sebagai saudara seagam pula yang memaksa mereka untuk melakukan sesuatu kebaikan?...ini lah salah faham yang amat jelek untuk kita bincangkan.

"diri ini" mendoakan moga Allah menunjukkan jalan yang lurus kepada kita semua. Mereka menyangka bahawa ayat tersebut tepat dengan kondisi dan situasi mereka. Padahal ayat tersebut boleh difahami dengan jelas tanpa kita perlu bersusah payah menyelak helaian tafsir yang di buat oleh para ilmuan. Benar, Allah tidak memberatkan kita dengan apa yang tidak mampu kita lakukan, tetapi ianya adalah merujuk kepada keadaan-keadaan tertentu seperti, jahil, ketidakmampuan kudrat dan juga dipaksa. Jadi jika mereka bersandarkan ayat ini dengan menyatakan kondisi mereka adalah seperti yang dimaksudkan ayat di atas maka amatlah tidak bertepatan jika ianya bukan berdasarkan 3 kategori yang dimaksudkan. Apakah mereka suka digelar jahil? semestinya tidak! apakah mereka golongan yang kudratnya terbatas? secara zahirnya yang dilihat kudrat mereka sama sahaja dengan kudrat kita. Apakah mereka dipaksa untuk tidak melakukan sesuatu yang dipertanggungjawabkan? mungkin tidak! (Setiap penilaian juga dibuat dengan panduan Syara').

Jadi moga kita tidak tergolong dalam golongan yang mempersendakan ayat Allah sedemikian. Tahukah kita jika kita merujuk dalil (samada Al-Quran atau Sunnah) dengan tujuan untuk mengelak daripada melakukan kerja-kerja untuk Islam maka kita termasuk golongan yang mempersendakan Islam. Sama seperti golongan lain yang secara jelas memepersenda Islam. Kesan sendaan kepada Islam yang dilakukan oleh mana-maan Umat Islam adalah lebih besar daripada sebarang sendaaan yang dilakukan oleh mereka yang bukan Islam terhadap Islam...
Moga Allah melindungi dan merahmati kita semua!...

Nak Buat Macam mana....

Assalamualikum...

"Nak buat macam mana dah taqdir hidup aku/saya macam ni..."

"Mungkin inilah taqdir yang Allah tentukan untuk aku/saya..."

Kedua-dua ayat di atas serta ayat-ayat yang lain tetapi sewaktu dengannya merujuk kepada konsep keimanan kita dengan Qadha dan Qadar Allah S.W.T.

Kedua-ayat di atas seringkali diungkap apabila seseorang ditimpa musibah atau ujian daripada Allah S.W.T. Ujian dan musibah yang dimaksudkan adalah lebih kepada ujian dan musibah yang 'buruk'. Jarang atau boleh juga "diri ini" katakan tiada Umat Islam yang mengungkap kata-kata seperti di atas ketika mereka dilimpahi segala kemewahan dan kesenangan. Kebanyakan Umat Islm hanya mengingati dan mengungkap tentang Qadar (taqdir) Allah S.W.T ketika mereka di 'timpa' musibah atau ujian yang 'buruk'. Ketika itulah biasanya kita dapat lihat seakan kuatnya keimanan seseorang kerana mengingati Allah S.W.T.

Kita perlu sedarkan diri kita, bahawa sewajarnya kita tidak hanya mengingati Allah ketika dilanda 'musibah'. Ketika berada dalam keadaan yang menyenangkan juga harus dan wajiblah kita mengingati Allah dan Taqdirnya.

Firman Allah S.W.T:
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَن يُؤْمِن بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya:
Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah S.W.T, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya DIA akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (At-Taghabun:11)

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Maksudnya:
Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Al- Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.(Al-Hadiid:22)

Jadi ianya satu keperluan untuk kita semua melazimi diri masing-masing dengan kesedaran bahawa apa yang berlaku di dunia ini adalah Qadar (Taqdir) Allah S.W.T tidak kira yang baik atau yang buruk dan kita diberi kebebasan untuk berikhtiar untuk melakukan sesuatu perkara. Jangan hanya apabila ditimpa keburukan barulah kita pasrah bahawa ianya adalah Taqdir Allah dan apabila berada dalan keadaan kesenangan kita lupa tentang Taqdir.

