Saturday, December 29, 2007

Monopoli Ekonomi Di Tahun Baru

Assalamualaikum...

Saban tahun apabila masyarakat dunia hampir pasti menyambut tahun baru dengan pelbagai acara dan perayaan, sebahagian masyarakat pula tidak lari daripada kebimbangan terhadap spekulasi kenaikan harga bagi barangan keperluan seharian. Untuk sekian kalinya, tahun ini sekali lagi dunia dilanda krisis ketakutan dan kebimbangan terhadap kenaikan harga barangan yang tidak mampu lagi di kawal. Berlaku penyembunyian barangan sehingga menyukarkan pembeli. Perkara ini berlaku kerana jangkaan kenaikan harga yang berlaku kepada 'barangan' utama masa kini iaitu minyak dan gas. Jika di malaysia pula melibatkan juga kenaikan harga TOL bagi lebuhraya-lebuhraya tertentu.

Samada spekulasi ini dibuat oleh pemerintah atau sebaliknya bukanlah suatu isu yang utama ketika ini, apa yang pasti pembekal barangan sentiasa mengikuti perkembangan ekonomi dunia supaya mereka boleh memanipulasi keadaan untuk terus menjamin keuntungan bagi syarikat-syarikat mereka. Benar, keuntungan adalah motif bagi sesebuah perniagaan. Tetapi apa yang merunsingkan kita pada hari ini ialah perniagaan yang dijalankan bukan lagi untuk menguntungkan kedua-dua pihak (pembeli dan penjual/pemborong/pembekal) sebaliknya lebih kepada keuntungan sebelah pihak. Pihak pengeluar dan pembekal barangan hanya memikirkan keuntungan bagi pihak syarikat mereka semata-mata tanpa memikirkan keperluan masyakarat dan kepentingan barangan tadi kepada kehidupan masyarakat.

Di Malaysia barangan yang kerap mengalami kenaikan yang 'tidak terkawal'* ialah minyak, gas, tepung, gula. Sekalipun barangan-barangan ini tergolong antara barang kawalan (harga dikawal kerajaan) tetapi desakan daripada pengeluar dan pembekal seringkali memenangi situasi getir ini. Begitu juga pasaran dunia. Elemen-elemen yang sama dan serupa juga melanda dunia luar.

Menyorot kepada krisis ini, langkah yang sewajarnya perlu diambil ialah memperkenalkan kaedah ekonomi islam yang menyeluruh dalam konsep jual-beli. Ketika ini Ekonomi dunia hanya tertumpu kepada konsep perbankan Islam semata-mata yang sudah pasti perlumbaan yang berlaku terhadap pengenalan konsep ini juga berbalik kepada keuntungan. Konsep jual beli yang seharusnya diperkenalkan ialah konsep yang meliputi semua urusan perniagaan termasuk kepada pengeluaran dan pembekalan barangan di pasaran.

Di dalam Islam apabila kita membicarakan tentang ekonomi/muamalat maka kita semestinya akan membincangkan tentang kawalan harga barang. Dalam Islam kawalan hanya dibenarkan semata-mata kerana menjaga maslahah am tanpa mengkesampingkan maslahah khas. Perkara ini telah dipraktikkan dalam sistem ekonomi dunia ketika ini. Tetapi seringkali gagal sebagimana situasi yang telah disebutkan di atas.

Ini adalah berpunca daripada sistem ekonomi dunia yang kini tertumpu kepada sistem kapitalis dan juga sosialis. Meskipun perbezaan ketara terdapat bagi kedua-dua sistem ini tetapi motif utama bagi kedua-dua sistem ini tidak lain dan tidak bukan hanya menjadikan sesetengah pihak sahaja yang kaya dan dalam masa yang sama kekal menjadikan si miskin berada terus miskin dalam kehidupan mereka. Meskipun sistem ekonomi sosialis lahir kerana tidak setuju serta ingin mengimbangi dunia ekonomi yang suatu ketika dimonopoli oleh sistem kapitalis, tetapi ianya turut bersalahan dengan sistem ekonomi yang telah dipraktikkan dunia Islam di zaman kegemilangannya dahulu.

