Wednesday, February 06, 2008

Di Mana Kita?

Assalamualaikum...

Umum mengetahui bahawa dunia hari ini bergerak pantas dengan kemajuan teknologi. Manusia berusaha untuk memanfaatkan kelebihan tersebut untuk menjamin kehidupan sebagaimana yang mereka cita-citakan.

Umat Islam tidak terkecuali daripada memanfaatkan kemajuantersebut. Antara manfaat yang paling ketara diperolehi oleh semua pihak ialah capaian ilmu melalui akses alam maya tanpa perlu lagi bersusah payah untuk ke perpustakaan atau gedung-gedung buku untuk melakukan kajian umum.

Dengan kemajuan yang terhidang di hadapan setiap individu maka kehendak untuk memahami tuntutan agama(Islam) juga menjadi semakin baik dan boleh dilihat dengan jelas. Suatu yang ketara ketika ini ialah sebahagian umat Islam telah 'mampu' dan sentiasa berkehendak untuk membuat kajian umum terhadap setiap ibadah yang telah mereka lakukan supaya ianya tepat sebagaimana yang 'dikehendaki dan 'dituntut' oleh Islam.

Kesan daripada keinginan dan keupayaan tersebut maka kita dapat lihat satu perkembangan yang positif apabila ramai di kalangan Umat Islam telah mengetahui dalil atas setiap perlakuan ibadah mereka yang sebelum ini yang jarang berlaku sebelum daripada itu. Mereka juga sentiasa menjaga batasan yang ditetapkan dalam melaksanakan urusan kehidupan seharian mereka supaya ianya tidak bercanggah dengan tuntutan syariat.

Kita sewajarnya memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas nikmat yang tehidang di depan kita ketika ini .Nikmat yang mebolehkan setiap dari kita mendapat ilmu lebih daripada kemampuan manusia sebelum dari ini.

Tetapi dalam keadaan yang demikian, berlaku pertembungan yang cukup ketara antara mereka yang cuba 'memaafaatkan' lapangan ilmu tadi dengan golongan yang kurang selesa dengan kaedah tersebut. Golongan ini bukan tidak selesa dengan kaedah yang digunakan iaitu mengkaji bergantung kepada capaian ilmu alam maya. Mereka tidak berseruju apabila semakin ramai di kalangan umat Islam yang mula memandang serong kepada mereka yang masih 'tidak berubah' dengan kaedah melaksanakan ibadah yang telah mereka pelajari melalui ilmu-ilmu yang telah disampaikan kepada mereka oleh ilmuan2 terdahulu. Kaedah yang cukup mudah, beramal dengan apa yang didengari dan dipelajari.

Tahun berlalu, pertembungan ini menjadi semakin 'panas' kerana pertembungan ini melibatkan mereka yang ahli (pakar) dalam bidang ini. Jika boleh "diri ini" katakan kini pertembungan ini lebih menyerlahkan perselisihan peribadi bukan lagi kerana ilmu.

Jika ilmu dijadikan asas untuk melakukan perubahan atau membetulkan apa yang dilihat tidak betul nescaya keadaan akan menjadi tenang dan perubahan yang diinginkan akan dapat dilihat dengan jayanya. Masalah yang timbul ialah apabila ilmu tadi dicampur adukkan dengan ketaasuban kepada sesetengah pihak maka lahirlah kesan yang sebaliknya.

Tulisan selepas ini akan dikupas dengan lebih jelas dan terang terhadap situasi yang dimaksudkan. Yang terpenting bagi kita semua adalah berlaku adil kepada semua pihak.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran"- (An-Nahl:90).



Saturday, February 02, 2008

Taasub..

Assalamualaikum...

Taasub (terjemahan ada di bahagian bawah tulisan ini). Satu tajuk yang biasa kita bincangkan dengan sahabat masing-masing dan kita pernah mendengarnya daripada mereka yang lebih arif dan tua daripada kita. Secara ringkasnya Islam amat melarang kita sebagai umatnya taasub kepada sesuatu perkara apatah lagi apabila ianya berkait rapat dengan amalan-amalan dalam kehidupan seharian kita.

Perbahasan tentang taasub kini menjadi hangat apabila sering dibahaskan oleh para ilmuan. Apa yang kesalkan ialah semakin ianya dibahaskan oleh para ilmuan penyakit ini menjadi semakin kritikal. "diri ini" secara peribadi gagal menyelami dan mengkaji apakah faktor yang menyebabkan keadaan ini menjadi-jadi dan boleh dikatakan kekal berada pada tahap yang membimbangkan.