Kelebihan dan kebaikan beriman dengan Qadha dan Qadar adalah pembuktian kebergantungan kita dengan Allah S.W.T. Kita membuktikan bahawa kita adalah makhluk yang sentiasa bersyukur kepadaNYA kerana sentiasa menjadikan Allah sebagai tempat kita bergantung dan memohon sebarang keperluan sebagaimana yang telah kita ikrarkan dalam setiap rakaat solat kita (kalau yang tak solat tu pepandai la na muhasabah!).

Sabda Rasullullah S.A.W:

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: كنت خلف النبي صلى الله عليه وسلم يوماً فقال: ( يا غلام إني أعلمك كلمات: إحفظ الله يحفظك، إحفظ الله تجده تجاهك، إذا سألت فاسأل الله وإذا استعنت فاستعن بالله، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله تعالى لك. وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك، رفعت الأقلام وجفت الصحف) رواه الترمذي وقال: حسن صحيح

Maksudnya:
Sabda Rasullullah S.A.W:"Wahai 'pemuda' aku ajarkan kepada kamu satu kalimah (ayat): Jagalah Allah Nescaya DIA akan menjaga kamu, Jagalah DIA di mana sahaj kamu berada, jika kamu memerlukan pertolongan pohonlah kepadaNYA, Ketahuilah bahawa Umat Islam itu jika mereka bersepakat untuk membantu (memberi manfaat) kamu, ianya tidak akan terjadi melainkan dengan keizinan Allah S.W.T, begitu juga jika mereka bersepakat (berkumpul) untuk memudaratkan kamu, ianya tidak akan terjadi melainkan diizinkan Allah S.W.T. Sesunguhnya Qalam itu telah diangkat dan 'buku' (yang tertulis di Luh Mahfuz) telah tertulis sebagai mana yang dikehendakiNYA". (RW Tirmidzi, Hasan Shahih)

Jangan lagi harapnya kita hanya menyandarkan taqdir kepada perkara-perkara buruk semata-mata! 'Seolah-olah' kita menyalahkan Allah dalam keadaan kita tidak sedari. Ingatlah! keimanan itu sesuatu yang berharga, dan sesuatu yang berharga dan bernilai susah untuk dijaga.Jadi pastikan kita sering tegur menegur dan nasihat menasihati antar satu dengan yang lain agar kita tidak terjemrumus ke medan yang merugikan kita di Akhirat kelak...



Sunday, January 20, 2008

Sudah la...


Asslamualaikum...


Memandangkan masa terbatas, tetapi tetap ingin mengisi blog dengan tulisan baru, maka dengan rendah dirinya "diri ini" nak kongsikan salah satu masalah yang berlaku di Malaysia ketika ini dan mungkin juga turut melanda negara lain.

Individu 'M' : Asslmkm, maaf ganggu! ada masa sikit ke? blh saya nak minta pendapat sikit? nak tanya berkaitan satu perkara...

'I' : Silakan..

'M': Baru-baru ni saya ada mendengar pendapat seorang 'ustaz', kita tak blh menjemput jiran/saudara seagama kita yang tidak menunaikan solat untuk hadir ke kenduri yang kita adakan di rumah kita...pandangan ustaz pula macamana?

'I': Emmh...pertama sekali harapnya kami tidak dibanding-bandingkan. Mungkin pandangan saya salah, jadi harapnya dapat dipertimbangkan... Tapi secara dasarnya saya tak setuju dengan kenyataan 'Ustaz' tersebut. Ada dinyatakan dalil untuk menyokong hujah beliau? bukan apa, cuma untuk memudahkan saya merujuk kepada dalil tersebut mungkin juga saya tak perasan tentang bab ini...

