Tuesday, March 13, 2007

Majlis Fatwa Perlis: Fatwa Terkini...

Assalamualaikum...
Merujuk kepada semua laporan akhbar harian dalam negara, laporan tentang keputusan Majlis Fatwa Perlis tentang pengharaman muallaf (saudara baru) untuk ber'bin'kan Abdullah atau mana-mana nama yang sewaktu dengannya:- lewat sikit respon kerana nak tunggu respon daripada pihak yang berwajib lain.

Alhamdulillah setelah 2 hari berlalu, respon daripada pihak yang ditunggu-tunggu keluar juga menjadi tatapan umum di dada akhbar-akhbar harian di negara kita. Memang suatu ketika dahulu semacam satu kemestian bagi saudara baru yang memeluk Islam untuk ber'bin'kan Abdullah atau apa-apa nama yang sewaktu dengannya. Bahkan seolah-olah orang Islam menganggap suatu kemestian yang tidak boleh tidak untuk saudara-saudara baru tersebut menggunakannya.

Zaman berlalu, semakin ramai cerdik pandai dalam bidang Agama (Islam) yang lahir dan muncul di khalayak masyarakat Islam Malaysia. Antara saranan mereka adalah supaya semua pihak berwajib dan berkaitan memberi kebebasan kepada saudara baru untuk memilih atau menggunakan nama asal dan juga ber'bin'kan bapa asal mereka selagimana maksud bagi nama mereka adalah maksud yang baik. Alhamdulillah sambutan yang positif daripada semua pihak. Bahkan masyarakat Islam Malaysia sendiri mula selesa dengan keadaan tersebut dan mula menerima pakai konsep dan kaedah yang disyorkan oleh golongan ilmuan Agama tadi.

Kini timbul pula isu yang baru dan menarik untuk masyarakat mula menilai kembali tajuk perbincangan di atas tadi, setelah sekian lama masyarakat merasakan isu tersebut telah selesai dengan baik. Apa yang menarik dalam isu ini ialah penggunaan istilah "haram" yakni Majlis Fatwa Perlis mengharamkan sama sekali penggunaan bin Abdullah (atau yg sewaktu dgnnya), itu lah yang masyarakat semua faham daripada laporan semua akhbar harian Malaysia. Kita tidak pasti apakah laporan tersebut yang silap membuat liputan kenyataan asal Mufti Pelris atau memang itu lah yang dimaksudkan oleh Sahibus Samahah Mufti Perlis. "diri ini" ini memang terkejut dengan penyebaran fatwa tersebut dan "diri ini" amat yakin ramai lagi orang Islam di luar sana berada dalam keadaan yang serupa. Merujuk kepada semua laporan akhbar, maka tidak salah "diri ini" membuat telahan yang Mufti memang bermaksud untuk mendedahkan pewartaan fatwa tersebut.

Alhamdulillah, setelah respon daripada pelbagai pihak dilaporkan juga dalam laporan akhbar harian negara kita pada hari berikutnya maka Mufti pun menjawab kembali antara respon tersebut (respon dari PERKIM Perlis). Jika dilihat daripada laporan tersebut maka Mufti perlis membayangkan bahawa Fatwa tersebut masih belum muktamad dan semestinya belum diwartakan.(jika ikut pemahaman "diri ini" yang tak berapa faham ni - kalau rujuk kepada laporan awal, kenyataan tentang fatwa tersebut dibuat dengan begitu yakin seolah-olah ianya telah diwartakan ianya adalah fatwa muktamad). Tetapi akhirnya mufti seolah-olah membuka ruang kembali untuk dibincangkan sebelum diwartakan oleh pihak yang berkenaan. "diri ini" sekali-kali tidak lansung mempertikaikan kewibawaan kesemua ahli Majlis Fatwa Perlis yang semestinya dilantik kerana ketokohan dan keilmuan mereka. Untuk tatapan umum dan keselesaan masyarakat kita agar tidak lagi menzahirkan ketidakpuasan hati mereka kepada Majlis Fatwa Perlis rasanya elok jika Majlis Fatwa Perlis mengeluarkan data lengkap aduan tentang perkara tersebut (saudara baru tidak selesa kerana 'dipaksa' untuk ber'bin'kan Abdullah dan sebagainya) supaya segala kekusutan dalam dileraikan.

Apa yang "diri ini" harapkan ialah semoga semua pihak akan lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan ataupun kenyataan balas dan sebagainya. Jika sesuatu perkara itu perlu melalui prosuder-prosuder lain lagi maka biarkan ianya melalui prosuder tersebut dahulu kemudian barulah kita ketengahkan kepada masyarkat umum. Jika ingin diketengahkan segera sekalipun kenyataan tersebut mestilah dijelaskan kedudukannya (sama seperti keadaan sekarang, jika belum diwartakan perlu dimaklumkan segera bermula daripada kenyataan pertama lagi bukan kenyataan berikutnya setelah dikecam oleh pelbagai pihak). Islam mengajar kita untuk menutup segala pintu kerosakan (saddu az-zarai') sebelum kerosakan melanda dengan lebih parah. Jadi di dalam situasi sebegini, Majlis Fatwa semua negeri dan juga badan-badan yang bertanggungjawab perlu berhati-hati supaya masyarakat awam tidak memandang serong terhadap kenyataan ilmuan agama kita dan tidak pula menarik kembali kepercayaan mereka kepada ilmuan agama.

Mohon kemaafan jika ulasan kurang atau tidak menarik.

No comments:

Post a Comment