Jika ingin membahaskan secara panjang lebar tentang perkara ini, dibimbangi "diri ini" juga gagal membawa masyarakat ke arah yang lebih baik. Apa yang diharapkan ialah supaya para ilmuan yang sering membincangkan tajuk ini supaya menjelaskan secara jelas tentang konsep dan maskud taasub itu agar masyarakat faham. Kita tidak boleh menggangap dan bersangka baik kononnya masyarakat akan faham sebagaimana yang kita fahami. Kadang-kadang kita berfikir, takkanlah masyarakat susah nak faham padahal kita mudah sahaja untuk memahaminya. Pemikiran sebegini hendaklah dijauhi supaya kita berlaku adil kepada semua pihak. Jangan dalam kita sibuk menjelaskan topik tersebut, kita pula gagal membendung masyarakat yang mula taasub kepada pandangan kita semata-mata padahal dalam masa yang sama pandangan yang sama atau lebih baik turut dijelaskan oleh pihak lain.

Kecelaruan yang seringkali timbul ialah apabila masyarakat atau pengikut atau mereka yang teruja dengan pandangan sesetengah pihak sering berbicara dan berhujah dengan berpandukan hujah individu atau pihak tertentu sahaja dan mengenepikan secara total pandangan pihak atau individu lain yang boleh jadi pandangan tersebut lebih baik atau berada pada tahap yang sama dan boleh dipertimbangkan. Juga kadang-kadang perkara yang sering dilakukan oleh mereka yang taasub ini ialah apabila menggunakan hujah Al-Quran atau Hadith Rasullullah S.A.W mereka turut menyandarkan kepada individu atau kumpulan yang mereka kagumi padahal sewajarnya mereka terus perjelaskan sumber ayat dan hadith tersebut kepada sumbernya yang asal iaitu Al-Quran dan Hadith tetapi mereka lebih selesa untuk berhujah dengan mengatakan bahawa si polan atau kumpulan yang dikaguminya yang mengatakan begitu.

"diri ini" sesekali tidak lansung melarang untuk kita mengemukakan hujah dengan bersandarkan kepada hujah individu tertentu atau kumpulan tertentu tapi mestilah dengan syarat ianya benar daripada individu atau kumpulan tersebut (yang bukan dari Al-Quran dan Hadith). Ketika kita boleh berlaku adil ketika menulis dengan menyatakan sumber petikan atau rujukan terhadap isu yang kita bincangkan, kenapa dalam kita berhujah secara lisan kita gagal melakukan perkara yang sama?

Moga kita tidak tergolong dalam golongan yang selesa untuk kekal berkeadaan seperti yang dimaksudkan. Semoga kita perbaiki bentuk hujah kita apabila menulis juga apabila berhujah secara lisan. Moga Allah melindungi kita daripada penyakit ini yang akan menyebabkan Islam kekal seperti sekarang tanpa ada potensi untuk kembali ke landasan yang sewajar baginya.

Ringkasnya Taasub membawa maksud: Perasaan yang wujud dalam diri seseorang yang menyangka dirinya/kumpulannya sahaja berada dalam keadaan dan jalan yang betul dan baginya pandangan atau orang lain semuanya tidak betul sebagaimana dirinya. Bahkan yang lebih buruk apabila mereka mengeji dan mencaci pandangan pihak lain. Mereka ini seolah-olah menafikan hak untuk bersuara atau memberi pandangan (neraca yang mesti digunkaan ialah Syara').

Semoga kita menghukum sesuatu perkara berpandukan neraca Syara' dan Sunnah.


Bertanyalah...

Assalamualikum...
Bangsa Melayu memang dikenali sebagai bangsa yang malu untuk bertanya. Perkara ini sering dibahaskan di Malaysia. Terutama apabila ianya dikaitkan dengan ketinggalan pelajar melayu dalam pelajaran. Moga kita semua berjaya keluar dari kepompong tersebut.

Sebagai menyahut seruan para ilmuan, supaya pelajar melayu khasnya dan umat Muslim itu sendiri banyak bertanya dan sentiasa bertanya jika menghadapi apa jua masalah yang perlu kepada penyelesaian maka diri ini melazimkan diri untuk terus bertanya.