'M': Seingat saya tak ada pula...

'I': Bukan apa..sepatutnya apabila membincangkan perkara-perkara yang jarang orang bincang dan menghukum pula kemudiannya..sewajarnya beliau memimpin masyarakat dengan dalil supaya masyarakat tahu punca hukum dari mana...

'M': Saya waktu dengar tu macam susah nak percaya juga, dan akal saya susah nak terima pula kenyataan macam tu...seolah-olah kita mengasingkan pula individu yang tak sembahyang tadi...

'I': Tak apa la...harapnya jawapan saya tak dijadikan asas untuk menolak terus 'ustaz' tersebut. Mungkin kalau beliau silap pun dalam bab sebegini aje...

'M' : Ya saya faham ustaz..

'I': Bagi saya kenyataan tersebut boleh disanggah dan tidak tepat. Mengapa kita nak menghukum saudara kita sebegitu rupa?..apa kah kita yakin yang dia memang tidak menunaikan solat?...Sekalipun menyakini akan hal tersebut, setakat mana pula usaha kita untuk membimbing dia? Apakah dengan memulau sedemikian akan menyelesaikan masalah dan individu tadi akan menunaikan semua kewajipan yang selama ini ditinggalkan?..

'M': Susah juga ye ustaz?

'I': Bagi saya meskipun kita meyakini individu terbabit tidak menunaikan solat, adalah lebih baik kita turut jemput dia ke sebarang majlis yang kita adakan. Ianya boleh membina hubungan yang lebih rapat dan memudahkan kita berinteraksi dengannya pada masa yang akan datang. Tambahan pula biasanya kita akan turut menjemput 'orang surau/ masjid' menghadiri jamuan yang kita adakan. Sekurang-kurangnya itulah usaha kita untuk membolehkan saudara kita tadi rapat dengan masjid/surau dengan cara bina hubungan yang kuat antaranya dengan 'orang-orang surau/masjid tadi...

'M': (dengusan nafas)....

'I': Bagaimana pula hukumnya kalau saudara kita tadi menjemput kita ke majlis yang diadakan dirumahnya pula?... apakah turut tidak dibolehkan?...kalau ikut hukum yang 'ustaz' tu sebutkan, maka bagi saya afdalnya jemputan yang dibuat oleh saudara kita tadi ditolak...setuju ke begitu?

'M': tak kot...macam tak patut pula..bukan ke Rasulullah ajar kita untuk memenuhi undangan saudara kita?

'I': Secara umumnya begitulah. Bukan ke sewajarnya kita mendoakan saudara kita tadi mendapat petunjuk dari Allah?.. apakah dengan cara yang disyorkan tadi (pulau) boleh membantu ke arah tersebut? Saya rasa tidak...

'M': Setuju...

'I': Ringkasnya begini la.. saya teringat peristiwa Rasulullullah S.A.W menziarahi jirannya yang senitasa dengki dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Ada sahaja cara yang digunakan untuk melemahkan dakwah Rasulullah dan juga melemahkan semangat Rasullullah untuk berdakwah..Tetapi apabila jiran tadi ditimpa musibah (sakit) Rasulullah adalah antara yang awal menziarahinya...itu lah antara kaedah Rasulullah berdakwah..jadi apakah kita tidak mahu mengambil contoh dari peristiwa tersebut?...

Siapa kita hendak menghukum mereka yang ingkar perintah Allah sedemikian rupa...hak berjiran adalah hak umum yang sepatutnya diraikan oleh semua pihak..meskipun semua tetangga maklum tentag kemalasan saudara kita tadi menunaikan solat...tetapi hak beliau dalam berjiran hendaklah kita tunaikan...Bagaimana mungkin kita berada dalam keadaan kenyang tetapi membiarkan saudara kita tadi (jiran tetangga) hanya mengetahui tentang majlis yang kita adakan daripada bualan masyarakat setempat dalam keadaan dia tidak dijemput. Apakah kita tidak takut saudara tadi atau keluarganya tidak merasa kenyang sepertimana kita rasakan?...

