Saturday, February 24, 2007

Makanan segera memberikan kesan kepada kesihatan...

Assalamualaikum..
Perbincangan terbuka kini tertumpu kepada isu mengharamkan iklan makanan segera di semua saluran media. Masing-masing memberikan pandangan tentang perkara tersebut. Tertarik dengan pendapat daripada FOMCA dan CAP yang melihat isu pengharaman atau pembatalan iklan makanan segera di semua saluran media bukanlah kaedah yang terbaik. Contoh yang dibawa adalah pengharaman iklan rokok di semua saluran media, tetapi jumlah perokok tegar dan perokok baru masih tidak menurun bahkan sesetengah kawasan jumlah perokok baru adalah sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Kemudian dibawakan lagi hujah dan pandangan, jika sekiranya memang diketahui dan kita semua bimbangkan kesihatan masyarakat kita kerana pemakanan yg tidak seimbang tadi, adalah lebih baik kita mengharamkan terus pengeluaran makanan-makanan segera tersebut. Itu juga adalah kaedah yang sebenarnya lebih wajar dan relevan.

"diri ini" tak nak susah payah bahaskan benda yang dah hangat diperdebatkan di dalam negara kita, cumanya dalam masa yang sama kita juga perlu melihat kepada keruntuhan akhlak masyarakat kita yang semakin meruncing. Kalau tadi kita membincangkan tentang kesihatan hanya sebahagian masyarakat, kini kita juga perlu bincangkan masalah yang lebih besar. Sekalipun bukanlah semua masyarakat kita bergelumang dengan masalah keruntuhan moral, akan tetapi kesan daripada keruntuhan tersebut akan menyebabkan masyarkat secara totalnya akan runtuh dan musnah serta dikelilingi oleh penyakit budaya yang lebih dahsyat. Tiada lagi masyarakat 'Timur' yang penuh dengan budaya dan adat resam yang berpaksikan kesopanan dan juga tertibnya yang jitu.

Kita semua perlu memikirkan apakah peranan yang perlu dan mampu kita mainkan supaya masyarakat kita dapat dipulihkan kepada situasi yang lebih baik. Jangan kerana kita rasakan diri kita tidak berapa baik menyebabkan kita tidak memainkan peranan yang sewajarnya dalam membentuk masyarakat. Kita hanya mengharapkan orang lain yang kita rasakan lebih layak dan berprioriti untuk melaksanakannya. Kemudian bila masyarakat semakin musnah kita sibuk menyalahkan golongan-golongan tadi. Itulah kita yang hanya sentiasa pandai mencari sebab dan alasan untuk melakukan sesuatu. Apabila terhasil kejayaan daripada usaha tersebut kita mendabik dada seolah-olah kitalah yang memainkan peranannya. Tetapi apabila sebaliknya kita mula melarikan diri daripada melihat dan mengkoreksi kesilapan kita.

Jadi kesimpulannya adalah wabak dan 'makanan segera' yang kita pilih untuk jiwa kita adalah isu yang sebenarnya yang perlu diberi perhatian sewajanrya di samping kita tumpukan juga isu kesihatan tubuh badan yang dibangkitkan di awal tadi. Masyarakat kini lebih memilih budaya yang bagi mereka nampak mudah dipraktikkan dan kononnya meraikan jiwa mereka yang sentiasa inginkan kebebasan yang 'mutlak'. Pelik, tapi itulah masyarakat kita kini. Sama-sama berusaha melahirkan masyarakat yang lebih baik dari semasa ke semasa dan semestinya jika mampu bermula daripada diri sendiri juga.

No comments:

Post a Comment