Baru-baru ini, memandangkan telah lama "diri ini" tak melakukan 'tawaf' sekitar Kuala Lumpur maka "diri ini" mengambil keputusan untuk melakukan rutin masa lapang iaitu "tawaf" ke tempat-tempat yang jarang "diri ini" lalui semata-mata untuk memastikan semua pelosok Kuala Lumpur ini dikenali oleh "diri ini". Apabila sampai ke satu tempat dan kebetulan "diri ini" memang ingin pergi ke satu destinasi yang sewajarnya "diri ini" pergi kerana ingin melaksanakan amanah, "diri ini" menghadapi masalah untuk sampai ke destinasi tersebut kerana tidak arif tentang jalan di kawasan tersebut. Maka tanpa berlengah, "diri ini" ambil keputusan untuk bertanya kepada mereka-mereka yang lebih 'arif'.

Ringkasnya, pada hari tersebut "diri ini" terpaksa bertanya beberapa individu dan kumpulan arah ke destinasi terbabit, tetapi amat mengecewakan, banyak-banyak yang ditanya hanya 3 individu yang membantu dan menunjukan arah yang tepat dan betul. Untuk pengetahuan semua mereka-mereka yang ditanya itu ialah orang yang sama agama dan bangsa dengan "diri ini". Apakah susah untuk kita katakan 'tidak tahu' terhadap perkara yang memang kita tidak tahu?

Ini lah yang sering berlaku dalam dunia hari ini, kebanyakan kita selalu sahaja mengambil langkah ingin menunjuk kepada umum bahawa kita sentiasa arif dan pandai tentang semua perkara. Maka pantang sahaja ditanya pasti kita akan menjawab seolah-olah memang kita amat arif tentang perkara tersebut. Akhirnya kita akan menyusahkan mereka yang bertanya dan mungkin kesannya kepada individu atau kumpulan lain yang bersangkutan dengan mereka yang bertanya.

Moga kita semua sedar keupayaan diri masing-masing dan hanya menjawab apa yang diketahui, Jika tidak pasti tentang sesuatu perkara apabila ditanya, adalah lebih wajar kita menjelaskan perkara sebenar bahawa kita tidak pasti atau tidak arif tentang perkara tersebut (jangan pula buat dalam peperiksaan sekolah atau U, kalau nak buat juga jangan libatkan "diri ini" :D)

"terima kasih kepada mereka yang membantu pada hari tersebut dan kepada mereka yang jujur bahawa mereka tidak arif tentang arah yang ditanya" kepada yang lainnya (termasuk diri sendiri) moga Allah membuka pintu hati mereka (dan diri sendiri) supaya sedar tentang kesilapan mereka (dan diri sendiri)."

Akhirnya, sila rujuk kepada ayat surah An-Nahl:43 dan Anibiyaa:7.

Selesai...

Assalamualaikum..
Alhamdulillah dengan Izin Allah S.W.T, masalah yang dihadapi dalam blog ni sebelum ini telah selesai. Sidebar telah kembali ke posisi yang selayaknya sesuai dengan namanya. Masalah tersebut selesai dengan sendirinya apabila post baru yang dihantar ke dalam blog ini mengambil tempat dalam blog...

kerana masalah...

Assalamualikum..
Maaf kepada semua yang masuk ke blog ini, selepas tarikh 23 jan "diri ini" mengalami masalah untuk berkongsi pandangan dengan anda smeua dalam blog ini. Masalah berpunca kerana tiada semangat nak muatnaikkan apa-apa tulisan terbaru apabila didapati sidebar blog ni secara tiba-tiba berpindah ke bahagian bawah blog. Jadi kerana berusaha untuk menyelesaikan kekusutan tersebut maka "diri ini" tidak dapat menyembunyikan kerunsingan tentang apa yang berlaku. Jadi di harap kepada mana-mana sahabat yang mempunyai pengalaman yang sama atau mempunyai pengetahuan tentang masalah tersebut harap dapat dikongsikan bersama agar blog ni tak dilihat janggal. "diri ini" telah melakukan beberapa kali semakan terhadap HTML blog dan juga temptlate tetapi masalah tersebut kekal tanpa ada perubahan.
Jika ada pandangan atau anda ingin/mampu membantu sila respon ke email "diri ini" syababul_jabal@yahoo.com.
Terima kasih kerana meluangkan masa...