Hadith Rasullullah S.A.W...

Mafhumnya:
"Tidak sempurna iman kamu jika sekiranya kamu membiarkan jiran/saudara kamu berada dalam kelaparan ketika kamu berada dalam keadaan kekenyangan"...

kelaparan = kesusahan
Kekenyangan = Kesenangan dll.

'M': Ok ustaz saya rasa saya faham apa yang ustaz maksudkan...terima kasih nanti boleh la saya rujuk lagi kalau ada maslaah macam ni timbul ye?

'I' : tiada larangan, tetapi jangan mendoakan agar masalah seumpama tu timbul lagi di kalangan masyarakat..ianya lebih membuatkan saya rasa kesal dengan title graduan Syariah...

'M' : kenapa?

'I': tak apa la, insyaAllah satu masa nanti akhi akan faham...
--------------------------------

p/s 1) jangan la kita mengeruhkan hubungan sesama masyarakat hanya kerana pendapat-pendapat peribadi kita tetapi masyarakat memandang ianya adalah tuntutan agama...jelaskan kepada mereka sekiranya ianya pendapat peribadi. Masyarkat tidak dapat membezakan yang mana pendapat ustaz dan yang mana tuntutan Islam. Bagi mereka sesiapa sahaja yang mengaji agama, balik dari timur tengah, serta berpewatakan ala-ala ustaz/ah sedikit
maka ianya adalah tempat rujukan bagi hal-hal agama..dan apa-apa yang zahir dari mereka-mereka ini adalah semuanya tuntutan Agama (Islam)..

2) Jangan kita yang tergolong dalam golongan yang dirujuk, malu dan segan untuk mengaku kesalahan serta ketidakarifan kita dalam sesuatu hal...bagi saya ianya perkara biasa kerana ilmu Allah itu luas dan kita semestinya tidak mampu mengethaui kesemuanya...

3) Bimbinglah masyarakat kerana mereka memang mengharapkan bimbingan. Jangan menghukum mereka dan mengharapkan mereka perlu menjadi semacam kita (kononnya arif 'ilmu-ilmu Islam'). Bersyukurlah kerana kita terpilih untuk dirujuk....berterima kasih la kepada mereka kerana sering bertanya. Ianya lebih mulia daripada sering melakukan sesuatu perkara seolah-olah arif tetang perkara tersebut...

.....?













Thursday, January 17, 2008

Kesan Surat Berantai...

Assalamualaikum...

Baru-baru ini "diri ini" telah menerima beberapa email yang berupa email berantai. Setelah sekian lama email sedemikian tak muncul dalam email "diri ini" tiba-tiba ianya kembali lagi menjengah di dalam inbox.

Kecewa dan sedih kerana ada di antara kita yang perpengetahuan agama turut menyebarkan email tersebut kepada senarai email yg ada padanya.Maksud email berantai tu ialah terkandung dalamnya gesaan untuk kita menyebarkan kandungan email tersebut kepada kenalan yang lain dalam jumlah yang tertentu untuk menjamin kita mendapat kesenangan. Ada juga yang berupa ancaman jika kita tidak menyebarkan kepada umat Islam yang lain.

Perkara ini bagi "diri ini" tidak bertepatan dengan aqidah yang kita anuti. Apakah kita masih tidak yakin dengana kekuasaan Allah S.W.T? sehingga kita sanggup menjadi 'penjamin' bagi sesuatu kesenangan atau kesusahan yang akan menimpa seseorang individu tanpa ada sandaran yang sahih menurut sumber-sumber hukum dalam Islam?