Ya, tiada siapa yang menafikan dalam sistem ekonomi Islam turut bermotifkan keuntungan dalam perniagaan. Keuntungan yang dicapai adalah berlandaskan batas-batas yang telah ditetapkan oleh Islam. Kebanyakan masyakarat hanya memandang sistem ekonomi Islam itu ialah apabila perniagaan atau sumber kewangan sesebuah syarikat itu tidak bersangkutan dengan amalan riba. Walhal dalam sistem ekonomi Islam akhlak bagi pemilik syarikat, pekerja, peniaga, pembeli dan sebagainya turur dititik beratkan. Turut sama dalam sistem ekonomi Islam ialah Zakat dan Waqaf.

Sekalipun sesebuah syarikat itu diisytiharkan tidak lansung memiliki (0%) riba, jika pemiliknya berusaha untuk memonopoli pasaran (dengan kaedah yang tidak wajar) ia tetap haram dalam Islam maka perniagaan tersebut tetap menjadi haram. Begitu juga apabila pembeli mendesak penjual untuk menjual barangan yang diingini kepada suatu harga yang tidak diredhai penjual samada harga yang merugikan atau harga yang tidak lansung memberikan keuntungan kepada penjual, ianya juga haram dalam sistem ekonomi yang sebenarnya. Maka perlulah kita semua sedari bahawa ekonomi Islam itu adalah berasaskan kepada semua ciri-ciri kebaikan yang sentiasa menjaga maslahah umum (masyarakat/pembeli) serta tidak lansung mengkesampingkan sebarang maslahah khas (pengeluar/peniaga).

Kita mendoakan supaya akan lahir pakar-pakar bidang ekonomi Islam serta pemilik-pemilik syarikat yang berusaha menjalankan urusniaga berdasarkan konsep ekonomi Islam yang menyeluruh bukan semata-mata hanya jauh dari riba. Jika amalan ekonomi Islam dapat diwujudkan maka masyarakat tidak lagi perlu melalui saat-saat yang amat mengecewakan (barang naik) sepertimana yang berlaku pada masa ini. Masalah utama kini ialah apabila syarikat-syarikat besar yang mempertuhankan sistem kapitalis sentiasa menghantui syarikat-syarikat kecil supaya mengikuti trend perniagaan mereka. Ketika ini ekonomi dunia (Malaysia juga) sentiasa memusuhi peniaga-peniaga yang ingin menjual barangan mereka berasaskan pertukaran suka sama suka ( pembeli suka kerana harga berpatutan, peniaga pula suka kerana ada keuntugan di samping membantu pembeli-pembeli dalam kehidupan mereka). Mereka (kapitalis) inginkan supaya harga barangan adalah serupa atau hampir serupa dengan apa yang mereka tawarkan. Mereka hanya mementingkan diri sendiri apabila hanya mementingkan keuntungan yang berlipat kali ganda bagi syarikat-syarikat mereka dalam masa yang sama syarikat-syarikat kecil hanya mendapat keuntungan yang minima kerana pengeluaran yang terhad kekadang mengalmai kerugian hasil desakan dunia kapitalis.

Moga ruh Islam akan kembali dengan gemilangnya. Kitalah yang sewajarnya memainkan peranan ke arah mengembalikan ruh Islam dalam sistem ekonomi khasnya dan sistem kehidupan seharian amnya. Moga kemanisan hidup di bawah lembayung pemerintahan Islam dapat dirasai seumur hidup kita.

Dalam menjalani dunia ekonomi Islam semua pihak tertutamanya pengeluar dan peniaga wajar memahami surah Al-Mutaffifin.

No comments:

Post a Comment