Tidakkah kita menghafal surah Quraisy? pada ayat terakhir Allah S.W.T telah berfirman yang membawa maksud " (Allah lah ) Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan" (4). juga firmannya dalam surah yassin yang kerap kali kita baca dalam apa jua majlis dalam ayat yang ke 82 dan 83. FirmanNYA yang bermaksud : "Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia (82) Maka Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan"(83).

Apakah kita hanya membaca dan menghafal tanpa melihat kepada maksud dan tafsir ayat-ayat tersebut? Jika kita rasa takut dengan ancaman atau berasa selesa dengan jaminan kesenangan dalam email atau surat berantai yag kita terima, maknanya kita masih lagi mempercayai perkara-perkara yang karut dan menyebabkan kesannya kepada Aqidah yang kita anuti iaitu (Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah). Masih ada keraguan lagikah keimanan kita terhadap Allah S.W.T?

Harapan "diri ini" ialah semoga sesiapa yang membaca tulisan ini tidak terlibat dalam kegiatan sedemikian. Sedarlah! apa jua kandungan isi surat atau email yang berupa seakan atau seumpamanya hukumnya adalah sama. Sebagaimana hukum dan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa kebangsaan terhadap surat berantai yang didakwa kononnya pernah ditulis oleh salah seorang kerabat penjaga pintu kaabah. Selagimana ianya mengandungi ancaman atau khabar kesenangan secara khusus. InsyaAllah jika berkelapangan dan berkesmepatan "diri ini" akan berusaha untuk mengumpul beberapa contoh email berantai ini (selain dari surat atau email berantai yang kononnya ditulis oleh penjaga kaabah. kerana ianya telah diputuskan fatwanya secara jelas).

Wednesday, January 16, 2008

Assalamualaikum....

Firman Allah dalam Surah Thaha:

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَكَانَ لِزَاماً وَأَجَلٌ مُسَمًّى

Maksudnya:
Dan sekiranya tidak ada suatu ketetapan dari Allah yang telah terdahulu atau tidak ada ajal yang telah ditentukan, pasti (azab itu) menimpa mereka. (129)
--------------------------------------------------------------

Dalam melayari kehidupan seharian kita, seringkali cabaran yang berada di hadapan kita menyebabkan ketaqwaan dan keimanan kita goyah. Umat Islam secara kasarnya, jika dilihat kepada situasi ketika ini berada dalam keadaan kesempitan. Samada kesempitan hidup kerana kurangnya harta atau kesempitan kerana 'fitnah' yang berlaku di sekeliling mereka. Seringkali juga kita terlupa untuk mengakui akan kesempitan ilmu kita utk memastikan ketaqwaan dan keimanan kita berada pada tahap yang sewajarnya sebagai hamba Allah S.W.T.

Semua kesempitan dan kesusahan yang disebutkan di atas seringkali dibandingkan dengan kesenangan yang diperolehi oleh mereka-mereka yang bukan Islam (Semoga mereka segera menyahut seruan hidayah Allah S.W.T). Maka setelah perbandingan dilakukan, ramai dikalangan umat Islam tersungkur di medan ujian tersebut. Mereka menyangka bahawa segala kemewahan dan kesenangan di dunia ini adalah wajah sebenar tentang sesuatu kebenaran. Maka berpusu-pusu dan berbondong-bondonglah mereka mengejar kemewahan dan kesenangan dengan apa jua cara dan kaedah sehinggakan ramai yang tergelincir daripada landasan keimanan yang sebenar.

Perlu kita sedari, Allah S.W.T telah menyebutkan di dalam surah yang sama pada ayat yang ke 131:

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجاً مِّنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَى

Maksudnya:
Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami cobai mereka dengannya. Dan kurniaanTuhan kamu (ALLAH) adalah lebih baik dan lebih kekal.

Allah S.W.T telah dengan secara jelas mengingatkan semua umat Islam bermula dari zaman Rasulullah S.A.W lagi tentang bahaya jika kita sering membanding-bandingkan kemewahan dan kesenangan mereka-mereka yang bukan Islam dan juga mengingatkan kita supaya kita tidak terlalu memandang kemewahan yang diperolehi mereka di dunia ini supaya kita tidak cemburu akan apa yang mereka perolehi. Ayat tersebut sama sekali tidak melarang mana-mana umat Islam yang berupaya untuk mendapatkan kemewahan di dunia ini untuk terus berusaha ke arah tersebut. Tetapi ianya lebih kepada peringatan secara umum kerana Allah S.W.T sebagai Pencipta yang Maha Agung mengetahui apa yang sering diimpikan oleh kebanyakan manusia. Jadi usahlah kita menafikan keagunganNYA.

Ingatlah! Kemewahan yang dimiliki oleh mereka yang bukan Islam hanyalah sebagai perhiasan dan kegembiraan untuk seketika melainkan mereka menyahut seruan hidayah Allah S.W.T.

Ayat yang seterusnya dalam suraj Thaha:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقاً نَّحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Maksudnya:
Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezki kepadamu, Kamilah yang memberi rezki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa(132).

Dalam ayat tersebut Allah S.W.T mengajar kepada semua Umat Islam cara untuk mengelakkan diri kita terperangkap dalam bahaya tersebut. Solat yang dimaksudkan di situ bukan hanya semata-mata solat sebagaimana yang kita fahami. Ianya juga merangkumi doa yang kita panjatkan kepadaNYA. Yang mana "diri ini" amat menyakini setiap daripada kita seringkali tidak lupa untuk berdoa supaya Allah S.W.T melimpahi kesenangan dan rezeki yang mencukupi kepada diri masing-masing. Maka di dalam ayat tersebut Allah juga mengingatkan kita bahawa sesungguhnya DIA lah yang memberi rezeki kepada semua makhluknya dan yakinilah perkara tersebut. Di mana jika masing-masing di antara kita tidak berusaha ke arah menjauhi bahaya (membandingkan kekayaan orang bukan ISlam) sedemikian, dibimbangi keimanan kita akan menjadi rapuh dan menyebabkan kita tergolong dalam golongan mereka-mereka yang rugi di akhirat kelak.

Sebagai Umat Islam yang sentiasa berusaha untuk menaik taraf kehambaan kita terhadap Allah S.W.T kepada tahap yang lebih tinggi iaitu supaya tergolong dalam golongan mereka yang beriman dan bertakwa. maka semestinya kita mendidik diri dan jiwa kita supaya sama sekali tidak lagi memikirkan tentang kesenangan dan kemewahan mereka yang belum menyahut hidayah Allah S.W.T kerana dibimbangi ianya akan menjatuhkan nilai keimanan dan ketakwaan kita kepadanya melainkan jika diyakini bahawa perbandingan tersebut akan memotovasikan kita untuk maju bersama Islam.

Jika kita semua membaca dan memahami ayat-ayat terakhir surah Thaha ini maka semestinya kita akan sedari bahawa ayat-ayat tersebut membicarakan tentang ancaman mereka-mereka yang bukan Islam terhadap dakwah yang dilakukan oleh Rasullullah S.A.W. Di mana kemuncaknya ialah pada ayat ke 129 sebagaimana yang tertera pada permulaan bicara ini.
Ayat tersebut juga secara tidak lansung mengajar kita tentang konsep keimanan yang dipelajari sejak di sekolah rendah lagi iaitu lah kepercayaan /keimanan kepada Qada' dan Qadar (yang baik dan yang buruk).

Jadi sama-sama kita mengajar jiwa masing-masing supaya menyakini akan sesuatu perkara itu adalah ketetapan Allah S.W.T. Kita sebagai makhluk dan hambanya diberi peluang untuk berikhtiar dalam kehidupan ini dengan ikhtiar yang berpandukan ketetapan syara' bukan ikhtiar yang berpandukan hawa nafsu semata-mata.

"Syara' dijunjung, nafsu dihitung"